السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

PESANAN NABI S.A.W.
"Sesiapa menempuh satu perjalanan untuk mencari suatu ilmu, Allah akan memudahkan untuknya jalan ke syurga" (Hadis riwayat Imam Muslim dari Abu Hurairah r.a.)

Saturday, June 14, 2008

BERSUCI (WUDHUK)

Apakah hukum mengambil wudhuk?

Wudhuk adalah wajib setiap kali hendak mengerjakan solat termasuklah solat jenazah. Tidak sah solat tanpa wudhuk. Abu Hurairah r.a. menceritakan bahawa Nabi s.a.w. telah bersabda; “Allah tidak menerima solat seseorang dari kamu jika ia berhadas sehinggalah ia mengambil wudhu’” (Riwayat Imam Bukhari, at-Tirmizi dan Ahmad).

Selain untuk mengerjakan solat, wudhuk juga diwajibkan untuk melakukan perkara berikut;
1. Melakukan sujud; sama ada sujud tilawah atau sujud syukur (iaitu mengikut jumhur ulamak. Adapun menurut Imam Ibnu Hazim; tidak disyaratkan wudhuk untuk melakukan sujud, yakni harus sujud tanpa wudhuk.
2. Mengerjakan Tawaf (mengikut jumhur ulamak. Menurut mazhab Hanafi, tidak disyaratkan wudhu, yakni; sah tawaf tanpa wudhuk).
3. Memegang/ menyentuh, membawa atau memikul mushaf al-Quran (iaitu mengikut pandangan jumhur ulamak. Ada ulamak tidak mewajibkannya, antaranya Imam Ibnu Hazm, Imam Ibnu Taimiyyah dan beberapa lagi).
4. Menjadi khatib untuk solat jumaat (pada pandangan mazhab Syafi’ie).

Apakah kelebihan wudhuk?

Nabi s.a.w. bersabda; “Sesiapa mengambil wudhuk, lalu ia memperelokkan wudhuknya (yakni mengambil wudhuk dengan sempurna), akan gugurlah dosa-dosa dari tubuhnya termasuklah dosa dari celah-celah kukunya” (Riwayat Imam Muslim dari Usman bin ‘Affan r.a.).

Apakah syarat-syarat sah wudhuk?

1. Hendaklah air yang digunakan untuk mengambil wudhuk adalah air yang sah digunakan untuk bersuci iaitu air mutlak (rujuk penjelasan tentang air mutlak dalam tajuk yang lalu).

2. Tidak ada penghalang yang menghalang sampainya air ke anggota seperti cat, varnis dan sebagainya. Tidak sah wudhuk jika pada anggota wudhuk terdapat bahan yang menghalang air dari mengenai kulit atau rambut. Wanita yang mengecat kukunya, wajib menaggalkannya sebelum mengambil wudhuk. Jika tidak, wudhuknya tidak sah.

3. Tidak melakukan perkara-perkara yang membatalkan wudhuk ketika sedang mengambil wudhuk seperti kentut atau sebagainya. Jika seorang terkentut ketika sedang mengambil wudhuk, wajib ia mengulangi semula wudhuknya dari awal. Namun dikecualikan syarat ini bagi orang-orang yang berkeuzuran seperti wanita yang istihadhah, orang yang menghadapi sulasul-baul (kencing tak putus) dan orang yang tidak terkawal kentutnya. Seorang yang menghadapi sulasul-baul sebagai contohnya, jika sedang mengambil wudhuk air kencing menitis keluar dari kemaluannya, tidak perlu ia mengulangi wudhuknya kerana ia berkeuzuran.

4. Telah masuk waktu solat. Syarat ini khusus bagi orang yang berkeuzuran seperti wanita yang istihadhah, orang yang menghadapi sulasul-baul (kencing tak putus) dan orang yang sentiasa terkentut tadi. Mereka ini tidak harus mengambil wudhuk untuk menunaikan solat fardhu melainkan setelah masuk waktu kerana toharah mereka adalah toharah dharurat (terpaksa), maka tidak harus sebelum tibanya waktu perlu (وقت الحاجة).

Apakah perbuatan-perbuatan rukun semasa mengambil wudhuk?

Para ulamak berbeza pandangan dalam menghitung perbuatan-perbuatan yang menjadi rukun dalam wudhuk. Ada mazhab menyatakan rukun wudhuk ada enam, ada yang menyatakannya tujuh dan ada yang empat sahaja. Namun mereka tidak berbeza pada empat perbuatan iaitu;

1. Membasuh muka
2. Membasuh dua tangan hingga siku
3. Menyapu kepala
4. Membasuh kaki hingga buku lali

Keempat-empat perbuatan di atas disepakati oleh sekelian ulamak sebagai rukun wudhuk iaitu wajib dilakukan semasa mengambil wudhuk. Ini kerana keempat-empat perbuatan ini terkandung dalam firman Allah tentang wudhuk (yang bermaksud); “Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan sembahyang (padahal kamu berhadas kecil), maka ambillah wudhuk, iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku, dan sapulah sebahagian dari kepala kamu, dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali…”. (Surah al-Maidah, ayat 6).

Selain dari empat di atas, perbuatan-perbuatan lain yang menurut sebahagian ulamak di anggap rukun ialah;

a) Niat; niat bermaksud mendetikkan di dalam hati keinginan untuk melakukan sesuatu amalan kerana Allah Taala. Mengikut pandangan Imam Syafiie dan Imam Ahmad, niat adalah wajib semasa mengambil wudhuk. Bagi mazhab Syafi’ie, niat mengambil wudhuk wajib dihadirkan ketika mula membasuh anggota wudhuk yang wajib (iaitu muka). Bagi mazhab Imam Ahmad pula, harus berniat sebelum memulakan wudhuk. Imam Abu Hanifah berpandangan; niat adalah sunat sahaja, tidak wajib.

2. Membaca Bismillah; menurut Imam Ahmad, membaca Bismillah adalah wajib semasa mengambil wudhuk. Adapun ulamak-ulamak yang lain –termasuk mazhab Syafi’ie- mereka mensunatkannya sahaja.

3. Muwalat; iaitu membasuh anggota demi anggota tanpa diselangi di antaranya dengan berhenti yang lama, yakni bersegera membasuh anggota yang lain sebelum kering air pada anggota sebelumnya. Muwalat ini adalah wajib pada pandangan mazhab Imam Malik dan Imam Ahmad. Adapun pada pandangan mazhab Imam Syafi’ie, muwalat ini disunatkan sahaja.

4. Tadlik; iaitu menggosok dengan melalukan tangan ke atas anggota-anggota wudhuk termasuklah menyelati (menggosok) celah-celah janggut dan celah-celah jari tangan dan kaki. Tadlik ini adalah wajib pada pandangan Imam Malik. Pada pandangan mazhab yang lain, ia sunat sahaja kecuali jika dikhuatiri tidak sampai air tanpa melakukannya, maka barulah wajib dilakukan.

5. Berkumur dan membasuh hidung; Berkumur dan membasuh hidung adalah wajib mengikut pandangan ulamak-ulamak mazhab Imam Ahmad kerana kedua-duanya termasuk dalam kawasan muka di sisi mereka.

6. Menyapu telinga; ia adalah wajib pada pandangan mazhab Imam Ahmad kerana ia termasuk dalam kawasan kepala di sisi mereka.

7. Tertib; iaitu membasuh mengikut urutan yang ditetapkan bermula dengan niat, kemudian membasuh muka, seterusnya membasuh tanggan hingga siku, menyapu kepala dan diakhiri dengan membasuh kaki iaitu tanpa mendahulukan yang kemudian atau mengkemudiankan yang dahulu. Tertib ini adalah wajib atau rukun pada pandangan Imam Syafi’ie.

Apakah perbuatan-perbuatan lain yang disyari’atkan semasa mengambil wudhuk?

Selain dari perbuatan-perbuatan rukun di atas, perbuatan-perbuatan lain yang disyari’atkan (yakni yang disuruh supaya dilakukan walaupun atas nama sunat) semasa mengambil wudhuk ialah;
1. Menggosok gigi (bersiwak) sebelum mula mengambil wudhuk.
2. Membasuh kedua tangan hingga ke pergelangannya
3. Mendahulukan anggota kanan dari kiri
7. Menyapu keseluruhan kepala
8. Mengulangi basuhan tiga kali (kecuali kepala)
9. Menjimatkan air semasa mengambil wudhuk
10. Membasuh anggota wudhuk melebihi sedikit dari had wajib.
11. Membaca doa selepas selesai mengambil wudhuk.
12. Menunaikan solat dua rakaat selepas mengambil wudhuk.

Apakah hadis-hadis yang menjadi rujukan kepada sifat wudhuk Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam-?

Antara hadis yang menjadi rujukan tentang sifat wudhuk Nabi ialah;

Pertama;

Abdullah bin Zaid r.a. tatkala menceritakan cara Nabi s.a.w. mengambil wudhuk, beliau meminta satu bekas air. Kemudian beliau menuangkan air dari bekas itu ke atas dua tangannya, lalu membasuh kedua-dua tangannya itu tiga kali. Kemudian ia mencelup tangannya ke dalam bekas air itu, lalu berkumur, menghisap air ke dalam hidung dan menghamburnya sebanyak tiga kali dengan tiga cebukan tangan. Kemudian ia mencelupkan lagi tangannya ke dalam air, lalu membasuh mukanya tiga kali. Kemudian mencelupkan lagi tangannya, lalu membasuh kedua-dua tangannya hingga ke siku sebanyak dua kali. Kemudian ia mencelup dua tangannya, lalu menyapu dengan kedua-dua tangannya itu akan kepalanya iaitu dengan meletakkan kedua-dua tangannya di hadapan dan menolaknya ke belakang sebanyak sekali sahaja. Kemudian ia membasuh kedua-dua kakinya”. (Riwayat Imam Bukhari, Muslim, Malik, Abu Daud, at-Tirmizi dan an-Nasai)

Kedua;

Humran menceritakan bahawa ia melihat ‘Usman bin ‘Affan r.a. meminta sebekas air untuk berwudhuk, lalu ia menuang air ke atas kedua-dua tangannya dan membasuh kedua-dua tangannya itu tiga kali. Kemudian ia mencelup tangan kanannya ke dalam air wudhuk itu, kemudian ia berkumur, menyedut air ke hidung dan menghamburnya. Kemudian ia membasuh mukanya sebanyak tiga kali dan membasuh kedua tangannya hingga ke dua siku tiga kali juga. Kemudian ia menyapu kepalanya. Kemudian ia membasuh kedua-dua kakinya tiga kali. Kemudian (setelah selesai mengambil wudhuk) ia berkata; ‘Aku telah melihat Nabi s.a.w. mengambil wudhuk seumpama wudhuk aku ini dan baginda bersabda; ‘Sesiapa mengambil wudhuk seumpama wudhuk aku ini, kemudian ia mengerjakan solat dua rakaat di mana dalam solat dua rakaat itu dia tidak berkata-kata kepada dirinya (dengan sesuatu dari urusan duniawi), nescaya Allah akan mengurniakan keampunan untuknya terhadap apa yang telah lalu dari dosa-dosanya”. (Riwayat Imam Bukhari, Muslim, Abu Daud, an-Nasai dan ad-Darimi)

Ketiga

Ibnu ‘Abbas r.a. menceritakan; “Rasulullah s.a.w. mengambil wudhuk di mana baginda mencebuk satu cebukan dengan tangan lalu berkumur dan berstinsyaq (yakni membasuh hidung), kemudian baginda mencebuk satu cebukan lagi lalu membasuh muka, kemudian mencebuk satu cebukan lagi lalu membasuh tangan kanannya (hingga ke siku), kemudian mencebuk satu cebukan lagi lalu membasuh tangan kirinya (hingga ke siku), kemudian baginda menyapu kepalanya dan dua telinganya; telinga dalam dengan kedua jari telunjuknya dan telinga luar dengan dua ibu jarinya, kemudian baginda mencebuk satu cebukan lagi lalu membasuh kaki kanannya, kemudian mencebuk satu cebukan lagi lalu membasuh kaki kirinya”. (Riwayat Imam an-Nasai dan at-Tirmizi. Menurut Imam at-Tirmizi; hadis ini hasan soheh)

Keempat

Ibnu ‘Abbas r.a. menceritakan; ‘Sesungguhnya Nabi s.a.w. mengambil wudhuk sekali sekali’ (Riwayat al-Hakim, at-Tirmizi dan Ahmad. Menurut Imam at-Tirmizi; hadis yang serupa diriwayatkan juga dari Umar, Jabir, Buraidah, Abi Rafi’ dan Ibnul-Fakih. Namun hadis dari Ibnu ‘Abbas adalah paling baik dan paling soheh. (Sunan at-Tirmizi, abwab at-toharah)).

Abdullah bin Zaid r.a. menceritakan; “Sesungguhnya Nabi s.a.w. mengambil wudhuk dua dua kali”. (Riwayat Imam Bukhari dan Ahmad) Saidina ‘Usman r.a menceritakan; “Sesungguhnya Nabi s.a.w. mengambil wudhuk tiga-tiga kali”. (Riwayat Imam Muslim dan Ahmad)

‘Amru bin Syu’aib meriwayatkan dari bapanya (Syu’aib bin ‘Abdullah) yang meriwayatkan dari datuknya (iaitu ‘Abdullah bin ‘Amru bin al-‘As r.a.), menceritakan; “Seorang ‘Arabi (Arab pendalaman) telah datang kepada Rasulullah s.a.w. bertanyakan tentang wudhuk. Maka Nabi s.a.w. memperlihatkan kepadanya (cara berwudhuk) tiga-tiga kali. Kemudian baginda bersabda; ‘Inilah cara sepatutnya mengambil wudhuk. Sesiapa yang menambah (dari bilangan tersebut) sesungguhnya ia melakukan kesalahan, melampau dan berlaku zalim”.
(Riwayat Imam Ahmad, an-Nasai, Ibnu Majah, Abu Daud dan Ibnu Khuzaimah. Menurut al-Hafidz Ibnu Hajar; hadis ini telah diriwayatkan dari jalan-jalan periwayatan yang soheh. Ia telah disahkan oleh Ibnu Khuzaimah dan lainnya. (Lihat; Nailul-Autar, Kitab at-Toharah, bab al-wudhu’ marratan au marratain au tsalatsan…))

Kelima

Abu Hurairah r.a. menceritakan; Rasulullah s.a.w. telah bersabda; “Apabila kamu memakai pakaian dan apabila kamu mengambil wudhuk, maka mulailah dengan sebelah kanan kamu”. (Riwayat Imam Abu Daud dan at-Tirmizi dengan sanad yang soheh)

Dari Aisyah r.a. menceritakan; “Rasulullah s.a.w. menyukai bermula dengan sebelah kanan dalam semua urusannya; ketika memakai dua kasut/sepatu, mensisir rambut dan bersuci”. (Riwayat Imam Bukhari, Muslim dan Ahmad)

Bagaimana cara berniat untuk mengambil wudhuk?

Iaitu dengan menghadirkan di dalam hati tatkala memulakan wudhuk (iaitu semasa membaca Bismillah atau semasa mula membasuh tangan) niat untuk mengambil wudhuk atau niat untuk menghilangkan hadas kecil. Yang dikatakan niat ialah; gerak hati kita tatkala kita melakukan sesuatu. Niat yang wajib kita hadirkan ialah di dalam hati. Adapun melafazkan dengan lidah, ia sunat sahaja di dalam mazhab Syafi’ie sendiri, tidak wajib. Malah ada ulamak yang tidak membenarkan niat dilafazkan dengan lidah kerana tidak pernah dilakukan oleh Nabi atau para sahabat.

Adakah wajib meratakan air ke seluruh anggota wudhuk?

Ya. Terdapat hadis menceritakan; “Seorang lelaki mengambil wudhuk, lalu ia membiarkan di kakinya tempat sebesar kuku (tidak dibasahi air) dan dilihat oleh Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam-. Maka baginda berkata kepadanya; “Kembali dan perelokkanlah wudhuk kamu”. Maka ia pun kembali (ke tempat wudhuk untuk memperelokkan wudhuknya), kemudian ia mengerjakan solat” (Riwayat Imam Muslim dari Jabir –radhiyallahu ‘anhu-).

Menurut Imam an-Nawawi, hadis di atas menunjukkan bahawa sesiapa mengabai atau meninggalkan walaupun bahagian yang kecil dari kawasan yang wajib dibasuh ketika mengambil wudhuk, maka wudhuknya tidak sah sekalipun ia jahil. (Syarh Soheh Muslim, 3/134-135).

Bagaimana cara membasuh hidung yang sempurna?

Cara membasuh hidung yang sempurna ialah dengan menggabungkan antara Istinsyaq dan Istinsar sebagaimana dalam hadis Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam-. Al-Istinsyaq bermaksud menghisap air ke dalam hidung, sementara al-Istinsar pula ialah menghambusnya keluar. Abu Hurairah –radhiyallahu ‘anhu- menceritakan bahawa Nabi bersabda: “Apabila seseorang dari kamu mengambil wudhuk, maka masukkanlah air ke dalam hidungnya, kemudian hendaklah ia menghambuskannya”. (Riwayat Imam Bukhari, Muslim, Malik, Abu Daud, at-Tirmizi dan an-Nasai). Basuhan hidung ini sunat diulangi dua atau tiga kali juga.

Adakah berkumur dan membasuh hidung sunat dilakukan dengan satu cebukan yang sama atau bersaingan?

Sunat berkumur dan membasuh hidung dilakukan dengan cebukan yang sama. Cebukkan air dengan tangan; gunakan sebahagian untuk berkumur dan sebahagian lagi untuk membasuh hidung. Kaifiyat inilah yang dilakukan oleh Nabi. Abdullah bin Zaid –radhiyallahu ‘anhu- (seorang sahabat) tatkala menceritakan sifat wudhuk Nabi, beliau mengambil air dari bekas air, lalu berkumur, menghisap air ke dalam hidung dan menghamburnya. Beliau melakukannya sebanyak tiga kali dengan tiga cebukan tangan (yakni setiap cebukan; sebahagian untuk berkumur dan sebahagian untuk membasuh hidung). (Riwayat Imam Bukhari, Muslim, Malik, Abu Daud, at-Tirmizi dan an-Nasai)

Apakah batasan kawasan muka yang wajib dibasuh ketika mengambil wudhuk?

Had atau batasan muka yang wajib dibasuh ketika mengambil wudhuk ialah; (secara menegak) bermula dari tempat mula tumbuhnya rambut (iaitu sempadan antara muka dan kepala) hingga ke dagu dan (secara melebar) dari telinga ke telinga. Wajib diratakan air hingga meliputi seluruh kawasan tersebut. Lelaki yang berjanggut hendaklah menggosok-gosok janggutnya agar air dapat sampai ke kulit di bawahnya. Menurut Anas bin Malik –radhiyallahu ‘anhu-; “Sesungguhnya Nabi apabila mengambil wudhuk, baginda mengambil secebuk air dengan tangannya, lalu memasukkanya ke bawah dagunya, lalu menyelati (menggosok-gosok di celah-celah) janggutnya dengan air itu. Kemudian baginda bersabda; “Beginilah Tuhanku menyuruhku” (Riwayat Imam Abu Daud dan al-Hakim). Basuhan muka ini juga sunat diulang dua atau tiga kali juga.

Bagaimana cara menyapu kepala yang sempurna?

Cara yang sempurna ialah dengan meliputi keseluruhan kepala mengikut kaifiyat dalam hadis Nabi iaitu; membasahkan kedua tangan dengan air, kemudian meletaknya di bahagian depan kepala dan seterusnya menolaknya ke belakang hingga ke tengkuk. Kemudian menolak semula kedua-dua tangan itu kembali ke tempat mulanya (yakni depan kepala). Abdullah bin Zaid –radhiyallahu ‘anhu- menceritakan; “(Ketika menyapu kepala) Nabi memulakan dengan bahagian depan kepalanya (yakni dengan meletakkan kedua-dua tangannya di bahagian depan kepalanya dan) menolaknya hingga ke tengkuknya. Kemudian ia menolak semula kedua-dua tangannya hingga kembali ke tempat mulanya” (Riwayat Imam Bukhari, Muslim, Ahmad, Ibnu Majah, at-Tirmizi, an-Nasai dan Abu Daud).

Adakah menyapu telinga disunatkan dengan air yang baru atau dengan air baki sapuan kepala?

Dua telinga menurut Imam Abu Hanifah, Imam Malik dan Imam Ahmad termasuk dalam batasan kepala. Maka menurut mereka; dua telinga sunat disapu bersama dengan menyapu kepala (yakni menggunakan air yang sama untuk sapuan kepala, bukan air yang baru). Dalil mereka ialah hadis dari Abu Umamah al-Bahili –radhiyallahu ‘anhu- yang menceritakan bahawa Nabi bersabda; “Dua telinga itu termasuk dari kepala” (Riwayat Imam Ahmad, Abu Daud, at-Tirmizi dan Ibnu Majah). Namun menurut Imam Syafi’ie, dua telinga tidak termasuk dalam kepala. Oleh itu, ia hendaklah disapu dengan air yang baru, bukan dengan air yang sama untuk sapuan kepala. Dalil beliau ialah hadis Abdullah bin Zaid al-Ansari yang menceritakan; “Aku telah melihat Nabi mengambil wudhuk di mana baginda mengambil air baru untuk menyapu dua telinganya, bukan air yang digunakan untuk menyapu kepalanya” (Riwayat Imam al-Hakim dan al-Baihaqi). Menurut Imam Syafi’ie, sapuan telinga juga sunat diulangi tiga kali.

Anggota-anggota wudhuk yang manakah yang sunat dilebihkan basuhannya dari had yang wajib semasa mengambil wudhuk?

Iaitulah muka, tangan hingga siku dan kaki. Tiga anggota wudhuk ini sunat dilebihkan sedikit basuhannya dari had yang wajib untuk memanjangkan nur pada anggota tersebut di akhirat kelak. Ini sebagaimana sabda Nabi; “Sesungguhnya umatku akan diseru pada hari kiamat dan mereka akan datang dengan wajah, tangan dan kaki mereka cemerlang bercahaya dari bekas wudhuk. Maka sesiapa dari kalangan kamu yang mampu untuk memanjangkan cahayanya, maka lakukanlah”. (Riwayat Muslim dari Abu Hurairah –radhiyallahu ‘anhu-). Dalam hadis yang lain, Nabi bersabda; “Perhiasan pada diri seorang mukmin (pada hari kiamat) akan sampai sehingga tempat sampai wudhuknya” (Riwayat Muslim dari Abu Hurairah –radhiyallahu ‘anhu-). Maksud hadis ialah; kelak di akhirat anggota-anggota wudhuk orang mukmin akan diberi penuh perhiasan di syurga.

Apakah hukum menggosok celah-celah jari tangan dan kaki ketika mengambil wudhuk?

Menurut Imam Malik dan al-Muzani; wajib menggosok celah-celah jari tangan dan kaki semasa mengambil wudhuk. Mereka berdalikan hadis dari Laqidh bin Shabrah –radhiyallahu ‘anhu- yang menceritakan; Aku telah bertanya kepada Rasulullah; “Ya Rasulullah! Beritahu kepadaku tentang wudhuk”. Baginda bersabda; “Sempurnakanlah wudhuk, selatilah (yakni gosoklah) di antara celah-celah jari (tangan dan kaki) dan bersungguh-sungguhlah dalam beristinsyaq (membasuh hidung) kecuali jika kamu berpuasa” (Riwayat Abu Daud dan at-Tirmizi). Begitu juga hadis dari al-Mustaurid bin Syaddad al-Fihri –radhiyallahu ‘anhu- yang menceritakan; “Aku melihat Nabi sapabila mengambil wudhuk baginda menggosok celah-celah jari kedua kakinya dengan jari kelingkingnya” Riwayat Imam Abu Daud, Tirmizi dan Ibnu Majah).

Namun menurut mazhab Syafi’ie, menggosok celah-celah jari tangan dan kaki adalah sunat sahaja. Ia tidak wajib kecuali ke atas orang yang mempunyai jari-jari kaki yang rapat-rapat di mana jika tidak digosok nescaya air tidak akan sampai ke celah-celah jari kakinya itu.

Adakah semua anggota wudhuk sunat diulangi basuhan dua atau tiga kali?

Ya, semua anggota wudhuk sunat diulangi basuhannya dua atau tiga kali kecuali sapuan kepala sahaja di mana terdapat khilaf di kalangan ulamak;

Pertama; menurut Imam Syafi’ie, menyapu kepala sama seperti anggota wudhuk yang lain iaitu sunat diulangi tiga kali. Beliau berdalilkan hadis Saidina Usman di mana beliau menceritakan; “Sesungguhnya Nabi mengambil wudhuk tiga-tiga kali” (Riwayat Imam Muslim dan Ahmad).

Kedua; menurut Imam Abu Hanifah, Imam Malik dan Ahmad; menyapu kepala disunatkan sekali sahaja, yakni tidak sunat mengulanginya dua atau tiga kali. Mereka berdalilkan hadis dari Saidina ‘Ali yang menegaskan; “Nabi menyapu kepalanya sekali sahaja” (Riwayat Imam Abu Daud, at-Tirmizi dan an-Nasai). Selain itu menurut mereka; hadis-hadis tentang sifat wudhuk semuanya menceritakan bahawa Nabi menyapu kepala sekali sahaja.

Apakah doa yang sunat dibaca apabila selesai mengambil wudhuk?

Sebaik sahaja selesai mengambil wudhuk, disunatkan membaca doa yang terdapat dalam hadis iaitu;

أَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَهَ إلاَّ اللّهُ وَأَنَّ مُحمَّداً عَبْدُ اللّهِ وَرَسُولُهُ، اللَّهُمَّ اجْعَلْنِي مِنَ التَّوَّابِيْنَ، وَاجْعَلْنِي مِنَ الْمُتَطَهِّرِينَ
“Aku bersaksi bahawa tidak ada Tuhan melainkan Allah dan bahawa Muhammad adalah hamba Allah dan RasulNya. Ya Allah! Jadikanlah aku dari kalangan orang-orang yang bertaubat dan jadikanlah aku dari kalangan orang-orang yang bersuci”.
(Berdasarkan hadis riwayat Imam Muslim dan at-Tirmizi dari Umar bin al-Khattab)

Apakah fadhilat solat sunat dua rakaat selepas wudhuk?

Sabda Nabi; “Sesiapa mengambil wudhuk dengan menyempurnakan wudhuknya, setelah itu ia lakukan solat dua rakaat dengan menumpukan hati dan wajah kepada solat dua rakaat itu, nescaya wajiblah untuknya syurga (dari Allah)”. (Riwayat Imam Abu Daud dari ‘Uqbah bin ‘Amir al-Juhani r.a.).

Adakah solat sunat wudhuk harus dilakukan bila-bila masa?

Ya, solat sunat wudhuk harus ditunaikan bila-bila masa termasuklah dalam waktu-waktu tegahan kerana ia adalah solat bersebab. Jika selepas mengambil wudhuk seseorang itu tidak menunaikan solat sunat wudhuk tetapi menunaikan solat fardhu atau solat sunat yang lain, ia masih mendapat fadhilat solat selepas wudhuk tersebut. Kedudukannya sama seperti solat sunat tahiyyatul-masjid.

Bagaimana yang dikatakan pembaziran ketika mengambil wudhuk?

Pembaziran berlaku sama ada dalam penggunaan air (yakni menggunakan air secara berlebih-lebihan) atau menambahkan bilangan basuhan melebihi kadar maksima yang disunatkan iaitu tiga kali. Rasulullah s.a.w. bersabda; “Sesiapa membasuh melebihi tiga kali sesungguhnya ia melakukan kesalahan dan melampau batas”. (Riwayat Imam Ahmad, an-Nasai, Ibnu Majah, Abu Daud dan Ibnu Khuzaimah).

Jika mengambil wudhuk melalui tadahan air paip, seelok-eloknya kecilkan bukaan paip untuk mengelak air berlebihan ketika mengambil wudhuk. Ibnu ‘Abbas r.a. menceritakan bahawa suatu hari Rasulullah s.a.w. berjalan melalui Sa’ad r.a. yang sedang mengambil wudhuk (dengan menggunakan air yang banyak). Lalu baginda berkata kepadanya; “Pembaziran apakah ini wahai Sa’ad?”. Lalu Sa’ad menjawab; “Adakah dalam menggunakan air juga terdapat pembaziran?”. Rasulullah menjawab; “Ya! Sekalipun engkau berada di tepi sungai yang mengalir airnya”. (Riwayat Imam Ahmad dan Ibnu Majah).

6 comments:

Muhammad Suhaily George bin Abdullah said...
This comment has been removed by the author.
bayuconnection said...

Assalammualaikum,

Terima Kasih kepada ustaz kerana telah meluangkan masa dan tenaga untuk membuat laman blog ini. Saya berharap saudara-saudara Islam yg lain akan mendapat manfaatnya bersama seperti saya.

Semoga Allah murahkan rezeki dan panjangkan umur ustaz utk terus berkongsi ilmu dgn kami. Terima Kasih.

Unknown said...

assalammualaikum ustaz.. mohon copy untuk assignment sy.. semoga Allah memberkati ustaz dengan ilmu yg ditulis ini..

Unknown said...

Assalamualaikum ustaz, saya ingin bertanya..Adakah 'sideburn' anggota wajib bagi wuduk? Sideburn dikira sebagai rambut (oleh itu kita tidak membasuhnya) atau menjadi wajib utk kita basuh kerana ia bermaksud anak2 rambut yg berada dlm kawasan muka? Mohon pencerahan ya ustaz, terima kasih (:

Unknown said...

Assalammualaikum. Saya ingin bertanya. Kenapa mengambil wudhu bermula dengan muka dahulu.. Knapa tidak tangan atau kepala. Terima kasih

Unknown said...

assalammualaikum ustaz.. mohon copy untuk assignment sy.. semoga Allah memberkati ustaz dengan ilmu yg ditulis ini.