السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

PESANAN NABI S.A.W.
"Sesiapa menempuh satu perjalanan untuk mencari suatu ilmu, Allah akan memudahkan untuknya jalan ke syurga" (Hadis riwayat Imam Muslim dari Abu Hurairah r.a.)

Saturday, June 27, 2009

Darah Nifas

Apa yang dimaksudkan darah nifas?

Darah nifas ialah darah yang keluar dari faraj wanita kerana melahirkan anak.

Adakah darah yang keluar sebelum lahirnya anak juga dikira darah nifas?

Sepakat para ulamak menyatakan bahawa darah yang keluar dari kemaluan wanita sebaik sahaja selepas melahirkan anak adalah darah nifas. Namun mereka berikhtilaf berkenaan darah yang keluar bersama dengan bayi atau sebelum kelahiran bayi; adakah termasuk darah nifas atau tidak?;

1. Bagi pandangan mazhab Syafi’ie; Darah nifas ialah darah yang keluar selepas lahirnya bayi sepenuhnya. Oleh demikian, darah yang keluar bersama bayi atau sebelumnya bukan darah nifas. Ia sama ada darah haid (jika ia sedang haid kerana mazhab Syafi’ie berpandangan harus wanita hamil kedatangan haid) atau darah fasad jika bukan haid.[1]

2. Di sisi mazhab Imam Ahmad; darah yang keluar dua hari atau tiga hari sebelum melahirkan anak yang disertai dengan rasa sakit, begitu juga darah yang keluar bersama dengan keluarnya bayi adalah dikira darah nifas sama seperti darah yang keluar selepasnya.

3. Mengikut mazhab Imam Malik pula; darah nifas ialah darah yang keluar ketika bersalin dan selepasnya. Adapun darah yang keluar sebelum bersalin, maka ia bukan darah nifas tetapi darah haid di sisi mereka.

Berapa lamakah tempoh paling pendek bagi darah nifas?

Terdapat khilaf di kalangan ulamak dalam masalah ini;

1. Mengikut mazhab Syafi’ie; tempoh nifas paling pendek (selepas seorang wanita melahirkan anak) ialah ialah seketika atau sedetik (لحظة).

2. Para fuqahak yang lain berpendapat; tidak ada had bagi tempoh minima nifas kerana tidak terdapat nas Syarak menentukannya.

Adalah tidak mustahil seorang wanita melahirkan anak tanpa keluar darah nifas sedikitpun. Terdapat riwayat menceritakan seorang wanita pada zaman Nabi s.a.w. melahirkan anak tanpa keluar darah nifas, lalu ia dipanggil dengan nama Zatil-Jufuf iaitu wanita yang kering.

Berapa lamakah tempoh paling panjang bagi darah nifas?

Masalah ini juga diikhtilafkan oleh ulamak;

1. Jumhur ulamak –merangkumi ulamak-ulamak sahabat, mazhab Imam Ahmad, Abu Hanifah, as-Sauri dan sebagainya- berpandangan; tempoh nifas yang paling panjang ialah 40 hari. Pandangan ini berdalilkan hadis dari Ummu Salamah r.a. yang menceritakan; “Wanita-wanita bersalin pada zaman Nabi s.a.w. menunggu (selepas bersalin) hingga 40 hari” (HR Imam at-Tirmizi).
Berdasarkan pandangan jumhur ini; wanita bersalin jika ia mendapati darah masih keluar dari kemaluannya walaupun selepas 40 hari, maka darah yang keluar selepas 40 hari itu bukan lagi darah nifas, akan tetapi darah penyakit (istihadhah). Oleh itu, selepas 40 hari itu hendaklah ia mandi wajib dan menunaikan solat walaupun darah masih keluar. Keadaannya sama seperti wanita yang istihadhah dan tertakluk dengan hukum-hakamnya sebagaimana yang akan diterangkan nanti.
2. Imam Syafi’ie dan mazhabnya mempunyai pandangan berbeza dari pandangan jumhur di atas di mana menurut beliau; tempoh maksima nifas ialah 60 hari. Jadi, jika seorang wanita darah bersalinnya berlarutan selepas 40 hari, mengikut pandangan ini; darah itu masih dianggap darah nifas sehinggalah 60 hari. Dalam tempoh 60 hari itu jika darah masih keluar, tidak harus ia mengerjakan solat, puasa dan sebagainya lagi dari ibadah-ibadah yang mensyaratkan bersuci. Jika selepas 60 hari darah masih lagi keluar, maka ketika itu barulah ia dianggap darah penyakit dan tertakluk dengan hukum-hakam istihadhah dan sulasul-baul sebagaimana di atas. Imam Syafi’ie berhujjah berdasarkan pengalaman, yakni menurut pengalaman dan pemerhatian beliau; terdapat wanita yang pernah mencapai tempoh nifas hingga 60 hari. Adapun tempoh 40 hari yang disebut oleh Ummu Salamah dalam hadis di atas, itu adalah tempoh kebiasaan nifas bagi kebanyakan wanita, bukan bermaksud tempoh maksimanya.

Bagaimana jika kelahiran melalui pembedahan?

Wanita yang melahirkan anak melalui pembedahan, jika keluar darah melalui farajnya selepas pembedahan itu, darah itu adalah darah nifas. Jika tidak ada darah yang keluar, tidak ada nifas baginya dan ia dikira suci. Kesimpulannya, sama ada seorang wanita itu bernifas atau tidak bergantung kepada keluar atau tidak darah dari farajnya selepas melahirkan anak, bukan bergantung kepada cara melahirkan iaitu melalui jalan biasa atau dengan pembedahan.

Bagaimana dengan suci antara hari-hari nifas? Adakah masih dianggap dalam nifas atau dianggap dalam suci?

Seorang wanita selepas bersalin melihat darah keluar dari farajnya lima hari, kemudian ia mendapati empat hari berikutnya darah berhenti, kemudian datang semula selepas itu selama lima hari; apa kedudukannya pada hari-hari ketiadaan darah itu, adakah ia suci atau masih dianggap bernifas?

Jawapannya; menurut pendapat ulamak-ulamak mazhab Syafi’ie; jika tempoh berhenti darah itu l5 hari atau lebih, maka ia dikira suci (yakni bersih dari nifas). Darah yang keluar selepas itu dikira darah haid. Adapun jika kurang dari 15 hari, maka ia masih dianggap berada dalam nifas mengikut pandangan yang rajih dalam mazhab. Jika ditakdirkan seorang wanita melahirkan anak tanpa keluar darah sedikitpun selepas bersalinnya dan keadaan itu berterusan hingga 15 hari, maka ia dianggap suci secara keseluruhannya. Jika keluar darah selepas 15 hari itu, maka darah itu dikira darah haid, bukan darah nifas. Dalam kes ini, wanita itu dianggap tidak bernifas.

Bagaimana dengan wanita yang melahirkan bayi kembar?

Bagi wanita yang melahirkan anak kembar, menurut mazhab Syafi’ie; nifasnya dikira selepas kelahiran bayi kedua. Adapun darah yang keluar selepas kelahiran bayi pertama ia tidak dianggap darah nifas, tetapi darah haid jika berbetulan dengan kebiasaan haidnya atau dikira darah fasad/illah jika tidak berbetulan dengan kebiasaan haidnya.

Bagaimana dengan wanita yang keguguran anak? Adakah darah yang keluar selepas gugur itu dikira darah nifas?

Persoalan ini menjadi perbahasan di antara ulamak;

1. Mazhab Syafi’ie berpandangan; tidak disyaratkan untuk dikira darah nifas bahawa bayi yang dilahirkan itu hidup atau sempurna kejadian. Asalkan bidan mengesahkan bahawa yang keluar itu adalah janin manusia maka sabitlah hukum nifas bagi darah yang keluar selepas keluarnya janin itu sekalipun janin itu belum menampakkan rupa manusia iaitu hanya berupa seketul daging semata-mata.

2. Menurut mazhab Imam Malik; seorang wanita dikira bernifas jika janin yang gugur itu telah berumur empat bulan. Jika yang gugur itu baru dalam peringkat ‘alaqah atau mudghah, maka tidak dikira nifas bagi darah yang keluar selepasnya.

Apakah hukum wanita yang berada dalam nifas?

Telah disepakati oleh sekelian ulamak (yakni telah berlaku ijmak) bahawa wanita yang menghadapi nifas hukumnya menyamai wanita yang haid. Oleh itu, dilarang/diharamkan ke atasnya perkara-perkara yang dilarang/diharamkan ke atas wanita yang kedatangan haid. Dan ia wajib mandi apabila kering darah nifasnya untuk membolehkannya melakukan solat, berjimak dengan suaminya dan sebagainya lagi dari perkara-perkara yang tidak harus ia lakukan melainkan setelah mandi wajib.

Nota Hujung;

[1]Para ulamak mazhab Syafi’ie memperincikan syarat darah nifas dengan penjelasan; hendaklah darah itu keluar selepas kosong rahim sepenuhnya dari bayi (yakni bayi telah keluar sepenuhnya dari rahim). Jika sebahagian sahaja badan bayi yang telah keluar dan masih tinggal sebahagian lagi yang belum keluar walaupun sedikit, maka darah yang keluar belum lagi dianggap darah nifas. Disyaratkan juga, darah itu keluar sebaik sahaja selepas kelahiran iaitu dalam tempoh lima belas hari. Adapun selepas 15 hari atau lebih baru darah keluar (yakni sebelum itu darah tidak keluar walaupun setitik), maka darah yang keluar itu tidak dianggap darah nifas. Ia dianggap darah haid.

Darah Haid

Berapa jeniskah darah yang keluar melalui kemaluan wanita (mengikut ilmu Fiqh Islam)?

Darah yang keluar melalui kemaluan wanita ada tiga jenis, iaitu;

1. Darah Haid
2. Darah Nifas
3. Darah Istihadhah

Pembahagian di atas telah menjadi ijmak ulamak (Lihat; Bidayatul Mujtahid, 1/69).

Apa yang dimaksudkan dengan darah haid?

Haid dari segi bahasa bermakna mengalir.

Adapun dari segi istilah ahli Fiqh, ia adalah darah yang mengalir keluar dari kemaluan wanita dari dalam rahimnya (uterus) kerana semulajadi (bukan kerana penyakit atau kerana selepas melahirkan anak). Keluarnya pada masa tertentu apabila seorang wanita telah mencapai umur tertentu.[1]

Apakah syarat-syarat darah haid?

Syarat-syarat darah haid ialah;

1. Warna darah yang keluar menepati ciri-ciri warna darah haid.
2. Seorang wanita itu telah mencapai umur kemungkinan haid. Maka darah yang keluar sebelum umur tersebut tidak dianggap haid.
3. Rahimnya kosong dari anak kerana wanita yang hamil tidak mungkin akan kedatangan haid mengikut jumhur ulamak (kecuali Syafi’ie dan Malik).
4. Hendaklah tempoh kedatangan haid tidak kurang dari tempoh minimanya.
5. Hendaklah kedatangannya tidak melebihi tempoh maksimanya.
6. Hendaklah kedatangannya didahului oleh tempoh suci yang paling pendek (iaitu 15 hari mengikut mazhab Syafi’ie) bagi wanita yang telah biasa kedatangan haid.

Jika darah yang keluar memenuhi syarat-syarat di atas, ia adalah darah haid. Jika tidak, maka ia bukan darah haid tetapi darah istihadhah.

Apakah warna darah haid?

Menurut ulamak; warna-warna darah haid ada lima, iaitu;
1. Hitam
2. Merah
3. Asyqar (warna antara merah dan kuning)
4. Kuning
5. Keruh

Kebiasaannya, mula-mula datang haid berwarna hitam, kemudian berubah kepada merah, kemudian antara merah dan kuning, kemudian kuning dan akhirnya keruh (yakni antara putih dan hitam).

Tanda habisnya haid ialah warna putih atau tiada sebarang warna. Apabila hilang semua warna-warna tadi sama ada kelihatan warna putih (seperti kapur putih yang disebut oleh Aisyah r.a. dalam hadisnya) atau tidak kelihatan sebarang warna, maka itu tandanya darah haid telah habis. Ketika itu, barulah ia boleh mandi dan melakukan ibadah sebagaimana wanita yang suci.

Bilakah warna kuning dan keruh dianggap haid dan bila pula tidak dianggap haid?

Warna kuning dan keruh hanya dianggap haid pada hari-hari kebiasaan haid. Ini berpandukan kepada hadis dari Saidatina Aisyah r.a. yang menceritakan; para wanita sahabat menghantar kepadanya satu bekas kecil berisi kapas yang terdapat padanya kesan kuning dan keruh dari haid. (*Tujuan mereka ialah meminta penjelasan darinya apakah mereka telah suci dari haid atau belum apabila yang masih tinggal pada faraj mereka hanyalah kesan kuning dan keruh). Lalu ‘Aisyah menjawab; “Janganlah kamu kamu tergesa-gesa (mandi wajib) sehinggalah kamu melihat seperti kapur putih”. (Riwayat Imam al-Bukhari)
Adapun selepas hari kebiasaan haid (yakni pada hari-hari suci), maka warna kedua-duanya tidak dianggap darah haid. Ini berdasarkan kenyataan Ummu ‘Athiyyah r.a. yang menyebutkan; “Kami tidak menghitung warna keruh dan juga kuning selepas suci (yakni setelah habis haid) sebagai sesuatu (dari darah haid)”. (Riwayat Imam Bukhari dan Abu Daud)

Berapakah umur kemungkinan datangnya haid?

Menurut jumhur ulamak (termasuk mazhab Syafi’ie, Hanafi, Hanbali dan kebanyakan ulamak mazhab Maliki); sekurang-kurang umur datangnya haid ialah sembilan tahun. Maka menurut pandangan ini, darah yang kelihatan sebelum sembilan tahun bukan darah haid, tetapi darah penyakit (istihadhah).

Sebahagian ulamak mazhab Maliki berpendapat; jika darah keluar dari kanak-kanak perempuan antara umur 9 hingga 13 tahun, hendaklah keadaannya ditanya kepada kaum wanita atau doktor yang berpengalaman. Jika mereka mengesahkan bahawa yang keluar adalah haid, maka darah itu adalah haid. Jika tidak, maka ia bukan darah haid.

Wanita yang kedatangan haid –jika umurnya telah genap sembilan tahun mengikut pandangan jumhur tadi-, ia dianggap telah baligh dan dituntut melaksanakan kewajipan-kewajipan Syarak. Ia sama seperti kanak-kanak lelaki yang baligh kerana mimpi hingga keluar mani. Bagi kanak-kanak yang tidak bermimpi atau datang haid, umur balighnya ialah 15 tahun, yakni apabila masuk umur 15 tahun, maka mereka dikira baligh sekalipun tidak datang haid atau tidak berlaku mimpi tersebut.

Berapakah umur putusnya haid?

Menurut mazhab Syafi’ie; tidak ada umur tetap bagi putusnya haid. Ia hendaklah dikiaskan kepada ahli-ahli keluarga terdekat bagi seorang wanita dari pihak bapa dan juga pihak ibu seperti ibu-ibu saudara sebelah bapa dan ibu-ibu saudara sebelah ibu. Hal tersebut kerana faktor keturunan. Namun jika perlu untuk dilihat kepada faktor umur, maka Imam Syafi’ie menganggarkan bahawa umur putus haid ialah selepas 62 tahun kerana ia adalah umur kebiasaannya wanita putus haid.

Mazhab Imam Abu Hanifah menetapkan umur putus haid sebagai 55 tahun. Selepas umur tersebut, darah yang keluar tidak lagi dinamakan haid mengikut pandangan yang terpilih dalam mazhab.

Menurut mazhab Maliki pula, umur putus haid dari 50 hingga 70 tahun. Jika darah masih keluar selepas umur 70 tahun, maka ia bukan haid tetapi istihadhah.

Mazhab Imam Ahmad pula menetapkan umur putus haid antara 50 hingga 60 tahun.antara dua tempoh ini merupakah tempoh syak di mana jika seorang wanita melihat darah semasa tempoh ini, maka ia tidak boleh berhenti dari ibadah sebagai langkah ihtiyat (berhati-hati) dan keluar dari khilaf. Namun jika umurnya genap 60 tahun dan darah masih keluar, maka darah yang dilihatnya bukan darah haid, tetapi istihadhah.

Apa yang perlu dilakukan oleh wanita yang telah putus haidnya?

Wanita yang telah putus haid, ia hendaklah bertindak sebagai perempuan yang suci sepanjang masa sama ada dari segi ibadah atau hukum-hakam yang lain. Dalam masalah eddah pula, ia hendaklah bereddah mengikut bulan, bukan mengikut bilangan haid atau bilangan suci lagi. Ini ditegaskan oleh Allah dalam firmanNya dalam surah al-Talaq, ayat 4.

Adakah perempuan mengandung ada kemungkinan datang haid?

Para ulamak berikhtilaf dalam masalah ini;

Menurut jumhur ulamak; perempuan mengandung tidak ada kemungkinan datangnya haid. Maka jika seorang wanita melihat darah keluar melalui farajnya semasa ia sedang mengangdung, darah itu bukan darah haid, tetapi darah penyakit.

Namun menurut Imam Syafi’ie, Malik dan al-Laits; perempuan mengandung ada kemungkinan datangnya haid. Menurut mereka; jika perempuan yang mengandung itu mendapati darah keluar dari farajnya dan keluarnya menepati hari-hari kebiasaan haidnya serta kelihatan ciri haid pada darah tersebut, maka darah itu adalah darah haid.

Berapa lamakah tempoh paling singkat berlakunya haid dan berapa pula tempoh paling panjang atau paling lama?

Dalam menentukan tempoh paling singkat dan tempoh paling panjang bagi haid, para ulamak berbeza pandangan;

1. Menurut Imam Syafi’ie, Atha dan Abu Thur; tempoh haid yang paling singkat ialah sehari semalam (yakni 24 jam) secara berterusan.[2] Tempoh kebiasaan wanita kedatangan haid ialah selama enam atau tujuh hari. Adapun tempoh paling panjang bagi haid ialah lima belas hari. Maka berdasarkan pandangan ini; jika darah yang datang kurang dari sehari semalam atau melebihi lima belas hari, maka ia bukan darah haid tetapi darah penyakit atau istihadhah.

2. Bagi Imam Abu Hanifah dan as-Sauri pula; tempoh haid paling singkat ialah tiga hari dan tempoh paling panjang ialah 10 hari.

3. Mengikut Imam Malik pula, tidak ada batasan bagi tempoh haid yang paling singkat, yakni ada kemungkinan haid datang sedetik sahaja. Adapun tempoh paling panjang, terdapat tiga riwayat dari beliau iaitu; 15 hari, 17 hari atau tiada batasan.

4. Menurut Imam Ibnu Taimiyyah; tidak perlu ditentukan tempoh paling singkat bagi haid dan juga tempoh paling lama baginya, akan tetapi dikira apa yang telah tetap menjadi kebiasaan bagi seorang wanita maka itulah tempoh haid baginya sekalipun tempoh itu kurang dari sehari atau lebih dari 15 hari atau 17 hari. Begitu juga tidak ada had bagi umur paling bawah untuk kedatangan haid dan juga umur paling lama/paling hujung. Sama juga, tidak ada had bagi sekurang-kurang masa suci antara dua haid. Menurut beliau lagi; bagi perempuan yang mula-mula kedatangan haid (مبتدأة), maka dikira/dihitung sebagai haid darah yang ia lihat selagi ia tidak menjadi mustahadhah (yakni perempuan yang kedatangan istihadhah iaitu darah yang keluar bukan pada masa yang sepatutnya). Begitu juga, perempuan yang berubah kebiasaan hari-hari haidnya (yakni hari-hari kebiasaan haidnya berubah sama ada bertambah atau berkurang atau bertukar pada hari-hari yang lain), maka perubahan itu adalah dikira haid sehinggalah ia mengetahui bahawa darah yang keluar itu bukan haid, tetapi istihadhah kerana darah yang keluar berterusan tanpa henti.

Suci di antara hari-hari kebiasaan haid; adakah dianggap haid atau tidak?

Dalam persoalan ini terdapat khilaf di kalangan ulamak;

a) Mazhab Syafi’ie dan Abu Hanifah berpendapat; suci yang berlaku pada hari-hari haid dikira sebagai haid. Oleh demikian, jika seorang wanita mendapati satu hari keluar darah dan satu hari berikutnya suci (di mana ia mengetahui suci itu sama ada dengan keringnya darah atau dengan ia meletakkan kapas dan tiada kesan darah haid pada kapas), kemudian hari berikutnya datang semula darah, maka menurut pandangan ini keseluruhan hari adalah haid.

Berkata Imam Khatib as-Syirbini dalam al-Iqna’; “Suci antara darah-darah sama ada dalam tempoh minima haid (iaitu sehari semalam) atau lebih adalah dikira haid kerana mengikutinya (yakni mengikuti haid), tetapi dengan beberapa syarat, iaitu;
a) Tempoh suci itu tidak melebihi 15 hari.[3]
b) Darah-darah haid (yang keluar secara keseluruhannya) tidak kurang dari tempoh minima haid iaitu sehari semalam.
c) Suci itu hendaklah dikelilingi antara dua darah haid”.

b) Mazhab Maliki dan Hanbali pula berpandangan; hari suci antara hari-hari kebiasaan haid adalah dikira suci. Oleh demikian, seorang wanita pada hari suci tersebut hendaklah mandi dan menunaikan solat, harus ia berpuasa, beriktikaf, membaca al-Quran dan tidak ditegah suaminya mensetubuhinya pada hari suci itu.

Apakah larangan-larangan Syarak ke atas wanita yang kedatangan haid?

Wanita kedatangan haid dilarang/diharamkan oleh Syarak untuk melakukan perkara-perkara berikut;

a) Mengerjakan solat
b) Melakukan tawaf
c) Menyentuh mushaf dan membawanya
d) Membaca al-Quran
e) Berhenti atau menetap di dalam masjid (termasuk beriktikaf)
f) Melintasi masjid jika dikuatiri akan mencemarkan masjid
g) Berpuasa
h) Bersetubuh dengan suami
i) Dijatuhkan talak ke atasnya

(*Untuk mendapatkan keterangan lebih terperinci sila baca dalam Bab Hadas yang dikemukakan sebelum ini)

Semua larangan di atas tidak terangkat kecuali setelah mandi wajib melainkan tiga larangan sahaja iaitu; puasa, talak dan melintasi masjid di mana ketiga-tiga larangan ini terangkat sebaik sahaja kering darah haid atau nifas, iaitu tidak disyaratkan selepas mandi barulah perkara-perkara tersebut harus dilakukan.

Bilakah wanita haid dibolehkan mandi wajib?

Bila ia mendapati darah haidnya telah habis, yakni telah kering. Sabda Nabi s.a.w. dalam hadis ‘Aisyah r.a. (mengikut satu riwayat darinya); “Apabila haid kamu telah habis, maka mandilah dan tunaikanlah solat”.

Apakah caranya untuk memastikan darah haid benar-benar habis?

Hendaklah dilakukan pemeriksaan terhadap faraj, iaitu dengan memasukkan cebisan kain, kapas atau sebagainya ke dalam faraj dan melihat sama ada masih terdapat kesan darah haid atau tidak. Jika tidak ada kesan darah haid sama ada tidak nampak sebarang warna pada kain/kapas tersebut atau nampak warna putih seperti kapur, maka ketika itu barulah diharuskan mandi. Jika masih ada sebarang kesan warna darah atau warna kuning atau keruh, tidak harus mandi lagi kerana darah haid belum habis.

Kaedah pemeriksaan di atas diambil daripada amalan wanita-wanita sahabat sebagaimana yang diceritakan oleh Saidatina ‘Aisyah r.a.; “Wanita-wanita sahabat menghantar kepadanya satu bekas kecil berisi kapas yang terdapat padanya kesan kuning dan keruh dari haid. (*Tujuan mereka ialah meminta penjelasan darinya apakah mereka telah suci dari haid atau belum apabila yang masih tinggal pada faraj mereka hanyalah kesan kuning dan keruh). Lalu ‘Aisyah menjawab; “Janganlah kamu kamu tergesa-gesa (mandi wajib) sehinggalah kamu melihat seperti kapur putih” (HR Imam al-Bukhari dan Imam Malik).

Nota Hujung;

[1] Takrif ini adalah hasil gabungan pelbagai takrif ulamak. Lihat; al-Haidh wa an-Nifas wa Ahkami at-Taharah Lin-Nisa’, Ibrahim Muhammad Jamal, hlm. 18-19.
[2] Tidak disyaratkan berterusan itu dengan darah kelihatan mengalir keluar. Memadai dengan diketahui bahawa darah itu ada iaitu sekira-kira jika diletakkan kapas atau kain, akan terlihatlah kesan darah padanya.
[3] Jika seorang wanita mu’tadah melihat darah berwarna hitam selama lima hari, kemudian ia suci 15 hari, kemudian ia lihat selepas itu darah kuning selama lima hari pula, maka darah kuning itu adalah haid. Adapun tempoh 15 hari di antara darah hitam dan darah kuning itu dikira sebagai tempoh suci yang sempurna. (Ahkam at-Taharah, hlm. 67)

Solat Terawih

Apa itu solat Terawih?

Solat Terawih adalah solat yang dilakukan pada setiap malam di bulan Ramadhan selepas menunaikan solat Isyak dan sebelum solat witir. Ia disunatkan kepada kaum lelaki dan juga wanita.

Solat Terawih sentiasa dilakukan oleh Nabi s.a.w. dan baginda menggalakkan kaum muslimin supaya mengerjakannya. Begitu juga, para sahabat dan tabi’in selepas baginda. Ia adalah antara syi’ar di bulan Ramadhan yang mempunyai fadhilat yang amat besar di sisi Allah. Di dalam hadis soheh, Rasulullah s.a.w. bersabda;

مَنْ قَامَ رَمَضَانَ إِيْمَانَاً وَاحْتِسَاباً غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ
“Sesiapa mengerjakan qiyam Ramadhan kerana imannya kepada Allah dan kerana mengharapkan pahala dariNya, akan diampunkan dosanya yang lalu”. (Riwayat Imam Bukhari, Muslim, Abu Daud, at-Tirmizi, an-Nasai dan Ibnu Majah dari Abu Hurairah r.a.)[1]

Maksud qiyam Ramadhan di dalam hadis di atas ialah menghidupkan malam-malam Ramadhan dengan ibadah. Menurut ulamak, secara khususnya qiyam Ramadhan terhasil dengan mengerjakan solat Terawih iaitu solat sunat yang disyari’atkan khusus dalam bulan Ramadhan. Namun secara umumnya segala jenis ibadah yang dilakukan pada malam-malam Ramadhan dengan niat untuk menghidupkan malam-malam itu sama ada ibadah itu berupa solat sunat, bacaan al-Quran, berzikir, menuntut ilmu dan sebagainya, semuanya dapat dianggap sebagai qiyam Ramadhan.[2]

Berapa bilangan rakaat solat Terawih?

Segolongan ulamak berpendapat; bilangan rakaat solat Terawih ialah 11 rakaat termasuk witir. Mereka berdalilkan hadis dari Saidatina ‘Aisyah yang menceritakan;

ما كان رَسُول اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيهِ وَسَلَّم يزيد في رمضان ولا في غيره على إحدى عشرة ركعة
“Rasululllah s.a.w. tidak pernah menunaikan solat sama ada di bulan Ramadhan atau bulan lainnya melebihi dari 11 rakaat”. (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

Jumhur ulamak-ulamak mazhab Imam Syafi’ie, Imam Abu Hanifah dan Ahmad bin Hanbal berpandangan; bilangan rakaat solat Terawih ialah 20 rakaat tidak termasuk witir. Mereka berhujjah dengan hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Baihaqi dan lainnya dengan isnad yang soheh dari sahabat yang bernama as-Saib bin Yazid r.a. (السائب بن يزيد) yang menceritakan;

كانوا يقومون على عهد عمر في شهر رمضان بعشرين ركعة
“Umat Islam pada zaman Umar menunaikan solat Terawih di bulan Ramadhan 20 rakaat”.

Begitu juga, Imam Malik meriwayatkan dalam al-Muwatta’ dari Yazid bin Ruman;

كان الناس يقومون في زمان عمر بن الخطاب بثلاث وعشرين ركعة
“Orang ramai menunaikan solat Terawih pada zaman Umar bin al-Khattab sebanyak 23 rakaat (iaitu 20 rakaat Terawih dan 3 rakaat Witir)”.

Bagi Imam Malik; solat Terawih ialah 36 rakaat tidak termasuk witir. Beliau berhujjah dengan amalan penduduk Madinah. Berkata Imam Nafi’; “Aku mendapati orang ramai menghidupkan malam Ramadhan dengan (mengerjakan solat) 39 rakaat, mereka berwitir dengan tiga rakaat darinya”.

Jadi dalam mengerjakan solat Terawih ini terdapat keluasan bagi umat Islam. Mereka boleh memilih sama ada ingin mengerjakan 11 rakaat sebagaimana yang dilakukan oleh Nabi s.a.w., atau 23 rakaat sebagaimana yang dilakukan oleh kaum muslimin di zaman Umar r.a. atau mengerjakan 39 rakaat sebagaimana amalan penduduk Madinah.

Berkata Syeikh Mahmud Khattab as-Subki dalam kitabnya ad-Din al-Khalis; “Beramal sebagaimana yang dikerjakan pada zaman Nabi s.a.w., Abu Bakar r.a. dan awal pemerintahan Umar r.a. adalah lebih utama dan lebih baik iaitu dikerjakan solat Terawih sebanyak lapan atau sepuluh rakaat tidak termasuk witir. Yang afdhal berikutnya ialah menunaikannya sebanyak dua puluh rakaat sebagaimana yang diamalkan di hujung pemerintahan Umar r.a. dan pada zaman pemerintahan Usman dan Ali r.a.. Qiyam Ramadhan (yakni solat Terawih) adalah ibadah yang digalakkan (yakni sunat) dan tidak terdapat nas dari Syarak yang membataskan bilangan rakaatnya. Sesungguhnya Nabi s.a.w. telah bersabda;

عليكم بسنتي وسنة الخلفاء المهديِّين الراشدين تمسكوا بها وعضُّوا عليها بالنَّواجذ
“Hendaklah kamu berpegang dengan sunnahku dan sunnah para Khulafak yang mendapat petunjuk (selepasku). Berpegang lah dengannya dan gigitlah ia dengan geraham-geraham kamu…”. (Riwayat Imam Muslim dan Abu Daud dari Abi Najih al-‘Irbadh bin Sariyah r.a.)[3]

Mana lebih baik, melakukannya bersendirian atau berjamaah?

Jumhur ulamak berpandangan; menunaikan solat Terawih di Masjid secara berjamaah adalah lebih baik dari mengerjakannya di rumah sendirian kerana solat secara berjamaah adalah salah satu dari syi’ar Islam sebagaimana solat hari raya dan juga kerana banyak pahalanya di mana ia melebihi dari solat sendirian sebanyak 27 darjat.

Para zaman Nabi s.a.w., para sahabat baginda mengerjakannya secara berjamaah di Masjid. Malah Nabi s.a.w. juga turut berjamaah bersama mereka walaupun diperingkat awalnya sahaja iaitu selama tiga malam. Sama halnya pada zaman Khulafak ar-Rasyidin iaitu solat Terawih dikerjakan berjamaah di masjid.

Imam Muslim meriwayatkan dari Saidatina Aisyah r.a. yang menceritakan:

أَنَّ رَسُولَ اللهِ -صَلَّى اللهُ عَلَيهِ وَسَلَّمَ- خَرَجَ مِنْ جَوْفِ اللَّيْلِ فَصَلَّى فِي الْمَسْجِدِ، فَصَلَّى رِجَالٌ بِصَلاَتِهِ، فَأَصْبَحَ النَّاسُ يَتَحَدَّثُونَ بِذَلِكَ، فَاجْتَمَعَ أَكْثَرُ مِنْهُمْ فَخَرَجَ رَسُولُ اللهِ -صَلَّى اللهُ عَلَيهِ وَسَلَّمَ- فِي اللَّيْلَةِ الثَّانِيَةِ، فَصَلُّوْا بِصَلاَتِهِ، فَأَصْبَحَ النَّاسُ يَذْكُرُونَ ذَلِك، فَكَثُرَ أَهْلُ الْمَسْجِدِ مِنَ اللَّيْلَةِ الثَّالِثَةِ، فَخَرَجَ فَصَلُّوْا بِصَلاَتِهِ، فَلَمَّا كَانَتِ اللَّيْلَةُ الرَّابِعَةُ عَجَزَ الْمَسْجِدُ عَنْ أَهْلِهِ، فَلَمْ يَخْرُجْ إِلَيْهِمْ رَسُولُ اللهِ -صَلَّى اللهُ عَلَيهِ وَسَلَّمَ- فَطَفِقَ رِجَالٌ مِنْهُمْ يَقُولُونَ: الصَّلاَة، فَلَمْ يَخْرُجْ إِلَيْهِمْ رَسُولُ اللهِ -صَلَّى اللهُ عَلَيهِ وَسَلَّمَ- حَتَّى خَرَجَ لِصَلاَةِ الْفَجْرِ.فَلَمَّا قَضَى الْفَجْرَ أَقَبْلَ عَلَى النَّاسِ، ثُمَّ تَشَهَّدَ، فَقَالَ: "أَمَّا بَعْدُ، فَإِنَّهُ لَمْ يَخْفَ عَلَيَّ شَأْنُكُمُ اللَّيْلَةَ، وَلَكِنِّي خَشِيتُ أَنْ تُفْرَضَ عَلَيْكُمْ صَلاَةُ اللَّيْلِ فَتَعْجِزُوا عَنْهَا.
“Rasulullah s.a.w. keluar pada satu malam (di bulan Ramadhan) ke masjid, lalu menunaikan solat (yakni solat qiyam Ramadhan atau Terawih). Beberapa lelaki (yang kebetulan berada di dalam masjid) ikut sama bersolat dengan baginda. (Besoknya) orang ramai bercakap-cakap tentang hal itu menyebabkan lebih ramai yang berkumpul di masjid (pada malam kedua). Rasulullah s.a.w. keluar pada malam kedua (untuk menunaikan solat) dan orang ramai turut bersolat dengan baginda. (Besoknya) orang ramai menyebut-nyebut lagi hal itu, menyebabkan semakin ramai yang datang ke masjid pada malam ketiga. Rasulullah s.a.w, keluar lagi (pada malam ketiga untuk menunaikan solat) dan orang ramai turut bersolat dengan baginda. Pada malam ke empat, (semakin ramai yang datang) sehingga masjid menjadi sempit sehingga tidak dapat menampung orang ramai. Namun pada malam ke empat itu Rasulullah tidak keluar. Walaupun beberapa lelaki melaungkan “as-Solah!”, baginda tetap tidak keluar. Sehinggalah (apabila menjelang subuh) barulah baginda keluar untuk menunaikan solat subuh. Selesai mengerjakan solat subuh, baginda mengadap orang ramai dan berucap kepada mereka; ‘Sesungguhnya aku mengetahui keadaan kamu malam tadi. Namun (aku sengaja tidak keluar untuk mengerjakan solat bersama kamu kerana) aku bimbang akan difardhukan ke atas kamu solat malam, lalu kamu tidak mampu mengerjakannya’”. (Riwayat Imam Muslim)

Sebahagian ulamak mazhab Syafi’ie dan Maliki berpendapat; mengerjakan solat Terawih di rumah adalah lebih baik kerana Rasulullah s.a.w. bersabda;

صلوا أيها الناس في بيوتكم؛ فإن أفضل الصلاة صلاة المرء في بيته إلا المكتوبة
“Tunaikanlah solat wahai sekelian manusia di rumah-rumah kamu. Sesungguhnya solat yang paling baik ialah solat yang dikerjakan oleh seseorang di rumahnya kecuali solat fardhu”. (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim dari Zaid bin Tsabit r.a.)

Sebahagian ulamak yang lain pula membuat perincian bagi masalah ini untuk menghimpun antara hadis-hadis di atas di mana menurut mereka; jika sekiranya seorang muslim itu penghafal al-Quran dan tidak ada sebarang gangguan (di rumah) yang akan menghalangnya dari solat terawikh serta ia tidak rasa khuatir akan lumpuh solat di Masjid tanpa kehadirannya, maka baginya solat di rumah adalah lebih utama. Namun jika dikhutiri perkara-perkara tersebut berlaku, maka solat di Masjid adalah lebih utama.[4]

Bacaan di dalam solat Terawih

Disunatkan memanjangkan bacaan al-Quran di dalam solat terawih, begitu juga di di dalam solat-solat yang lain sama ada solat fardhu atau sunat. Ini kerana Rasulullah s.a.w. bersanda;
أفضل الصلاة طول القنوت
“Solat yang paling baik ialah yang lama berdirinya” (HR Imam Ahmad dan Muslim dari Jabir r.a.).

Maksud lama berdiri itu ialah; memanjangkan bacaan al-Quran di dalam solat kerana tempat bacaan al-Quran di dalam solat ialah ketika kita berdiri (sebelum ruku’).[5]

Namun jika kita menjadi imam hendaklah mengambil kira keadaan makmum di belakang kita. Janganlah keterlaluan memanjangkan bacaan hingga menyusahkan makmum di belakang kerana ada di antara mereka yang dhaif, tua, sakit, sibuk dan sebagainya. Sebaliknya hendaklah dipendekkan bacaan sesuai dengan keadaan makmum itu.

Sabda Nabi s.a.w.;

إذا صلى أحدكم للناس فليخفف؛ فإن فيهم الضعيف والسقيم والكبير، وإذا صلى أحدكم لنفسه فليطول ما شاء
“Jika seseorang dari kamu menunaikan solat dengan orang ramai (yakni menjadi imam kepada mereka), hendaklah ia meringankan solatnya kerana di kalangan mereka itu ada yang dhaif/lemah, sakit dan tua. Tetapi jika ia menunaikan solat seorang diri, maka perpanjangkanlah solatnya mengikut yang ia kehendaki” (HR Imam al-Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah r.a.).

Namun perlu diingatkan; maksud memendekkan bacaan bukanlah dengan terlalu pendek seperti membaca satu ayat yang pendek umpamanya membaca “سبح اسم ربك الأعلى”, kemudian terus ruku’. Sekurang-kurangnya ialah dengan membaca satu surah yang pendek seperti surah al-Kausar, al-Kafirun, al-Ikhlas dan seumpamanya atau membaca tiga ayat yang menyamai panjang surah-surah pendek itu atau membaca satu ayat panjang yang menyamainya.

Rujukan;

1. Al-Jami’ as-Saghier, Imam as-Suyuti dan Syarahnya Faidhul-Qadier, Imam al-Minawi.
2. Nailul-Authar, Imam as-Syaukani, juz. 3, bab Solati at-Tarawikh.
3. Soheh Muslim Bisyarhi an-Nawawi, juz. 6, hlm. 46.
5. Al-Fiqh al-Wadhih, Dr. Muhammad Bakr Ismail, jil. 1, hlm. 261-265.

Nota hujung;

[1] Al-Jami’ as-Saghier, hadis no. 8901.
[2] Rujuk: Nailul-Authar (juz. 3, bab Solati at-Tarawikh), Faidhul-Qadier (hadis no. 8901), Soheh Muslim Bisyarhi an-Nawawi (juz. 6, hlm. 46).
[3] Ad-Din al-Khalis, juz. 5, hlm. 162 (Dinaqalkan dari kitan al-Fiqh al-Wadhih, jil. 2, hlm. 623).
[4] Al-Fiqh al-Wadhih, Dr. Muhammad Bakr Ismail, jil. 1, hlm. 264.
[5] Faidhul-Qadier, hadis no. 1275.

SUNAT SELEPAS SOLAT

Apa yang sunat kita lakukan selepas solat?

Disunatkan kita beristighfar, berzikir dan berdoa. Ini berdalilkan hadis di bawah;

1. Tsauban r.a. menceritakan; “Adalah Rasulullah s.a.w. apabila selesai dari solatnya, baginda beristighfar sebanyak tiga kali…” (HR Imam Muslim). Ditanya kepada Imam al-Auza’ie –yang menjadi salah seorang perawi hadis ini-; ‘Bagaimana cara istighfar?’. Jawab beliau; “اسْتَغْفِرُ اللَّه، اسْتَغْفِرُ اللَّه”. (al-Azkar, Imam Nawawi).

2. Ibnu Abbas r.a. menceritakan; “Kami mengetahui selesainya Rasulullah s.a.w. menunaikan solat dengan bunyi takbir (yakni alunan “الله أكبر، الله أكبر” yang diucapkan sebaik sahaja selesai solat). Dalam riwayat yang lain, Ibnu Abbas juga pernah menceritakan; “Sesungguhnya meninggikan suara dengan berzikir apabila orang ramai selesai dari menunaikan solat fardhu adalah biasa dilakukan pada zaman Rasulullah s.a.w.”. Ibnu Abbas berkata lagi; “Apabila aku mendengarnya maka tahulah aku bahawa mereka sudah selesai menunaikan solat”. (Riwayat Imam Bukhari dan Imam Muslim).

3. Dari Abu Umamah r.a. menceritakan; “Telah ditanya kepada Rasulullah s.a.w.; “Doa di waktu manakah yang paling didengar oleh Allah?”. Jawab Rasulullah s.a.w.; “Doa di akhir malam dan doa setiap kali selepas solat fardhu”. (Riwayat Imam At-Tirmizi. Menurut beliau; hadis ini adalah hasan).

SOLAT (MEMBERI SALAM)

Bagaimana menutup solat?

Solat ditutup dengan memberi salam dua kali; sekali ke kanan dan sekali ke kiri. Ini berdalilkan hadis dari ‘Amir bin Sa’ad meriwayatkan dari bapanya yang menceritakan; “Aku telah melihat Rasulullah s.a.w. memberi salam ke arah kanan dan ke arah kirinya sehingga aku dapat melihat putihnya pipi baginda” (Riwayat Imam Muslim).

Apakah lafaz salam?

Lafaz salam ialah;

السلام عليكم ورحمةُ الله
“Selamat sejahtera ke atas kamu sekelian berserta rahmat Allah”.

Lafaz salam ini berpandukan hadis dari Abdullah bin Mas’ud r.a. yang menceritakan; “Adalah Rasulullah s.a.w. memberi salam ke kanan dan ke kiri dengan menyebutkan;

السلام عليكم ورحمةُ الله
“Selamat sejahtera ke atas kamu sekelian berserta rahmat Allah”.
(Riwayat Imam at-Tirmizi. Menurut beliau, hadis ini hasan soheh).

Adakah kedua-dua salam diwajibkan?

Tidak. Salam yang diwajibkan ialah yang pertama sahaja. Adapun salam yang kedua hukumnya adalah sunat.

Bagaimana cara memberi salam yang sempurna?

Jika seseorang ingin memberi salam sekali sahaja, disunatkan ia memberi salam tanpa memaling ke kanan atau ke kiri, akan tetapi dengan mengadap ke hadapannya. Adapun jika ia ingin memeri dua kali salam, maka salam pertama ke sebelah kanan dan salam kedua ke sebelah kiri di mana ia memaling mukanya pada setiap kali memberi salam sehingga dapat dilihat pipinya oleh orang yang berada bersebelahan di belakangnya berdasarkan hadis yang disebutkan tadi.

Jika ia memberi kedua-dua salam dengan memaling ke kanan sahaja atau ke kiri sahaja atau kedua-duanya ke depan (tanpa memaling sama ada ke kanan atau ke kiri), atau ia memberi salam pertama dengan memaling ke kiri dan memberi salam kedua dengan memaling ke kanan, maka semua cara tersebut tidaklah membatalkan solatnya dan terhasil dua salam baginya namun ia tidak memperolehi pahala melakukan kaifiyat yang betul.

Makmum;bila masanya ia memberi salam?

Jika seseorang menunaikan solat berjamaah, hendaklah ia memberi salam selepas imamnya memberi salam. Jika ia memberi salam mendahului imamnya, batallah solatnya kecuali ia berniat mufaraqah (berpisah dari imamnya). Jika ia memberi salam serentak dengan imamnya, dalam masalah ini ada dua pandangan dari ulamak-ulamak mazhab Syafi’ie; (pandangan pertama); batal solatnya kecuali dengan niat mufaraqah, (pandangan kedua); tidak batal. Pandangan yang rajih menurut Imam Nawawi ialah yang kedua.