Mati sebelum sempat mengqadha’ puasa
Jika ditakdirkan seseorang itu mati sebelum sempat menggantikan puasanya yang tertinggal, maka hukumnya tertakluk kepada perincian di bawah;
a) Jika sebelum kematiannya ia tidak berkesempatan atau tidak berkemampuan untuk menggantikan puasa yang tertinggal itu kerana ditimpa sakit yang berterusan atau sebagainya, maka ia tidaklah berdosa dan gugurlah tuntutan ganti itu darinya kerana kegagalan mengganti itu bukanlah dari kelalaiannya.
b) Namun jika sebelum kematiannya ia mempunyai cukup masa dan kemampuan untuk mengganti puasa yang tertinggal itu tetapi ia tidak menggantinya –kerana lalai atau menangguh-nangguhnya-, maka dalam hal ini disunatkan ahli keluarganya berpuasa bagi pihaknya. Sabda Nabi s.a.w.; “Sesiapa mati dan tertanggung atas dirinya qadha puasa, maka walinya (ahli keluarganya) hendaklah berpuasa untuknya”.
(Riwayat Imam Ahmad, Bukhari, Muslim dan Abu Daud dari Aisyah r.a.)
Ibnu ‘Abbas r.a. menceritakan bahawa; “Seorang lelaki datang bertanya Rasulullah s.a.w.; ‘Ya Rasulullah, ibu saya meninggal dengan menanggung puasa Ramadhan (yang belum digantinya). Adakah saya perlu membayar (mengganti) puasanya?’. Jawab Rasulullah; ‘Ya. Hutang Allahlah yang paling berhak kamu membayarnya’”.
(Riwayat imam Bukhari dan Muslim)
Dan harus orang lain (yang bukan ahli keluarganya) seperti kawannya untuk berpuasa bagi pihaknya dengan syarat mendapat izin dari ahli keluarganya atau dengan wasiat darinya sebelum kematiannya. Jika kawannya itu berpuasa bagi pihaknya tanpa izin dari ahli keluarganya atau tanpa wasiat darinya, maka tidak diterima oleh Syara’ puasa tersebut sebagai gantian baginya.
Jika tidak ada yang berpuasa bagi pihaknya, hendaklah dikeluarkan fidyah (iaitu dengan memberi makan orang miskin dengan kadar secupak beras) bagi setiap hari yang ia tinggalkan itu. Fidyah ini wajib dikeluarkan dari harta peninggalannya dan merupakan hutang Allah yang tertanggung ke atasnya selagi belum dikeluarkan. Jika ia tidak meninggalkan harta, maka harus dikeluarkan oleh orang lain yang bersimpati dengannya.
Sabda Rasulullah s.a.w.; “Sesiapa mati dan tertanggung atas dirinya qadha puasa bulan Ramadhan maka hendaklah diberi makan bagi pihaknya seorang miskin bagi setiap hari (yang ditinggalkannya)”.
(Riwayat Imam Tirmizi dari Ibnu Umar r.a.)
“Jika seorang lelaki sakit dalam bulan Ramadhan, kemudian mati tanpa sempat menggantikan puasanya, maka hendaklah diberi makan (kepada orang miskin) bagi pihaknya dan tidak wajib qadha atasnya. Jika tertanggung atasnya nazar, maka hendaklah nazar itu dibayar/ditunaikan oleh wali (keluarganya)”.
(Riwayat Imam Abu Daud dari Ibnu ‘Abbas r.a.)
**** تم بعون الله وله الحمد في الأولى والآخرة ****
Rujukan dan bacaan;
1- المجموع شرح المهذب، للإمام النووي، الحزء السادس، دار الفكر – لبنان (1996)
2- المهذب في الفقه الإمام الشافعي، لأبي إسحاق الشيرازي، دار القلم (دمشق) و الدار الشامية (بيروت) (1992)
3- الإقناع في حل ألفاظ أبي شجاع، للإمام شمس الدين محمد بن أحمد الشربيني الخطيب، دار الخير – بيروت (1996)
4- كفاية الأخيار في حل غاية الاختصار، للإمام تقي الدين الحسيني، دار الخير – بيروت (1991)
5- الفقه المنهجي على مذهب الإمام الشافعي، للدكتور مصطفى الخن، الدكتور مصطفى البغا، على الشربجي، دار القلم – دمشق (1991)
6- الفقه الواضح من الكتاب والسنة، الشيخ الدكتور محمد بكر إسماعيل، دار المنار – القاهرة (1990)
7- بداية المجتهد ونهاية المقتصد، للإمام ابن رشد، مكتبة الإيمان – المنصورة (1997)
8- مغني المحتاج إلى معرفة معاني ألفاظ المنهاج، للشيخ شمس الدين مجمد بن الخطيب الشربيني، دار الفكر – بيروت (2001)
9- الكفاية لذوي العناية (في الفقه الشافعي)، للشيخ عبد الباسط على الفاخوري، دار ابن حزم-بيروت (2003)
10- سبيل المهتدين، الشيخ محمد أرشد البنجري، Thinkers Library (1989).
2 comments:
klvassalamulaikum ustaz.sy ingin brtanya sedikit soalan.apakah hukum perniagaan multi level marketing yakni perniagaan yg dijalankan hanya dengan mencari ahli sebanyak yg mungkin untuk mendpt keuntungan? ada pendapat yang mengatakan ianya haram kerana menganiyai org bawahan dan struktur organisasinya yg berbentuk piramid dimana ahli dibawah tidak akan naik tau memegang jawatn diatas.ada pula sesetgh pndapat menyatakn ianya syubhah dan patut dielakkan. sy agak keliru. boleh ustaz jelaskan.
SALAM, ustaz adnan. kenapa tak teruskan blog ni? tahniah kerana ada juga ulamak muda yang berkecimpung dlm dunia dakwah internet
Post a Comment