السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

PESANAN NABI S.A.W.
"Sesiapa menempuh satu perjalanan untuk mencari suatu ilmu, Allah akan memudahkan untuknya jalan ke syurga" (Hadis riwayat Imam Muslim dari Abu Hurairah r.a.)

Monday, July 7, 2008

PUASA (SIAPA WAJIB BERPUASA?)

Siapa yang diwajibkan puasa?

1. Orang yang telah baligh; tidak wajib puasa ke atas kanak-kanak yang belum baligh. Namun digalakkan berpuasa jika telah mencapai umur mumayyiz.

2. Orang berakal waras; tidak wajib puasa ke atas orang gila atau tidak siuman.

3. Tidak ada keuzuran; keuzuran yang menggugurkan kewajipan puasa ada dua jenis;
a) Keuzuran yang menegah dari sahnya puasa
b) Keuzuran yang mengharuskan berbuka puasa.

Apakah keuzuran yang menegah dari sahnya puasa?

1. Kedatangan haid atau nifas; wanita yang kedatangan haid atau nifas pada mana-mana waktu di siang hari di bulan Ramadhan, batallah puasanya.

2. Gila; seorang yang menjadi gila pada mana-mana waktu di siang hari, maka batallah puasanya pada hari tersebut.

3. Pengsan di sepanjang hari penuh; jika ia tersedar pada mana-mana waktu di siang hari, maka hilang keuzurannya dan ia wajib menahan diri (yakni berpuasa) dalam waktu yang masih tinggal.

Apakah tidur akan membatalkan puasa?

Tidur tidak membatalkan puasa sekalipun seseorang itu tidur sepanjang hari.

Adalah mabuk membatalkan puasa?

Orang mabuk hukumnya sama seperti orang pengsan di mana jika seseorang berniat puasa lalu ia meminum ubat –sebagai contohnya-, kemudian hilang akalnya (yakni mabuk) pada siangnya dengan sebab ubat itu, maka jika tersedar pada mana-mana waktu pada siang tersebut, sahlah puasanya. Jika tidak, batallah puasanya dan wajib atasnya qadha’. Begitu juga, seorang yang minum arak pada waktu malam, kemudia ia kekal mabuk sepanjang hari, maka batallah puasanya dan wajib atasnya qadha’. Jika ia sedar pada mana-mana waktu pada siang hari, maka hukumnya sama seperti seorang yang pengsan hanya pada sebahagian hari.

Apakah keuzuran-keuzuran yang mengharuskan berbuka puasa?

1. Sakit; orang yang sakit di mana puasa mendatangkan kepayahan baginya atau boleh menambah kesakitan atau menyebabkan lambat sembuh, harus baginya berbuka puasa. Jika dibimbangi boleh membawa maut, wajiblah ia berbuka. Begitu juga, harus berbuka bagi orang sihat jika dengan berpuasa dibimbangi akan menimbulkan penyakit.

2. Musafir; orang yang berada perjalanan atau permusafiran dan jarak perjalanannya mengharuskan qasar dan jamak, harus ia berbuka puasa, namun mengekalkan puasa adalah lebih baik.

3. Tidak mampu berpuasa; sama ada kerana tua atau kerana sakit yang tidak ada lagi harapan untuk sembuh atau kerana hamil atau menyusukan anak, dan sebagainya.

Orang-orang yang memiliki keuzuran seperti di atas, gugur kewajipan puasa dari bahunya. Harus baginya berbuka puasa, namun wajib diganti dengan puasa pada hari lain (apabila hilang keuzuran nanti). Kecuali jika sakit atau keuzurannya berterusan hingga bila-bila, maka diberi kelonggaran kepadanya untuk menggantinya dengan fidyah. Firman Allah (bermaksud);

“Maka sesiapa di antara kamu yang sakit atau dalam musafir (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang ia berbuka itu) pada hari-hari yang lain, dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin” (Surah al-Baqarah, ayat 184)

1 comment:

Unknown said...

Assalamualaikum...

Sy ingin mengetahui bagaimana sekiranya seseorang yang meninggalkan puasa kerana haid tetapi tidak sempat mengqada puasa yang ditinggalkan selama 1 minggu dan telah masuk ramadhan yang seterusnya?

Tahun berikutnya beliau telah mengqada puasa tersebut dan perlu membayar fidyah tetapi di atas sebab kekurangan duit (beliau sebagai pelajar dan masih belum bekerja pada masa itu) serta terlupa, tidak membayar fidyah tersebut sampai ke hari ini.

Berapa jumlah fidyah yang perlu dibayar?

Adakah fidyah tersebut akan berganda?

Jika dibayar berbentuk duit terus kepada fakir miskin adakah dibolehkan?

Adakan fidyah yang perlu dibayar hanya boleh dibuat sebelum masuk bulan syawal?

Sy hrp ustaz dapat memberi huraian dan penerangan kpd masalah ini.

Terima Kasih.

Assalamualaikum......