السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

PESANAN NABI S.A.W.
"Sesiapa menempuh satu perjalanan untuk mencari suatu ilmu, Allah akan memudahkan untuknya jalan ke syurga" (Hadis riwayat Imam Muslim dari Abu Hurairah r.a.)

Thursday, September 4, 2008

QADHA PUASA, FIDYAH & KAFFARAH (13)

Orang-orang yang tidak wajib menggantikan puasa mereka

Terdapat beberapa orang yang tidak perlu menggantikan puasa yang mereka tinggalkan sama ada mengqadha’kannya atau membayar fidyah, iaitu;

1. Orang kafir yang baru masuk Islam; mereka tidak dituntut oleh Syara’ supaya menggantikan puasa yang mereka tinggalkan semasa kafir dahulu.

2. Kanak-kanak yang mencapai baligh; mereka juga tidak dituntut menggantikan puasa yang mereka tinggalkan ketika kecil

3. Orang gila yang baru sembuh; mereka juga tidak dituntut menggantikan puasa yang mereka tinggal semasa gila.

Walau bagaimanapun, jika seorang kafir memeluk Islam pada siang hari di bulan Ramadhan, ia disunatkan menahan dirinya (dari makan, minum atau sebagainya yang tidak harus dilakukan oleh orang yang sedang berpuasa) sebagai menghormati bulan Ramadhan. Begitu juga dengan seorang yang mencapai umur baligh, yang sembuh dari gila dan wanita yang berhenti haid dan nifasnya (pada siang hari di bulan Ramadhan), mereka digalakkan menahan pada baki siang yang masih tinggal itu sebagai menghormati bulan Ramadhan. (Lihat; al-Muhazzab, jil. 2, hlm. 587-588)

No comments: