السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

PESANAN NABI S.A.W.
"Sesiapa menempuh satu perjalanan untuk mencari suatu ilmu, Allah akan memudahkan untuknya jalan ke syurga" (Hadis riwayat Imam Muslim dari Abu Hurairah r.a.)

Monday, August 4, 2008

ZAKAT (Muqadimah 6; Nisab)

Apa maksud nisab?

Nisab bermaksud kadar yang ditetapkan Syarak untuk dikenakan zakat. Nisab berbeza melihat kepada jenis harta yang diwajibkan zakat dan akan dijelaskan nanti. Contohnya; nisab zakat pertanian yang ditetapkan Syarak ialah 5 ausuq (menyamai 1000 kg). Maka petani yang memperolehi hasil padi menyamai kadar ini atau melebihinya, wajiblah ia mengeluar zakat. Jika kurang dari kadar ini, tidak wajiblah ia mengeluarkan zakat.

Bagaimana dengan harta syarikat/kongsi? Adakah nisab dikira berdasarkan nilai keseluruhan harta syarikat atau hak masing-masing?

Ulamak berbeza pandangan;

1. Menurut Imam Syafi’ie; harta milik bersama hukumnya sama seperti harta individu. Apabila harta milik bersama mencukupi nisab, maka wajib dikeluarkan zakat darinya sekalipun jika diagihkan, pemilikan setiap ahli yang berkongsi kurang dari nisab. Hukum ini sama bagi semua jenis harta yang wajib dizakati.

2. Mengikut Imam Malik dan Abu Hanifah; setiap ahli perkongsian wajib membayar zakat bagi bahagian masing-masing jika bahagiannya mencukupi nisab. Jika tidak mencukupi nisab, tidak wajib zakat ke atasnya sekalipun jika dicampur dengan bahagian ahli-ahli perkongsian yang lain, jumlah harta itu akan sampai nisab atau lebih dari nisab.

No comments: