Orang yang pengsan dan mabuk
Jika seorang berniat pada malam hari untuk berpuasa, kemudian pada siangnya ia pengsan sejak dari mula terbit fajar hinggalah terbenamnya matahari, maka batallah puasanya dan wajib ia mengqadha’ (yakni mengganti) puasanya itu pada hari yang lain. Namun jika ia tersedar pada mana-mana waktu dari siang itu, tidaklah batal puasanya.
Begitu juga dengan orang mabuk –kerana minum ubat atau minum minuman haram yang memabukkan pada malamnya-, jika ia tersedar pada mana-mana bahagian siang pada esoknya maka ia seumpama orang pengsan di sebahagian hari sahaja (yakni puasanya tidak batal). Namun jika ia berada dalam keadaan mabuk sepanjang hari –bermula dari terbit fajar hingga terbenam matahari, maka batallah puasanya dan wajib ke atasnya qadha’ puasa pada hari yang lain selepas Ramadhan.[1]
Orang yang batal puasanya kerana gila
Jika seseorang itu menjadi gila, batallah puasanya kerana telah hilang darinya kelayakan untuk beribadah, dan tidak wajib ke atasnya mengqadha’ (menggantikan) puasanya itu kerana kewajipan puasa itu gugur darinya tatkala hilang syarat taklif darinya iaitu beraqal. Keadaannya sama seperti seorang yang tidak wajib berpuasa kerana masih kecil, maka tidak dituntut ia mengqadha’ puasanya kerana ia belum memenuhi syarat taklif iaitu baligh (sampai umur).
Mungkin timbul persoalan; apa bezanya dengan masalah orang yang batal puasanya kerana pengsan sepanjang hari tadi di mana ia wajib mengqadha puasanya, sedangkan orang yang batal puasanya kerana gila pula tidak wajib mengqadha’ puasanya? Para ulama’ memberi penjelasan dalam masalah ini dengan kata mereka; pengsan berbeza dengan gila kerana pengsan termasuk dalam sakit dan sakit tidak menghilangkan syarat taklif. Orang yang pengsan tidak dikatakan hilang aqalnya berbeza dengan orang yang gila. Kerana itu –menurut ulama’- pengsan harus dikatakan menimpa para nabi kerana ia adalah penyakit dan tidak mustahil para nabi ditimpa sakit. Namun gila tidak harus menimpa para Nabi kerana ia adalah cacat/kurang dan mustahil para Nabi ditimpa cacat yang boleh merosakkan status mereka sebagai utusan Allah.
Namun jika orang yang gila itu tersedar dari gilanya pada waktu siang hari bulan Ramadhan, maka disunatkannya menahan dirinya dari makan, minum (dan sebagainya dari perkara-perkara yang membatalkan puasa) sebagai menghormati bulan Ramadhan. Dalam hal ini hukumnya sama seperti seorang kafir yang baru masuk Islam dan kanak-kanak yang baru baligh pada waktu tersebut.
Nota Kaki;
[1] Rujuk; Mughni al-Muhtaj, jil. 1, hlm. 583-584.
1 comment:
Post a Comment