السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

PESANAN NABI S.A.W.
"Sesiapa menempuh satu perjalanan untuk mencari suatu ilmu, Allah akan memudahkan untuknya jalan ke syurga" (Hadis riwayat Imam Muslim dari Abu Hurairah r.a.)

Monday, July 7, 2008

PUASA (HUKUM)

Apa hukum orang Islam yang meninggalkan puasa Ramadhan?

Puasa di bulan Ramadhan adalah salah satu rukun Islam. Ia wajib berdasarkan al-Quran, as-Sunnah dan Ijmak ulamak. Firman Allah (bermaksud); “Bulan Ramadan, bulan diturunkan al-Quran di dalamnya, menjadi petunjuk bagi manusia dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan pembeza (antara hak dan batil). Maka sesiapa dari kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), hendaklah ia berpuasa di bulan itu…” (al-Baqarah, ayat 185). Nabi s.a.w. bersabda; “Islam itu terbina di atas lima perkara;
1. Bersaksi bahawa tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Allah dan bahawa Muhammad adalah Rasul Allah,
2. Mendirikan solat,
3. Menunaikan zakat,
4. Mengerjakan haji,
5. Berpuasa di bulan Ramadhan”.
(Riwayat Imam Bukhari dan Muslim dari Ibnu ‘Umar r.a.)

Sesiapa meninggalkan puasa Ramadhan –tanpa sebarang keuzuran-, ia adalah fasiq dan berdosa besar. Ia wajib mengqadhanya sebanyak hari yang ditinggalnya. Namun mengqadha sahaja tidak memadai kerana Nabi s.a.w. bersabda; “Sesiapa yang berbuka puasa dengan sengaja di bulan Ramadhan tanpa kelonggaran (yang diberikan Allah) dan tanpa kerana sakit, puasa sepanjang masa pun tidak akan mampu menggantikan (puasa yang ditinggalkan itu) walaupun ia melakukannya” (Riwayat Imam Bukhari, Abu Daud, Tirmizi dan lain-lain dari Abu Hurairah r.a.). Kerana itu, qadha itu wajib diiringi dengan taubat nasuha iaitu menghadirkan penyesalan di dalam hati kerana keterlanjuran meninggalkan kewajipan Syarak dan berazam tidak akan mengulangi lagi buat selamanya.

Apa hukum orang Islam yang mengingkari kewajipan puasa Ramadhan?

Ia murtad dari agama kerana kewajipan puasa adalah termasuk dalam perkara-perkara yang sedia dimaklumi dalam agama. Wajib atas pemerintah memperlakukannya sebagaimana seorang yang murtad iaitu hendaklah diminta supaya ia bertaubat dan kembali berpuasa. Jika ia enggan bertaubat, hendaklah dikenakan hukuman had ke atas orang yang murtad iaitu dibunuh.

No comments: