السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

PESANAN NABI S.A.W.
"Sesiapa menempuh satu perjalanan untuk mencari suatu ilmu, Allah akan memudahkan untuknya jalan ke syurga" (Hadis riwayat Imam Muslim dari Abu Hurairah r.a.)

Thursday, July 9, 2009

Hijab (Hadangan)

Apakah yang dimaksudkan dengan hijab?

Iaitulah hadangan ke atas seorang dari mendapat harta perwarisan sepenuhnya atau dari mendapat bahagian yang paling besar.

Berapa jeniskan hijab?

Ada dua jenis iaitu;

1. Hijab al-Hirman (Hadangan penuh)

Iaitu hadangan terhadap seseorang dari mewarisi harta secara sepenuhnya dengan sebab terdapat orang lain yang lebih utama darinya.

2. Hijab an-Nuqshan (Hadangan sebahagian)

Iaitu hadangan terhadap seseorang dari mendapat bahagiannya yang paling besar dengan sebab wujud orang lain yang menjadi faktor tegahan tersebut yang ditentukan oleh Syara’

Siapakah yang terlibat dalam Hijab al-Hirman (Hadangan penuh)?

Ahli-ahli waris dilihat dari sudut hadangan penuh ini terbahagi kepada dua kategori;

a) Ahli-ahli waris yang tidak terdedah kepada hadangan penuh selama-lamanya.

Mereka terdiri dari enam orang ahli waris iaitu;
1.Suami
2.Isteri
3.Bapa
4.Ibu
5.Anak perempuan
6.Anak lelaki

Enam ahli waris di atas akan tetap mewarisi harta dari si mati di mana tidak ada sesiapapun dapat menghadang mereka.

b) Ahli-ahli waris yang terdedah kepada hadangan penuh (yakni ada kemungkinan akan dihalang oleh orang lain dari mendapat harta pusaka)

Mereka ini di kalangan ashabil-furudh ada tujuh orang, iaitu;
1.Cucu perempuan (بنت الإبن)
2.Saudara perempuan seibu-sebapa (الأخت الشقيقة)
3.Saudara perempuan sebapa (الأخت لأب)
4.Saudara perempuan seibu (الأخت لأم)
5.Saudara lelaki seibu (الأخ لأم)
6.Datuk (الجد)
7.Nenek (الجدة)

Adapun ahli-ahli waris dalam kelompok ‘ashabah, semua mereka berkemungkinan menghadapi hadangan penuh kecuali seorang sahaja iaitu anak lelaki (الابن).

Apakah prinsip-prinsip asas bagi hadangan penuh ini?

1. Prinsip pertama; “Setiap ahli waris yang bersambung dengan si mati melalui perantaraan seorang waris lain, maka ia akan dihadang sepenuhnya dari mewarisi harta ketika wujudnya waris lain itu”.

2. Prinsip kedua: “Waris yang lebih hampir akan menghadang waris yang lebih jauh”.

3. Prinsip ketiga: “Waris yang lebih kuat kekerabannya (القرابة) akan menghadang waris yang lebih lemah”.

Senaraikan setiap ahli waris yang terlibat dengan hadangan penuh serta orang-orang yang menghadang mereka?

Ahli-ahli waris lelaki

a) Datuk; akan dihadang oleh;

1. Bapa
2. Datuk yang lebih hampir dengan si mati darinya.

b) Saudara lelaki seibu-sebapa; dihadang oleh:

1. Bapa
2. Cabang waris lelaki si mati (anak lelaki, cucu lelaki dan ke bawah seterusnya).

c) Saudara lelaki sebapa

Dihadang oleh:
1. Bapa
2. Cabang waris lelaki (iaitu anak lelaki dan cucu lelaki)
3. Saudara lelaki seibu-sebapa
4. Saudara perempuan seibu-sebapa yang menjadi ‘ashabah ma’al-ghair (kerana ia ketika itu telah mencapai kekuatan saudaranya iaitu (الأخ الشقيق)).

d) Saudara lelaki seibu

Dihadang oleh:
1. Usul waris lelaki (iaitu bapa, datuk dan seterusnya ke atas)
2. Cabang waris secara keseluruhannya –sama ada lelaki atau perempuan- (iaitu anak lelaki, anak perempuan, cucu lelaki, cucu perempuan dan seterusnya)

e) Cucu lelaki

Dihadang oleh:
1. Anak lelaki
2. Cucu lelaki yang lebih hampir kepada si mati darinya

f) Anak lelaki kepada saudara lelaki seibu-sebapa

Dihadang oleh:
1. Bapa
2. Datuk
3. Anak lelaki
4. Cucu lelaki
5. Saudara lelaki seibu-sebapa
6. Saudara lelaki sebapa
7. Saudara perempuan seibu-sebapa atau sebapa yang menjadi ‘ashabah ma’al-ghair.

g) Anak lelaki kepada saudara lelaki sebapa

Dihadang oleh:
1. Bapa
2. Datuk
3. Anak lelaki
4. Cucu lelaki
5. Saudara lelaki seibu-sebapa
6. Saudara lelaki sebapa
7. Anak lelaki kepada saudara lelaki seibu-sebapa
8. Saudara perempuan seibu-sebapa atau sebapa yang menjadi ‘ashabah ma’al-ghair.

h) Bapa saudara seibu-sebapa

Dihadang oleh:
1. Bapa
2. Datuk
3. Anak lelaki
4. Cucu lelaki
5. Saudara lelaki seibu-sebapa
6. Saudara lelaki sebapa
7. Anak lelaki kepada saudara lelaki seibu-sebapa
8. Anak lelaki kepada saudara lelaki sebapa
9. Saudara perempuan seibu-sebapa atau sebapa yang menjadi ‘ashabah ma’al-ghair.

i) Bapa saudara sebapa

Dihadang oleh:
1. Bapa
2. Datuk
3. Anak lelaki
4. Cucu lelaki
5. Saudara lelaki seibu-sebapa
6. Saudara lelaki sebapa
7. Anak lelaki kepada saudara lelaki seibu-sebapa
8. Anak lelaki kepada saudara lelaki sebapa
9. Bapa saudara seibu-sebapa
10. Saudara perempuan seibu-sebapa atau sebapa yang menjadi ‘ashabah ma’al-ghair.

j) Anak lelaki kepada bapa saudara seibu-sebapa

Dihadang oleh:
1. Bapa
2. Datuk
3. Anak lelaki
4. Cucu lelaki
5. Saudara lelaki seibu-sebapa
6. Saudara lelaki sebapa
7. Anak lelaki kepada saudara lelaki seibu-sebapa
8. Anak lelaki kepada saudara lelaki sebapa
9. Bapa saudara seibu-sebapa
10. Bapa saudara sebapa
11. Saudara perempuan seibu-sebapa atau sebapa yang menjadi ‘ashabah ma’al-ghair.

k) Anak lelaki kepada bapa saudara sebapa

Dihadang oleh:
1. Bapa
2. Datuk
3. Anak lelaki
4. Cucu lelaki
5. Saudara lelaki seibu-sebapa
6. Saudara lelaki sebapa
7. Anak lelaki kepada saudara lelaki seibu-sebapa
8. Anak lelaki kepada saudara lelaki sebapa
9. Bapa saudara seibu-sebapa
10. Bapa saudara sebapa
11. Anak lelaki kepada bapa saudara seibu-sebapa
12. Saudara perempuan seibu-sebapa atau sebapa yang menjadi ‘ashabah ma’al-ghair.

Ahli-ahli waris perempuan

a) Nenek (الجدة)

Dihadang oleh:
1. Ibu: nenek secara keseluruhannya sama ada dari sebelah bapa (seperti “أم الأب”) atau dari sebelah ibu (seperti “أم الأم”) akan terhadang dengan adanya ibu.
2. Nenek lebih hampir dengan si mati; yakni nenek yang jauh akan dihadang oleh nenek yang lebih hampir dengan si mati.
3. Bapa; khusus kepada nenek-nenek di sebelah bapa sahaja. Adapun nenek-nenek di sebelah ibu hanya boleh dihadang oleh ibu sahaja.
4. Datuk; iaitu nenek yang bersambung dengan si mati dengan perantaraan seorang datuk yang benar (الجد الصحيح), maka nenek itu terhadang dengan adanya datuk tersebut.

b) Cucu perempuan

Dihadang oleh:
1. Anak lelaki
2. Cucu lelaki yang lebih tinggi (yakni lebih dekat dengan si mati)
3. Anak perempuan; jika bilangan mereka ramai (yakni dua atau lebih).
4. Cucu perempuan yang lebih tinggi; jika bilangan mereka ramai (yakni dua atau lebih)

c) Saudara perempuan seibu-sebapa

Dihadang oleh:
1. Anak lelaki
2. Cucu lelaki
3. Bapa

d) Saudara perempuan sebapa

Dihadang oleh:
1. Anak lelaki
2. Cucu lelaki
3. Bapa
4. Saudara lelaki seibu-sebapa
5. Saudara perempuan seibu-sebapa yang menjadi ‘ashabah ma’al-ghair (kerana ketika itu ia mencapai kedudukan “الأخ الشقيق”).
6. Dua atau lebih saudara perempuan seibu-sebapa.

e) Saudara perempuan seibu

Dihadang oleh:
1. Usul waris si mati (iaitu bapa, datuk dan seterusnya)
2. Cabang waris si mati (anak, cucu dan seterusnya) sama ada lelaki atau perempuan.

Siapakah yang terlibat dengan Hijab Nuqsan (Hadangan sebahagian)?

Hadangan sebahagian berlaku kepada lima orang ahli waris (semuanya terdiri dari ashabil-furudh), iaitu;

a) Ibu; dihadang dari bahagian sepertiga (1/3) kepada bahagian sepernam (1/6) dengan kewujudan cabang waris si mati (yakni anak atau cucu) dan dengan kewujudan saudara-saudara lelaki dan perempuan yang ramai (yakni dua atau lebih) sama ada saudara seibu-sebapa atau sebapa sahaja atau seibu sahaja.
b) Suami; dihadang dari bahagian seperdua (1/2) kepada bahagian seperempat (1/4) dengan kewujudan cabang waris isterinya sama ada hasil perkongsian hidup dengannya atau dengan lelaki lain.
c) Isteri; dihadang dari bahagian seperempat (1/4) kepada bahagian seperlapan (1/8) dengan kewujudan cabang waris suaminya sama ada hasil perkongsian hidup dengannya atau dengan wanita lain.
d) Cucu perempuan; dihadang dari bahagian seperdua (1/2) kepada bahagian sepernam (1/6) dengan kewujudan seorang anak perempuan si mati atau seorang cucu perempuan si mati yang lebih tinggi (yakni lebih hampir dengan si mati darinya) .
e) Saudara perempuan sebapa; dihadang dari bahagian seperdua (1/2) kepada sepernam (1/6) dengan kewujudan seorang saudara perempuan seibu-sebapa.

No comments: