Wajib mengqadha’ puasa sebelum datang ramadhan berikutnya
Orang yang meninggalkan puasa di bulan Ramadhan –sama ada dengan sengaja atau kerana sakit, musafir, kedatangan haid dan nifas dan sebagainya- wajib mengganti puasa yang ditinggal itu sebelum datang bulan Ramadhan tahun berikutnya. Jika gagal menggantinya hingga masuk bulan Ramadhan tahun berikutnya, maka ia berdosa dan wajib pula atasnya membayar fidyah di samping qadha’ tadi, kecuali jika kegagalan tersebut kerana keuzuran yang tidak dapat dihindari seperti sakit yang berterusan hingga masuk bulan Ramadhan berikutnya.
Kesimpulannya, sesiapa yang gagal menggantikan puasa dengan sengaja hingga masuk Ramadhan berikutnya -sama ada kerana sikap menangguh-nangguh atau sebagainya-, maka ia berdosa dan dikenakan denda membayar fidyah di samping tetap wajib mengqadha’ puasa yang tertinggal itu. Fidyah ini akan bertambah dengan bertambah tahun yang dilampaui. Contohnya; jika seorang itu mempunyai satu hari puasa yang tertinggal, lalu ia tidak mengqadha’nya –dengan sengaja- biarpun setelah lima tahun berlalu, maka ia wajib membayar empat fidyah di samping wajib mengqadha’ sehari puasa itu.
Sunat menyegerakan qadha’ puasa
Supaya tidak berlaku hal di atas, maka disunatkan orang yang menanggung puasa qadha’ untuk segera menunaikannya supaya dapat segera bebas dari tanggungannya itu. Jika ia melambatkannya tidaklah berdosa, cuma menyalahi apa yang terbaik sahaja. Kecualilah jika masa telah terlalu suntuk di mana tingggal beberapa hari sahaja lagi Ramadhan kedua akan tiba, maka ketika itu perlulah ia menyegerakan puasa qadha’nya (tidak boleh bertangguh lagi). Jika ia terus bertangguh hingga tidak cukup hari untuk mengqadha’ puasanya sebelum tiba Ramadhan berikutnya, maka berdosalah ia.
Hal tersebut jika puasa-puasa yang tertinggal itu kerana dengan suatu keuzuran seperti haid, nifas, sakit, pengsan, musafir, terlupa niat, wanita hamil atau sebagainya (maka harus menangguh-nangguhkan Qadha’ selagi belum tiba Ramadhan berikutnya, walaupun yang disunatkan ialah menyegerakannya). Adapun puasa-puasa yang ditinggal dengan sengaja (yakni tanpa sebarang keuzuran) maka menurut pendapat yang soheh dalam mazhab Syafi’ie; hendaklah segera diqadha’kan (yakni tidak harus ditangguh-tangguh). (Lihat; al-Majmu’, jil. 6, hlm. 387)
2 comments:
Boleh tak kiranya saya menyalin ilmu ini untuk kegunaan ramai? Saya bercadang untuk menyebarkan ilmu ini melalui tazkirah mingguan pejabat. Sumber ilmu (laman web ini)dinyatakan pada tazkirah berkenaan.
Assalamualaikum...ustaz, mtk pautkan blog ustaz ke blog ana ye?smga dakwah Islam terus tersebar
Post a Comment