السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

PESANAN NABI S.A.W.
"Sesiapa menempuh satu perjalanan untuk mencari suatu ilmu, Allah akan memudahkan untuknya jalan ke syurga" (Hadis riwayat Imam Muslim dari Abu Hurairah r.a.)

Saturday, August 30, 2008

ZAKAT FITRAH (1)

Muqadimah

Zakat fitrah adalah zakat yang diwajibkan bersempena dengan bulan Ramadhan dan juga hari raya Fitrah (aidil-Fitr). Ia merupakan zakat “diri” dan bukan zakat “harta” seperti zakat-zakat lain. Dinamakan juga dengan zakat al-Abdan dan ar-Ru,us (zakat badan dan kepala) kerana ia diwajibkan ke atas setiap batang tubuh orang Islam sama ada kecil atau besar, tua atau muda, lelaki atau wanita, miskin atau kaya, merdeka atau hamba tanpa kecuali. Di antara dalil wajibnya zakat fitrah ini ialah hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Umar r.a. yang menceritakan;

“Rasulullah s.a.w. telah memfardhukan zakat fitrah iaitu segantang tamar atau segantang gandum ke atas hamba dan orang merdeka, lelaki dan perempuan, kecil dan besar dari kalangan umat Islam. Baginda memerintahkan supaya ia ditunai sebelum orang ramai keluar pergi menunaikan sembahyang (hari raya)” (Riwayat Imam Bukhari).

Menurut jumhur ulama’ Salaf dan juga Khalaf, maksud “فرض” dalam hadis di atas ialah “ألزم وأجب” (memestikan dan mewajibkan). Menurut Imam Ibnu al-Mundzir; “Telah menjadi ijma’ para ulama’ bahawa zakat fitrah hukumnya adalah wajib”. Walaupun tidak dinafikan ada segelintir ulama’ berpandangan bahawa zakat Fitrah adalah sunnah, namun menurut Imam Nawawi dalam Raudhatu at-Thalibin, pandangan mereka ini adalah syaz dan munkar.

Di kalangan orang Arab, istilah yang popular digunakan ialah Zakat al-Fitr atau Sadaqat al-Fitr yang mengambil sempena al-Fitr (الْفِطْر) iaitu penamatan puasa Ramadhan selama sebulan penuh di mana zakat al-Fitr diwajibkan bersempena dengan penamatan tersebut. Namun istilah yang popular di kalangan masyarakat Melayu ialah Zakat Fitrah iaitu mengambil kalimah al-Fitrah (الفطرة) yang bermaksud al-Khilqah (yakni kejadian) kerana zakat ini menyuci dan membersihkan fitrah atau kejadian manusia.

Dari segi tahun diwajibkan, zakat Fitrah diwajibkan pada tahun ke dua hijrah iaitu pada tahun yang sama diwajibkan puasa bulan Ramadhan.

(Rujukan bagi maklumat di atas; al-Iqna’ fi halli alfazi Abi Syuja’, jil. 1, hlm. 324, Kifayatul Akhyar, hlm. 186, al-Majmu’, jil. 6, hlm. 85, al-Fiqh al-Wadhih, jil. 1, hlm. 515, Pengurusan Zakat, Mahmood Zuhdi, hlm. 371)

No comments: