السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

PESANAN NABI S.A.W.
"Sesiapa menempuh satu perjalanan untuk mencari suatu ilmu, Allah akan memudahkan untuknya jalan ke syurga" (Hadis riwayat Imam Muslim dari Abu Hurairah r.a.)

Thursday, September 4, 2008

QADHA PUASA, FIDYAH & KAFFARAH (10)

Orang yang batal puasanya kerana tersilap menyangka fajar belum terbit atau matahari telah terbenam

Seorang menyangka fajar belum lagi terbit (yakni belum masuk waktu subuh), lalu ia meneruskan makan dan minum atau bersetubuh dengan isteri atau sebagainya (dari perkara-perkara yang membatalkan puasa di atas). Setelah beberapa minit kemudian ternyata padanya bahawa sangkaannya itu silap (yakni fajar sebenarnya telah pun terbit). Dalam hal ini, batallah puasanya dan wajib ke atasnya mengqadha’kan puasanya itu pada hari lain di luar Ramadhan.[1] Walaupun begitu, untuk hari tersebut ia tetap wajib menahan dirinya dari makan, minum dan sebagainya sebagai menghormati bulan Ramadhan.

Begitu juga, jika ia menyangka matahari telahpun terbenam, lalu ia berbuka puasa dan kemudian ternyata bahawa sangkannya itu silap –yakni matahari belum lagi terbenam-, maka batallah puasanya. Wajib ke atasnya mengganti atau mengqadhakannya.

Dalam hal ini, para ulama’ membezakan hukum antara orang yang tersalah/tersilap dengan hukum orang yang terlupa. Terlupa (seperti makan kerana terlupa, minum kerana terlupa atau sebagainya) tidaklah membatalkan puasa. Akan tetapi, jika tersilap/tersalah (seperti tersilap melihat jam, tersilap menyangka fajar belum terbit dan sebagainya), maka boleh menyebabkan terbatalnya puasa. Ini kerana ketika terlupa, seseorang itu tidak mengingati langsung puasanya. Adapun ketika ia tersilap/tersalah itu, ia mengingati puasanya, cuma kerana kelalaiannya sendiri dalam memastikan ketepatan waktu menyebabkan ia melakukan perkara yang membatalkan puasa (makan atau bersetubuh). Dari satu segi yang lain, orang yang terlupa tidak ada daya baginya kerana lupa itu kadang-kadang menimpa manusia tanpa dapat dielak. Adapun orang yang tersilap atau tersalah, maka kebiasaannya adalah kerana kelalaian atau sikap kurang berhati-hati. Jadi, sikap ini berpunca dari manusia itu sendiri.

Perbezaan tersebut hanya dalam masalah sah atau batalnya puasa. Adapun dalam masalah dosa, tidak ada beza antara kedua-dua keadaan tersebut di mana orang melakukan sesuatu kerana terlupa atau tersilap tidak dianggap berdosa oleh Syara’.

Nota Kaki;

[1] Walau bagaimana pun, dalam kes ini, tidak dikenakan kaffarah (bagi yang batal kerana persetubuhan) sekalipun puasa adalah batal kerana terdapat kekeliruan (yakni ia bukan sengaja ingin menyetebuhi isterinya tetapi berlaku persetubuhan itu kerana kesilapan dalam menyangka fajar telah terbit atau belum.

No comments: