السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

PESANAN NABI S.A.W.
"Sesiapa menempuh satu perjalanan untuk mencari suatu ilmu, Allah akan memudahkan untuknya jalan ke syurga" (Hadis riwayat Imam Muslim dari Abu Hurairah r.a.)

Thursday, July 9, 2009

Perwarisan secara pengambilan baki

Siapakah yang terlibat dengan cara perwarisan ini?

Iaitu;

1.Anak lelaki
2.Cucu lelaki
3.Anak perempuan
4.Cucu perempuan
5.Bapa
6.Datuk
7.Saudara lelaki seibu-sebapa
8.Saudara lelaki sebapa
9.Saudara perempuan seibu-sebapa
10.Saudara perempuan sebapa
11.Anak saudara lelaki seibu-sebapa
12.Anak saudara lelaki sebapa
13.Bapa saudara seibu-sebapa
14.Bapa saudara sebapa
15.Anak lelaki bapa saudara seibu-sebapa
16.Anak lelaki bapa saudara sebapa

Apakah istilah yang diberikan kepada mereka?

Iaitulah ‘Ashabah

Apakah pengertian lengkap ‘Ashabah?

al-‘Ashabah bermaksud; “Setiap ahli waris yang tidak mempunyai bahagian yang ditetapkan secara jelas dalam kitab Allah dan as-Sunnah di mana ia akan mengambil keseluruhan harta peninggalan jika berseorangan (yakni jika tiada waris yang lain) atau mengambil baki darinya setelah ditolak bahagian-bahagian ashabil-furudh”.

Berapa kategorikan bagi jenis perwarisan ini?

Ada tiga kategori, iaitu;

1.‘Ashabah bin-Nafs
2.‘Ashabah bil-Ghair
3.‘Ashabah ma’al-Ghair

Apa yang dimaksudkan ‘Ashabah bin-Nafs?

Iaitulah ahli-ahli waris yang menjadi ‘ashabah kerana diri mereka sendiri, bukan kerana kewujudan orang lain.

Siapakah mereka?

Mereka ialah orang-orang lelaki yang mempunyai hubungan darah dengan si mati yang tidak diselangi oleh perempuan semata-mata, sama ada hubungannya dengan si mati adalah secara langsung (yakni tanpa perantara) seperti anak dan bapa, atau dengan perantara lelaki sahaja seperti cucu lelaki dari garis anak lelaki (ابن الإبن) dan datuk dari sebelah bapa (أب الأب) atau dengan perantara lelaki dan perempuan seperti saudara lelaki seibu-sebapa (الأخ الشقيق), anak saudara lelaki seibu-sebapa (ابن الأخ الشقيق), bapa saudara seibu-sebapa (العم الشقيق) dan anak bapa saudara seibu-sebapa (ابن العم الشقيق).

Berapa pihakkah yang terkandung dalam ‘ashabah bin-nafs?

Terdapat empat pihak (جهة) yang disusun mengikut tertib keutamaan di bawah;

1. Pihak anak dan cucu (جهة البنوة); iaitu cabang-cabang si mati itu sendiri seperti anak, cucu lelaki (ابن الإبن) dan ke bawah seterusnya.

2. Pihak bapa dan datuk (الأبوة); iaitu usul-usul si mati seperti bapa, datuk (أبو الأب) dan ke atas seterusnya.

3. Pihak saudara-saudara (الأخوة); iaitu cabang-cabang bapa si mati –yang tidak bertalian dengan si mati melalui perantaraan perempuan semata-mata- seperti saudara lelaki seibu-sebapa (الأخ الشقيق), saudara lelaki sebapa (الأخ لأب), anak saudara lelaki seibu-sebapa (ابن الأخ الشقيق) dan anak saudara lelaki sebapa (ابن الأخ لأب).

4. Pihak bapa-bapa saudara (العمومة); iaitu cabang-cabang datuk si mati –yang tidak bertalian dengan si mati melalui perantaraan perempuan semata-mata- seperti bapa saudara seibu-sebapa (dengan bapa) (العم الشقيق), bapa saudara sebapa (العم لأب), anak bapa saudara seibu-sebapa (ابن العم الشقيق) dan anak bapa saudara sebapa (ابن العم لأب).

Bagaimanakan cara perwarisan kelompok ‘ashabah bin-nafs?

1. Tidak mewarisi individu dari pihak (جهة) yang terkemudian –mengikut susunan keutamaan di atas- selama mana ada individu dari pihak yang terdahulu.

2. Jika individu-individu waris berada dalam pihak (جهة) yang sama seperti bapa dan datuk (yang berada dalam jihah ubuwwah) atau anak lelaki dan cucu lelaki (yang berada dalam jihah bunuwwah) dan sebagainya, maka didahulukan orang yang lebih tinggi darjatnya (الدرجة) (yakni yang lebih hampir dengan si mati) dari yang rendah darjatnya (yakni yang lebih jauh dari si mati). Oleh itu, tidak mewarisi datuk jika ada bapa, tidak mewarisi cucu lelaki jika ada anak lelaki dan begitulah seterusnya.

3. Jika individu-individu waris sama dari sudut aspek (الجهة) mereka dan sama juga dari sudut darjat atau tingkatan (الدرجة) mereka, maka hendaklah diperhatikan pula dari satu sudut lagi iaitu kekuatan qarabah (قوة القرابة) di mana diutamakan orang yang mempunyai dua pertalian ke atas orang yang mempunyai satu pertalian sahaja. Oleh demikian, didahulukan –dalam perwarisan- saudara lelaki yang seibu-sebapa ke atas saudara lelaki yang sebapa sahaja, didahulukan bapa saudara yang seibu-sebapa ke atas bapa saudara yang sebapa sahaja dan begitulah seterusnya.

4. Jika mereka sama dari sudut aspek (الجهة), sama dari sudut darjat/tingkatan (الدرجة) dan sama juga dari sudut kekuatan qarabah (قوة القرابة), maka kesemua mereka berhak mewarisi dan bahagian mereka hendaklah dibahagi sama-rata antara mereka. Contohnya; tiga orang anak lelaki, empat saudara lelaki seibu-sebapa dan sebagainya.

Apakah yang dimaksudkan ‘ashabah bil-ghair?

Iaitulah ahli-ahli waris yang menjadi ‘ashabah bukan kerana diri mereka sendiri, tetapi kerana orang lain yang turut menjadi ‘ashabah bersama mereka.

Siapakah mereka?

Mereka ialah perempuan-perempuan yang mempunyai bahagian tertentu dalam perwarisan (yakni termasuk dalam ashabil-furudh) berubah menjadi ‘ashabah kerana kewujudan saudara lelaki mereka (yang termasuk dalam kelompok ‘ashabah bin-nafsi di atas). Lebih terperinci, mereka terdiri dari empat wanita sahaja iaitu;

1.Anak perempuan; menjadi ‘ashabah dengan kehadiran saudara lelakinya (iaitulah anak lelaki si mati)
2.Cucu perempuan; menjadi ‘ashabah dengan kehadiran saudara lelakinya (iaitu cucu lelaki si mati)
3.Saudara-saudara perempuan seibu-sebapa; menjadi ‘ashabah dengan kehadiran saudara-saudara lelaki mereka (iaitu saudara-saudara lelaki yang seibu-sebapa dengan si mati)
4.Saudara-saudara perempuan sebapa; menjadi ‘ashabah dengan kehadiran saudara-saudara mereka (iaitu saudara-saudara lelaki yang sebapa dengan si mati).

Bagaimana cara perwarisan kelompok ‘ashabah bil-ghair ini?

Mereka akan berkongsi baki atau keseluruhan harta pusaka dengan saudara-saudara lelaki mereka mengikut kaedah pembahagian; ‘bagi lelaki sekali ganda bahagian perempuan’.

Apakah yang dimaksudkan ‘ashabah ma’al-ghair?

Iaitulah ahli-ahli waris yang menjadi ‘ashabah kerana kewujudan orang lain, tetapi orang tersebut tidak turut menjadi ‘ashabah seperti mereka.

Siapakah mereka?

Mereka ialah perempuan-perempuan yang pada asalnya mempunyai bahagian yang ditetapkan Syara’ (yakni termasuk dalam kelompok ashabil-furudh) berubah menjadi ‘ashabah apabila bersama dengan perempuan lain (selain golongan mereka), namun perempuan tersebut tidak menyertai mereka sebagai ‘ashabah. Lebih jelas, mereka tertumpu kepada dua golongan sahaja dari ashabil-furudh iaitu;

1.Saudara perempuan seibu-sebapa (الأخت الشقيقة) sama ada seorang atau ramai; menjadi ‘ashabah jika ada bersama mereka –sebagai ahli waris- anak perempuan si mati atau cucu perempuannya.
2.Saudara perempuan sebapa sama ada seorang atau ramai; akan menjadi ‘ashabah jika ada bersama mereka –sebagai ahli waris- anak perempuan si mati atau cucu perempuannya.

Saudara perempuan yang seibu-sebapa atau yang sebapa sahaja, dengan kehadiran anak perempuan atau cucu perempuan bersama mereka, maka mereka akan berpindah cara perwarisan dari secara fardhi kepada secara ta’shib. Namun anak atau cucu perempuan si mati itu tetap kekal sebagai orang yang mewarisi secara fardhi (sahibu-fardhi).

Bagaimanakah cara perwarisan kelompok ‘ashabah ma’al-ghair ini?

Mereka akan mengambil hukum seumpama saudara lelaki mereka ((الأخ الشقيق) atau (الأخ لأب)) di mana mereka akan mewarisi baki setelah ditolak bahagian ashabil-furudh dan jika keseluruhan harta telah dibolot oleh bahagian ashabil-furudh, mereka tiada akan mendapat apa-apa.

No comments: