السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

PESANAN NABI S.A.W.
"Sesiapa menempuh satu perjalanan untuk mencari suatu ilmu, Allah akan memudahkan untuknya jalan ke syurga" (Hadis riwayat Imam Muslim dari Abu Hurairah r.a.)

Thursday, September 4, 2008

QADHA PUASA, FIDYAH & KAFFARAH (7)

Perempuan hamil dan perempuan yang menyusukan anak

Perempuan yang hamil dan ibu yang menyusukan anak diharuskan berbuka puasa berdasarkan hadis Rasulullah s.a.w.; “Sesungguhnya Allah menggugurkan dari orang musafir separuh sembahyang dan menggugurkan dari perempuan hamil dan ibu yang menyusu kewajipan puasa”. (Riwayat Imam Tirmizi, Abu Daud dan lain-lain dari Anas al-Ka’bi)

Kemudian wajib atas mereka qadha’ (menggantikan) puasa yang ditinggalkan itu sebelum datang ramadhan tahun hadapannya. Adapun dalam masalah fidyah, ia bergantung kepada dua keadaan;

a) Jika sebab berbuka puasa itu kerana maslahat diri sendiri iaitu takut mudarat kepada kesihatan diri sendiri jika terus berpuasa dalam keadaan mengandung atau menyusukan anak, maka tidak wajib atas mereka fidyah. Jadi yang wajib atas mereka ialah qadha’ sahaja.

b) Jika sebab berbuka adalah kerana maslahat anak yang dikandung atau yang disusui –seperti takut gugur kandungan atau takut berkurangnya susu jika terus berpuasa -, maka di samping wajib mengqadha puasa yang ditinggalkan itu, mereka juga wajib membayar fidyah.

Menurut ulama’, dapat dikiaskan kepada masalah kedua (b) di atas; seorang yang terpaksa berbuka kerana untuk menyelematkan orang lain seperti seorang yang terpaksa berbuka untuk menyelamatkan seorang yang sedang lemas. Maka ia dikehendaki mengqadha’ puasanya dan juga membayar fidyah. (Lihat; al-Iqna’ fi halli alfazi Abi Syuja’, jil. 1, hlm. 352).

1 comment:

Nazihah Iskandar said...
This comment has been removed by the author.