السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

PESANAN NABI S.A.W.
"Sesiapa menempuh satu perjalanan untuk mencari suatu ilmu, Allah akan memudahkan untuknya jalan ke syurga" (Hadis riwayat Imam Muslim dari Abu Hurairah r.a.)

Thursday, September 4, 2008

QADHA PUASA, FIDYAH & KAFFARAH (5)

Orang yang tidak mampu berpuasa kerana tua

Seorang yang telah mencamai umur terlalu tua dan tidak ada kekuatan lagi untuk berpuasa, ia harus berbuka dan tidak dituntut lagi mengqadha’kan puasa yang ditinggalkannya itu. Namun ia wajib membayar fidyah. Maka halnya menyamai orang sakit yang tiada harapan sembuh tadi di mana kedua-dua mereka tidak mempunyai harapan lagi pada masa hadapan untuk berpuasa, maka tidak ada guna dibebankan ke atas mereka puasa Qadha’ (yakni puasa ganti), akan tetapi cukuplah dibebankan dengan fidyah. Jadi, menurut ulama’, ayat 184, surah al-Baqarah di atas merujuk kepada ke dua-dua golongan tersebut, iaitu;

1. Orang-orang sakit yang tidak ada harapan sembuh
2. Orang-orang tua yang tidak ada daya lagi untuk berpuasa

Berkata Ibnu ‘Abbas; “Diberi rukhsah (kelonggaran) kepada orang yang telah terlalu tua (yang tidak terdaya lagi berpuasa) untuk berbuka dan (menggantinya dengan) memberi makan seorang miskin bagi setiap hari (ia tidak berpuasa) serta tidak wajib qadha’ ke atasnya”. (Riwayat Imam ad-Daruqutni dan al-Hakim)

Tambahan;

1. Di sisi ulama’-ulama’ mazhab Syafi’ie; ‘tidak harus orang sakit yang tiada harapan sembuh itu dan juga orang tua yang tiada upaya lagi untuk berpuasa mempercepatkan atau menyegerakan fidyah sebelum masuk bulan Ramadhan. Selepas terbitnya fajar pada setiap hari (di bulan Ramadhan), haruslah membayar fidyah bagi hari tersebut. Adakah harus membayarnya sebelum terbit fajar? Menurut ad-Darimi; harus. Pendapat inilah yang dikatakan benar oleh Imam an-Nawawi.

2. Di sisi ulama’ mazhab Syafi’ie, seorang yang dikuasai lapar dan dahaga yang bersangatan dan dikhuatiri membawa maut (jika tidak berbuka), maka wajib ke atasnya berbuka. Ini berdalilkan firman Allah (bermaksud); “Dan janganlah kamu membunuh dirimu; sesungguhnya Allah adalah Maha Penyayang kepadamu”. (an-Nisa’: 29)

“…dan janganlah kamu menjatuhkan dirimu sendiri ke dalam kebinasaan…”. (al-Baqarah: 195)

Kemudian wajib ke atasnya mengqadha’kan puasanya itu sebagaimana halnya dengan orang sakit tadi.

3. Jika orang yang wajib membayar fidyah tersebut tidak mampu membayarnya kerana miskin, maka terhapuslah kewajipan membayar fidyah seperti terhapusnya kewajipan membayar zakat fitrah. Pendapat ini yang disokong oleh Syeikh Ibnu Hajar di dalam kitabnya “Tuhfah”. Namun menurut Syeikh Ramli dan juga Khatib Syarbini; tidak terhapus kewajipan membayar fidyah kerana miskin dan fidyah yang belum terbayar itu menjadi hutang. (Rujuk; Sabilal-Muhtadien, hlm. 768, lihat juga; al-Majmu’, jil. 6, hlm. 257)

No comments: