السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

PESANAN NABI S.A.W.
"Sesiapa menempuh satu perjalanan untuk mencari suatu ilmu, Allah akan memudahkan untuknya jalan ke syurga" (Hadis riwayat Imam Muslim dari Abu Hurairah r.a.)

Thursday, September 4, 2008

QADHA PUASA, FIDYAH & KAFFARAH (6)

Orang yang berbuka kerana musafir

Seorang yang dalam permusafiran atau perjalanan diharuskan berbuka puasa sebagaimana yang dinyatakan dalam firman Allah (bermaksud); “…maka barang siapa di antara kamu ada yang sakit atau dalam perjalanan (lalu ia berbuka), maka (wajiblah baginya berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain….”.(al-Baqarah: 184)

Namun para ulama –khususnya dari mazhab Syafi’ie- mengikat keharusan ini dengan tiga syarat;

1. Jauh perjalanannya itu mencapai dua marhalah iaitu jarak perjalanan yang diharuskan mengqasar dan menjama’ solat. Mengikut ukuran hari ini, ia lebih kurang 88 Kilometer. Maka jika jauh perjalanan kurang dari jarak ini, tidak diharuskan berbuka puasa seperti mana tidak harus mengqasar dan menjama’kan solat.

2. Perjalanan atau pengembaraan itu bukan atas tujuan maksiat kerana jika seorang yang mengadakan perjalanan maksiat diharuskan berbuka maka ini bermakna memberi kemudahan kepadanya untuk mengerjakan maksiat.

3. Keluar dari tempat bermukimnya sebelum terbit fajar. Jika ia di waktu pagi masih berada di perkampungannya dan berpuasa, kemudian ia keluar bermusafir, maka tidak harus ia berbuka puasa pada hari tersebut.

Walau bagaimanapun, jika perjalanan tidak memberatkan di mana berpuasa tidak memayahkan, maka seafdhalnya janganlah berbuka (yakni teruskanlah berpuasa). Namun jika perjalanan memberatkan dan berpuasa menimbulkan kepayahan dan memberatkan badan, maka lebih baiklah berbuka.

Diriwayatkan dari seorang sahabat bernama Hamzah bin ‘Amru al-Aslami r.a. menceritakan bahawa ia bertanya Rasulullah s.a.w.; “Ya Rasulullah! Aku mendapati diriku mampu (ada kekuatan) untuk berpuasa ketika musafir. Maka apakah aku berdosa (jika aku enggan berbuka)?”. Jawab Rasulullah; “Ia adalah rukhsah (kelonggaran) dari Allah. Siapa mengambilnya, maka ia adalah baik. Sesiapa yang suka untuk berpuasa, tidaklah ia berdosa”. (Riwayat Imam Muslim)

Jika pada mulanya seorang musafir itu berpuasa, kemudian ia ingin berbuka, maka harus baginya kerana sebab rukhsah atau kelonggaran (iaitu safar/perjalanan) masih ada. Namun jika ia telah tiba di kampong atau tempat menetapnya dan kebetulan ia masih berpuasa, maka tidak harus lagi ia berbuka kerana sebab rukhsah (iaitu adanya perjalanan/safar) telah hilang sebaik sahaja ia tiba di kampungnya itu.

Jika ia tiba di kampong atau tempat menetapnya itu dalam keadaan tidak berpuasa, disunatkan ia menahan dirinya dari makan, minum atau sebagainya (yang menunjukkannya tidak berpuasa) pada baki hari tersebut sebagai menjaga kehormatan bulan Ramadhan di hadapan orang ramai dan juga mengelak tohmahan orang lain terhadap dirinya.

Seorang musafir yang mengambil rukhsah dalam perjalanannya iaitu ia tidak berpuasa, ia wajib menggantikan puasa yang ia tinggalkan itu di bulan yang lain sebelum datangnya Ramadhan berikutnya. Ini sebagaimana yang dituntut oleh Allah dalam ayat di atas.

No comments: