Apa hukum mengeluarkan zakat?
Mengeluarkan zakat adalah wajib berdasarkan dalil al-Quran, as-Sunnah dan Ijmak ulamak. Ia merupakan salah satu dari rukun Islam yang lima. Mengabaikan zakat adalah dosa besar. Mengingkari kewajipannya akan menyebabkan seseorang muslim itu murtad dari agama.
Apa dalil kewajipan mengeluarkan zakat dari al-Quran?
Kalimah zakat diulang sebanyak 30 kali oleh Allah di dalam al-Quran. 27 kali darinya disebut di samping solat (sembahyang) dalam ayat yang sama.[1] Di antara ayatnya ialah;
“Dan dirikanlah solat serta tunaikan zakat. Apa jua yang kamu dahulukan dari kebaikan untuk diri kamu, pasti kamu akan mendapat balasan pahalanya di sisi Allah. Sesungguhnya Allah sentiasa melihat segala yang kamu kerjakan”. (al-Baqarah; 110).
Apa dalil kewajipan zakat dari as-Sunnah?
عن ابن عمر رضي اللّه عنهما قال: قالَ رسولُ اللّه صلى اللّه عليه وسلم: "بُنِيَ الإِسْلامُ على خَمْسٍ: شَهادَةِ أن لا إِلهَ إِلاَّ اللَّهُ، وأنَّ مُحَمَّداً رَسُولُ اللَّهِ، وَإقامِ الصَّلاةِ، وَإيتاءِ الزَّكاةِ، وَالحَجِّ، وَصَوْمِ رَمَضَانَ" رويناه في صحيحيهما.
Dari Ibnu ‘Umar r.a. yang menceritakan; Rasulullah s.a.w. telah bersabda; “Di bina Islam di atas lima rukun;
1. Penyaksian bahawa “Tidak ada Tuhan melainkan Allah dan Muhammad Rasul Allah”.
2. Mendirikan solat.
3. Mengeluarkan zakat.
4. Mengerjakan haji.
5. Berpuasa di bulan Ramadhan.
(Riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim).
Apa ancaman Allah ke atas orang yang mengabaikan zakat?
1. Firman Allah;
وَالَّذِينَ يَكْنِزُونَ الذَّهَبَ وَالْفِضَّةَ وَلَا يُنْفِقُونَهَا فِي سَبِيلِ اللَّهِ فَبَشِّرْهُمْ بِعَذَابٍ أَلِيمٍ، يَوْمَ يُحْمَى عَلَيْهَا فِي نَارِ جَهَنَّمَ فَتُكْوَى بِهَا جِبَاهُهُمْ وَجُنُوبُهُمْ وَظُهُورُهُمْ هَذَا مَا كَنَزْتُمْ لِأَنْفُسِكُمْ فَذُوقُوا مَا كُنْتُمْ تَكْنِزُونَ
“Dan orang-orang yang menyimpan emas dan perak dan tidak menginfakkannya ke jalan Allah, maka berilah khabar gembira kepada mereka dengan azab yang pedih, iaitu hari di mana emas dan perak itu dipanaskan di dalam neraka Jahannam, lalu dibakar dengannya dahi mereka, rusuk-rusuk dan punggung-punggung mereka, dan dikatakan kepada mereka: ‘Inilah harta benda yang kamu simpan untuk diri kamu, maka rasakanlah sekarang (akibat dari) apa yang kamu simpan itu’”. (at-Taubah: 34-35)
2. Sabda Rasulullah s.a.w.;
من آتاه الله مالا فلم يؤد زكاته مثل له ماله يوم القيامة شجاعا أقرع له زبيبتان يطوقه يوم القيامة ثم يأخذ بلهزمتيه ثم يقول: أنا مالك أنا كنزك
“Siapa yang dikurniakan harta oleh Allah namun tidak ditunaikan zakatnya, akan dijadikan harta itu untuknya pada hari kiamat sebagai seekor ular yang licin/botak kepalanya dan mempunyai dua taring. Ular itu akan membelit lehernya, kemudian menggigit kedua rahangnya serta berkata; “Akulah harta kamu. Akulah harta yang kamu simpan”. (Riwayat Imam Bukhari dari Abu Hurairah r.a.)
Menurut penjelasan ulamak; ular tersebut licin kepalanya kerana terlalu kuat bisanya. Ia adalah ular yang paling ganas dan amat menakutkan.
Bila kewajipan zakat mula ditetapkan?
Zakat mula difardhukan pada tahun ke dua Hijrah, iaitu sebelum difardhukan puasa.[2]
Apa kelebihan bagi orang yang menunaikan zakat?
Cukup banyak kelebihan yang akan diberikan Allah kepada orang yang mengeluarkan zakat, antaranya;
1. Mereka akan dibersihkan Allah
خُذْ مِنْ أَمْوَالِهِمْ صَدَقَةً تُطَهِّرُهُمْ وَتُزَكِّيهِمْ بِهَا وَصَلِّ عَلَيْهِمْ إِنَّ صَلَاتَكَ سَكَنٌ لَهُمْ وَاللَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ
“Ambillah zakat dari sebagian harta mereka, dengan zakat itu kamu (wahai Muhammad) membersihkan dan mensucikan mereka, dan mendo`alah untuk mereka. Sesungguhnya do`a kamu itu (menjadi) ketenteraman jiwa bagi mereka. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui”. (at-Taubah: 103)
Menurut ulama’; maksud (تُطَهِّرُهُمْ) ialah dengan zakat mereka itu kamu (yakni Muhammad s.a.w.) dapat membersihkan hati-hati mereka dari kesan syirik, sifat bakhil dan kedekut serta membersihkan tubuh-badan mereka dari penyakit dan bala bencana. Maksud (وَتُزَكِّيهِم) pula ialah dengan zakat itu juga kamu dapat mensucikan mereka di hadapan Allah yakni kamu menjadi saksi di hadapan Allah bahawa mereka benar-benar menunaikan perintah dan beriman dan kamu memberi syafaat kepada mereka dengan izin Tuhan kamu serta kamu mendoakan bagi mereka kebaikan, keberkatan dan seumpamanya. (Lihat al-Fiqhul Wadhih, Dr. Muhammad Bakr Ismail, jil. 1, hlm. 463)
2. Dijauhkan dari neraka
وَسَيُجَنَّبُهَا الْأَتْقَى، الَّذِي يُؤْتِي مَالَهُ يَتَزَكَّى، وَمَا لِأَحَدٍ عِنْدَهُ مِنْ نِعْمَةٍ تُجْزَى، إِلَّا ابْتِغَاءَ وَجْهِ رَبِّهِ الْأَعْلَى، وَلَسَوْفَ يَرْضَى
“Dan kelak akan dijauhkan orang yang paling takwa dari neraka itu, yang menafkahkan hartanya (di jalan Allah) untuk membersihkannya, padahal tidak ada seorangpun memberikan suatu nikmat kepadanya yang harus dibalasnya, tetapi (dia memberikan itu semata-mata) karena mencari keridhaan Tuhannya Yang Maha Tinggi. Dan kelak dia benar-benar mendapat kepuasan”. (al-Lail: 17-21)
Orang yang menginfakkan hartanya di jalan Allah (sama dengan memberi zakat atau bersedekah) dengan penuh ikhlas dianggap oleh Allah sebagai manusia paling bertakwa. Dia diakhirat kelak ia akan dijauhkan dari neraka dan akan mendapat kepuasan dengan limpahan nikmat Allah kepadanya.
3. Diberi nikmat syurga
قَدْ أَفْلَحَ الْمُؤْمِنُونَ، الَّذِينَ هُمْ فِي صَلَاتِهِمْ خَاشِعُونَ، وَالَّذِينَ هُمْ عَنِ اللَّغْوِ مُعْرِضُونَ، وَالَّذِينَ هُمْ لِلزَّكَاةِ فَاعِلُونَ، وَالَّذِينَ هُمْ لِفُرُوجِهِمْ حَافِظُونَ، إِلَّا عَلَى أَزْوَاجِهِمْ أوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُهُمْ فَإِنَّهُمْ غَيْرُ مَلُومِينَ، فَمَنِ ابْتَغَى وَرَاءَ ذَلِكَ فَأُولَئِكَ هُمُ الْعَادُونَ، وَالَّذِينَ هُمْ لِأَمَانَاتِهِمْ وَعَهْدِهِمْ رَاعُونَ، وَالَّذِينَ هُمْ عَلَى صَلَوَاتِهِمْ يُحَافِظُونَ، أُولَئِكَ هُمُ الْوَارِثُونَ، الَّذِينَ يَرِثُونَ الْفِرْدَوْسَ هُمْ فِيهَا خَالِدُونَ
“Sesungguhnya beruntunglah orang-orang yang beriman, (yaitu) orang-orang yang khusyu’ dalam shalatnya, dan orang-orang yang menjauhkan diri dari (perbuatan dan perkataan) yang tiada berguna, dan orang-orang yang menunaikan zakat, dan orang-orang yang menjaga kemaluannya, kecuali terhadap isteri-isteri mereka atau budak yang mereka miliki; maka sesungguhnya mereka dalam hal ini tiada tercela. Barangsiapa mencari yang di balik itu maka mereka itulah orang-orang yang melampaui batas. Dan orang-orang yang memelihara amanat-amanat (yang dipikulnya) dan janjinya, dan orang-orang yang memelihara sembahyangnya. Mereka itulah orang-orang yang akan mewarisi, (ya`ni) yang akan mewarisi surga Firdaus. Mereka kekal di dalamnya”. (al-Mukminun: 1-11)
Allah menghitung dalam ayat di atas orang-orang yang bakal dikurniakan nikmat syurga Firdaus di akhirat kelak. Salah seorang dari mereka ialah orang yang menunaikan kewajipan zakatnya.
4. Akan bertambah rezki dan terpelihara harta
Sabda Rasulullah s.a.w.;
حصنوا أموالكم بالزكاة، وداووا مرضاكم بالصدقة، واستعينوا على حمل البلاء بالدعاء والتضرع
“Bentengkanlah harta kamu dengan zakat, ubatilah saudara-saudara kamu yang sakit dengan bersedekah dan pohonlah pertolongan (dari Allah) ke atas bala yang menimpa dengan berdoa dan merendah diri (kepada Allah)”. (Riwayat Imam Abu Daud dari al-Hasan. Lihat hadis ini dalam al-Jami’ as-Saghir, Imam Suyuti, no. 3728, dhaif).
5. Akan terselamat dari akibat buruk harta
Imam Thabrani meriwayatkan dari Jabir r.a. menceritakan; “Seorang lelaki bertanya Rasulullah s.a.w.; ‘Ya Rasulullah, apa yang akan diperolehi jika seorang itu menunaikan zakat hartanya?’. Jawab Rasulullah s.a.w.;
من أدى زكاة ماله فقد ذهب عنه شره
“Sesiapa yang menunaikan zakat hartanya nescaya ia akan selamat dari akibat buruk harta (atau akan hilang sifat jahat dari dirinya)”. (lihat hadis ini dalam kitab al-Fiqhul Wadhih, jil. 1, hlm. 466).
Maksud hadis ialah; orang yang menunaikan zakat ke atas hartanya ia akan selamat dari akibat buruk harta kerana harta ada kebaikan dan ada keburukannya. Adakalanya harta memberi manfaat kepada manusia dan adakalanya mendatangkan kecelakaan. Atau yang dimaksudkan ialah akan hilang sifat jahat pada diri iaitu bakhil, kedekut dan sebagainya. (al-Fiqhul Wadhih, hlm. 466).
Apa makna zakat?
Perkataan Zakat (الزكاة) dari segi bahasa bermaksud; berkat, tumbuh, suci dan baik. Dalam pengertian Syarak pula, ia bermaksud; “Kadar tertentu dari harta tertentu yang wajib dikeluarkan kepada orang-orang tertentu, pada masa yang tertentu”.[3]
Dari takrif ini, beberapa kesimpulan dapat kita ambil;
1. Zakat adalah kewajipan Syarak terhadap harta.
2. Kadar yang perlu dikeluarkan telah ditentukan oleh Syarak
2. Harta yang terbabit juga ditentukan ciri-cirinya oleh Syarak.
3. Orang yang berhak menerimanya juga telah ditentukan oleh Syarak (tidak harus diberikan kepada orang lain).
4. Syarak juga menentukan tempoh bagi pengeluaran zakat (bagi jenis harta tertentu, bukan semua jenis). [4]
Selain zakat apa kalimah yang lain yang digunakan oleh al-Quran untuk zakat?
Adakalanya zakat diungkap –di dalam al-Quran dan juga as-Sunnah- dengan memakai kalimah as-Shadaqah (sedekah)[5] sehingga Imam al-Mawardi pernah berkata; “as-Shadaqah (sedekah) adalah zakat dan az-Zakah (zakat) adalah sedekah. Berbeza nama tetapi makna adalah serupa”.[6] (Rujuk Fiqhu az-Zakah, Dr. Yusuf al-Qaradhawi, jil. 1, hlm. 56 & 57)
Ke atas siapa diwajibkan zakat?
Telah disepakati oleh sekelian ulamak bahawa zakat diwajibkan ke atas harta milik orang yang memiliki ciri berikut;
1. Muslim; tidak wajib zakat ke atas harta orang kafir
2. Baligh; tidak ada khilaf di kalangan ulamak bahawa orang baligh wajib mengeluarkan zakat dari hartanya jika mencukupi syarat. Adapun harta kanak-kanak yang belum baligh, terdapat khilaf di kalangan ulamak (akan kita jelaskan nanti).
3. Berakal; tidak ada khilaf di kalangan ulamak bahawa orang Islam yang baligh dan berakal wajib mengeluarkan zakat dari hartanya. Adapun harta orang gila atau tidak siuman, terdapat khilaf di kalangan ulamak apakah wajib dikeluarkan zakat darinya atau tidak? (akan kita jelaskan nanti).
4. Merdeka (bukan hamba); hamba tidak wajib mengeluarkan zakat.
5. Memiliki harta dengan kadar tertentu (nisab) dengan pemilikan yang sempurna mengikut syarat-syaratnya.[7]
Apa pandangan ulamak tentang harta milik kanak-kanak belum baligh dan orang gila? Adakah wajib dikeluarkan zakat darinya? Jika wajib, siapa yang bertanggungjawab mengeluarkannya?
Pertama; Jumhur ulamak (yang terdiri dari Imam Malik, Imam Syafi’ie, Ahmad, ‘Ata’, Mujahid, az-Zuhri dan sebagainya) berpendapat; wajib dikeluarkan zakat dari harta mereka. Orang yang bertanggungjawab mengeluarkannya ialah wali atau penjaga mereka.
Kedua; Imam Abu Hanifah dan sahabat-sahabatnya berpendapat; zakat yang wajib dikeluarkan dari harta kanak-kanak dan orang gila itu hanyalah bagi harta pertanian dan buah-buahan sahaja, tidak bagi harta-harta dari jenis yang lain.
Ketiga; Imam Abu Jaafar, as-Sya’bi dan an-Nakha’ie perpandangan; keseluruhan harta kanak-kanak dan orang gila tidak wajib dikeluarkan zakat.
Pendapat yang kuat menurut Dr. Yusuf al-Qaradhawi ialah pandangan jumhur.[8]
Apa syarat-syarat harta yang dikenakan zakat?
Bukan semua harta dikenakan zakat. Harta yang dikenakan zakat ialah yang memenuhi syarat-syarat berikut;
1. Milik sempurna
2. Harta yang boleh berkembang
3. Cukup nisab
4. Lebihan dari keperluan-keperluan asasi
5. Bebas dari hutang
6. Cukup haul
Apa makna milik sempurna?
Iaitu pemilik harta berkuasa ke atas harta yang wajib dizakati itu di mana ia boleh menggunakan harta itu dengan kehendaknya tanpa terikat dengan kebenaran dari orang lain.[9] Ada sebahagian ulamak mensyaratkan juga hendaklah harta yang dimiliki itu berada di dalam tangan pemiliknya, barulah dikatakan milik sempurna dan wajib dizakati.[10]
Apa jenis-jenis harta yang dikecualikan dari zakat berdasarkan syarat tersebut?
Berdasarkan syarat “milik sempurna’ itu, dikecuali dari kewajipan zakat harta-harta berikut;
a) Harta yang tidak mempunyai pemilik tertentu seperti harta milik kerajaan dari pungutan cukai, zakat atau sebagainya. Begitu juga, harta milik awam.
b) Harta yang diwakafkan untuk orang ramai seperti untuk fakir-miskin, masjid, para mujahidin, anak-anak yatim, madrasah atau sekolah dan sebagainya.
c) Harta dari sumber yang haram seperti mencuri, merampas, rasuah, penipuan, riba dan sebagainya. Orang yang mempunyai harta haram, ia tidak diiktiraf oleh Syarak sebagai pemilik harta tersebut kerana ia wajib memulangkan harta itu kepada pemiliknya yang sebenar.[11] Oleh demikian, tidak harus ia menggunakan harta tersebut termasuklah untuk mengeluarkan zakat kerana harta itu bukan miliknya.
d) Harta yang dihutangi oleh orang lain.
Ada berapa jenis hutang? Dan hutang jenis mana yang wajib dizakati?
Jumhur ulamak membahagikan hutang kepada dua jenis;[12]
i. Hutang yang dapat diharap pelunasannya. Hutang jenis ini hendaklah dizakati bersama harta yang ada apabila cukup haul.
ii. Hutang yang tidak dapat diharap perlunasannya. Hutang dari jenis ini tidak wajib dikeluarkan zakat kecuali apabila orang yang berhutang melunasinya, maka wajib dikeluarkan zakat sebaik sahaja hutang itu berada dalam tangan tanpa perlu menunggu genap haul[13] dan begitu juga, tidak dituntut mengqadha bayaran bagi tahun-tahun yang lepas.[14]
Apa maksud harta yang boleh berkembang?
Iaitu harta yang mempunyai potensi untuk mendatangkan hasil atau pendapatan sama ada semulajadi atau dengan inisiatif manusia.
Berapa kategori harta berkembang?
Ada dua kategori;
Pertama; berkembang semulajadi; iaitu emas, perak dan wang. Oleh kerana ia berkembang semulajadi, maka sesiapa memilikinya wajib ia menzakatinya walaupun tidak melaburnya.
Kedua; berkembang dengan inisiatif manusia; iaitu seperti rumah tempat tinggal kita, kereta, alat-alat keperluan rumah dan sebagainya. Semua harta ini tidak berkembang secara semulajadi, maka selama mana ia tidak diperkembangkan, maka tidak wajib dizakati. Adapun jika diperkembangkan seperti dijadikan barang-barang perniagaan, maka wajib dikeluarkan zakat ke atasnya kerana ia telah menjadi harta yang berkembang. (al-Mu’amalat al-Maliyah al-Mu’asarah, hlm. 327).
Apakah contoh harta yang tidak wajib dizakati berdasarkan syarat di atas?
Berdasarkan syarat di atas, tidak wajib zakat atas binatang tunggangan, rumah kediaman, alat perabot rumah, alat kerja dan sebagainya dari benda-benda yang diambil untuk kegunaan sendiri.[15] Ini kerana harta tersebut tidak berkembang dan tidak mempunyai potensi untuk berkembang.
Apa makna nisab?
Nisab bermakna kadar minima yang ditetapkan Syarak untuk mewajibkan zakat. Ia bermakna jika pemilik harta memiliki harta menyamai atau melebihi kadar tersebut wajiblah zakat ke atasnya dan jika tidak tidaklah wajib zakat.
Adakah semua jenis harta ditetapkan nisab yang sama?
Tidak. Harta-harta ditetapkan kategori-kategori nisabnya yang akan kita terangkan nanti.
Bagaimana dengan hitungan nisan bagi harta perkongsian?
Harta milik bersama atau perkongsian hukumnya sama seperti harta individu. Apabila harta milik bersama mencukupi nisab, maka wajib dikeluarkan zakat darinya sekalipun jika diagihkan, pemilikan setiap ahli yang berkongsi kurang dari nisab. Hukum ini sama bagi semua jenis harta yang wajib dizakati.[16]
Bilakah tempoh hitungan nisab?
Nisab hanya dikira pada awal haul dan akhirnya, tidak dikira di tengah-tengahnya.[17] Jadi, apabila seseorang memiliki harta yang mencukupi nisab pada awal syawal –sebagai contohnya-, maka tarikh itu dikira sebagai permulaan haul bagi hartanya itu. Kemudian, apabila tiba awal syawal tahun berikutnya, hendaklah dilihat; jika hartanya itu masih mencukupi nisab atau lebih dari nisab, maka wajiblah ia mengeluarkan zakat (tanpa perlu mengambil kira keadaan harta di tengah-tengah haul sama ada cukup nisab atau tidak). Jika tidak mencukupi nisab di akhir haul itu, tidak wajib ia mengeluarkan zakat.[18]
Adakah nisab dikira selepas ditolak keperluan asasi atau selepasnya?
Selepas ditolak keperluan asasi. Harta yang wajib dizakati ialah setelah ditolak kos keperluan hidup yang asas merangkumi diri sendiri dan orang-orang yang berada di bawah tanggungan nafkah (isteri, anak-anak dan keluarga). Orang yang mempunyai lebihan harta setelah ditolak keperluan-keperluan asas dianggap kaya dan ia berkewajipan membantu mereka yang miskin atau memerlukan.
Apa maksud keperluan asasi?
Maksud keperluan asasi ialah apa-apa yang diperlukan untuk menjamin kelangsungan hidup sama ada secara realiti seperti makan-minum, pakaian dan tempat tinggal atau secara andaian seperti hutang (kerana yang berhutang perlu membayar hutangnya untuk mengelak dari dikenakan tindakan ke atasnya), alat-alat pekerjaan, kemudahan-kemudahan asas rumah, kenderaan, belanja menuntut ilmu dan sebagainya.
Apakah item-item keperluan asasi hari ini?
Menurut Mujaini Tarimin dalam bukunya “Zakat Menuju Pengurusan Pfofesional”; “Pada masa ini, item-item keperluan asas yang layak diberi pertimbangan pelepasan zakat ialah;[19]
a) Makanan, pakaian, tempat tinggal, pengangkutan, perubatan dan pendidikan.
b) Membayar hutang segera
c) Modal kekal bagi golongan profesional
d) Buku rujukan pembelajaran
e) Perhiasan diri wanita dan kelengkapan tempat tinggal
f) Barang-barang stok keperluan asas selain dari mata wang.
Adakah keperluan sampingan juga boleh ditolak?
Tidak. Hanya keperluan-keperluan asasi yang ditolak semasa menghitung nisab. Adapun keperluan-keperluan sampingan, tidak boleh ditolak.
Apa makna bebas dari hutang?
Maknanya; harta yang diwajibkan zakat ialah harta yang pemiliknya tidak dibelenggu oleh hutang yang perlu dibayar segera dan jumlah hutangnya itu merangkumi kebanyakan atau keseluruhan hartanya. Maka dalam hal ini, hendaklah ditolak dahulu hutang segera itu, kemudian jika ada baki barulah dikeluarkan zakat. Itu pun jika jumlah baki itu sampai nisab yang ditetapkan.
Adapun jika sekiranya hutang itu tidak perlu segera dibayar –seperti tempoh bayar belum sampai atau bayaran dikenakan secara ansuran- maka zakat hendaklah dikeluarkan kerana zakat apabila cukup tempoh atau haulnya, wajib segera dibayar. Adapun hutang itu belum sampai tempohnya.[20]
Apa maksud “hutang yang perlu dibayar segera” dalam ungkapan di atas?
Iaitu hutang yang perlu segera dibayar pada tahun wajib zakat, bukan keseluruhan yang ditanggung kerana yang diambil kira ialah milik dan tanggungan pada tahun itu. [21]
Apa makna cukup haul?
Iaitu berlalu tempoh setahun (12 bulan) harta dimiliki. Maksudnya, apabila genap setahun harta dimiliki, barulah diwajibkan zakat. Perkiraan haul dalam hukum Syarak hendaklah dibuat berdasarkan tarikh hijrah, bukan masihi.[22]
Adakah semua harta disyaratkan haul?
Tidak. Bukan semua jenis harta disyaratkan haul untuk diwajibkan zakat. Oleh demikian, jenis-jenis harta melihat kepada syarat haul ini terbahagi kepada dua;[23]
i) Yang disyaratkan haul; iaitu harta-harta yang bersifat modal, iaitu;
a) Binatang ternakan
b) Wang
c) Barang dagangan
ii) Yang tidak wajib haul; iaitu harta-harta yang bersifat pendapatan, iaitu;
a) Tanaman dan buah-buahan
b) Madu
c) Hasil galian
d) Harta karun
e) Al-Mal al-Mustafad (mengikut sebahagian ulama’ dan ditarjih oleh Qaradawi)
Harta dari kumpulan pertama hendaklah dihitung haul (atau tempoh tahunannya), barulah dikeluarkan zakat. Adapun harta dari kumpulan kedua, tidak perlu di hitung haul, akan tetapi dikeluarkn sebaik sahaja menerimanya. Zakat padi sebagai contoh; ia dikeluarkan sebaik sahaja padi dituai dan tidak perlu menunggu cukup tempoh setahun.
Apa makna harta mustafad?
Al-Mal al-Mustafad ialah harta perolehan baru iaitu harta yang dimiliki oleh tuannya dengan pemilikan baru melalui jalan pemilikan yang diizinkan Syarak.[24]
Apa kedudukan harta mustafad dari segi kewajipan mengeluarkan zakat?
Kedudukan al-Mal al-Mustafad adalah seperti berikut;[25]
1. Harta perolehan baru (mustafad) jika dari jenis harta yang tidak disyaratkan haul seperti hasil pertanian, madu, harta karun dan galian, maka zakat ke atasnya wajib dikeluarkan ketika memperolehi harta tersebut. Hal ini tidak menjadi perbahasan di kalangan ulamak kerana ia telah disepakati (ijmak).
2. Adapun harta perolehan baru dari jenis yang disyaratkan haul seperti mata wang, barang-barang perniagaan dan ternakan, maka bagi kategori ini ada perincian. Imam Ibnu Qudamah membahaginya kepada tiga kategori;
a) Jika harta yang baru diperolehi seseorang itu merupakan hasil dari harta sedia ada padanya seperti untung dari harta perniagaannya atau anak-anak yang lahir dari haiwan ternakannya, maka harta perolehan baru itu wajib digabungkan kepada harta sedia ada padanya dan dikeluarkan zakat bersama-samanya. Jadi, haul bagi harta perolehan baru itu dikira bersekali dengan haul harta sedia ada kerana ia terbit darinya dan dari jenis yang sama. Hukum ini tidak ada khilaf di kalangan ulamak.
b) Jika harta yang diperolehi bukan dari jenis harta yang sedia ada. Contohnya; seseorang mempunyai binatang ternakan dari jenis unta, kemudian ia memperolehi harta baru berupa lembu. Atau; ia mempunyai harta berupa kambing ternakan, kemudian memperolehi harta baru berupa wang. Dalam hal ini, harta perolehan baru itu tidak perlu dicampurkan kepada hartanya yang sedia ada, akan tetapi hendaklah dijadikan harta yang bersendirian di mana jika kadarnya mencukupi nisab, maka hendaklah ditunggu hingga cukup haul, kemudian baru dizakati jika mencukupi nisab (di akhir haul itu). Jika kadarnya tidak mencukupi nisab (ketika diperolehi), tidak perlu ia menunggu haul kecuali apabila harta itu bertambah selepas itu dan mencukupi nisab (maka hendaklah dihitung haul bermula dari ia mencukupi nisab). Itu adalah pandangan jumhur ulamak.
Terdapat pandangan lain yang diriwayatkan dari Ibnu Mas’ud, Ibnu ‘Abbas dan Mu’awiyah di mana mereka berpendapat; Harta perolehan baru itu (al-Mal al-Mustafad) wajib dizakati ketika menerimanya (yakni tidak perlu menunggu genapnya haul). Terdapat riwayat menceritakan; “Ibnu Mas’ud memberi kepada kami al-‘Ata (pemberian) kemudian ia mengambil zakat ke atasnya”. Imam al-Auza’ie berkata terhadap orang yang menjual hambanya dan rumahnya; “Hendaklah ia membayar zakat terhadap harga (bayaran) yang diperolehinya sebaik saja bayaran itu berada di tangannya kecuali baginya bulan yang diketahui (akan sampai haul bagi harta yang sedia ada padanya), maka bolehlah ia menangguhkan pengeluaran zakat ke atas harta perolehan baru itu untuk disekalikan pengeluaran zakat bersama hartanya yang sedia ada. Pandangan inilah yang ditarjihkan oleh Syeikh al-Qaradhawi.[26]
c) Jika harta yang baru diperolehi adalah dari jenis harta yang sedia ada –tetapi bukan hasil dari harta sedia ada itu- dan harta sedia ada telah berlalu baginya sebahagian haul, adakah perlu dizakati bersama atau secara berasingan? Contohnya; seorang memiliki 40 ekor kambing yang telah berlalu tempoh pemilikan lapan bulan, kemudian ia membeli 100 ekor kambing, maka apabila tiba haul 40 kambing tersebut empat bulan berikutnya, apakah perlu dizakati bersamanya bagi 100 ekor kambing yang baru dibeli? Menurut mazhab Syafi’ie dan Hanbali; zakat hanya wajib ke atas 40 ekor kambing tersebut sahaja, tidak wajib ke atas 100 ekor kambing yang baru dibeli hinggalah sampai haulnya tersendiri bermula dari tarikh ia membelinya. Adapun Imam Abu Hanifah berpandangan; “Kambing 100 ekor yang baru dibeli itu hendaklah digabungkan dengan jumlah kambing yang lama (yakni 40 ekor) dan dikeluarkan zakat kedua-duanya bersama apabila tiba haul bagi kambing yang lama tersebut”.
Nota hujung;
[1] Melihat disudut Makkiyah dan Madaniah, sebanyak lapan kali kalimah az-Zakah itu disebut dalam surah-surah Makkiyah dan selebihnya (iaitu 22 kali) disebut dalam surah-surah Madaniyyah. (Fiqh az-Zakah, 1/58).
[2] Al-Hajah Najah al-Halabi (Fiqh al-‘Ibadaat ‘Ala al-Mazhab al-Hanafi), Baramij; muhaddith.com.
[3] Al-Mufassal, 1/343, Fiqh az-Zakah, 1/53.
[4] Al-Mufassal, 1/343.
[5] Kalimah as-Sadaqah disebut sebanyak 12 kali di dalam al-Quran dan kesemuanya dalam surah-surah Madaniyyah. (Fiqh az-Zakah, 1/58).
[6] Dalam pemahaman masyarakat, zakat ditujukan kepada pemberian harta yang wajib, sementara sedekah pula ditujukan kepada pemberian harta yang sunat. Namun hakikat yang sebenarnya mengikut al-Quran dan as-Sunnah, kedua-dua kalimah tersebut memberi makna yang serupa. Dalam pengertian lain; zakat yang wajib adakalanya di dalam al-Quran dan as-Sunnah diungkap dengan kalimah as-Sadaqah (Sedekah). Kerana itu Imam al-Mawardi menegaskan; “Sedekah adalah zakat dan zakat adalah sedekah. Berbeza dari segi nama, namun maksudnya adalah serupa”. (Fiqh az-Zakah, 1/57).
[7] Al-Mufassal, 1/345, Fiqh az-Zakah, 1/115.
[8] Fiqh az-Zakah, 1/ 138.
[9] Berdasarkan takrifan al-Milk oleh al-Kamal ibn al-Humam (lihat; Fiqh az-Zakah, 1/148).
[10] Iaitulah ulamak-ulamak mazhab Hanafi. Adapun ulamak-ulamak mazhab Syafi’ie mereka tidak mensyaratkan harta yang dimiliki berada dalam tangan pemiliknya. Memadai harta itu miliknya untuk diwajibkan zakat ke atasnya jika cukup nisab dan syarat-syarat yang lain sekalipun harta tersebut tidak berada dalam tangannya. Kesan khilaf dapat dilihat dalam masalah Mal al-Ghimar (مال الغمار) iaitu harta yang pemiliknya tidak dapat mengambil manfaat darinya kerana tidak berada dalam tangannya –walaupun harta itu secara sah diakui haknya- seperti; hutang yang diengkari dan pemiliknya tidak mempunyai saksi (untuk mensabitkan haknya ke atas orang yang berhutang) sedang tempoh haul telah pun sampai. Dalam hal ini, mazhab Hanafi berpandangan tidak wajib zakat kerana pemilikan tidak sempurna disebabkan harta itu tidak berada dalam tangan pemiliknya. Adapun ulamak-ulamak mazhab Syafi’ie berpandangan ia tetap diwajibkan zakat kerana mereka tidak mensyaratkan hal tersebut bagi pemilikan penuh. (Lihat; Al-Mufassal, Dr. Abdul Karim Zaidan, 1/354).
[11] Orang yang memiliki harta haram wajib membebaskan dirinya dari harta tersebut dengan mengembalikannya kepada pemiliknya jika ia mengetahui pemiliknya, atau kepada ahli-ahli warisnya. Jika ia tidak mengetahui siapa pemilik harta itu atau waris-warisnya, maka hendaklah ia mensedekahkan ke semua harta itu kepada orang-orang fakir. (Fiqh az-Zakah, 1/152)
[12] Fiqh az-Zakah, 1/155-156.
[13] Kerana ia tergolong halam al-Mal al-Mustafad (Fiqh al-Zakah, jil. 1, hlm. 154-157)
[14] Fiqh az-Zakah, 1/157.
[15] Barang-barang ini disebut sebagai al-Qinyah (القنية) iaitu yang diambil untuk kegunaan sendiri, bukan untuk diniaga atau dilaburkan. (Lihat; al-Misbahul Munir).
[16] Ini adalah pandangan Imam Syafi’ie, Hasan al-Basri dan as-Sya’bi. Adapun di sisi Imam Malik dan Abu Hanifah; setiap ahli perkongsian wajib membayar zakat bagi bahagian masing-masing jika bahagiannya mencukupi nisab. Jika tidak mencukupi nisab, tidak wajib zakat ke atasnya sekalipun jika dicampur dengan bahagian ahli-ahli perkongsian yang lain, jumlah harta itu akan sampai nisab atau lebih dari nisab. (al-Mufassal, 1/356, Fiqh az-Zakah, 1/301).
[17] Ini adalah pendapat Imam Abu Hanifah. Adapun jumhur imam-imam mazhab iaitu Syafi’ie, Maliki dan Ahmad mensyaratkan nisab itu di sepanjang haul barulah diwajibkan zakat. (Fiqh az-Zakah, 1/302).
[18] Al-Mufassal, 1/356.
[19] Halaman 70.
[20] Inilah pandangan jumhur Ulama’ iaitu orang yang dibelenggu oleh hutang, tidak wajib zakat atasnya kerana ia adalah orang yang memerlukan, sedangkan zakat hanya wajib atas orang kaya (yakni memiliki harta melebihi keperluan utamanya). Walau bagaimanapun pandangan jumhur ini berbeza dengan pandangan ulama’-ulama’ mazhab Syafi’ie iaitu; Hutang tidak menggugurkan kewajipan zakat. Ada juga di kalangan ulamak yang berpandangan; hutang menggugurkan kewajipan zakat dari harta-harta bathin sahaja iaitu emas, perak dan harta perniagaan, tidak dari harta-harta dzahir iaitu pertanian, buah-buahan, ternakan dan logam/galian. Perbezaan antara harta batin dan harta dzahir ialah; harta-harta dzahir subur dengan sendirinya, adapun harta-harta batin tidak subur dengan sendirinya. Pandangan yang rajih ialah pandangan jumhur ulamak tadi yang menyatakan; hutang menggugurkan zakat tanpa membezakan antara harta dzahir dan harta batin.
(Lihat; al-Fiqhul Wadhih, jil. 1, hlm. 468, Fiqh az-Zakah, 1/177-178)
[21] Lihat; Mahmud Zuhdi, hlm. 111.
[22] Fiqh az-Zakah, 1/181, al-Fiqhul-Wadihi, 1/468. (Satu tahun hijrah berkurangan 11 hari berbanding satu tahun masihi).
[23] Fiqh az-Zakah, 1/181 dan 184, Pengurusan Zakat, Mahmod Zuhdi, hlm. 111-112
[24] Kaifa Tuqaddiru Wa Tuaddi Zakata Amwalika, hlm. 160. Lihat juga; Fiqh az-Zakah (al-Qaradhawi), 1/184.
[25] Fiqh az-Zakah, 1/184-185, al-Mufassal, 357-358.
[26] Fiqh az-Zakah, 1/302.
10 comments:
Salam ustaz, Saya mohon izin copy n paste apa saja maklumat yang berkaitan dengan ilmu dalam blog ustaz. saya nak letak dalam blog saya sebagai perkongsian. mohon izin ustaz.
ini email saya andai ada nasihat dan teguran. (roslanhpa@ymail.com)
syukran.
Assalam ustaz.di sini saya ada bbrp soalan
1) drp artikel di atas ustaz ada sebut bhwa emas,perak dan wang adalah harta yg berkembang semulajadi dan ustaz ada sebut bhwa emas perak &wang trmasuk dlm kategori harta batin yang tak subur dgn sendirinya.so sy kurg jelas & keliru di sini.
2)berapakah nisob emas&perak? adakah kadar nisob kedua2nya tak berubah sejak dahulu or bgmana?
3)brapa nisob wang spt duit kertas n mata wang asing ? sy pernah terbaca bhwa tiada nisob bg wang.betol ke? mekasih ustaz:)
Assalamualaikum Ustaz. ustaz berminat tak menulis untuk majalah Fardu Ain dalam kolum Fiqh. artikel sepanjang 2 muka surat anggaran 1,000 hingga 1,200 patah perkataan. artikel boleh dihantar di e-mel majalah.farduain@gmail.com
Sertakan biodata ringkas untuk maklumat editor.
Radiah Baharin
editor Bahasa majalah Fardu Ain.
salam tuan guru.. mohon izin maklumat yang ada di dalam blogg ini.. semoga menjadi pahala utk tuan guru.. salam
assalamualaikum ustaz saya ingin copy boleh minta izin ustaz
Assalam..ustaz... saya mohon untuk copy perkongsian ustaz ni untk saya gunakan dalam beberapa program.. Terima kasih ustaz..
assalamualaikum ustaz, saya mohon izin untuk copy maklumat ini untuk tugasan saya...
Assalamualaikum ustaz.
Saya memininta keizinan ustaz copy maklumat haul zakat.
.
Terimakasih ustaz.
Mohon izin copy maklumat tag zakat.. Ingin kongsi tentang zakat bsama golongan yang wajib keluarkan zakat... Mudahan Allah lapangkan rezeki ustaz..
Assalamualaikum. Ustaz, minta izin copy serba sedikit untuk assignment saya ya. Harap ustaz memberi keizinan.. :)
Post a Comment