السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

PESANAN NABI S.A.W.
"Sesiapa menempuh satu perjalanan untuk mencari suatu ilmu, Allah akan memudahkan untuknya jalan ke syurga" (Hadis riwayat Imam Muslim dari Abu Hurairah r.a.)

Showing posts sorted by relevance for query puasa sunat. Sort by date Show all posts
Showing posts sorted by relevance for query puasa sunat. Sort by date Show all posts

Monday, July 7, 2008

PUASA (NIAT)

Apakah rukun-rukun puasa?

Rukun puasa ada dua sahaja;
1. Berniat puasa
2. Menjaga dari perkara-perkara yang membatalkan puasa

Apa makna berniat puasa?

Niat puasa bermaksud mengqasadkan puasa iaitu berazam di dalam hati untuk melakukan puasa.

Bilakah masanya kita perlu berniat puasa?

Bagi puasa Ramadhan dan puasa-puasa wajib yang lain (iaitu puasa nazar dan kaffarah), disyaratkan niat dilakukan pada waktu malam sebelum terbitnya fajar kerana Nabi s.a.w. bersabda; “Sesiapa yang tidak meniatkan puasa pada malam hari sebelum terbit fajar, maka tiadalah puasa baginya” (HR Imam Daruqutni dan Baihaqi dari Aisyah r.a.).

Bagi puasa sunat pula, tidak disyaratkan melakukan niat pada waktu malam. Harus berniat pada siang hari asalkan sebelum tergelincir matahari dari tengah langit (yakni sebelum masuk waktu solat zohor) dan sebelum melakukan sebarang perkara yang membatalkan puasa seperti makan, bersetubuh dan sebagainya. Rasulullah s.a.w. sendiri pernah berniat puasa sunat di siang hari sebagaimana diceritakan oleh Aishah r.a.; suatu hari Nabi s.a.w. bertanya kepadanya; “Apakah ada pada kamu makanan untuk pagi ini?”. Jawab Aishah; “Tidak ada”. Lantas Nabi berkata; “Jika begitu, aku berpuasa hari ini” (HR Imam ad-Daruqutni)

Adakah perlu menentukan jenis puasa di dalam niat?

Bagi puasa wajib, wajib ditentukan (dita’yinkan) di dalam hati jenis puasa yang akan dilakukan besok hari sama ada puasa Ramadhan, Nazar atau Kaffarah. Jika diniatkan semata-mata puasa (tanpa menentukan jenisnya) tidak sah niat puasa itu.

Bagi puasa sunat, tidak diwajibkan menentukan jenis puasa di dalam niat untuk mensahkan puasa, namun untuk kesempurnaan puasa disyaratkan menentukannya khusus bagi bagi puasa-puasa sunat yang berwaktu (seperti puasa Isnin dan Khamis, puasa ‘Asyura, puasa enam hari dalam bulan Syawal dan sebagai) dan juga bersebab (seperti puasa minta hujan). Maka bagi puasa-puasa yang berwaktu dan bersebab itu supaya ia mendapat pahala yang sempurna, hendaklah ditentukan jenis puasa di dalam niat. Adapun puasa-puasa sunat yang mutlak (yakni yang tidak berwaktu dan bersebab), memadai berniat puasa sahaja tanpa perlu menentukan jenisnya.

Adakah niat puasa Ramadhan wajib di ulang setiap malam? Adakah harus berniat untuk sebulan sekaligus?

Mengikut pandangan jumhur ulamak (termasuk mazhab Syafi’ie); niat puasa wajib dilakukan pada setiap malam. Tidak memadai niat sekaligus untuk keseluruhan bulan Ramadhan. Namun mengikut mazhab Imam Malik; harus berniat puasa untuk sebulan sekaligus iaitu pada malam pertama Ramadhan.

Menurut mazhab Syafi’ie; digalakkan berniat puasa sebulan sekaligus itu tetapi bukanlah untuk mengelak dari berniat pada setiap malam. Ia hanya sebagai langkah berhati-hati jika ditakdirkan terlupa niat pada mana-mana malam dari Ramadhan. Dengan adanya niat sekaligus itu, dapatlah dielakkan dari terbatal puasa kerana terlupa itu iaitu dengan bertaklid kepada mazhab yang mengharuskan niat sekaligus itu. Kesimpulannya, menurut mazhab Syafi’ie; niat puasa wajib dilakukan pada setiap malam. Adapun niat puasa sekaligus itu hanyalah sebagai langkah berhati-hati.

Apa hukum melafazkan niat dengan lidah?

Tempat niat adalah dalam hati. Jadi melafazkan niat dengan lidah tidaklah menjadi syarat sahnya niat. Dalam mazhab Syafi’ie; melafazkan niat dengan lidah hukumnya sunat kerana ia membantu menghadirkan niat di dalam hati. Contoh lafaz niat puasa Ramadhan ialah;

نَوَيْتُ صَوْمَ غَدٍ عَنْ أَدَاءِ فَرْضِ رَمَضَاْنَ هَذِهِ السَّنَةِ لَلَّهِ تَعَالَى
“Sahaja aku berpuasa pada besok hari bagi menunaikan fardhu Ramadhan pada tahun ini kerana Allah Ta’ala”.

Kalau seorang bangun bersahur, apakah memadai untuk dikira sebagai niat?

Ya, dengan syarat terdetik dalam hatinya bahawa tujuannya bersahur itu adalah untuk berpuasa Ramadhan pada besoknya. Ini kerana kebiasaannya perbuatan bangun bersahur itu lahir dari qashad (cita-cita/keazaman) untuk mengerjakan puasa.

PUASA (PERSOALAN-5)

Bagaimana dengan sisa-sisa makanan di gigi?

Hendaklah dilihat pada dua keadaan;

1. Jika sisa-sisa makanan itu amat sedikit, sukar untuk dipisahkan dari air liur dan diludahkan, maka tidaklah membatalkan puasa jika tertelannya. Hukumnya sama seperti menelan air liur sendiri yang sukar untuk dielakkan.

2. Adapun jika sisa-sisa makanan itu banyak, boleh dipisahkan dari air liur dan diludahkan, maka jika diluahkan tidaklah membatalkan puasa. Jika ditelan, batallah puasa mengikut jumhur ulamak. Menurut Mazhab Hanafi; batal puasa jika kadarnya melebihi sebiji kacang. Jika kurang darinya, menelannya tidaklah membatalkan puasa, namun makruh.

Adakah melakukan suntikan melalui urat, menyuntik ke bawah kulit atau ke dalam daging badan akan membatalkan puasa?

Tidak membatalkan puasa sama ada suntikan itu untuk tujuan pengubatan, taghziyah (iaitu memberi makanan seperti menyuntik vitamin, memasukkan air, kalsium dan sebagainya) atau membius. Ini adalah pandangan yang disepakati oleh imam-imam mazhab empat.[1]

Namun ada setengah ulama’ semasa hari ini mengecualikannya dari suntikan makanan iaitu jika yang disuntik itu adalah bahan makanan seperti glukos atau sebagainya, maka batallah puasa kerana ia mengambil kedudukan seperti makan atau minum.

Adakah debu-debu di jalan boleh membatalkan puasa?

Jika debu jalan atau debu tepung –ketika sedang mengayaknya- masuk ke dalam ke dalam kerongkong tanpa disengajakan tidaklah membatalkan puasa kerana hal ini sukar dielakkan. Namun jika sengaja membuka mulut lalu masuk debu tersebut maka batallah puasa.

Adakah mencium bau-baun yang harum akan membatalkan puasa?

Tidak membatalkan puasa.

Adakah harus membatalkan puasa dengan sengaja?

Diharamkan ke atas orang yang berpuasa fardhu (sama ada puasa qadha’ Ramadhan, puasa nazar atau puasa kifarat) memutuskan puasanya -dengan berniat membatalkan puasa atau dengan berbuka- secara sengaja tanpa ada sebarang keuzuran. Adapun jika ia berpuasa sunat, maka harus baginya untuk memutuskan puasa sunatnya itu pada bila-bila masa dan tidak diwajibkan ia mengqadhakannya. Namun memutuskan puasa dengan sengaja ini adalah makruh hukumnya. Sabda Rasulullah s.a.w.;

اَلصَّائِمُ الْمُتَطَوِّعُ أَمِيْرُ نَفْسِهِ: إِنْ شَاْءَ صَاْمَ وَإِنْ شَاءَ أَفْطَرَ
“Orang yang berpuasa sunat adalah pemimpin dirinya. Kalau dia mahu ia boleh meneruskan puasanya dan jika ia mahu ia boleh berbuka”.
(Riwayat Imam Ahmad, Tirmizi dan Hakim dari Ummu Hani r.a.)

Apakah hukum mencela orang lain, berdusta dan mengumpat ketika sedang berpuasa?

Amat dimakruhkan, akan tetapi tidaklah akan membatalkan puasa. Hukum ini disepakati oleh ulamak kecuali Imam al-Auza’ie di mana ia berpandangan; batal puasa orang yang mengumpat, berdusta dan mencela orang semasa sedang berpuasa.

Maksud makruh di atas ialah akan mengurangkan pahala puasa dan mungkin menghapuskannya. Banyak orang berpuasa dan puasanya sah tetapi tidak berpahala.

Adakah melakukan maksiat membatalkan puasa?

Menurut jumhur ulamak; melakukan maksiat hanya akan mengurangkan pahala puasa. Ia tidak lah akan membatalkan puasa selama orang yang melakukan maksiat itu tidak melakukan sebarang perkara yang membatalkan puasa sebagaimana disebut tadi.[2]

Imam Ibnu Hazm menyanggahi pandangan jumhur di atas di mana beliau berpendapat maksiat akan membatalkan puasa. Bagi beliau, jika seseorang itu berdusta, mengumpat, mengadu domba, meninggalkan solat, melakukan aniaya atau kezaliman dan sebagainya lagi dari perbuatan-perbuatan yang diharamkan, batallah puasanya. Beliau berdalilkan makna zahir dari beberapa hadis Nabi s.a.w. yang melarang melakukan melakukan dosa semasa sedang berpuasa, antaranya; “Sesiapa yang tidak meninggalkan kata-kata dusta dan melakukan pendustaan, maka bagi Allah tidak ada keperluan dalam ia meninggalkan makan dan minumnya (yakni Allah tidak berhajat kepada puasanya)” (Riwayat Imam Bukhari, Abu Daud, at-Tirmizi dan lain-lain dari Abu Hurairah r.a.).[3] Beliau menolak pandangan jumhur di atas yang berkata maksiat hanya menghilangkan pahala puasa bukan membatalkannya dengan menganggapnya sebagai pandangan yang lemah.[4]

Nota kaki;

[1] Berdasarkan fatwa Mufti Mesir yang lalu iaitu Syeikh Muhammad Bakhit al-Muti’ie. (Lihat; Fiqh al-‘Ibadat, Hasan Ayyub, hlm. 434). Pandangan ini juga dipersetujui oleh Dr. Yusuf al-Qaradhawi kerana menurut penjelasan beliau; benda yang masuk melalui suntikan itu tidaklah masuk ke dalam badan melalui saluran terbuka dan ia juga tidak menafikan hikmah puasa iaitu berlapar dan menahan diri. (Lihat; 1000 Sualan wa Jawaban Lil-Mar-ah al-Muslimah, Mustafa Abu al-Ghait dan Islam Dirbalah, hlm. 100).
[2] Pandangan ini disokong Dr. al-Qaradhawi. (Lihat; 1000 Sualan wa Jawaban Lil-Mar-ah al-Muslimah, Mustafa Abu al-Ghait dan Islam Dirbalah, hlm. 99-100).
[3] Al-Muhalla, 4/304.
[4] Al-Muhalla, 4/306.

Friday, July 18, 2008

PUASA SUNAT (PUASA SETIAP BULAN)

Adakah kita disunatkan berpuasa setiap bulan?

Ya. Kita disunatkan berpuasa setiap bulan. Seboleh-bolehnya jangan berlalu bulan tanpa kita berpuasa, sama ada dengan puasa tiga hari setiap bulan, puasa isnin dan khamis atau puasa-puasa lain yang disunatkan.

Menurut ulamak, puasa sunat harus dilakukan pada mana-mana hari di sepanjang tahun kecuali di bulan Ramadhan, hari raya dan hari-hari Taysriq.[1] Namun demikian, digalakkan kita memilih hari-hari khusus yang disunatkan oleh Rasulullah s.a.w. kita berpuasa yang akan kita terangkan nanti.

Apakah bulan terbaik untuk berpuasa sunat?

Bulan terbaik untuk berpuasa setelah bulan Ramadhan ialah bulan Muharram. Diikuti selepasnya bulan-bulan haram yang lain iaitu Dzul-Qaedah, Dzul-Hijjah dan Rejab.[2] Setelah itu bulan Sya’ban.

Nota kaki;

[1] Soheh Muslim Bisyarhi an-Nawawi, jil. 8, hlm. 41.
[2] Kifayatul-Akhyar, hlm. 207.

PUASA SUNAT (6 HARI SYAWAL)

Apakah dalil bagi kelebihan berpuasa di bulan syawal?

Dalilnya ialah sabda Nabi s.a.w.; “Sesiapa berpuasa bulan Ramadhan, kemudian ia ikuti dengan berpuasa enam hari di bulan syawal, maka ia seolah-olah berpuasa setahun” (HR Imam Muslim dari Abu Ayyub al-Ansari r.a.)

Adakah disyaratkan puasa enam hari itu dilakukan berturut-turut?

Tidak disyaratkan. Harus diselang-selikan asalkan dalam bulan Syawal dan bilangannya mencukupi enam hari. Namun yang terbaik (afdhal) ialah melakukannya berturut-turut dan lebih afdhal lagi memulainya dari dua syawal.

Jika seseorang itu mempunyai puasa Ramadhan yang perlu diqadhanya, adakah harus ia berpuasa enam sebelum mengqadha puasanya?

Harus kerana puasa qadha Ramadhan memiliki waktu yang panjang untuk dilakukan iaitu sehingga Ramadhan tahun berikutnya, adapun puasa enam hari di bulan Syawal waktunya adalah terhad. Namun jika kita dapat melakukan puasa qadha terlebih dahulu, kemudian diikuti dengan puasa Syawal, itu yang terbaik kerana kita mendahulukan ibadah yang wajib ke atas yang sunat. Dan ada ulamak (termasuk dalam mazhab Syafiie) berpendapat; diboleh kita meniatkan keduanya sekali dalam satu puasa (yakni meniatkan puasa qadha dengan disertakan dengannya puasa syawal), tetapi yang terbaik kita memisahkannya kerana akan memperbanyakkan amalan kita kepada Allah (rujuk; Mughni al-Muhtaj, 1/600).

Thursday, September 4, 2008

QADHA PUASA, FIDYAH & KAFFARAH (14)

Wajib mengqadha’ puasa sebelum datang ramadhan berikutnya

Orang yang meninggalkan puasa di bulan Ramadhan –sama ada dengan sengaja atau kerana sakit, musafir, kedatangan haid dan nifas dan sebagainya- wajib mengganti puasa yang ditinggal itu sebelum datang bulan Ramadhan tahun berikutnya. Jika gagal menggantinya hingga masuk bulan Ramadhan tahun berikutnya, maka ia berdosa dan wajib pula atasnya membayar fidyah di samping qadha’ tadi, kecuali jika kegagalan tersebut kerana keuzuran yang tidak dapat dihindari seperti sakit yang berterusan hingga masuk bulan Ramadhan berikutnya.

Kesimpulannya, sesiapa yang gagal menggantikan puasa dengan sengaja hingga masuk Ramadhan berikutnya -sama ada kerana sikap menangguh-nangguh atau sebagainya-, maka ia berdosa dan dikenakan denda membayar fidyah di samping tetap wajib mengqadha’ puasa yang tertinggal itu. Fidyah ini akan bertambah dengan bertambah tahun yang dilampaui. Contohnya; jika seorang itu mempunyai satu hari puasa yang tertinggal, lalu ia tidak mengqadha’nya –dengan sengaja- biarpun setelah lima tahun berlalu, maka ia wajib membayar empat fidyah di samping wajib mengqadha’ sehari puasa itu.

Sunat menyegerakan qadha’ puasa

Supaya tidak berlaku hal di atas, maka disunatkan orang yang menanggung puasa qadha’ untuk segera menunaikannya supaya dapat segera bebas dari tanggungannya itu. Jika ia melambatkannya tidaklah berdosa, cuma menyalahi apa yang terbaik sahaja. Kecualilah jika masa telah terlalu suntuk di mana tingggal beberapa hari sahaja lagi Ramadhan kedua akan tiba, maka ketika itu perlulah ia menyegerakan puasa qadha’nya (tidak boleh bertangguh lagi). Jika ia terus bertangguh hingga tidak cukup hari untuk mengqadha’ puasanya sebelum tiba Ramadhan berikutnya, maka berdosalah ia.

Hal tersebut jika puasa-puasa yang tertinggal itu kerana dengan suatu keuzuran seperti haid, nifas, sakit, pengsan, musafir, terlupa niat, wanita hamil atau sebagainya (maka harus menangguh-nangguhkan Qadha’ selagi belum tiba Ramadhan berikutnya, walaupun yang disunatkan ialah menyegerakannya). Adapun puasa-puasa yang ditinggal dengan sengaja (yakni tanpa sebarang keuzuran) maka menurut pendapat yang soheh dalam mazhab Syafi’ie; hendaklah segera diqadha’kan (yakni tidak harus ditangguh-tangguh). (Lihat; al-Majmu’, jil. 6, hlm. 387)

Friday, July 18, 2008

PUASA SUNAT (BULAN MUHARRAM)

Apakah dalilnya bahawa bulan Muharram bulan terbaik untuk puasa sunat?

Iaitulah sabda Nabi s.a.w.; “Puasa yang paling baik selepas Ramadhan ialah puasa pada bulan Muharram. Solat yang paling baik selepas yang fardhu ialah solat malam” (Riwayat Imam Muslim dari Abu Hurairah r.a.). Oleh demikian, kita digalakkan banyak berpuasa di bulan Muharram.[1]

Apa hikmah kelebihan puasa di bulan Muharram itu?

Sebahagian ulamak berkata; kelebihan bulan Muharram itu adalah kerana di dalamnya ada hari ‘Asyura. Namun menurut Imam al-Qurthubi; ‘Kelebihan bulan Muharram adalah kerana ia merupakan awal tahun. Apabila seseorang menyambut awal tahunnya dengan berpuasa, adalah diharapkan Allah akan mencukupkannya pada bulan-bulan selebihnya. Puasa adalah antara amalan hamba yang terbaik (kepada Allah) dan pernah disebut oleh Nabi s.a.w. sebagai dhiya’ (ضياء) yang bermaksud cahaya’.[2]

Nota kaki;
[1] Al-Wajiz, Syeikh Mustafa al-‘Adawi, hlm. 206.
[2] Raudhatul-Muttaqien Syarh Riyadhus-Salihien, jil. 3, hlm. 182.

PUASA SUNAT (PUASA NABI DAUD)

Apa yang dimaksudkan dengan puasa Nabi Daud a.s.? Apa fadhilatnya?

Puasa Nabi Daud a.s. bermaksud; puasa sehari dan berbuka sehari dengan mengecualikan hari-hari yang diharamkan berpuasa iaitu dua hari raya dan hari-hari Tasyriq (11, 12 dan 13 Dzul-Hijjah). Kelebihannnya ialah sabda Nabi s.a.w.; “Sesungguhnya puasa yang paling disukai Allah ialah puasa Nabi Daud dan solat yang paling disukai Allah ialah solat Nabi Daud; beliau tidur separuh malam, bangun (mengerjakan solat) sepertiganya dan tidur semula sepernamnya. (Adapun puasa pula) beliau berpuasa sehari dan beliau berbuka (yakni tidak berpuasa) sehari” (Riwayat Imam Muslim dari Abdullah bin ‘Amru r.a.).

Monday, July 7, 2008

PUASA (SAHUR)

Apakah yang disunatkan sebelum berpuasa?

Disunatkan bersahur sama ada puasa yang ingin dilakukan itu puasa wajib atau puasa sunat. Sabda Nabi s.a.w.; “Bersahurlah kerana dalam sahur itu ada barakah” (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim dari Anas r.a.).

Apa makna bersahur?

Bersahur bermakna menikmati makanan sebelum terbit fajar sebagai persediaan untuk bepuasa. Pahala bersahur diperolehi dengan semata-mata makan atau minum walaupun seteguk air. Sabda Rasulullah; “Bersahurlah walaupun dengan seteguk air” (HR Ibnu Hibban dan Abu Ya’la dari Anas r.a.)

Bila bermulanya waktu bersahur?

Waktu bersahur bermula dari tengah malam dan berterusan hingga terbit fajar sodiq (yakni masuk waktu subuh). Sunat melambatkan sahur kerana Nabi s.a.w. bersabda; “Senantiasalah umatku berada dalam kebaikan selama mereka menyegerakan berbuka dan melambatkan sahur” (HR Imam Ahmad dari Abu Zarr r.a.).

Mengikut sunnah Nabi s.a.w., jarak masa terbaik antara berhenti bersahur dan masuk subuh ialah kira-kira tempoh membaca 50 ayat al-Quran. Ini sebagaimana hadis dari Anas r.a. yang diceritakan; Zaid bin Sabit r.a. berkata; “Kami bersahur bersama Nabi s.a.w., kemudian kami mengerjakan solat subuh”. Aku (yakni Anas) berkata; “Berapa jarak masa antara azan subuh dan bersahur itu?”. Zaid menjawab; “Kira-kira 50 ayat”. (HR Imam al-Bukhari dan Muslim).

Friday, July 18, 2008

PUASA SUNAT (HARI 'ARAFAH)

Bilakah hari ‘Arafah? Apa dalil bagi kelebihan puasa hari ‘Arafah?

Hari ‘Arafah ialah hari sembilan Zulhijjah. Ia adalah hari terbaik sepanjang tahun kerana Nabi s.a.w. bersabda; “Tidak ada hari yang paling banyak Allah membebaskan hambanya pada hari tersebut dari neraka dari hari ‘Arafah” (Riwayat Imam Muslim).

Adapun disunatkan berpuasa pada hari tersebut, dalilnya ialah; hadis dari Abu Qatadah r.a. yang menceritakan; Nabi s.a.w. ditanya tentang puasa hari ’Arafah. Baginda bersabda; “(Puasa hari itu) dapat menghapus dosa tahun lalu dan yang akan datang” (Riwayat Imam Muslim).

Adakah sunat berpuasa pada hari ‘Arafah itu ada pengecualian?

Ya. Dikecualikan dari jamaah haji. Mereka tidak disunatkan berpuasa pada hari tersebut sebagai mencontohi Nabi s.a.w. dan juga untuk menjaga kekuatan bagi memperbanyakkan berdoa pada hari itu.

Maimunah isteri Rasulullah s.a.w. menceritakan; orang ramai ragu-ragu apakah Rasulullah s.a.w. berpuasa atau tidak pada hari ‘Arafah. Lalu ia (yakni Maimunah) menghantar kepada baginda satu bekas berisi susu tatkala baginda sedang berwukuf di Padang ‘Arafah itu. Lalu baginda meminum susu tersebut dengan dilihat oleh orang ramai kepadanya (Riwayat Imam Muslim).

Malah terdapat tegahan dari Nabi s.a.w. sebagaimana yang diceritakan oleh Abu Hurairah r.a.; “Sesungguhnya Nabi s.a.w. menegah dari berpuasa pada hari ‘Arafah bagi jamaah haji yang berada di ‘Arafah” (Riwayat Imam Abu Daud, Ahmad, Ibnu Majah dan al-Hakim).

Monday, July 7, 2008

PUASA (BERBUKA PUASA)

Apakah yang disunatkan semasa berbuka puasa?

1. Segera berbuka puasa iaitu sebaik sahaja diyakini terbenam matahari atau masuk waktu maghrib. Sabda Nabi s.a.w.; “Senantiasalah umatku berada dalam kebaikan selama mereka menyegerakan berbuka dan melambatkan sahur” (Riwayat Imam Ahmad dari Abu Zarr r.a.).

Menjadi sunnah Nabi s.a.w. berbuka terlebih dahulu sebelum menunaikan solat. Anas r.a. menceritakan; “Rasulullah s.a.w. berbuka dengan beberapa butir tamar basar sebelum baginda menunaikan solat maghrib. Jika tidak ada tamar basah, baginda berbuka dengan tamar kering. Jika tidak ada sebarang tamar, baginda berbuka dengan meminum beberapa teguk air” (HR Imam Ahmad, Abu Daud dan at-Tirmizi. Menurut at-Tirmizi; hadis hasan soheh).

Melambat-lambat berbuka puasa hukumnya adalah makruh kecuali jika ada sebab yang tidak dapat dielakkan.

2. Disunatkan berbuka puasa dengan buah kurma basah. Jika tidak ada, dengan buah kurma kering. Jika tidak ada buah kurma, disunatkan berbuka dengan air. Sabda Nabi s.a.w.; “Sesiapa memperolehi buah tamar/kurma maka berbukalah dengannya. Sesiapa yang tidak memperolehinya, maka berbukalah dengan air kerana ia adalah penyuci” (Riwayat Imam Hakim, Tirmizi dan an-Nasai dari Anas r.a.).

3. Membaca doa ketika berbuka atau sesudahnya. Di antara doa yang dibaca oleh Nabi s.a.w. ketika berbuka ialah;

اللَّهُمَّ لَكَ صُمْتُ وَعَلى رِزْقِكَ أفْطَرْتُ
“Ya Allah! BagiMu aku berpuasa dan dengan rezekiMu aku berbuka” (Berdasarkan hadis riwayat Abu Daud dari Mu’az bin Zuhrah).[1]

اَللَّهُمَّ ذَهَبَ الظَّمأُ، وابْتَلَّتِ العُرُوقُ، وَثَبَتَ الأجْرُ إِنْ شاءَ اللَّهُ تَعالى
“Ya Allah! Hilanglah dahaga, basahlah seluruh urat tubuh dan tercapailah pahala insya Allah”. (Riwayat Imam Abu Daud, Ad-Daruqutni, al-Hakim dan Ibnu Sunni dari Abdullah bin Umar r.a.)[2]

4. Di antara adab yang digalakkan oleh ulama’ ketika berbuka puasa ialah tidak berlebihan ketika menikmati makanan. Makanlah dengan kadar sederhana sahaja, tidak terlalu banyak supaya tidak keletihan untuk menunaikan ibadah malam nanti (solat terawikh, tadarus al-Quran dan sebagainya). Kata ulama’; “Sesiapa yang kenyang di awal malam nescaya ia akan ketinggalan pada baki malamnya”.

5. Sunat memberi makan atau minum kepada orang-orang yang berpuasa sekalipun dengan sebiji kurma atau seteguk air. Namun yang lebih baik ialah memberi makan sampai mengenyangkan mereka. Fadhilatnya ialah sebagaimana sabda Nabi s.a.w.; “Sesiapa yang memberi makanan berbuka puasa kepada orang yang berpuasa, maka pahalanya seumpama orang yang berpuasa itu tanpa berkurang sedikitpun” (Riwayat Imam Ahmad, Tirmizi dan Ibnu Majah dari Zaid bin Khalid r.a.).

Dan disunatkan juga makan bersama dengan orang yang berpuasa dan cara seperti ini lebih baik bagi menunjukkan rasa rendah diri.

Nota kaki;

[1] Mu’az bin Zuhrah adalah Tabi’in. Oleh itu, hadis ini adalah mursal. (Lihat; tahqiq Syu’aib al-Arnaudh dan ‘Abdul-Qadier al-Arnaudh dalam Zadul-Ma’ad, jil. 2, hlm. 51).
[2]Perawi-perawi hadis ini adalah siqah (dipercayai). Oleh itu, hadis ini dapat dipakai. (Lihat; tahqiq Syu’aib al-Arnaudh dan ‘Abdul-Qadier al-Arnaudh dalam Zadul-Ma’ad, jil. 2, hlm. 52).

Friday, July 18, 2008

PUASA SUNAT (HARI-HARI SUNAT PUASA)

Apakah hari-hari yang disunatkan kita berpuasa?

1. Enam hari di bulan Syawal
2. Hari-hari awal Zulhijjah (hari pertama hingga sembilan)
3. Hari ‘Arafah.
4. Hari ‘Asyura
5. Tiga hari setiap bulan Islam
6. Hari-hari putih
7. Isnin dan Khamis
8. Puasa Nabi Daud a.s.

PUASA SUNAT (HARI-HARI AWAL ZULHIJAH)

Apakah dalil bagi galakan berpuasa di awal Zulhijjah?

Hafsah r.a. menceritakan; “Empat amalan yang tidak ditinggalkan Rasulullah s.a.w. iaitu; puasa ‘Asyura, puasa al-‘asyr, puasa tiga hari pada setiap bulan dan solat dua rakaat sebelum subuh”. (Riwayat Imam Abu Daud dan an-Nasai)

Menurut ulamak hadis; maksud puasa al-‘asyr dalam hadis di atas ialah hari pertama Zulhijjah hingga hari ke sembilannya.[1] Disunatkan berpuasa pada hari-hari tersebut terutamaya pada hari ke sembilan iaitu hari ‘Arafah berdasarkan dalil yang akan kita sebutkan nanti.[2]

Selain berpuasa, kita juga digalakkan beramal dengan amalan-amalan kebaikan pada hari-hari tersebut kerana Nabi s.a..w bersabda dalam hadis yang lain; “Tidak ada hari yang paling disukai Allah untuk melakukan amal soleh melebihi hari-hari tersebut (yakni hari-hari awal Zulhijjah tersebut)” (Riwayat Imam Bukhari dari Ibnu ‘Abbas r.a.)[3]

Nota kaki;

[1] Soheh Muslim Bisyarhi an-Nawawi, kitab al-I’tikaf, bab Shaumi ‘Asyri Zilhijjah.
[2] Lihat Nailul-Authar, 4/239.
[3] Nailul-Authar, 3/312.

PUASA SUNAT (HARI-HARI AWAL ZULHIJAH)

Apakah dalil bagi galakan berpuasa di awal Zulhijjah?

Hafsah r.a. menceritakan; “Empat amalan yang tidak ditinggalkan Rasulullah s.a.w. iaitu; puasa ‘Asyura, puasa al-‘asyr, puasa tiga hari pada setiap bulan dan solat dua rakaat sebelum subuh”. (Riwayat Imam Abu Daud dan an-Nasai)

Menurut ulamak hadis; maksud puasa al-‘asyr dalam hadis di atas ialah hari pertama Zulhijjah hingga hari ke sembilannya.[1] Disunatkan berpuasa pada hari-hari tersebut terutamaya pada hari ke sembilan iaitu hari ‘Arafah berdasarkan dalil yang akan kita sebutkan nanti.[2]

Selain berpuasa, kita juga digalakkan beramal dengan amalan-amalan kebaikan pada hari-hari tersebut kerana Nabi s.a..w bersabda dalam hadis yang lain; “Tidak ada hari yang paling disukai Allah untuk melakukan amal soleh melebihi hari-hari tersebut (yakni hari-hari awal Zulhijjah tersebut)” (Riwayat Imam Bukhari dari Ibnu ‘Abbas r.a.)[3]


Nota kaki;


[1] Soheh Muslim Bisyarhi an-Nawawi, kitab al-I’tikaf, bab Shaumi ‘Asyri Zilhijjah.
[2] Lihat Nailul-Authar, 4/239.
[3] Nailul-Authar, 3/312.

PUASA SUNAT (BULAN REJAB)

Apakah ada kelebihan khusus bagi puasa di bulan Rejab?

Tidak ada kelebihan khusus bagi puasa bulan Rejab selain dari kedudukannya sebagai salah satu dari bulan-bulan Haram yang dinyatakan tadi.

Said bin Jubair r.a. (seorang Tabi’iin) pernah ditanya berkenaan puasa Rejab. Beliau menjawab; Aku telah mendengar Ibnu ‘Abbas r.a. berkata; “Adalah Rasulullah s.a.w. kadang-kadang terus-menerus berpuasa hingga kami menganggap beliau tidak berbuka langsung, dan kadang-kadang beliau terus-menerus berbuka hingga kami menganggap beliau tidak berpuasa langsung” (Riwayat Imam Muslim).

Dengan berdalil hadis dari Ibnu ‘Abbas tersebut, Imam Said bin Jubair ingin menjelaskan kepada kita bahawa hukum berpuasa di bulan Rejab sama seperti berpuasa di bulan-bulan yang lain iaitu tidak ada tegahan dan tidak ada galakan secara khusus. Cuma berpuasa pada asasnya memang digalakkan pada setiap bulan dan lagipun terdapat pula hadis mensunatkan kita berpuasa di bulan-bulan Haram di mana bulan Rejab tergolong di dalamnya.[1]

Nota kaki;

[1] Soheh Muslim Bisyarhi an-Nawawi, jil. 8, hlm. 41.

PUASA SUNAT (ISNIN DAN KHAMIS)

Apakah dalilnya disunatkan berpuasa hari Isnin dan Khamis?

Pertama; diriwayatkan dari ‘Aisyah r.a. menceritakan bahawa; “Adalah Rasulullah s.a.w. amat menjaga puasa pada hari Isnin dan Khamis” (Riwayat Imam Tirmizi. Menurut beliau, hadis ini hasan soheh).

Kedua; Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda; “Dibentangkan amalan-amalan di hadapan Allah pada hari Isnin dan Khamis. Maka aku menyukai dibentang amalanku (di hadapan Allah) pada ketika aku berpuasa” (Riwayat Imam Tirmizi).

Ketiga; Abi Qatadah menceritakan bahawa Rasulullah s.a.w. ditanya tentang puasa hari Isnin. Baginda menjawab; “Itulah hari aku dilahirkan dan hari aku diutuskan (menjadi Nabi) atau hari diturunkan wahyu kepadaku” (Hadis riwayat Imam Muslim).

Thursday, September 10, 2009

ADAB-ADAB MENYAMBUT ‘ID (HARI RAYA)

Ada berapa hari raya yang disyariatkan di dalam Islam?

Ada dua sahaja iaitu hari raya fitrah (عيد الفطر) pada 1 Syawal dan hari raya korban (يومَ الأضحْى) pada 10 Dzul-Hijjah. Dalilnya ialah hadis dari Anas r.a. yang menceritakan; tatkala Nabi s.a.w. tiba di Madinah (selepas hijrahnya), penduduk Madinah mempunyai dua hari kebesaran di mana mereka menyambutnya dengan mengadakan permainan-permainan. Lalu baginda bertanya mereka; “Hari apakah yang kamu sambut ini?”. Mereka menjawab; “Dua hari yang kami biasa menyambutnya (dengan mengadakan permainan) pada masa jahiliyah”. Maka Nabi s.a.w. bersabda kepada mereka;

قَدْ أَبْدلَكمُ الله بِهِمَا خَيْراً منهما: يومَ الأضحْى ويوْمَ الْفِطْر
“Sesungguhnya Allah telah menggantikan untuk kamu dua hari yang lebih baik dari dua hari (yang kamu sambut) itu iaitu; hari raya korban dan hari raya fitrah”. (Riwayat Imam Abu Daud dan an-Nasai dengan sanad yang soheh)

Kenapa hari raya dinamakan ‘Id (العيد) dalam bahasa Arab?

Al-‘Id (العِيْد) adalah pecahan dari kalimah al-‘aud (العَوْد) yang bermaksud kembali. Dinamakan hari raya dengan nama demikian kerana ia kembali (yakni berulang-ulang) pada setiap tahun atau kerana kegembiraan akan datang kembali dengan munculnya hari raya pada setiap tahun.

Apa yang sunat dilakukan pada malam hari raya?

Disunatkan menghidupkan malam dua hari raya (yakni hari raya fitrah dan hari raya korban) dengan ibadah sama ada mengerjakan solat-solat sunat, membaca al-Quran, berzikir dan sebagainya. Ini kerana terdapat hadis di mana Nabi s.a.w. bersabda;

مَنْ أَحْيَا لَيْلَةَ الْفِطْرِ وَلَيْلَةَ الأَضْحَى لَمْ يَمُتْ قَلْبُهُ يَوْمَ تَمُوْتُ الْقُلُوْبُ
“Sesiapa menghidupkan malam hari raya fitrah dan malam hari raya korban, nescaya tidak akan mati hatinya pada hari mati hati-hati”. (Riwayat Imam at-Thabrani dari ‘Ubadah r.a.)

Yang dimaksudkan mati hati ialah terbelenggu hati dengan dunia. Ada yang berpendapat maksudnya ialah menjadi kafir. Dan ada juga yang memberi erti; ketakutan hari kiamat.

Selain itu, digalakkan juga memperbanyakkan doa pada malam hari raya kerana doa pada malam tersebut adalah mustajab. Imam Syafi’ie berkata di dalam kitabnya al-Umm; “Telah sampai kepada kami bahawa dikatakan; ‘Sesungguhnya terdapat lima malam dimustajabkan doa iaitu; pada malam jumaat, malam hari raya korban, malam hari raya fitrah, malam pertama bulan Rejab dan malam nisfu Sya’ban’”. (Mughni al-Muhtaj, jil. 1, hlm. 426, al-Majmu’, 5/47).

Adakah harus berpuasa pada hari raya?

Diharamkan berpuasa pada hari raya sama ada hari raya fitrah atau hari raya korban. Ini kerana hari raya adalah hari menikmati makanan dan minuman. Terdapat hadis dari Abu Hurairah r.a. yang menceritakan;

أَنَّ رَسُولَ اللهِ -صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ-: نَهَىَ عَنْ صِيَامِ يَوْمَيْنِ: يَوْمِ الأَضْحَىَ وَيَوْمِ الْفِطْرِ
“Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. menegah dari berpuasa pada dua hari; hari raya korban dan hari raya fitrah” (Riwayat Imam Muslim).

Apakah amalan-amalan yang sunat dilakukan pada hari raya?

1. Menyambut hari raya dengan laungan takbir dan memuji Allah

Pada hari raya kita digalakkan bersungguh-sungguh membesarkan Allah dengan melaungkan takbir, tahlil, tahmid dan tasbih. Sabda Nabi s.a.w.;

زَيِّنُوْا الْعَيْدَيْنِ بِالتَّهْلِيْلِ وَالتَّكْبِيْرِ وَالتَّحْمِيْدِ وَالتَّقْدِيْسِ
“Kamu hiasilah dua hari raya dengan tahlil, takbir, tahmid dan taqdis”. (Riwayat Abu Na’im dari Anas r.a.)

Ini menjadi petanda kepada kita bahawa hari raya di dalam Islam adalah hari untuk mengagungkan Tuhan dan menzahirkan syiar agama, bukan hari untuk berseronok dan bersuka-ria semata-mata.

Takbir pada hari raya ada dua jenis;

a) Takbir Mursal atau Muthlaq (المرسل أو المطلق) iaitu takbir yang tidak terikat dengan sesuatu keadaan di mana ia dilaungkan dengan suara yang kuat di jalan-jalan raya, di masjid-masjid, di pasar-pasar, di rumah dan sebagainya di waktu siang atau malam.

b) Takbir Muqayyad (المقيد) iaitu yang dilaungkan selepas menunaikan solat sahaja.

Kedua-dua jenis takbir ini akan kita huraikan di hujung nanti di bawah tajuk khusus.

2. Mandi sunat

Disunatkan mandi hari raya sekalipun tidak berhasrat untuk menghadiri majlis solat hari raya kerana hari raya adalah yaum az-zinah iaitu hari perhiasan. Sunat mandi ini adalah berdasarkan amalan sahabat di mana Imam Malik meriwayatkan dari Nafi’ yang menceritakan;

أَنَّّ ابْنَ عُمَرَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ كَاْنَ يَغْتَسِلُ يَوْمَ الْفِطْرِ قَبْلَ أَنْ يَغْدُوَ
“Sesungguhnya Ibnu Umar r.a. mandi pada hari raya fitrah sebelum keluar pada pagi hari raya”. (Riwayat Imam Malik dalam al-Muwatta’. Menurut Imam Nawawi; atsar ini adalah soheh)

Begitu juga dikiaskan kepada mandi hari jumaat. Selain dari mandi disunatkan juga menggunting atau mencukur rambut, memotong kuku dan menghilang bau-bau di badan dan pakaian kerana hari tersebut adalah hari raya, maka disunatkan perkara-perkara tersebut dengan dikiaskan kepada hari jumaat. Menurut Imam Ibnu Rusyd; sunat mandi hari raya adalah ijma’ ulamak. (Lihat; Bidayatul-Mujtahid, jil. 1, hlm. 283).

Bilakah masanya untuk mandi?

Masuknya waktu disunatkan mandi ialah apabila tiba tengah malam. Berkata Imam al-Muzani; “Aku menyukai agar mandi hari raya itu dilakukan selepas terbit fajar” (al-Majmu’, 5/10).

3. Berwangi-wangian dan dan memakai pakaian baru.

Berdalilkan hadis dari Hasan bin Ali r.a. –cucu Rasulullah- yang menceritakan; “Rasulullah s.a.w. memerintahkan kami pada dua hari raya supaya memakai pakaian sehabis elok yang kami perolehi, berwangi dengan wangian paling harum yang kami perolehi dan supaya kami menyembelih korban dengan binatang paling gemuk yang kami miliki”. (Riwayat Imam al-Hakim dan at-Thabrani).

Berkata Imam Ibnul-Qayyim; “Nabi s.a.w. memakai untuk dua hari raya pakaian baginda yang paling cantik. Baginda mempunyai jubah khusus yang dipakai baginda untuk dua hari raya dan juga hari jumaat”.

Adakah berwangian dan berbaju baru itu hanya disunatkan untuk orang yang ingin keluar mengerjakan solat hari raya sahaja?

Tidak. Ia disunatkan kepada semua orang termasuk yang tinggal di rumah kerana hari raya adalah hari perhiasan (يوم الزينة). Bagi yang memiliki hanya satu pakaian, ia disunatkan membasuh pakaian itu untuk hari raya sebagaimana juga hari jumaat.

4. Beramai-ramai menghadiri tempat solat hari raya

Disunatkan pada hari raya umat Islam keluar beramai-ramai ke tempat solat hari raya termasuk kaum wanita (sama ada tua atau muda, yang berkahwin atau belum berkahwin, yang suci atau dalam haid) untuk sama-sama bertakbir, mendengar khutbah dan berdoa. Ummu ‘Athiyyah r.a. menceritakan;

“Kami (para wanita di zaman Nabi s.a.w.) diperintahkan supaya keluar pada hari raya (ke tempat solat) sehingga kami mengeluarkan anak gadis dari tabir/tirainya (*yakni kami mengeluarkan anak gadis kami dari biliknya untuk membawa mereka bersama-sama ke tempat solat), dan sehingga perempuan-perempuan yang kedatangan haid juga turut sama keluar di mana mereka duduk di belakang orang ramai; bertakbir bersama dengan takbir mereka dan berdoa bersama dengan doa-doa mereka serta mengharapkan keberkatan hari tersebut dan kesuciannya” (Riwayat Imam Bukhari).

Di mana ditempatkan wanita yang dalam haid?

Wanita yang kedatangan haid, mereka hendaklah ditempatkan di bahagian belakang orang ramai dan dipisahkan dari tempat sembahyang atau masjid. Menurut Imam Nawawi; kedudukan mereka hanya setakat pintu masjid sahaja. Sabda Rasulullah s.a.w.; “Adapun wanita-wanita yang haid, maka mereka hanya turut sama menghadiri perhimpunan kaum muslimin dan doa mereka dan mereka duduk terpisah dari tempat sembahyang orang ramai”. (Riwayat Imam Bukhari dari Ummu ‘Athiyyah r.a.)

Dalam riwayat yang lain; “Dan wanita-wanita haid hendaklah berada di belakang orang ramai di mana mereka bertakbir bersama mereka” (Riwayat Imam Muslim dan Abu Daud dari Ummu ‘Athiyyah r.a.).

Adakah harus wanita keluar dengan bersolek?

Tidak harus kaum wanita keluar dengan bersolek, bertabarruj dan berwangian. Sabda Rasulullah s.a.w.; “Janganlah kamu menegah hamba-hamba Allah yang perempuan (yakni kaum muslimat) dari mendatangi rumah-rumah Allah. Namun hendaklah mereka keluar dalam keadaan tidak berwangian”. (Riwayat Imam Ahmad dan Abu Daud)

Adakah harus keluar jika dikhuatiri mendatangkan fitnah? Bagaimana dengan wanita yang dalam eddah kematian suami?

Tidak harus mereka keluar jika dikhuatiri boleh mendatangkan fitnah. Begitu juga, tidak harus keluar wanita yang masih berada dalam iddah kematian suaminya.

Adakah kanak-kanak juga sunat dibawa bersama?

Ya, sunat membawa bersama kanak-kanak yang telah mumayyiz.

5. Keluar awal ke tempat solat (kecuali imam)

Disunatkan hadir ke masjid atau tempat solat awal pagi selepas subuh kecuali imam di mana ia disunatkan hadir pada waktu solat hari raya hendak dilaksanakan.

Imam disunatkan hadir lebih awal –untuk memimpin solat- pada hari raya korban supaya solat dapat dilakukan lebih awal dan dengan itu dapat memanjangkan waktu untuk melaksanakan ibadah korban (kerana binatang korban sunat disembelih selepas imama selesai dari solat hari raya). Adapun pada hari raya fitrah, imam disunatkan melewatkan sedikit hadir untuk memimpin solat bagi memberi lebih masa kepada kaum muslimin untuk membayar zakat fitrah (kerana zakat fitrah afdhal dikeluarkan sebelum solat hari raya).

6. Menikmati juadah sebelum keluar (khusus bagi hari raya fitrah)

Disunatkan pada hari raya fitrah menikmati sedikit makanan sebelum keluar ke masjid atau tanah lapang bagi menunaikan solat. Sebaik-baiknya memakan buah tamar dan dengan bilangan yang ganjil. Adapun pada hari raya korban disunatkan menahan diri dari makan sehinggalah pulang dari menunaikan solat hari raya.

Diriwayatkan dari Ibnu Buraidah dari bapanya r.a. (seorang sahabat) yang menceritakan; “Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. tidak keluar pada hari raya fitrah melainkan setelah baginda makan dan baginda tidak makan pada hari raya korban melainkan setelah beliau pulang”. (Riwayat Imam Ibnu Majah dan at-Tirmizi. Hadis ini adalah hasan menurut Imam Nawawi)

Anas r.a. juga menceritakan; “Adalah Rasulullah s.a.w. tidak keluar pada pagi hari raya fitrah melainkan setelah baginda makan beberapa biji tamar. Baginda makan tamar-tamar itu dengan bilangan yang ganjil’”. (Riwayat Imam Bukhari)

7. Keluar berjalan kaki dan melalui jalan berbeza ketika pulang

Disunatkan pergi ke tempat solat atau ke masjid dengan berjalan kaki dalam keadaan tenang. Apabila pulang, disunatkan melalui jalan yang lain dari jalan yang dilalui ketika pergi tadi. Ibnu ‘Umar r.a. menceritakan; “Rasulullah s.a.w. keluar untuk menunaikan solat hari raya dengan berjalan kaki dan pulang dengan berjalan kaki”. (Riwayat Imam Ibnu Majah)

Imam Bukhari meriwayatkan dari Jabir r.a.; “Adalah Nabi s.a.w. pada hari raya baginda melalui jalan yang berbeza (yakni ketika pergi melalui satu jalan dan ketika pulang melalui jalan yang lain)”. Dari Ibnu ‘Umar r.a.; “Sesungguhnya Rasulullah pada hari raya melalui satu jalan (ketika keluar menunaikan solat hari raya), kemudian baginda pulang dengan melalui jalan yang lain”. (Riwayat Imam Abu Daud dan al-Hakim)

Antara hikmahnya menurut ulamak ialah; supaya kedua-dua jalan serta penduduk sekitarnya dari kalangan manusia dan jin menjadi saksi kepada baginda dan juga untuk menzahirkan syiar Islam.

8. Segera mengeluarkan zakat fitrah sebelum solat hari raya.

Disunatkan bersegera mengeluarkan zakat fitrah sebelum solat hari raya dikerjakan. Ibnu Umar r.a. menceritakan; “Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. menyuruh agar dikeluarkan zakat fitrah sebelum keluar pada pagi hari raya untuk mengerjakan solat”. (Riwayat Imam at-Tirmizi)

Mengeluarkan zakat fitrah selepas selesai solat hukumnya adalah makruh di sisi imam mazhab empat. Malah ada pandangan menyatakan; haram.

9. Menyembelih korban (bagi hari raya korban)

Digalakkan menyembelih korban pada hari raya korban dengan seekor kambing atau sebagainya bagi orang-orang yang mampu.

Barra’ bin ‘Azib r.a. menceritakan; “Rasulullah s.a.w. telah berkhutbah kepada kami pada hari raya korban di mana baginda bersabda; “Sesungguhnya perkara pertama untuk kita memulakan hari kita ini ialah dengan kita menunaikan solat (yakni solat hari raya), kemudian kita pulang dan berikutnya kita menyembelih korban….”. (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

10. Mengucapkan tahniah, menzahirkan kegembiraan dan bersalam-salaman

Digalakkan pada hari raya mengucapkan tahniah sempena kedatangan hari raya, melahirkan rasa gembira dan seronok dan bersalam-salaman sesama kaum muslimin. Mengucapkan tahniah bersempena kedatangan hari raya adalah amalan para sahabat, oleh itu ia disyari’atkan. Al-Hafidz ibnu Hajar berkata; kami meriwayatkan dengan sanad yang baik (hasan) dari Jubair bin Nufair yang menceritakan; “Adalah para sahabat Rasulullah s.a.w. apabila saling bertemu pada hari raya, maka berkata sebahagian mereka kepada sebahagian yang lain; ‘Semoga Allah menerima dari kami dan dari kamu’”. (Fathul-Bari ‘ala Soheh al-Bukhari)

Adapun galakan bersalam-salaman adalah berdasarkan hadis Rasulullah s.a.w. yang bersabda; “Tidak ada dua orang muslim yang berjumpa, lalu mereka berdua saling berjabat tangan melainkan akan diampunkan bagi kedua-dua mereka sebelum mereka berpisah lagi”. (Riwayat Imam Abu Daud dari Anas r.a. dengan sanad yang soheh menurut Imam Nawawi)

Mengenai galakan menzahirkan kegembiraan, terdapat hadis Rasulullah s.a.w. yang menyebutkan; “Senyumanmu di hadapan wajah saudara kamu adalah sedekah bagimu”. (Riwayat Imam at-Tirmizi dari Abu Zarr r.a.)

Adakah harus mengerjakan solat sunat sebelum dan selepas menunaikan solat hari raya?

1. Bagi imam, dimakruhkan melakukan sebarang solat sunat sebelum dan selepas mengerjakan solat hari raya kerana berlawanan dengan sunnah Nabi s.a.w.. Ibnu ‘Abbas r.a. menceritakan; “Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. keluar pada hari raya korban dan hari raya fitrah, lalu baginda menunaikan solat sunat hari raya dua rakaat. Baginda tidak mengerjakan sebarang solat sebelumnya dan begitu juga selepasnya”. (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

Malah apabila ia sampai di masjid tidak perlu ia menunaikan solat tahiyyatal-masjid, akan tetapi terus memimpin solat hari raya. Solat tahiyyatal-masjid dengan sendirinya terhasil bersama solat hari raya itu.

2. Adapun selain dari imam, tidaklah dimakruhkan mengerjakan solat sunat sebelum atau selepas solat hari raya. Ini kerana waktu tersebut bukanlah waktu yang ditegah mengerjakan solat. Selain itu, terdapat riwayat dari Abu Barzah yang menceritakan bahawa Anas r.a., al-Hasan r.a. dan Jabir bin Zaid r.a. mengerjakan solat pada hari raya sebelum keluarnya imam.

Adakah harus bergembira pada hari raya?

Harus, malah disunatkan, akan tetapi hendaklah tidak membabitkan perkara-perkara yang haram. Di dalam hadis Anas r.a. tadi diceritakan; tatkala Nabi s.a.w. tiba di Madinah (selepas hijrahnya), penduduk Madinah mempunyai dua hari kebesaran di mana mereka menyambutnya dengan mengadakan permainan-permainan. Lalu baginda bertanya mereka; “Hari apakah yang kamu sambut ini?”. Mereka menjawab; “Dua hari yang kami biasa menyambutnya (dengan mengadakan permainan) pada masa jahiliyah”. Maka Nabi s.a.w. bersabda kepada mereka; “Sesungguhnya Allah telah menggantikan untuk kamu dua hari yang lebih baik dari dua hari (yang kamu sambut) itu iaitu; hari raya korban dan hari raya fitrah”. (Riwayat Imam Abu Daud dan an-Nasai dengan sanad yang soheh).

Di kitab Subulus-Salam, Imam As-Son’ani menyimpulkan berdasarkan hadis di atas; hadis ini menjadi dalil bahawa menzahirkan kegembiraan-kegembiraan ketika hari raya adalah disunatkan dan ia antara syari’at Allah kepada hambaNya. Ini kerana yang digantikan hanyalah hari raya. Adapun adat sambutan yang dilakukan oleh mereka iaitu mengadakan permainan-permainan (untuk menzahirkan keseronokan dan kegembiraan) tidak disentuh oleh Rasulullah s.a.w.. Ini menunjukkan ia adalah harus pada hari raya. Namun hendaklah dipastikan tidak ada unsur yang dilarang oleh Syarak dan tidak memalingkan dari ketaatan. (Subulus-Salam, jil. 1, bab. Solatul-Idaian).

Adakah harus mendengar nyanian dan berhibur pada hari raya?

Ya, harus dengan syarat nyanyian dan hiburan yang bersih dari maksiat dan munkar. Syeikh Ali as-Shobuni berkata; “Oleh kerana har-hari raya adalah hari keseronokan dan kegembiraan bagi kanak-kanak dan orang dewasa, lelaki dan juga wanita, maka Syarak telah mengharuskan hiburan yang bersih dan permainan yang tidak ada sebarang unsur maksiat padanya, bertujuan untuk menimbulkan kegembiraan dalam hati sekelian manusia, supaya mereka merasai kebesaran hari raya dan keindahannya”.

Saidatina Aisyah r.a. menceritakan; “Abu Bakar masuk kepadaku sedang bersamaku dua orang budak perempuan Ansar yang sedang menyanyi dengan syair/ungkapan yang saling diucapkan (antara dua puak) Ansar (yakni ‘Aus dan Khazraj) dalam peperangan Bu’ats. Aisyah menerangkan; mereka berdua bukanlah penyanyi. (Melihat hal tersebut), Abu Bakar lantas berkata; “Apakah serunai-serunai syaitan di rumah Rasulullah?”. Hari itu adalah hari raya. Maka Rasulullah s.a.w. berkata; “Wahai Abu Bakar, sesungguhnya bagi setiap kaum ada hari rayanya dan ini adalah hari raya kita”. (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

Takbir pada hari raya

Apakah dalil disunatkan bertakbir pada hari raya?

Diantara dalilnya ialah riwayat dari Ummu ‘Athiyyah r.a. yang menceritakan; “Kami (para wanita) diperintahkan supaya keluar pada hari raya (ke tempat solat) sehingga kami mengeluarkan anak gadis dari tabir/tirainya (*yakni kami mengeluarkan anak gadis kami dari biliknya untuk membawa mereka bersama-sama ke tempat solat), dan sehingga perempuan-perempuan yang kedatangan haid juga turut sama keluar di mana mereka duduk di belakang orang ramai; bertakbir bersama dengan takbir mereka dan berdoa bersama bersama dengan doa-doa mereka serta mengharapkan keberkatan hari tersebut dan kesuciannya”. (Riwayat Imam Bukhari)

Siapakah yang disunatkan bertakbir?

Disunatkan bertakbir pada hari raya bagi lelaki dan perempuan, kanak-kanak (yang mumayyiz) dan orang dewasa, orang dalam negeri atau sedang bermusafir. Termasuklah wanita-wanita yang haid atau lelaki-lelaki yang berjunub. (al-Majmu’, 5/42).

Ketika bertakbir, adakah disunatkan meninggikan suara?

Ketika mengucapkan takbir disunatkan dengan suara yang tinggi untuk menzahirkan syi’ar agama. Diriwayatkan dari Nafi’ yang menceritakan;

كان ابن عمر يكبر يوم العيد في الأضحى والفطر ويكبر ويرفع صوته
“Adalah Ibnu Umar r.a. bertakbir pada hari raya korban dan juga hari raya fitrah; ia bertakbir dan meninggikan suaranya”. (Riwayat Imam ad-Daruqutni dan al-Baihaqi)

Namun dikecualikan kaum wanita; mereka hendaklah bertakbir dengan suara perlahan. Dalam kitab Kifayatul-Akhyar, pengarangnya menjelaskan; “Disunatkan mengangkat suara dengan takbir bagi para lelaki sahaja, tidak bagi perempuan”. (Lihat halaman 151)
Berapa jenis takbir hari raya?

Takbir pada hari raya ada dua jenis;

1. Takbir Mursal atau Muthlaq (المرسل أو المطلق) iaitu takbir yang tidak terikat dengan sesuatu keadaan di mana ia dilaungkan dengan suara yang kuat di jalan-jalan raya, di masjid-masjid, di pasar-pasar, di rumah dan sebagainya di waktu siang atau malam.

2. Takbir Muqayyad (المقيد) iaitu yang dilaungkan selepas menunaikan solat sahaja (sama ada solat fardhu, jenazah atau solat-solat sunat).

Bilakah bermulanya takbir mursal dan bila pula berakhir?

Takbir mursal atau muthlaq bermula sebaik sahaja terbenam matahari pada malam hari raya (sama ada hari raya fitrah atau hari raya korban), dan ia berterusan hinggalah apabila imam mula mengangkat takbir bagi menunaikan solat hari raya. Firman Allah;

وَلِتُكْمِلُوا الْعِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلَى مَا هَدَاكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ
“…dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu bertakbir membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur”. (al-Baqarah: 185)

Berkata para ulamak; ayat di atas menjadi dalil disunatkan melaungkan takbir pada hari raya fitrah dan dikiaskan kepadanya hari raya korban.

Bilakah bermulanya takbir muqayyad dan bila berakhir?

a) Bagi hari raya korban, takbir muqayyad bermula bermula dari solat subuh hari ‘Arafah (iaitu tanggal 9 Dzulhijjah) hinggalah selepas solat asar pada hari Tasyrik terakhir (yakni hari raya ke empat).

Diriwayatkan dari ‘Ali dan ‘Ammar r.a. yang menceritakan; “Sesungguhnya Nabi s.a.w. bertakbir bermula dari hari ‘Arafah (selepas) solat subuh dan memutuskannya (yakni berhenti bertakbir) selepas solat asar hari terakhir Tasyriq”. (Riwayat Imam al-Hakim. Menurut Imam al-Hakim; hadis ini sanadnya soheh)

b) Bagi hari raya fitrah, bermula dari solat maghrib pada malam hari raya dan berakhir selepas solat subuh pada pagi hari raya.

Adakah takbir hari raya dilaungkan selepas zikir solat atau sebelumnya?

Melaungkan takbir didahulukan dari membaca zikir-zikir selepas sembahyang bagi takbir muqayyad. Adapun takbir mursal, membaca zikir-zikir selepas solat didahulukan dari melaungkannya. (Lihat; al-Kifayah Li Zawil-‘Inayah, hlm. 85)

Apakah lafaz takbir yang sunat dilaungkan?

Ada dua pandangan ulamak;

Pandangan pertama (Imam Ahmad); Lafaznya ialah;

الله أكبر، الله أكبر، لا إله إلا الله، والله أكبر، الله أكبر، ولله الحمد

Iaitu lafaz takbir (الله أكبر) hanya disebut dua kali sahaja. Lafaz ini berdalilkan riwayat dari Ibnu ‘Umar r.a. dan Ibnu Mas’ud r.a.. Imam Ibnu Abi Syaibah meriwayatkan dari Abi al-Aswad yang menceritakan; “Adalah Abdullah bin Mas’ud r.a. bertakbir bermula dari solat subuh hari ‘Arafah hingga ke solat Asar hari an-Nahr (yakni hari raya korban) dengan melafazkan;
الله أكبر الله أكبر لا إله إلا الله والله أكبر الله أكبر ولله الحمد
(Menurut Syeikh Syu’aib al-Arnaudh dan Syeikh ‘Abdul-Qadier al-Arnaudh; para perawi hadis ini adalah tsiqah. Lihat; Zadul-Ma’ad, jil. 1, hlm. 449, fasl Hadyihi s.a.w. fil-‘Idain).

Pandangan kedua (mazhab Syafi’ie); lafaznya ialah;

الله أكبر الله أكبر الله أكبر، لا إله إلا الله، الله أكبر، الله أكبر، ولله الحمد
“Allah maha besar, Allah maha besar, Allah maha besar. Tidak ada Tuhan melainkan Allah. Allah maha besar. Allah maha besar. Milik Allah lah segala puji-pujian”.

Iaitu lafaz takbir (الله أكبر) disebut tiga kali. Mengucapkan takbir tiga-tiga kali menurut Imam Abi Ishaq as-Syirazi adalah berdalilkan riwayat dari Ibnu Abbas r.a. (al-Muhazzab, bab at-Takbir). Berkata Imam Ibnu Hajar; “Sesungguhnya Ibnu ‘Abbas dan Jabir bertakbir tiga-tiga kali sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam ad-Daruqutni dengan sanad yang dhaif. Dan telah berkata Imam Ibnu ‘Abdil-Barr; “Terdapat riwayat yang sahih dari Umar, Ali dan Ibnu Mas’ud bahawa mereka melaungkan takbir tiga-tiga kali iaitu (الله أكبر، الله أكبر، الله أكبر). (Lihat; tahqiq/ulasan Dr. Mahmud Matraji terhadap kitab al-Majmu’, bab at-Takbir, 5/36. Lihat juga; Nailul-Authar, 3/315).

Imam as-Syafi’ie dalam kitabnya al-Umm menyukai agar ditambah kepada takbir di atas selepas tiga kali mengucapkannya;

اللّه أكْبَرُ كَبيراً،والحَمْدُ لِلَّهِ كَثيراً، وَسُبْحانَ اللَّهِ بُكْرَةً وأصِيلاً، لا إِلهَ إِلاَّ اللَّهُ، وَلا نَعْبُدُ إِلاَّ إِيَّاهُ مُخْلِصِينَ لَهُ الدينَ وَلَوْ كَرِهَ الكافِرُون، لا إِلهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ، صَدَقَ وَعْدَهُ، وَنَصَرَ عَبْدَهُ، وَهَزَمَ الأحْزَابَ وَحْدَهُ، لا إِلهَ إِلاَّ اللّه واللَّهُ أكْبَرُ
“Allah maha besar dengan sebesar-besarnya. Segala puji-pijian milik Allah dengan sebanyak-banyaknya. Maha suci Allah di waktu pagi dan petang. Tidak ada Tuhan melainkan Allah. Kami tidak menyembah melainkanNya sahaja dalam keadaan kami mengikhlaskan agama untukNya, sekalipun orang-orang kafir membenci. Tidak ada Tuhan melainkan Allah satu-satunya. Dia telah mengotakan janjiNya dan telah menolong hambaNya serta mengalahkan tentera-tentera bersekutu (dengan kekuasaanNya) semata-mata. Tidak ada Tuhan melainkan Allah. Allah maha besar”.

Tambahan ini menurut Imam Abu Ishaq as-Syirazi dalam al-Muhazzab, di ambil dari zikir Nabi s.a.w. ketika Sa’i di atas bukit Safa. (al-Majmu’, 5/36).

Wallahu a’lam.

Friday, July 18, 2008

PUASA SUNAT (BULAN SYA'BAN)

Adakah disunatkan berpuasa penuh di bulan Sya’ban?

Ya. Disunatkan berpuasa keseluruhan hari di bulan Sya’ban atau kebanyakan harinya. Ini berdasarkan hadis dari Ummu Salamah r.a. yang menceritakan; “Tidak pernah Nabi s.a.w. berpuasa (sunat) sebulan penuh dalam setahun kecuali di bulan Sya’ban di mana baginda menyambungnya dengan Ramadhan” (HR Imam Abu Daud dan an-Nasai). ‘Aisyah pula menceritakan; “Rasulullah s.a.w. kadang-kadang terus-menerus berpuasa hingga kami menganggap beliau tidak berbuka langsung, dan kadang-kadang beliau terus-menerus berbuka hingga kami menganggap beliau tidak berpuasa langsung. Namun demikian, aku tidak pernah melihat Rasulullah berpuasa sebulan penuh melainkan pada bulan Ramadhan, dan aku tidak pernah melihat beliau paling banyak berpuasa sebagaimana beliau berpuasa di bulan Sya’ban”. (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim).

Menurut ulamak; difahami dari hadis-hadis di atas bahawa Nabi s.a.w. adakalanya berpuasa sebulan penuh di bulan Sya’ban dan adakalanya baginda tidak berpuasa sebulan penuh tetapi pada kebanyakan harinya sahaja.[1]

Apa hikmahnya Rasulullah s.a.w banyak berpuasa di bulan Sya’ban?

Seorang sahabat bernama Usamah bin Zaid r.a. pernah bertanya Nabi s.a.w. kenapa beliau banyak berpuasa di bulan Sya’ban? Nabi s.a.w. menjawab; “Bulan Sya’ban itu adalah bulan yang selalu dilupai oleh manusia di mana kedudukannya di tengah antara Rejab dan Ramadhan. Namun ia adalah bulan diangkat amalan-amalan hamba kepada Tuhan Pencipta Alam. Maka aku menyukai amalanku diangkat ketika aku berpuasa” (Riwayat Imam an-Nasai. Hadis menurut Syeikh al-Albani adalah hasan)

Apakah kelebihan malam nisfu Sya’ban?

Sabda Nabi s.a.w.; “Pada malam nisfu Sya’ban Allah melihat kepada sekelian makhlukNya. Lalu Dia mengampunkan ke semua mereka kecuali orang musyrik dan orang yang bermusuh dengan saudara seagama” (HR Imam at-Thabrani dan Ibnu Hibban dari Mu’az bin Jabal r.a)

Nota kaki;

[1] Fiqh al-‘Ibadat, Hasan Ayyub, hlm. 431.

Saturday, June 14, 2008

BERSUCI (MANDI)

Apa maksud mandi wajib?

Mandi wajib bermaksud mandi yang diwajibkan oleh Syarak kerana sebab-sebab yang telah ditetapkan.

Apakah sebab-sebab yang mewajibkan mandi?

1. Jimak

Jimak bermaksud bersetubuh iaitu memasukkan zakar ke dalam faraj. Seorang muslim diwajibkan mandi selepas bersetubuh berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w.; “Apabila seseorang telah duduk di antara empat cabang perempuan (yakni dua tangan dan dua kaki/pahanya), kemudian khitan (kemaluan) telah menyentuh khitan (kemaluan), maka wajiblah mandi”. Dalam satu riwayat disebutkan; “…sekalipun tidak keluar mani” (Riwayat Imam Muslim dari Saidatina ‘Aisyah r.a..). Menurut Imam Nawawi; maksudnya “..khitan (kemaluan) telah menyentuh khitan (kemaluan)..” di dalam hadis ini ialah; menenggelamkan zakar ke dalam faraj perempuan, bukan sekadar menyentuh luarannya sahaja. Ijmak ulamak menyatakan bahawa jika seorang lelaki meletakkan sahaja zakarnya di atas faraj perempuan tanpa memasukkannya, tidak wajib mandi sama ada ke atas si lelaki atau si perempuan. (Syarah Soheh Muslim, Kitab al-Haidh, bab Naskh al-Ma’ minal-Ma’…).

Mengikut pandangan jumhur atau majoriti ulamak; diwajibkan mandi sama ada persetubuhan berlaku antara lelaki dan wanita atau dengan memasukkan zakar ke dalam dubur (yakni melakukan liwat), termasuklah mensetubuhi binatang dan orang mati. Bagi jumhur ulamak, asalkan berlaku persetubuhan iaitu masuknya hasyafah (yakni kepala zakar) ke dalam faraj atau dubur, wajiblah mandi sekalipun tidak keluar mani.

Menurut Imam Abu Hanifah; tidak wajib mandi kalau yang disetubuhi itu adalah binatang sekalipun perbuatan itu berdosa. Imam Ibnu Hazm pula berpandangan; tidak wajib mandi jika tidak keluar mani. Baginya, yang mewajibkan mandi bukanlah semata-mata kerana berlakunya persetubuhan tetapi kerana keluar mani.

2. Keluar mani

Telah disepakati oleh sekelian ulamak bahawa wajib mandi dengan keluarnya mani. Ini berdalilkan sabda Nabi s.a.w.; “Air (yakni mandi) adalah dari kerana air (yakni dari kerana keluar mani)” (Riwayat Imam Muslim dari Abu Sa’id al-Khudri r.a.). Ummu Salamah r.a. telah menceritakan; “Pernah Ummu Sulaim datang dan bertanya kepada Nabi s.a.w.; ‘Adakah seorang perempuan wajib mandi jika ia bermimpi?’. Jawab Nabi s.a.w.; ‘Ya, jika ia melihat air (yakni air mani)’” (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim).

Menurut mazhab Imam Syafi’ie; tidak ada beza sama ada keluar mani itu kerana jimak, mimpi, berkhayal, mengeluarkannya dengan tangan, kerana melihat wanita atau kerana sebarang sebab, sama ada keluar mani itu dengan merasa lazat atau tanpa merasainya, sama ada yang keluar itu banyak atau sedikit, sama ada ketika jaga atau tidur, sama ada lelaki atau wanita, orang beraqal atau gila. Semuanya mewajibkan mandi. Bagi pandangan Imam Abu Hanifah, Imam Malik dan Ahmad; tidak wajib mandi kecuali jika mani yang keluar adalah kerana syahwat dan keluarnya dalam keadaan memancut.

Kalau seseorang itu bermimpi (bersetubuh atau sebagainya) tetapi tidak nampak air mani pada badan atau pakaiannya apabila terjaga dari tidurnya atau ia ragu-ragu sama ada keluar mani atau tidak, maka dalam kes ini tidak wajib ia mandi. Namun jika ia melihat ada air mani pada badan atau pakaiannya dan ia tidak pasti; apakah ia telah bermimpi atau tidak? Dalam kes kedua ini, wajiblah ia mandi. Ini berdalilkan hadis dari Ummu Salamah r.a. yang menceritakan; “Ummu Sulaim (isteri Abu Talhah) telah datang kepada Nabi s.a.w. dan berkata; ‘Ya Rasulullah s.a.w., sesungguhnya Allah tidak malu dengan kebenaran. Adakah wajib seorang wanita mandi jika ia bermimpi?’. Jawab Nabi s.a.w.; ‘Ya, jika ia melihat air mani’” (Riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim).

Berkata Imam Ibnu Munzir; telah ijmak bahawa seseorang jika ia melihat dalam mimpinya bahawa ia bersetubuh, namun setelah terjaga dari tidur ia tidak nampak sebarang kesan mani, tidak wajib atasnya mandi.

3. Haid dan nifas

Wanita yang kedatangan haid dan nifas, apabila kering darah haid atau darah nifas, wajib mereka mandi sebelum menunaikan solat atau sebelum diharuskan suaminya mensetubuhinya berdalilkan firman Allah dalam surah al-Baqarah, ayat 222 (bermaksud); “Dan mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (hukum) haid. Katakanlah: ‘Darah haid itu satu benda yang (menjijikkan dan) mendatangkan mudarat’. Oleh sebab itu hendaklah kamu menjauhkan diri dari perempuan (jangan bersetubuh dengan isteri kamu) dalam masa datang darah haid itu, dan janganlah kamu hampiri mereka (untuk bersetubuh) sebelum mereka suci. Kemudian apabila mereka sudah bersuci maka datangilah mereka menurut jalan yang diperintahkan oleh Allah kepada kamu. Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri”. (Al-Baqarah; 222)

Begitu juga berdasarkan hadis Saidatina ‘Aisyah r.a. yang menceritakan; “Fatimah bin Hubaiysh r.a. menghadapi masalah istihadhah. Lalu Rasululah s.a.w. berkata kepadanya; ‘Bila datang haid, tinggallah solat dan apabila ia berlalu (yakni tempoh haid kamu tamat), maka mandilah dan tunaikanlah solat” (Riwayat Imam al-Bukhari).

Ayat dan hadis di atas menyentuh tentang haid. Dikiaskan kepadanya nifas kerana nifas adalah haid yang berkumpul. Begitu juga, nifas mengharamkan puasa, bersetubuh dan menggugurkan kewajipan solat sebagaimana haid. Maka wanita yang nifas apabila kering darah nifasnya, wajib ia mandi sebagaimana wanita yang haid. Telah ijmak para ulamak bahawa wanita yang nifas adalah umpama wanita yang haid dalam segenap hukum-hakamnya.

4. Wiladah

Wiladah bermaksud kelahiran anak termasuklah keguguran (sekalipun hanya segumpal darah atau segumpal daging). Menurut mazhab Imam Syafi’ie, Imam Malik dan Imam Ahmad (mengikut satu riwayat darinya); wanita yang melahirkan anak atau keguguran, ia wajib mandi jika ditakdirkan tiada darah nifas yang keluar. Ini kerana dikiaskan kepada mani. Anak atau janin adalah air mani yang telah menjadi kanak-kanak. Keluarnya anak atau janin dari faraj dapat diumpamakan seperti keluar mani darinya, maka wajiblah mandi. Namun jika ada darah nifas yang keluar selepas kelahiran atau keguguran tersebut, maka hukumnya tertakluk dengan hukum wanita yang kedatangan nifas dan ia hendaklah menunggu hingga kering darah nifasnya barulah mandi.

Namun mengikut mazhab Imam Abu Hanifah dan satu riwayat lain dari Imam Ahmad; wiladah tidak mewajibkan mandi kerana tidak ada dalil yang menegaskannya.

5. Mati

Seorang muslim yang mati wajib dimandikan sebelum dikafan kecuali orang yang mati syahid.* Ibnu ‘Abbas r.a. menceritakan; Rasulullah s.a.w. telah bersabda mengenai seorang lelaki yang mati ketika sedang dalam ihram (haji); ‘Mandikanlah ia dengan air dan daun bidara, kemudian kafankanlah dia dengan dua helai kainnya’”. (Riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim). Niat mandi hendaklah dilakukan oleh orang menguruskan mandiannya.

(*Selain orang mati syahid, ada dua lagi jenazah muslim yang tidak perlu dimandikan;
Mayat yang tidak dapat dimandikan kerana dibimbangi akan terlerai. Sebagai ganti ia hendaklah ditayammumkan.
Seorang lelaki mati dan tidak ada orang untuk memandikannya melainkan seorang wanita ajnabi dan begitu juga sebaliknya.
(al-Asybah Wa an-Nadzair, Imam as-Suyuti, hlm. 545-546)

6. Orang kafir yang masuk Islam

Menurut mazhab Imam Malik dan Imam Ahmad; orang kafir yang memeluk Islam wajib ia mandi. Mereka berdalilkan hadis dari Abu Hurairah r.a. yang menceritakan; seorang lelaki bernama Tsumamah bin Usal telah ditangkap oleh tentera Islam dan ditambat di satu tiang masjid. Nabi berkata kepada para sahabatnya; “Lepaskan Tsumamah”. Setelah dilepaskan Tsumamah pergi ke satu kawasan air berdekatan masjid, lalu ia mandi. Kemudian ia memasuki masjid dan mengucapkan dua kalimah syahadah. (Riwayat Imam al-Bukhari).

Namun menurut jumhur ulamak termasuk mazhab Imam Syafi’ie dan Abu Hanifah; tidak wajib mandi atas orang kafir yang memeluk Islam, akan tetapi disunatkan sahaja. Ramai orang yang memeluk Islam di zaman Nabi s.a.w., namun baginda tidak menyuruh mereka agar mandi sama ada sebelum atau selepas memeluk Islam. Adapun hadis tadi, ia hendaklah difahami sebagai sunat sahaja, bukan wajib.

Menurut mazhab Imam Syafi’ie; dikecualikan jika ia berjunub semasa kafirnya, maka wajiblah ia mandi. Adapun mazhab Imam Abu Hanifah; tidak wajib mandi sekalipun berjunub semasa kafirnya kerana Rasulullah s.a.w. ada bersabda; “Islam menghapuskan/ menggugurkan apa yang telah lalu” (Riwayat Imam Muslim dari Amru bin al-‘As r.a.)

7. Orang yang memandikan jenazah

Segolongan ulamak Salaf antaranya Saidina Ali, Abu Hurairah, Sa’id bin al-Musayyab, Ibnu Sirin, az-Zuhri dan sebagainya berpendapat; orang yang memandikan jenazah wajib ke atasnya mandi. Mereka berdalilkan hadis dari Abu Hurairah r.a. yang menceritakan bahawa Nabi s.a.w. bersabda; “Sesiapa memandikan orang mati, maka hendaklah ia mandi. Sesiapa membawa orang mati, maka hendaklah ia mengambil wudhuk” (Riwayat Imam at-Tirmizi. Menurut beliau, hadis ini hasan).

Namun menurut pandangan Ibnu ‘Abbas, Ibnu Umar, Saidatina ‘Aisyah, al-Hasan, an-Nakha’ie, Imam Syafi’ie, Imam Abu Hanifah, Imam Ahmad dan sebagainya; tidak wajib ia mandi. Suruhan Nabi s.a.w. dalam hadis di atas hanyalah suruhan sunat sahaja, iaitu digalakkan mandi bukan diwajibkan. Terdapat satu riwayat dari Imam Ahmad menyebutkan; wajib mandi itu hanya jika yang dimandikan itu adalah mayat orang kafir. Ini berdalilkan arahan Nabi s.a.w. kepada Saidina ‘Ali r.a. agar ia mandi tatkala ia memandikan bapanya (Abu Thalib).

Apakah perbuatan-perbuatan yang menjadi rukun semasa mandi wajib?

Berdasarkan pandangan pelbagai ulamak, perbuatan-perbuatan yang menjadi rukun di dalam mandi wajib ialah;

1. Menghilangkan najis pada badan sebelum mandi jika ada.

Rukun ini disebut dalam mazhab Imam Syafi’ie dan juga Imam Ahmad. Dalilnya ialah hadis dari Ibnu ‘Abbas r.a. yang meriwayatkan dari Maimunah r.a. yang menceritakan; “(Semasa mandi wajib) Rasulullah mengambil wudhuk sebagaimana wudhuk untuk mengerjakan solat kecuali dua kakinya dan baginda membasuh kemaluannya dan juga kekotoran yang mengenainya, kemudian baginda mencurahkan air ke badannya, berikutnya beliau mengalih dua kakinya dan membasuh keduanya. Begitulah mandi Rasulullah s.a.w. dari janabah” (Riwayat Imam al-Bukhari)

2. Niat

Wajib berniat di permulaan mandi semasa mula-mula menjirus air ke mana-mana bahagian badan; sama ada berniat melakukan mandi yang diwajibkan atau berniat menghilangkan janabah atau hadas besar atau berniat mengharuskan perkara yang dilarang tanpa mandi seperti solat, tawaf dan sebagainya. Niat adalah wajib pada pandangan majoriti ulamak termasuk mazhab Imam Malik, Syafi’ie dan Ahmad. Mereka berdalilkan hadis Nabi yang menegaskan; “Sesungguhnya segala amalan bergantung kepada niat”. Mazhab Imam Abu Hanifah berpendapat; berniat dipermulaan mandi hanya sunat sahaja, tidak wajib.

3. Meratakan air ke seluruh badan

Semasa mandi wajib meratakan air ke seluruh badan merangkumi; kulit yang nampak, rambut dan bulu, kulit di bawah rambut dan bulu –sama ada bulu itu tebal atau nipis-, kawasan-kawasan berlipat serta luaran kemaluan wanita (faraj) yang nampak ketika ia bertinggung. Rukun ini telah disepakati oleh sekelian ulamak.

Wajib menyampaikan air ke bahagian-bahagian berlipat di badan –sama ada lelaki atau perempuan-, bahagian dalam pusat, bahagian dalam cuping telinga (yakni bahagian berlekuk), celah-celah ketiak, celah papan punggung, celah-celah jari-jari tangan dan kaki dan kawasan-kawasan badan yang lain yang dihukum sebagai luaran badan. Begitu juga, bibir mulut (juga wajib dikenai air). Semua perkara tersebut telah disepakati oleh para ulamak. Bahagian mata, yang wajib dikenakan air ialah bahagian luar kelopak mata. Tidak wajib membasuh hingga ke dalam mata. Tidak wajib memasukkan air ke dalam corong telinga, memadai membasuh luarannya sahaja iaitu pangkal lubang telinga. Jika ada kekotoran di pangkal lubang telinga, hendaklah dicuci. (al-Majmu’, 2/228)

Jika di celah-celah kuku terdapat kekotoran yang menghalang air dari sampai ke kulit, tidak sah mandi.[1] Begitu juga, kalau di badan atau rambut terdapat bahan-bahan yang boleh menghalang air dari sampai ke kulit, tidak sah mandi melainkan dengan menanggalkannya terlebih dahulu. Jika rambut kusut hingga air tidak dapat sampai ke akar rambut (yakni kulit kepala), tidak sah mandi melainkan setelah rambut itu di keca-kecakan hingga air dapat menembusinya dan sampai ke akarnya. (Al-Majmu’, 1/529, 2/228).

Jika ada seurat dua rambut yang tidak dikenai air semasa mandi, adakah sah mandi? Menurut mazhab Imam Syafi’ie; tidak sah mandi. Bagi Imam Abu Hanifah; sah mandi (yakni dimaafkan). (Al-Majmu’, 2/228).

Adakah wanita wajib merungkai sanggul atau dandanan rambutnya semasa mandi? Dan adakah wajib dibasuh rambut yang terurai? Persoalan ini akan kita jawab di depan nanti.

4. Mengambil wudhuk.

Menurut Imam Daud az-Dzahiri dan Imam Abu Tsur; wajib mengambil wudhuk semasa mandi wajib. Mengambil wudhuk adalah syarat sah mandi, yakni menurut mereka; tidak sah mandi tanpa didahului mengambil wudhuk. Mereka berdalilkan hadis-hadis yang menceritakan tentang cara mandi Nabi s.a.w. di mana di antara yang dilakukan oleh Nabi semasa mandi ialah mengambil wudhuk.

Namun pandangan mereka menyalahi sekelian ulamak yang lain yang sepakat menyatakan; mengambil wudhuk sebelum mandi adalah sunat sahaja, tidak lah wajib. Dalam pengertian yang lain; menurut majoriti ulamak mengambil wudhuk semasa mandi hanya disunatkan, bukan diwajibkan. Majoriti ulamak berdalilkan hadis dari Ummu Salamah r.a. yang menceritakan; aku telah bertanya Nabi s.a.w.; “Ya Rasulullah s.a.w.! Aku adalah seorang yang menganyam rambut. Adakah perlu aku rungkaikannya untuk mandi janabah?”. Jawab Nabi s.a.w.; “Tidak perlu. Cukuplah kamu menuang air ke atas kepalamu dengan tiga cebukan tangan, kemudian kamu siramkan air ke badan kamu, maka dengan itu kamu menjadi suci” (Riwayat Imam Muslim). Di dalam hadis ini Rasulullah s.a.w. tidak menyebut tentang wudhuk, menunjukkan bahawa ia adalah sunat, tidak wajib. Imam Ibnu Rusyd menjelaskan; “Apa yang terdapat dalam hadis Ummu Salamah tersebut adalah rukun-rukun mandi yang diwajibkan”. (Bidayatul-Mujtahid, jil. 1, hlm. 62).

5. Menggosok

Menggosok seluruh anggota dengan tangan semasa mandi adalah wajib mengikut pandangan Imam Malik dan disokong oleh Imam al-Muzani (salah seorang murid Imam Syafi’ie). Namun mengikut pandangan majoriti ulamak; menggosok adalah sunat sahaja. Yang wajib ialah memastikan air sampai ke seluruh badan. Jika air dapat sampai tanpa menggosok, kekallah hukumnya sebagai sunat. Namun jika air tidak dapat sampai melainkan dengan menggosok (comtohnya; di celah-celah jari yang rapat-rapat), maka ketika itu barulah hokum menggosok itu berubah menjadi wajib.

6. Muwalat

Muwalat bermaksud berturut-turut dari mula mandi hingga selesai tanpa berhenti atau melakukan pekerjaan lain. Menurut Imam Malik; muwalat ini adalah wajib semasa mandi bagi orang yang ingat dan mampu melakukannya. Adapun ulamak-ulamak yang lain; muwalat tidaklah wajib, akan tetapi disunatkan sahaja.

7. Berkumur dan Istinsyaq

Berkumur dan Istinsyaq adalah wajib dilakukan semasa mandi wajib mengikut pandangan Imam Abu Hanifah dan Imam Ahmad. Dalil mereka ialah sabda Nabi s.a.w. kepada Ummu Salamah r.a. tadi; “….kemudian kamu siramkan air ke badan kamu..”, di mana menurut mereka; mulut dan hidung termasuk dalam pengertian badan yang mesti dikenai air semasa mandi. (Lihat; al-Mughni, Ibnu Qudamah)

Menurut mazhab Imam Syafi’ie dan Imam Malik; kedua-duanya hanya sunat sunat sahaja. Bagi Imam Syafi’ie; kedua-duanya adalah sunat muakkad di mana jika ditinggalkan adalah makruh. Imam Daud pula berpandangan; yang wajib hanya Istinsyaq sahaja. Adapun berkumur, tidak diwajibkan. Pandangan Imam Daud disokong oleh Imam Ibnu al-Munzir.

8. Membaca Bismillah

Menurut Imam Ahmad; membaca Bismillah ketika bersuci dari hadas (sama ada mengambil wudhuk atau mandi wajib) adalah wajib. Masa membaca Bismillah ialah selepas niat dan sebelum mula melakukan perbuatan-perbuatan untuk bersuci. (Lihat; al-Mughni, Ibnu Qudamah, jil. 1, hlm. 96). Namun tuntutan membaca Bismillah semasa mandi ini tidaklah sekuat tuntutan semasa mengambil wudhuk. Menurut pandangan majoriti ulamak; membaca Bismillah ini hanya sunat sahaja, tidak wajib sama ada semasa mengambil wudhuk atau mandi wajib.

Apakah perbuatan-perbuatan lain yang dilakukan oleh Nabi ketika mandi wajib?

Selain dari perbuatan-perbuatan rukun atau wajib di atas, perbuatan-perbuatan lain yang disyariatkan (atas nama sunat) semasa mandi ialah;
1. Membasuh tangan terlebih dahulu.
2. Menggunakan tangan kiri ketika membasuh kemaluan dan ketika menghilangkan najis di badan jika ada.
3. Melakukan segala yang disunatkan semasa mengambil wudhuk.
4. Mula mandi dari atas ke bawah; yakni dari kepala turun ke kaki.
5. Memulakan mandi dari sebelah kanan; iaitu menjirus badan sebelah kanan, kemudian baru kiri. Tidak wajib tertib dalam memandikan angota badan. Namun disunatkan bermula dari kepala, kemudian bahagian atas badan dengan mendahulukan sebelah kanan.

Apakah hadis-hadis yang menjadi rujukan bagi sifat mandi yang sempurna?

Menurut Imam Ibnu Rusyd; para ulamak sepakat menyebutkan bahawa sifat mandi yang paling sempurna ialah yang terdapat di dalam hadis Saidatina ‘Aisyah r.a. dan Maimunah r.a..

1. Hadis ‘Aisyah r.a.

Saidatina ‘Aisyah r.a. menceritakan; “Adalah Rasulullah s.a.w. apabila baginda mandi janabah, baginda mula dengan membasuh dua tangannya. Kemudian baginda menuangkan air ke tangan kirinya dengan menggunakan tangan kanannya, lalu (dengan tangan kiri itu) baginda membasuh kemaluannya. Kemudian baginda mengambil wudhuk sebagaimana wudhuk untuk mengerjakan solat. Kemudian baginda mengambil air, lalu memasukkan jari-jarinya ke akar rambutnya hingga apabila melihat air telah membasahi seluruh (kulit kepala dan akar-akar rambutnya), baginda mencebuk air (dan menjirus) ke kepalanya sebanyak tiga cebukan. Kemudian baginda menyiram air ke seluruh badannya. Kemudian baginda membasuh kedua kakinya”. (Riwayat Muslim)

2. Hadis Maimunah r.a.

Maimunah r.a. menceritakan; “Aku telah menyediakan untuk Nabi s.a.w. air untuk baginda mandi wajib. Baginda (mandi dengan mula) membasuh dua tangannya sebanyak dua atau tiga kali, kemudian baginda menuangkan air ke tangan kirinya lalu membasuh kemaluannya (yakni beristinjak), kemudian baginda menyapu tangannya ke tanah (untuk membersihkan tangan dari kesan najis selepas membasuh kemaluan atau istinjak tadi-pent.), kemudian baginda berkumur, beristinsyaq (membasuh hidung), membasuh muka dan dua tangannya (hingga ke siku), seterusnya baginda menyiramkan air ke seluruh jasadnya, berikutnya baginda s.a.w. mengalih/berganjak dari kedudukannya lalu mengakhiri mandi dengan membasuh kedua kakinya”. (Riwayat Imam al-Bukhari)

Ibnu ‘Abbas r.a. meriwayatkan dari Maimunah r.a. yang menceritakan; “(Semasa mandi wajib) Rasulullah mengambil wudhuk sebagaimana wudhuk untuk mengerjakan solat kecuali dua kakinya dan baginda membasuh kemaluannya dan juga kekotoran yang mengenainya, kemudian baginda mencurahkan air ke badannya, berikutnya beliau mengalih dua kakinya dan membasuh keduanya. Begitulah mandi Rasulullah s.a.w. dari janabah”. (Riwayat Imam al-Bukhari)

Kita perhatikan di dalam hadis Maimunah di atas; Rasulullah mengambil wudhuk tanpa membasuh kakinya iaitu baginda menangguh basuhan kaki ke hujung mandi.

Bagaimana caranya melakukan mandi wajib yang sempurna?

Untuk melakukan mandi wajib dengan sempurna, ikutilah langkah-langkah berikut;

Langkah pertama

Baca Bismillah sambil menghadirkan niat di dalam hati (iaitu niat melakukan mandi wajib atau niat menghilangkan hadas). Kemudian basuh kedua tangan sebanyak tiga kali.

Langkah ke dua

Dengan menggunakan tangan kiri, basuh kemaluan (depan dan belakang) dan bersihkan najis atau kekotoran di badan jika ada.

Langkah ke tiga

Ambil wudhuk dengan sempurna sebagaimana wudhuk untuk mengerjakan solat. Jika ingin menangguhkan basuhan kaki ke hujung mandi diharuskan. Namun yang afdhal ialah menyempurnakannya.

Langkah ke empat

Kemudian lakukan mandian dengan bermula di bahagian kepala terlebih dahulu. Mula-mula, ambilkan air dan selati celah-celah rambut dengan jari-jari hingga rata air di kulit kepala dan akar-akar rambut. Setelah itu jiruskan air ke atas kepala dan ulanginya sebanyak tiga kali cebukan.

Langkah ke lima

Berikutnya, lakukan pula mandian di bahagian badan dengan menjirus air ke sebelah kanan terlebih dahulu, kemudian diikuti ke sebelah kiri. Semasa mandi, tangan hendaklah menggosok-gosok badan terutamanya bahagian-bahagian yang berlipat yang dikhuatiri tidak sampai air jika tidak digosok.

Langkah ke enam

Akhiri mandian dengan membasuh kedua kaki dan menggosok dicelah-celah jarinya. Menurut mazhab Imam Syafi’ie; Apabila selesai mandian, disunatkan membaca doa sebagaimana doa yang sunat dibaca selepas mengambil wudhuk .

Wanita yang mendandan rambut atau mempunyai sanggul; wajibkah ia merungkaikan sanggul atau dandanannya itu ketika mandi?

Menurut mazhab Imam Syafi’ie; jika air dapat membasahi rambut dan dapat sampai ke kulit kepala tanpa merungkainya, maka tidak wajib merungkainya. Jika tidak, wajiblah ia merungkai dandanan atau sangggulnya. Jadi, yang penting ialah memastikan air mengenai rambut dan kulit kepala.

Imam Ahmad membezakan antara mandi kerana junub dan mandi kerana haid. Menurut beliau; jika mandi kerana junub, tidak wajib merungkai sanggul atau dandanan itu. Tetapi jika mandi kerana haid, wajiblah dirungkaikannya Ia berdalilkah dua hadis;

Pertama; hadis dari Ummu Salamah r.a. yang menceritakan; aku telah bertanya Nabi s.a.w.; “Ya Rasulullah s.a.w.! Aku adalah seorang yang mendandan rambut. Adakah perlu aku rungkaikannya untuk mandi junub?”. Jawab Nabi s.a.w.; “Tidak perlu. Cukuplah kamu menuang air ke atas kepalamu dengan tiga cebukan tangan, kemudian kamu siramkan air ke badan kamu, maka dengan itu kamu menjadi suci”(Riwayat Imam Ahmad, Muslim dan at-Tirmizi). Hadis ini menjadi dalil bahawa; jika seorang perempuan mandi kerana junub, tidak wajib ia merungkai dandanan rambutnya.

Kedua; hadis dari ‘Aisyah –radhiyallahu ‘anha- yang menceritakan; Asma’ binti Syakal telah bertanya Nabi tentang mandi selepas haid. Lalu Nabi menerangkan; “Sesiapa dari kamu (yang kering darah haidnya-pent.) hendaklah ia mengambil air dan daun sidrnya, kemudian hendaklah ia mengambil wudhuk dengan menyempurnakan wudhuknya. Kemudian hendaklah ia menuangkan air ke atas kepalanya, lalu menggosok-gosokkan kepalanya dengan bersungguh-sungguh hingga air sampai ke segenap ruang kepalanya. Setelah itu hendaklah ia menyiramkan air ke badannya. Berikutnya, hendaklah ia mengambil secebis (kapas atau sebagainya) yang diletakkan wangian kasturi, kemudian bersihkanlah dengannya”. Asma’ bertanya; “Bagaimana aku hendak membersih dengannya?”. Nabi menjawab; “Subhanallah! Bersihkan lah dengannya”. Aisyah pun berkata kepadanya –dengan berbisik-; “Kamu cucikan dengannya kesan darah (yang masih ada di faraj kamu)”. Kemudian ia (yakni Asma’) bertanya pula tentang mandi kerana junub. Nabi menjawab; “Hendaklah ia (yakni wanita yang berjunub) mengambil air, lalu mengambil wudhuk dengan memperelokkan wudhuknya. Kemudian ia tuangkan air ke atas kepalanya sambil menggosok-gosok kepala hingga air sampai ke segenap ruang kepalanya. Setelah itu ia siramkan air ke seluruh badannya”. Berkata Aisyah; “Sebaik-baik wanita ialah wanita Ansar. Perasaan malu tidak menegah mereka dari mendalami agama” (Riwayat Imam Muslim). Hadis kedua ini menunjukkan perbezaan bagi mandi wanita antara mandi kerana junub dan mandi kerana haid. Semasa mandi kerana haid, diperintah oleh Nabi agar gosokan kepala dilakukan dengan sungguh-sungguh, sedangkan semasa mandi kerana junub baginda hanya menyuruh gosokan biasa sahaja. Jika dipadankan hadis ini dengan hadis pertama tadi, maka dapat disimpulkan bahawa; semasa mandi kerana haid wajiblah dandanan atau sanggul dirungkai agar gosokan dapat dilakukan dengan sungguh-sungguh sebagaimana yang disuruh oleh Nabi. Adapun semasa mandi kerana janabah, tidak wajib sanggul atau dandanan rambut dirungkai kerana sekalipun ia tidak rungkai, gosokan yang biasa masih dapat sempurnakan.

Apa hukum mandi telanjang?

Di khalayak ramai hukumnya adalah haram. Adapun di tempat yang tersembunyi atau tertutup, hukumnya harus. Berkata Qadhi ‘Iyadh; keharusan mandi bertelanjang di tempat yang tertutup atau tersembunyi dari orang lain merupakan pandangan jumhur atau majoriti ulamak”. Keharusan ini berdalilkan hadis Abu Hurairah r.a. yang meriwayatkan dari Rasulullah s.a.w. yang bercerita; “Adalah Bani Israel mandi dengan bertelanjang (sesama mereka di mana) sebahagian mereka melihat kepada sebahagian yang lain. Akan tetapi Nabi Musa a.s. mandi bersendirian (kerana menjaga auratnya). Maka mereka (yakni Bani Isreal) mendakwa; ‘Demi Allah! Tidak menghalang Musa mandi bersama kita melainkan kerana buah zakarnya bengkak’. Satu hari Musa pergi untuk mandi. Ia meletakkan pakaiannya di satu batu. Tiba-tiba batu itu lari bersama pakaiannya. Musa pun keluar dari tempat mandi itu (dalam keadaan bertelanjang) mengekori batu itu sambil memanggil; ‘Pakaianku, wahai batu’, hingga ia dilihat oleh Bani Isreal. Maka mereka berkata; ‘Demi Allah! Tidak ada sebarang kecacatan pada Musa (sebagaimana yang didakwa)’. Musa dapat mengambil kembali pakaiannya dan dia lalu memukul batu itu” (Riwayat Imam al-Bukhari). Berhujjah dengan hadis ini adalah satu cabang dari berhujjah dengan syariat sebelum Islam.

Sekalipun harus, namun yang terbaik ialah menutup aurat (yakni; sekalipun harus mandi bertelanjang di tempat tersembunyi, namun yang paling baik ialah mandi dengan menutup aurat). Dalilnya ialah hadis dari Mu’awiyah bin Haidah r.a. yang menceritakan; Aku telah bertanya Rasulullah s.a.w.; “Ya Rasulullah! Bila masanya wajib kami tutup dan bila masanya harus kami buka?”. Jawab baginda; “Jagalah aurat kamu kecuali kepada isteri kamu atau kepada hamba yang kamu miliki”. Aku bertanya lagi; “Bagaimana jika sekiranya seseorang dari kami sedang bersendirian?”. Nabi menjawab; “Allah lebih layak untuk kamu malu dari manusia” (Riwayat Imam Abu Daud, at-Tirmizi, an-Nasai dan Ibnu Majah. Kata Imam at-Tirmizi; hadis ini hasan).

Imam Abu Laila menganggahi pandangan jumhur di mana menurut beliau; ditegah mandi telanjang sekalipun ditempat tertutup atau tersembunyi kerana air juga mempunyai penghuninya.

Mengambil wudhuk semasa mandi wajib; mana yang afdhal antara menyegerakan basuhan kaki atau menangguhnya ke hujung mandi?

Harus sama ada hendak menyegerakan basuhan kaki atau menangguhnya iaitu dengan membasuhnya di hujung mandi. Dalil menyegerakannya ialah hadis ‘Aisyah r.a.. Adapun dalil menangguhnya ialah hadis Maimunah r.a.. Kedua-dua hadis tersebut telah kita bentang tadi (sila rujuk kembali). Mana yang afdhal; menyegerakannya atau menangguhnya? Majoriti ulamak berpendapat; yang afdhal ialah menangguhnya. Mengikut pandangan yang rajih dalam mazhab Syafi’ie; yang afdhal ialah menyegerakannya (yakni menyempurnakan wudhuk hingga basuhan kaki). Ini kerana kebanyakan riwayat dari ‘Aisyah dan Maimunah menyebutkan bahawa Nabi s.a.w. menyempurnakan wudhuknya hingga basuhan kaki, tanpa menangguhnya ke hujung mandi. Menurut Imam Malik pula; jika tempat mandi itu tidak bersih, elok ditangguhkan basuhan kaki. Namun jika tempat mandi itu bersih, maka yang afdhal ialah menyegerakan basuhan kaki. (Nailul-Autar, jil. 1, kitab at-Toharah, Abwab al-Aghsal al-Mustahabbah, bab Sifati al-Ghusl).

Adakah perlu mengambil wudhuk sekali lagi selepas mandi?

Mengambil wudhuk semasa mandi wajib hanya disunatkan sekali sahaja iaitu di awal mandi. Telah ijmak ulamak bahawa tidak disyari’atkan dua kali wudhuk dalam satu mandi. Ini berdalilkan hadis dari Aisyah r.a. yang menceritakan; “Rasulullah s.a.w. tidak mengambil wudhuk selepas mandi junub”. (Riwayat Imam at-Tirmizi, an-Nasai dan Ibnu Majah dari ‘Aisyah r.a.. Berkata at-Tirmizi; hadis ini hasan soheh). Kecualilah jika seseorang telah melakukan perkara yang membatalkan wudhuk selepas selesai mandinya. Maka ketika itu, wajiblah ia memgambil wudhuk.



[1] Al-Majmu’, 1/529, 2/228.

Friday, July 18, 2008

PUASA SUNAT (HARI 'ASYURA)

Bilakah hari ‘Asyura? Apakah dalil disunatkan berpuasa pada hari ‘Asyura’?

Hari ‘Asyura ialah hari sepuluh Muharram. Abi Qatadah r.a. meriwayatkan; Nabi s.a.w. pernah ditanya tentang berpuasa pada hari ‘Asyura? Baginda menjawab; “Puasa di hari itu akan menghapuskan dosa tahun yang lalu” (Hadis riwayat Imam Muslim).

Adakah kita juga disunatkan berpuasa pada sembilan Muharram?

Ya. Hari itu dinamakan Tasu’a. Dalil disunatkan berpuasa hari itu ialah hadis dari Ibnu ‘Abbas r.a. yang menceritakan; “Tatkala Rasulullah s.a.w. berpuasa pada hari ‘Asyura dan memerintahkan agar para sahabat turut berpuasa, mereka bertanya; ‘Ya Rasulullah! Bukankah ia (yakni ‘Asyura itu) merupakan hari yang diagungkan oleh Yahudi dan Nasara? Lalu baginda bersabda; “Tahun akan datang -dengan kehendak Allah- kita berpuasa pada hari ke sembilan”. Berkata Ibnu ‘Abbas; belum sempat tiba tahun hadapan, Rasulullah s.a.w. telah diwafatkan (Riwayat Imam Muslim).

Berdasarkan hadis ini, kita disunatkan berpuasa pada kedua-dua hari iaitu hari ke 9 dan hari ke 10 Muharram kerana Nabi s.a.w. telah berpuasa pada hari ke 10 dan berniat untuk berpuasa pada hari ke 9.

PUASA SUNAT (3 HARI SETIAP BULAN)

Apakah dalil disunatkan berpuasa tiga hari setiap bulan?

Sabda Nabi s.a.w.; “Berpuasa tiga hari pada setiap bulan seumpama berpuasa sepanjang masa” (HR Imam al-Bukhari dan Muslim dari Abdullah bin ‘Amru r.a.). Abu Hurairah r.a. juga pernah menceritakan; “Temanku (yakni Rasulullah s.a.w.) telah mewasiatkanku dengan tiga perkara;
1. Berpuasa tiga hari pada setiap bulan.
2. Mengerjakan dua rakaat solat dhuha.
3. Menunaikan solat witir sebelum aku tidur”.
(Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

Apa hari-hari terbaik untuk berpuasa tiga hari setiap bulan tersebut?

Hari terbaik untuk berpuasa tiga hari tersebut ialah hari ke 13, 14 dan 15 pada setiap bulan. Bulan yang dimaksudkan ialah bulan Islam, bukan bulan Masihi. Hari-hari tersebut dinamakan dengan hari-hari putih dan mempunyai fadhilat khusus yang akan kita sebutkan nanti.

Namun jika tidak dapat memilih hari-hari tersebut, harus memilih hari-hari lain asalkan mencukupi tiga hari. Ini berdalilkan riwayat dari Mu’azah al-‘Adawiyyah r.a. yang menceritakan bahawa ia bertanya Saidatina ‘Aisyah r.a.; “Adakah Rasulullah berpuasa tiga hari dari setiap bulan?”. Jawab ‘Aisyah; “Ya”. Aku bertanya lagi kepadanya; “Pada hari-hari yang mana dalam sebulan itu baginda berpuasa?”. Aisyah menjawab; “Baginda tidak menghiraukan hari-hari mana dalam sebulan itu untuk ia berpuasa (yakni baginda tidak mengkhususkan hari-hari tertentu untuk berpuasa)” (Riwayat Imam Muslim).

Melihat kepada amalan Sahabat dan Tabi’in; Saidina Umar bin al-Khattab, Ibnu Mas’ud, Abu Dzar dan ulamak-ulamak mazhab Syafi’ie memilih berpuasa pada tanggal 13, 14 dan 15 iaitu hari-hari putih tadi. Imam an-Nakha’ie dan beberapa ulamak yang lain memilih tiga hari di akhir bulan. Sebahagian ulamak yang lain –antaranya Imam al-Hasan- memilih tiga hari di awal bulan. Saidatina Aisyah r.a. dan sekumpulan ulamak memilih untuk berpuasa pada hari Sabtu, Ahad dan Isnin pada suatu bulan dan hari Selasa, Rabu dan Khamis pada bulan berikutnya. Imam Malik pula berpuasa pada hari pertama, hari ke sepuluh dan hari ke dua puluh pada setiap bulan”. (Soheh Muslim Bisyarhi an-Nawawi, jil. 8, hlm. 53-54).