السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

PESANAN NABI S.A.W.
"Sesiapa menempuh satu perjalanan untuk mencari suatu ilmu, Allah akan memudahkan untuknya jalan ke syurga" (Hadis riwayat Imam Muslim dari Abu Hurairah r.a.)

Monday, July 7, 2008

PUASA (PENENTUAN BULAN RAMADHAN)

Bagaimana ditentukan masuknya bulan Ramadhan?

Iaitulah dengan melihat anak bulan pada hari 29 Sya’ban. Jika anak bulan kelihatan, maka besoknya adalah permulaan Ramadhan. Jika tidak kelihatan, hendaklah digenapkan Sya’ban menjadi 30 hari dan hari berikutnya adalah permulaan Ramadhan. Ibnu ‘Umar r.a. menceritakan bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda;

“Jika kamu sekelian melihat anak bulan, berpuasalah. Jika pandangan kamu dihalang oleh awan/mendung, maka kirakanlah (bulan Sya’ban) menjadi 30 hari” (HR Imam Bukhari dan Muslim)

Apakah syarat-syarat bagi orang yang mendakwa ia telah melihat anak bulan?

Ia hendaklah seorang muslim, mukallaf (yakni baligh dan berakal) dan adil (yakni bertakwa dan menjaga muruah) tanpa mengira ia lelaki atau perempuan.[1] Ibnu ‘Abbas pernah menceritakan bahawa Seorang A’rabi (Arab dari pedalaman) datang menemui Nabi s.a.w. dan berkata; “Sesungguhnya aku telah melihat anak bulan”. Nabi bertanya kepadanya; “Apakah engkau telah bersaksi bahawa tidak ada Tuhan melainkan Allah?”. Jawabnya’ “Ya”. Tanya Nabi lagi; “Apakah engkau bersaksi bahawa Muhammad itu Rasul Allah?”. Jawabnya; “Ya”. Kemudian Nabi s.a.w. berkata kepada Bilal: “Wahai Bilal! Umumkanlah kepada manusia agar mereka berpuasa besok pagi” (Riwayat Imam Abu Daud, Tirmizi, an-Nasai dan lain-lain).

Nota kaki;

[1] Fiqh al-‘Ibadat, Hasan Ayyub, hlm. 415.
Dalam menentukan masuknya bulan Ramadhan (yakni bermula puasa), harus dengan penyaksian seorang sahaja asalkan ia muslim dan adil. Namun dalam menentukan tamat puasa (yakni masuk bulan Syawal), wajib disaksikan oleh sekurang-kurangnya dua orang muslim yang adil, tidak cukup dengan seorang sahaja. (Lihat: Soheh Muslim Bisyarhi an-Nawawi, 7/191).

No comments: