السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

PESANAN NABI S.A.W.
"Sesiapa menempuh satu perjalanan untuk mencari suatu ilmu, Allah akan memudahkan untuknya jalan ke syurga" (Hadis riwayat Imam Muslim dari Abu Hurairah r.a.)

Saturday, June 27, 2009

SOLAT (MEMBERI SALAM)

Bagaimana menutup solat?

Solat ditutup dengan memberi salam dua kali; sekali ke kanan dan sekali ke kiri. Ini berdalilkan hadis dari ‘Amir bin Sa’ad meriwayatkan dari bapanya yang menceritakan; “Aku telah melihat Rasulullah s.a.w. memberi salam ke arah kanan dan ke arah kirinya sehingga aku dapat melihat putihnya pipi baginda” (Riwayat Imam Muslim).

Apakah lafaz salam?

Lafaz salam ialah;

السلام عليكم ورحمةُ الله
“Selamat sejahtera ke atas kamu sekelian berserta rahmat Allah”.

Lafaz salam ini berpandukan hadis dari Abdullah bin Mas’ud r.a. yang menceritakan; “Adalah Rasulullah s.a.w. memberi salam ke kanan dan ke kiri dengan menyebutkan;

السلام عليكم ورحمةُ الله
“Selamat sejahtera ke atas kamu sekelian berserta rahmat Allah”.
(Riwayat Imam at-Tirmizi. Menurut beliau, hadis ini hasan soheh).

Adakah kedua-dua salam diwajibkan?

Tidak. Salam yang diwajibkan ialah yang pertama sahaja. Adapun salam yang kedua hukumnya adalah sunat.

Bagaimana cara memberi salam yang sempurna?

Jika seseorang ingin memberi salam sekali sahaja, disunatkan ia memberi salam tanpa memaling ke kanan atau ke kiri, akan tetapi dengan mengadap ke hadapannya. Adapun jika ia ingin memeri dua kali salam, maka salam pertama ke sebelah kanan dan salam kedua ke sebelah kiri di mana ia memaling mukanya pada setiap kali memberi salam sehingga dapat dilihat pipinya oleh orang yang berada bersebelahan di belakangnya berdasarkan hadis yang disebutkan tadi.

Jika ia memberi kedua-dua salam dengan memaling ke kanan sahaja atau ke kiri sahaja atau kedua-duanya ke depan (tanpa memaling sama ada ke kanan atau ke kiri), atau ia memberi salam pertama dengan memaling ke kiri dan memberi salam kedua dengan memaling ke kanan, maka semua cara tersebut tidaklah membatalkan solatnya dan terhasil dua salam baginya namun ia tidak memperolehi pahala melakukan kaifiyat yang betul.

Makmum;bila masanya ia memberi salam?

Jika seseorang menunaikan solat berjamaah, hendaklah ia memberi salam selepas imamnya memberi salam. Jika ia memberi salam mendahului imamnya, batallah solatnya kecuali ia berniat mufaraqah (berpisah dari imamnya). Jika ia memberi salam serentak dengan imamnya, dalam masalah ini ada dua pandangan dari ulamak-ulamak mazhab Syafi’ie; (pandangan pertama); batal solatnya kecuali dengan niat mufaraqah, (pandangan kedua); tidak batal. Pandangan yang rajih menurut Imam Nawawi ialah yang kedua.

4 comments:

Hafiz said...

Salam Ustad,

Bagaimana dengan orang yang memberi salam dengan cara mengangguk terlebih dahulu baru dia memberi salam pertama dan begitulah sebelum salam kedua dia mengangguk juga..
sesudah itu dia menyapu muka pula, hal ini bnyk betul di kalangan masyarakat kita. Adakah ianya membatalkan solat atau ia bid'ah?

Harap ustad terangkan.

TKasih.
Salam.

Iffah Nasuha said...

Assalamualaikum ustaz,
Saya pernah belajar di sekolah agama tentang doa yang sunat dilakukan selepas memberi salam dalam solat.Namun saya terlupa apakah doa itu bolehkah ustaz beritahu saya.saya sudah cari namun tidak pasti yang mana satu.

Nur Iffah Nasuha Mohd Sulaiman
Tingkatan 2
Kolej Tunku Kurshiah

Aminul Rashid said...

Alhamdulillah sangat membantu. Sebelum ini saya pernah dengar yang wajib hanya sebut 'Assalamu'alaikum' dan 'warahmatullah' itu sunat shj. Tp Sebenarnya perkataan yg sebetulnya adalah secara penuh. Jazakallah khair Ustaz ^_^

saed said...

Assalam ustaz, sekiranya Salam selepas solat tadi di tambah sehingga .....warahmatullahi taalawabarakatuh adakah sah solat nya
Mohon pencerahan