السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

PESANAN NABI S.A.W.
"Sesiapa menempuh satu perjalanan untuk mencari suatu ilmu, Allah akan memudahkan untuknya jalan ke syurga" (Hadis riwayat Imam Muslim dari Abu Hurairah r.a.)

Thursday, July 23, 2009

Zakat hasil pertanian

Apa dalil wajib zakat ke atas hasil pertanian?

1. Firman Allah;

“Dan Dia lah (Allah) yang menjadikan (untuk kamu) kebun-kebun yang menjalar tanamannya dan yang tidak menjalar; dan pohon-pohon tamar (kurma) dan tanaman-tanaman yang berlainan (bentuk, rupa dan) rasanya; dan buah zaiton dan delima, yang bersamaan (warnanya atau daunnya) dan tidak bersamaan (rasanya). Makanlah dari buahnya ketika ia berbuah, dan keluarkanlah haknya (zakatnya) pada hari memetik atau menuainya; dan janganlah kamu melampau (pada apa-apa jua yang kamu makan atau belanjakan); Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampau”. (al-An’am; 141).

2. Sabda Nabi s.a.w.;

فيما سقت السماء والأنهار والعيون أو كان عثريا: العشر. وفيما يسقي بالسواني أو النضح: نصف العشر
“Tanaman yang diairi oleh hujan, sungai-sungai dan mata air atau yang mendapat air dari saliran (atau melalui akarnya) hendaklah dikeluarkan (zakatnya) sepersepuluh. Tanaman yang diairi dengan unta pengangkut air atau dengan penimba, hendaklah dikeluarkan seperduapuluh” (Riwayat Imam Ahmad, al-Bukhari, Abu Daud, at-Tirmizi dan Ibnu Majah dari Abdullah bin ‘Amru r.a.. Lihat; al-Jami’ as-Saghier, hadis no. 5969).

Apakah jenis tanaman yang dikenakan zakat pertanian?

Terdapat khilaf di kalangan ulamak-ulamak silam dalam menentukan jenis-jenis tanaman yang wajib dikeluarkan zakat ke atas hasilnya;

1. Menurut mazhab Syafi’ie dan Malik; jenis pertanian yang dikenakan zakat ialah yang menghasilkan makanan yang mengenyangkan, tahan disimpan lama, dijadikan makanan lazim (yakni asasi) dan bukan bukan makanan selingan (seperti buah-buahan, ulam-ulaman) dan bukan makanan gantian ketika kesempitan (seperti ubi-kayu dan sebagainya). Lebih khusus dalam mazhab Syafi’ie, zakat hasil pertanian terdiri dari dua kategori sahaja, iaitu;
i) Biji-bijian yang dijadikan makanan asasi seperti gandum, beras dsbnya.
ii) Buah-buahan; hanya dua sahaja iaitu buah tamar dan kismis.

2. Menurut Imam Ahmad; hasil tanaman yang dikenakan zakat memiliki ciri-ciri berikut;
i) Boleh dikeringkan
ii) Boleh disukat atau digantangkan
iii) Diusahakan oleh manusia.

3. Menurut Abu Hanifah; zakat dikenakan ke atas semua hasil tanaman yang ditanam oleh manusia dan dijaga oleh mereka sama ada sayur-sayuran, buah-buahan, biji-bijian dan sebagainya sama ada dijadikan makanan asasi atau makanan selingan. Pandangan inilah yang ditarjihkan oleh ulamak-ulamak semasa hari ini –termasuk Dr. Yuduf al-Qaradhawi dalam Fiqh az-Zakahnya-. Maka dengan memakai pandangan ini, bukan hanya gandum dan padi sahaja yang wajib dizakati –sebagaimana biasa diketahui-, tetapi pisang, nenas, getah, tebu, lada hitam, koko, kelapa sawit dan sebagainya, semuanya wajib dikeluarkan zakat jika memenuhi syarat yang ditetapkan.

Apakah syarat-syarat wajib zakat pertanian?

1. Dimiliki dengan sempurna
2. Cukup nisab yang akan dijelaskan nanti.
3. Hasil dari tanaman yang ditanam oleh manusia, bukan yang tumbuh sendiri.

Berapakah nisab zakat pertanian?

Nisab zakat pertanian ialah 5 Ausuq (الأوسق) berdasarkan hadis Nabi s.a.w.;

ليس فيما دون خمسة أوسق صدقة
“Tidak wajib zakat bagi hasil pertanian yang kurang lima Ausuq” (Riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim dari Abi Sa’id al-Khudri r.a.).

Kalimah al-Ausuq adalah jamak kepada al-Wisq atau al-Wasq. Satu al-Wisq menyamai 60 Sha’ (gantang). Maka 5 Wisq ialah 300 gantang.[1]

Kadar 5 Ausuq tersebut mengikut ukuran semasa (dalam kilogram) menyamai 653 kg. Itu adalah ukuran bagi gandum.[2] Adapun bagi padi, kadar 5 Ausuq menyamai 400 Gantang Malaysia (mengikut ukuran beras), menyamai 1600 kati[3] atau 960 kilogram.[4]

Menurut ulamak; penetapan kadar nisab 5 Ausuq itu adalah bagi hasil tanaman yang telah dibersihkan (yakni dibuang kulit dan jeraminya). Adapun hasil tanaman yang belum dibersihkan, nisabnya adalah dengan diganda dua iaitu 10 Ausuq.[5] Jadi, berdasarkan ketetapan ini, nisab zakat padi (sebelum menjadi beras) ialah 10 Ausuq, menyamai 800 kati atau 1920 kilogram. Adapun setelah menjadi beras (yakni dibuang kulit), nisabnya adalah sebagaimana tadi iaitu 5 Ausuq, menyamai 400 kati atau 960 kilogram.[6]

Bagaimana dengan hasil pertanian yang tidak mengunakan sukatan atau timbangan? Apa cara untuk mengukur nisabnya?

Bagi hasil tanaman yang tidak disukat dengan gantang atau tidak dapat ditimbang, nisabnya ialah nilai semasa 5 Ausuq hasil tanaman asasi setempat. Di Malaysia, tanaman asasi setempat ialah padi. Maka nilai nisab padi disesuaikan bagi hasil pertanian yang lain. Contohnya; apabila dijual padi sebanyak 5 Ausuq (400 kati atau 960 kilogram), berapa nilainya? Maka nilai itu disesuaikan untuk menjadi nisab bagi hasil pertanian yang bukan dari jenis bersukat seperti kapas, getah, koko, kelapa sawit, dan sebagainya. Untuk lebih terperinci, tanggungjawab menilai ini terpikul atas ulamak setempat.[7]

Adakah disyaratkan haul ke atas zakat pertanian?

Tidak disyaratkan haul (genap tempoh setahun) bagi zakat pertanian, akan tetapi ia hendaklah dikeluarkan sebaik saja hasil dituai. Ini kerana perintah Allah dalam ayat yang menjadi dalil bagi zakat hasil pertanian tadi; “..dan keluarkanlah haknya (zakatnya) pada hari memetik atau menuainya” (al-An’am; 141).

Adakah zakat dikeluarkan selepas ditolak kos atau sebelum?

Para ulamak berbeza pandangan;[8]

1. Jumhur/majoriti ulama’ salaf (termasuk imam-imam mazhab) berpandangan; zakat dikeluarkan dari keseluruhan hasil tanaman tanpa ditolak terlebih dahulu kos tersebut. Dalam pengertian lain, kos atau biaya pengeluaran ditanggung oleh penanam dan tidak boleh ditolak dari hasil tanaman sebelum dikeluarkan zakat.

2. Menurut Imam ‘Atha’, kos penanaman atau pengelolaan tanaman hendaklah ditolak sebelum dikeluarkan zakat. Majoriti ulamak semasa hari ini –seperti Dr. Yusuf al-Qaradhawi, Dr. Muhammad Kamal ‘Atiyah dan sebagainya- cenderung kepada pandangan ini walaupun menyalahi jumhur ulamak. Berdasarkan pandangan ini, kos atau biaya pengurusan dan pengolalaan pertanian seperti benih, baja, racun serangga, pengangkutan, upah pekerja, upah mesin tuai dan sebagainya, perlu ditolak terlebih dahulu sebelum dikeluarkan zakat. Pandangan inilah yang lebih memudahkan para petani.[9]

Adakah kos sara hidup semusim boleh ditolak sebelum mengeluarkan zakat?

Jumhur ulama’ berpendapat belanja nafkah seharian tidak boleh dijadikan kos pengeluaran pertanian (yakni tidak boleh ditolak sebelum pengeluaran zakat). Ini sebagai melaksanakan arahan Allah dalam firmanNya; “Dan berilah haknya pada hari ia dituai”. (al-An’am: 141).[10]

Jika seorang petani mempunyai hutang, adakah ditolak jumlah hutang sebelum dikeluarkan zakat?

Para ulamak berbeza pandangan;

1. Menurut jumhur ulamak (merangkumi Imam Abu Hanifah, Syafi’ie dan Imam Malik); hasil tanaman tidak boleh ditolak hutang sebelum dikeluarkan zakat.

2. Sebahagian ulamak (antaranya Imam Ahmad) berpandangan; boleh ditolak hutang sebelum dikeluarkan zakat. Jika setelah ditolak, hasil yang tidak tinggal tidak mencukupi nisab, gugurlah kewajipan zakat. Pandangan ini yang dipersetujui oleh ulamak-ulamak semasa hari ini termasuk Dr. Yusuf al-Qaradhawi. Pandangan ini merupakan pendapat Ibnu ‘Abbas dan Ibnu ‘Umar. Namun mereka berikhtilaf; adakah hutang yang boleh ditolak itu hutang yang ada kaitan dengan pertanian sahaja atau hutang-hutang yang lain juga;

a) Pandangan Ibnu Umar r.a.; ditolak semua hutang sama ada yang dibelanjakan untuk menguruskan tanaman atau untuk belanja diri dan keluarga.
b) Pandangan Ibnu Abbas r.a.; ditolak hutang bagi kos pengeluaran hasil tanaman sahaja.

Dr. Atiyah Khamis mentarjihkan pandangan Ibnu ‘Abbas di mana beliau menegaskan dalam bukunya “Perakaunan Zakat”; Hutang tidak boleh ditolak dari hasil pertanian kecuali hutang yang berkait dengan pengeluaran pertanian (yakni keperluan bagi belanja mengerjakan tanah pertanian).[11]

Tanah yang diusahakan oleh orang lain; siapa yang wajib keluarkan zakat, tuan tanah atau pengusaha?

Persoalan ini tertakluk kepada keadaan-keadaan berikut;

1. Jika pemilik tanah memberikan tanahnya untuk diusahakan oleh orang lain tanpa apa-apa bayaran sewa, maka dalam hal ini tidak diragukan lagi bahawa zakat tertanggung atas pengusaha tanah.

2. Jika pemilik tanah dan pengusaha bersyarikat dalam mengusahakan tanah itu; pemilik tanah menawarkan tanahnya dan pengusaha mengusahakan tanah itu dengan hasil dibahagikan ikut persetujuan bersama –iaitu mengikut peraturan Mudharabah-, maka dalam hal ini setiap pihak dari pemilik dan pengusaha wajib membayar zakat bagi bahagian masing-masing apabila mencapai nisabnya sama ada secara sendiri atau dengan dicampur dengan hasil pertaniannya yang lain.

3. Jika tuan tanah menyewa tanahnya kepada pengusaha, maka zakat hasil pertanian tertanggung ke atas pengusaha kerana hasil pertanian adalah miliknya. Adapun tuan tanah, oleh kerana ia mendapat bayaran sewa, maka dikenakan ke atasnya zakat ke atas hasil sewaannya. Kesimpulannya, pengusaha dikenakan zakat hasil pertanian, sementara tuan tanah dikenakan zakat dari hasil sewaan.[12]

Berapakah kadar zakat yang wajib dikeluarkan bagi hasil pertanian?

Kadar zakat yang wajib dikeluarkan telah ditetapkan oleh Nabi s.a.w. dalam sabdanya;

فيما سقت السماء والأنهار والعيون أو كان عثريا: العشر. وفيما يسقي بالسواني أو النضح: نصف العشر
“Tanaman yang diairi oleh hujan, sungai-sungai dan mata air atau yang mendapat air dari saliran (atau melalui akarnya) hendaklah dikeluarkan (zakatnya) sepersepuluh. Tanaman yang diairi dengan unta pengangkut air atau dengan penimba, hendaklah dikeluarkan seperduapuluh” (Riwayat Imam Ahmad, al-Bukhari, Abu Daud, at-Tirmizi dan Ibnu Majah dari Abdullah bin ‘Amru r.a.. Lihat; al-Jami’ as-Saghier, hadis no. 5969).

Merujuk kepada hadis ini, kadar zakat hasil pertanian ialah;

a) Dikeluarkan dengan kadar 1/10 atau 10% dari hasil tanaman; iaitu jika tanaman diairi dari sumber alam sepenuhnya seperti hujan, parit, sungai dan sebagainya.

b) Dikeluarkan dengan kadar 1/20 atau 5% dari hasil tanaman; iaitu jika ia diairi sepenuhnya dengan menggunakan tenaga manusia, binatang atau alat.

Bagaimana jika tanaman diairi bercampur-campur iaitu ada masanya dengan sumber alam dan ada masanya terpaksa dengan tenaga manusia, binatang atau alat (kerana air dari sumber alam tidak mencukupi)? Dikeluarkan dengan kadar 7.5% iaitu tengah-tengah antara dua kadar di atas. Ketetapan ini menurut Imam Ibnu Qudamah dalam kitabnya al-Mughni tiada khilaf di kalangan ulamak. Selain itu, kadar 7.5% juga dipakai jika tanaman yang sama sebahagiannya diairi dengan sumber air alam dan sebahagian lagi terpaksa diairi dengan tenaga.[13]

Apakah cara pengiraan zakat hasil pertanian?

Langkah 1 : Tentukan nilai kasar hasil tanaman yang diperolehi (dalam gantang atau kilogram)

Langkah 2 : Tolak kos/biaya atau tanggungan yang berkaitan iaitu;

· - Kos penanaman atau pengelolaan tanaman (kecuali biaya/kos pengairan)
· - Bayaran sewa
· - Cukai tanah
· - Hutang berkait dengan penanaman atau pengelolaan tanaman

Langkah 3 : Setelah ditolak kos dan tanggungan di atas, pastikan adakah baki yang tinggal mencukupi nisab atau tidak iaitu 400 gantang atau 960kg.

Langkah 4 : Jika mencukupi nisab, maka hendaklah dikeluarkan zakat; 10% atau 5% atau 7.5% bergantung kepada syarat yang disebutkan tadi.

* Zakat boleh dikeluarkan dengan hasil tanaman atau dengan wang mengikut harga semasa hasil tanaman itu.

Nota hujung;

[1] Syarah Soheh Muslim, Imam an-Nawawi, Kitab az-Zakah.
[2] Pengiraan yang dibuat oleh Dr. Yusuf al-Qaradhawi dalam Fiqh Zakahnya. (Lihat; Dr. Asy-Syabbani, hlm. 47).
[3]Kerana satu gantang dianggarkan menyamai 4 kati. (Lihat; Zakat Pertanian; Sistem dan Perlaksanaannya, Mujaini Tarimin, hlm. 40)
[4]Menurut Zuhdi; menyamai 1000 kilogram. (Pengurusan Zakat. Hlm. 258)
[5] Fiqh az-Zakah Fi al-Mal Wa al-Badn, Syeikh Abd Razzaq Nasir Muhammad, hlm. 50.
[6] Zakat Pertanian; Sistem dan Perlaksanaannya, Mujaini Tarimin, hlm. 103.
[7] Pengurusan Zakat, hlm. 257-258, Kaedah Agihan Zakat Harta, hlm. 249, Zakat Pertanian; Sistem dan Perlaksanaannya, hlm. 44.
[8] Lihat Dr. Zuhaili, jil. 2, hlm. 81 dan 862, Lihat juga; Zaidan, jil…., al-Fiqh al-Wadhih, jil. 1, hlm. 491, Fiqh az-Zakah (Syeikh Abdur-Razzaq), hlm. 52.
[9] Perakaunan Zakat, hlm. 28, Dalil az-Zakah, hlm. 13. Lihat juga; Kaifa Tuqaddiru Wa Tuaddi Zakata Amwalik, hlm. 53.
[10] Perakaunan Zakat, hlm. 28, Dalil az-Zakah, hlm. 13. Lihat juga; Kaifa Tuqaddiru Wa Tuaddi Zakata Amwalik, hlm. 53.
[11] Halaman 32.
[12] Fiqh az-Zakah (al-Qaradhawi), hlm. 429.
(Menurut Dr. Muhammad Kamal ‘Athiyah; Tuan tanah yang menyewakan tanahnya dengan bayaran sewa, maka ia dikenakan zakat al-Mustaghallat (iaitu zakat hasil dari pelaburan asset tetap seperti hasil dari rumah yang disewa, tanah yang disewa dan sebagainya). Kadarnya ialah 10% jika dipungut dari hasil pendapatan bersih (yakni yang telah ditolak kos/biaya yang berkaitan) dan 5% jika dipungut dari hasil pendapatan kasar (yang belum ditolak biaya atau tanggungan berkaitan). Nisabnya ialah 85 gram emas iaitu dikiaskan dengan zakat hasil perniagaan; Dalil az-Zakah, hlm. 13 dan 18).
[13] Dr. Asy-Syabbani, hlm. 51.

4 comments:

anamukmin said...

assalamualaikum ustaz
sy nk mnta izin ustaz untuk terbitkan kembali terbitan ustaz untuk majalah surau yg kami bina
sempena bulan ramadhan yg akan mendatang ni
untuk makluman ustaz majalah ini adalah terbitan mingguan dan merupakan hadiah saguhati bagi penduduk kampung dan ianya sma skali tidak melibatkan membuat keuntungan.
tujuan murni kami adalah untuk memberi makluman kepada penduduk kampung yang masih tidak terdedah dengan teknolgi yg sedia ada.
selain itu, sy ingin minta izin untuk turut menerbitkan dalam blog sy untuk tatapan pengunjung. ini laman blog sy http://anamukmin3.blogspot.com
keprihatinan ustaz sy ucapkan terima kasih

Zul Kahar said...

JEMPUTAN MAKAN FREE – REZEKI DARI LANGIT

'Kami tidak mengutus seorang rasulpun melainkan dengan bahasa kaumnya supaya ia dapat memberi penjelasan dengan terang kepada mereka. Maka Allah menyesatkan siapa yang Dia kehendaki, dan memberi petunjuk kepada siapa yang Dia kehendaki. Dan Dia-lah Tuhan Yang Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana.'
(AL QURAN – Ibrahim: 4)

'Dan sekiranya mereka Kami binasakan dengan suatu azab sebelum Al Quran itu diturunkan, tentulah mereka berkata: "Ya Tuhan kami, mengapa tidak Engkau utus seorang Rasul kepada kami, lalu kami mengikuti ayat-ayat Engkau sebelum kami menjadi hina dan rendah”.' (AL QURAN - Ta Ha: 134)

‘Hai ahli kitab, sesungguhnya telah datang kepada kamu rasul Kami, menjelaskan syariat Kami kepadamu ketika terputus pengiriman rasul-rasul, agar kamu tidak mengatakan: “tidak datang kepada kami baik seorang pembawa berita gembira, maupun seorang pemberi peringatan”. Sesungguhnya telah datang kepadamu pembawa berita gembira dan pemberi peringatan. Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu’ (AL QURAN – Al Maidah: 19)

Kepada yang faham dengan jelas Al Quran dalam bahasa Melayu di atas maka anda secara automatiknya telah tersabit dengan rasul yang diutuskan Allah kepada anda kaum Melayu iaitu rasul Melayu di;

http://messengerofgodtoday.blogspot.com

Al Quran adalah rezeki dari langit yang diturunkan Tuhan. Maka kami hanya menyediakan hidangan rezeki yang diturunkan kepada kami in 'Local Malaysian Style', free of charge (FOC).

Hidangan yang kami sediakan adalah fresh sepanjang masa, segar, baru dan bukan bangkai, darah mahupun babi dan juga bukan yang disembelih selain nama Allah, serta di jamin halal di sisi Tuhan.

Blog kami adalah terbuka dan sentiasa terbuka (24hrs) bagi mereka yang fakir, yang miskin, yang kelaparan dan yang dalam perjalanan untuk mendapatkan makanan di dalamnya yang boleh dimakan bersama-sama, yang tak habis-habis dan yang mengenyangkan yang boleh membawa kepada kepuasan hati.

Linda Majidi said...

salam ustaz,

Saya mohon untuk memetik artikel di dalam blog ustaz untuk saya paparkan di laman web kami www.dunyahalal.com

sekiranya ada sebarang pertanyaan, ustaz boleh hubungi saya di 012-9690144

Zulham Akbar said...

izin share ustadz untuk bahan presentasi kampus