Orang yang terlupa niat pada malam hari
Niat adalah rukun penting puasa. Bagi puasa Ramadhan, niat disyaratkan supaya dilakukan pada waktu malam sebelum terbitnya fajar. Ini sebagaimana perintah Rasulullah dalam satu sabdanya; “Sesiapa yang tidak meniatkan puasa pada malam hari sebelum terbit fajar, maka tiadalah puasa baginya”.
(Riwayat Imam Daruqutni dan Baihaqi dari Aisyah r.a.)
Jika seseorang itu terlupa meniatkan puasa pada malamnya, maka puasanya pada besok hari adalah batal. Walaupun begitu, untuk hari tersebut ia tetap wajib menahan dirinya dari makan, minum dan sebagainya yang tidak harus dilakukan oleh orang yang berpuasa (sebagai denda bagi kelalaiannya).[1] Kemudian, apabila selesai bulan Ramadhan ia wajib mengqadha’ atau menggantikan puasa yang batal kerana terlupa niat itu sebelum datang bulan Ramadhan berikutnya.
Nota Kaki;
[1] Lihat Mughi al-Muhtaj, jil. 1, hlm. 590 (bah. Syarah). Selain orang yang terlupa niat, menurut Imam al-Khatib; orang yang sengaja berbuka juga wajib menahan dirinya dari makan, minum dan sebagainya pada hari tersebut sekalipun puasanya telah batal. Adapun orang yang disunatkan menahan diri sekalipun puasa tiada makna baginya –iaitulah menahan diri semata-mata untuk menghormati Ramadhan- ialah;
1. Orang kafir yang masuk Islam pada siang hari bulan Ramadhan
2. Kanak-kanak yang mencapai umur baligh pada siang hari bulan Ramadhan
3. Orang gila yang sembuh dari gilanya pada siang hari bulan Ramadhan
4. Seorang musafir (yang tidak berpuasa) yang tiba di perkampungannya ketika hari masih siang pada bulan Ramadhan (walaupun ia tidak berpuasa kerana mengambil rukhsah safar, namun oleh kerana ia telah tiba di tempat mukimnya, maka disunatkan ia menahan diri sebagai menghormati bulan Ramadhan). Jika mereka tidak mahu menahan diri (yakni ingin juga terus makan atau minum, maka janganlah makan atau minum di khayalak ramai untuk mengelak tohmahan.
5. Orang sakit yang sembuh dari sakitnya pada waktu siang hari bulan Ramadhan
6. Begitu juga, seorang musafir dan seorang sakit yang hilang keuzuran kedua merekanya (yakni keuzuran kerana safar dan keuzuran kerana sakit) sebelum mereka berdua makan namun mereka tidak berniat puasa pada malamnya, maka bagi mereka juga disunatkan menahan diri (bukan wajib).
No comments:
Post a Comment