السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

PESANAN NABI S.A.W.
"Sesiapa menempuh satu perjalanan untuk mencari suatu ilmu, Allah akan memudahkan untuknya jalan ke syurga" (Hadis riwayat Imam Muslim dari Abu Hurairah r.a.)

Thursday, June 19, 2008

SOLAT (RUKU')

Apa hukum ruku’?

Ruku’ adalah wajib di dalam solat. Tidak sah solat tanpa ruku’. Seorang sahabat Nabi s.a.w. iaitu Huzaifah r.a. pada suatu hari ia melihat seorang lelaki menunaikan solat tanpa melakukan ruku’ dan sujud dengan sempurna. Maka ia berkata; “Engkau sebenarnya tidak mengerjakan solat. Jika engkau mati, engkau mati bukan di atas fitrah Nabi Muhammad s.a.w.” (Riwayat oleh Imam al-Bukhari).

Bagaimana melakukan ruku’ dengan sempurna?

1. Sebelum menundukkan badan untuk ruku’, ucapkan takbir sambil mengangkat tangan –setentang bahu atau telinga-, kemudian barulah turunkan badan.
2. Tapak tangan hendaklah mencapai lutut, jari-jari tangan direnggangkan antara satu sama lain dalam keadaan memegang lutut. Abu Humaid as-Sa’idi r.a. menceritakan; “Nabi tatkala ruku’, baginda menjadikan dua tangannya mencapai dua lututnya” (Riwayat al-Bukhari). Wail bin Hujrin r.a. menceritakan; “Nabi s.a.w. tatkala ruku’ baginda merenggangkan antara jari-jarinya dan tatkala sujud baginda menghimpunnya (yakni merapatkannya)” (Riwayat al-Hakim). Dalam hadis Ibnu ‘Umar r.a., Nabi memerintahkan; “Apabila kamu ruku’, letakkan dua tapak tanganmu di atas dua lututmu, kemudian renggangkan antara jari-jari tanganmu dan berikutnya tetapkanlah diri di dalam ruku’ itu hingga semua anggota berada di dalam posisinya” (Riwayat Ibnu Hibban dan Ibnu Khuzaimah dalam soheh keduanya).
3. Semasa ruku’, belakang badan hendaklah diratakan/disamakan dari punggung hingga ke kepala di mana kepala berada dalam keadaan selari dengan belakang; iaitu tidak ditinggi atau didongakkan dan tidak pula ditundukkan, akan tetapi pertengahan. Ini berdasarkan hadis ‘Aisyah r.a. yang menceritakan sifat solat Nabi s.a.w; “Apabila ruku’, Nabi s.a.w. tidak meninggi atau mendongakkan kepalanya dan tidak juga menunduknya, akan tetapi tengah-tengah antara keduanya (sehingga kepalanya kelihatan rata dengan punggung)”. (Riwayat Imam Muslim)
4. Siku hendaklah dijauhkan dari rusuk. Abu Humaid r.a. menceritakan; “Nabi s.a.w. tatkala ruku’, baginda meletakkan dua tangannya ke atas dua lututnya seolah-olah memegangnya, menegangkan (yakni meluruskan) dua tangannya (yakni dari pergelangan hingga bahu-pent.) serta memisahkannya dari dua rusuknya” (Riwayat Imam at-Tirmizi. Hadis ini menurut Imam at-Tirmizi adalah hasan soheh).
5. Ruku’ wajib dikerjakan dengan tomaninah iaitu berada di dalam keadaan tetap dan tenang di dalam posisi ruku’ di atas sebelum bangun darinya.
5. Semasa ruku’ disunatkan membaca zikir-zikir yang warid dari Nabi terutamanya tasbih.

Apa makna Tomaninah? Apa hukum Tomaninah di dalam solat?

Tomaninah bermakna memastikan diri tetap, tenang dan tidak tergesa-gesa dalam sesuatu posisi solat sebelum berpindah ke posisi yang lain. Sekurang-kurang kadar tomaninah ialah sekali tasbih.

Hukum tomaninah adalah wajib semasa ruku’, I’tidal, sujud dan duduk antara dua sujud. Sabda Nabi s.a.w. (tatkala baginda mengajar solat kepada seorang lelaki yang salah dalam mengerjakan solatnya); “…..kemudian (setelah membaca al-Quran) ruku’lah sehingga kamu tomaninah (tetap dan tenang) dalam keadaan ruku’ itu, kemudian bangkitlah dari ruku’ hingga badan kamu lurus/tegak berdiri, kemudian sujudlah sehingga kamu tomaninah (tetap dan tenang) dalam keadaan sujud itu, kemudian kamu bangkitlah dari sujud sehingga kamu tomaninah (tetap dan tenang) dalam keadaan duduk (antara dua sujud) itu. Seterusnya kamu lakukanlah sedemikian pada (rakaat-rakaat) solat kamu keseluruhannya” (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim). Dalam hadis yang lain, Nabi bersabda; “Tidak sah solat seorang lelaki yang tidak menetapkan tulang sulbinya semasa ruku’ dan sujud” (Riwayat Imam at-Tirmizi dari Abu Mas’ud al-Badari r.a.. Hadis ini menurut beliau; hasan soheh).

Apa hukum membaca tasbih ketika ruku? Berapakah bilangan Tasbih yang sebaiknya dan berapa had maksimanya?

Hukum bertasbih semasa ruku’ adalah sunat. Selain dari tasbih, harus dibaca zikir-zikir lain yang warid dari Nabi s.a.w. semasa ruku’. Sekurang-kurang bilangan tasbih –untuk mendapat pahala bertasbih semasa ruku’- ialah sekali. Lafaznya ialah, “سبحان ربي العطيم” atau “سبحان ربي العطيم وبحمده”. Namun bilangan yang sempurna ialah sekurang-kurangnya tiga kali. Dari ‘Uqbah bin ‘Amir r.a. menceritakan; “Adalah Nabi s.a.w. apabila ruku’ baginda membaca; “سُبْحَاْنَ رَبِّيَ الْعَظِيْمِ وَبِحَمْدِهِ” tiga kali dan apabila sujud baginda membaca; “سُبْحَانَ رَبِّيَ الأَعْلَى وَبِحَمْدِهِ” tiga kali” (Riwayat Imam Abu Daud. Hadis ini dinyatakan oleh Imam as-Suyuti sebagai hasan. Lihat; al-Jami’ as-Saghier, no. 6710)

Bagi yang bersolat sendirian, digalakkan memperbanyakkaan tasbih melebihi tiga kali iaitu lima, tujuh, sembilan sehingga sebelas kali. Jumhur ulamak mazhab Syafi’ie berpandangan; bilangan sebelas adalah yang maksima. Namun Imam as-Subki berpendapat; ia tidak terikat dengan bilangan tertentu. Siapa menghendaki ia boleh menambah seberapa banyak tasbih yang ia suka. Adapun orang yang menjadi imam, ia tidak digalakkan menambah terlalu banyak tasbih kerana dibimbangi memberatkan sebahagian makmumnya. Sebahagian ulamak berkata; memadai imam bertasbih tiga kali sahaja untuk memberi keringanan kepada makmumnya. Namun Ibnu al-Mubarak berpandangan; digalakkan imam bertasbih lima kali supaya makmum di belakangnya sempat bertasbih tiga kali. (Dalail al-Ahkam, 1/289).

Sunat bertasbih semasa ruku’ itu adalah pandangan jumhur ulamak. Ada di kalangan ulamak yang mewajibkannya, antara mereka ialah Imam Ahmad dan al-Hasan.

Adakah harus membaca al-Quran ketika ruku’?

Tidak harus kerana Nabi s.a.w. menegahnya dengan sabdanya; “Ketahuilah! Sesungguhnya aku dilarang membaca al-Quran ketika ruku’ atau sujud. Adapun di dalam ruku’, maka hendaklah kamu agungkan Tuhan kamu. Sementara di dalam sujud, hendaklah kamu bersungguh-sungguh berdoa, nescaya doamu pasti akan diperkenankan” (Riwayat Imam Muslim).

SOLAT (FATIHAH DAN BACAAN AL-QURAN)

Apa hukum membaca al-Fatihah di dalam solat?

Membaca al-Fatihah adalah wajib pada setiap rakaat solat. Sabda Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam-; “Tidak ada solat bagi seorang yang tidak membaca ummul-Quran (yakni surah al-Fatihah)” (Riwayat Imam Muslim dari ‘Ubadah bin as-Shamit r.a.). Maksud tidak ada solat ialah; solat tidak sah.

Apakah syarat-syarat bacaan al-Fatihah yang sempurna?

1. Membacanya dengan memperdengarkan kepada diri sendiri. Tidak memadai membaca di dalam hati. Adapun bagi orang bisu, memadai dengan menggerakkan lidah dan dua bibirnya sekadar yang mampu.

2. Wajib menjaga makhraj serta tajwidnya. Begitu juga, wajib mengikut susunan dan berturut-turut iaitu tanpa diselangi antara ayat-ayatnya dengan berhenti yang lama.

3. Hendaklah dibaca dengan bahasa Arab. Tidak sah solat jika dibaca dengan bahasa lain, sama ada seseorang itu memahami bahasa Arab atau tidak.

Adakah Bismillah sebahagian dari al-Fatihah?

Ya. Bismillah adalah sebahagian dari al-Fatihah dan wajib dibaca tatkala membaca al-Fatihah. Dalilnya ialah apa yang tertera di dalam mushaf al-Quran di mana Bismillah ditulis sebagai ayat pertama dari al-Fatihah dan apa yang ditulis di dalam al-Quran merupakan ijmak para Huffaz.

Bagi solat jahriyyah (yakni yang sunat diperdengarkan bacaan al-Quran di dalamnya), adakah Bismillah itu perlu dibaca dengan kuat atau dibaca perlahan sahaja?

Dalam masalah ini ada dua pandangan;

Pandangan pertama; iaitu pandangan ulamak-ulamak mazhab Syafi’ie; Bismillah wajib dibaca dengan kuat (yakni diperdengarkan) kerana ia adalah salah satu ayat dari al-Fatihah sebagaimana yang tertera di dalam mushaf. Terdapat hadis dari Ummu Salamah –radhiyallahu ‘anha- menceritakan: “Rasulullah menghitung Bismillah sebagai satu ayat (dari al-Fatihah)”. (Riwayat Imam Ibnu Khuzaimah dengan sanad yang soheh. Kedudukan sanad hadis ini sebagai soheh juga ditegaskan oleh Dr. Mustafa al-Khin dan Dr. Mustafa al-Bugha dalam kitab mereka al-Fiqhul-Manhaji (Jil. 1, hlm. 131).). Dalam musnad Imam Syafi’ie terdapat riwayat dari Soleh Maula at-Tauamah yang menceritakan; “Sesungguhnya Abu Hurairah r.a. membuka solatnya dengan membaca Bismillah”. (Hadis yang miripnya diriwayatkan juga oleh Abdurrazzaq, ad-Daruqutni, Ibnu al-Jarud, Ibnu Khuzaimah, Ibnu Hibban dan al-Hakim. Darjatnya adalah soheh menurut Imam ad-Daruqutni, al-Baihaqi dan al-Hakim dengan dipersetujui oleh az-Zahabi. Lihat; Musnad Imam as-Syafi’ie, ditahqiq dan ditakhrij oleh; Dr. Rif’at Fauzi ‘Abdul-Muttalib, jil. 1, hlm. 256, ter. Dar al-Basyair al-Islamiyyah, Beirut (2005)).

Pandangan kedua; iaitu pandangan jumhur ulamak; Bismillah hendaklah dibaca secara perlahan, tidak dikuatkan. Mereka berdalilkan hadis dari Anas r.a. yang menceritakan; “Aku telah pernah menunaikan solat bersama Rasulullah s.a.w., Abu Bakar, Umar dan Ustman, maka aku tidak pernah mendengar seorang pun dari mereka yang membaca Bismillah”. (Riwayat Imam Muslim)

Dalam menselarikan antara dua riwayat yang zahirnya kelihatan saling bercanggah itu, ada baiknya kita mengambil pandangan Imam Ibnu Khuzaimah yang menyebutkan; membaca Bismillah dengan kuat atau membacanya dengan perlahan kedua-duanya adalah harus kerana kedua-duanya dilakukan oleh Rasulullah. Tidak ada salah satu darinya yang dilarang. Perbezaan dalam hal ini adalah diharuskan. (Lihat; ulasan Dr. Rif’at Fauzi ‘Abdul-Muttalib dalam Musnad Imam as-Syafi’ie, jil. 1, hlm. 256, ter. Dar al-Basyair al-Islamiyyah, Beirut (2005)). Hal yang sama ditegaskan oleh Imam Ibnul-Qayyim dalam Zadul-Ma’ad; Rasulullah s.a.w. adakalanya baginda membaca Bismillah dengan kuat, namun baginda menyembunyikannya (yakni membacanya dengan suara perlahan) adalah lebih kerap dari menguatkannya. (Lihat; Zadul-Ma’ad, jil. 1)

Adakah makmum juga perlu membaca al-Fatihah di belakang imam? Atau memadai dengan bacaan al-Fatihah imamnya?

Dalam masalah ini ada dua pandangan ulamak;

Pertama; menurut ulamak-ulamak mazhab Imam Syafi’ie; makmum wajib membaca al-Fatihah di belakang imamnya sama ada di dalam solat sirriyah atau jahriyyah, sama ada ia dapat mendengar bacaan imamnya atau tidak. Mereka berdalilkan hadis dari Abu Hurairah r.a. yang menceritakan bahawa Nabi s.a.w. bersabda; ‘Sesiapa menunaikan solat tanpa membaca di dalamnya ummul-Quran (yakni al-Fatihah), maka solatnya adalah cacat (tidak sempurna)’. Baginda mengulangi sabdanya itu sebanyak tiga kali. Lalu ditanya kepada Abu Hurairah r.a.; ‘Bagaimana jika kami menunaikan solat di belakang imam?’. Jawab Abu Hurairah r.a.; ‘Bacalah al-Fatihah itu dalam diri kamu’” (Riwayat Imam Muslim, Tirmizi dan Ibnu Majah).

Kedua; menurut jumhur ulamak (Imam Abu Hanifah, Malik dan Ahmad); tidak wajib lagi makmum membaca al-Fatihah kerana al-Fatihahnya telah ditanggung oleh imamnya. Cuma Imam Ahmad membezakan antara dua keadaan;
(Pertama); ketika imam tidak membaca dengan kuat atau makmum tidak dapat mendengar bacaannya; maka ketika itu disunatkan makmum membaca al-Fatihah di belakang imamnya. Jika ia tidak membacanya, tidaklah mengapa (yakni solatnya masih sah) kerana ia disunatkan sahaja dan bacaan imam telah memadai untuknya. Begitu juga, disunatkan juga ia membacanya jika imamnya senyap seketika selepas membaca al-Fatihah untuk memberi peluang makmumnya membaca al-Fatihah.
(Kedua); jika imam membaca dengan kuat dan makmum dapat mendengar bacaannya, ketika itu tidak disunatkan makmum membacanya (malah dimakruhkan), sebaliknya makmum hendaklah mendengar dan memberi perhatian kepada bacaan imamnya.
Ulamak-ulamak mazhab Imam Ahmad berdalilkan ayat al-Quran yang bermaksud; “Dan apabila al-Quran itu dibacakan, maka dengar dengan memberi perhatian kepadanya serta diamlah supaya kamu beroleh rahmat” (surah al-A’raf, ayat 204). Begitu juga, berdalilkan sabda Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam-; “Sesungguhnya dilantik imam itu adalah untuk diikuti. Maka apabila ia bertakbir, maka hendaklah kamu turut bertakbir dan apabila ia membaca (al-Quran) hendaklah kamu senyap (dan mendengarnya)” (riwayat Imam Muslim dari Abu Hurairah –radhiyallahu ‘anhu-), dan juga sabdanya; “Sesiapa mempunyai imam, maka bacaan imam adalah bacaan untuknya” (Riwayat Ibnu Abi Syaibah, ad-Daruqutni dan Ibnu Majah). Mengenai hadis yang dikemukakan oleh ulamak-ulamak mazhab Syafi’ie di atas, mereka menjawab; hadis itu khusus untuk orang yang mengerjakan solat bersendirian atau untuk makmum yang tidak dapat mendengar bacaan imamnya. Adapun ucapan Abu Hurairah ‘Bacalah al-Fatihah itu dalam diri kamu’, ucapan tersebut merupakan pandangan beliau (bukan arahan Nabi), atau mungkin juga bacaan yang beliau maksudkan ialah bacaan ketika imam senyap seketika selepas membaca al-Fatihah untuk memberi peluang kepada makmumnya membaca al-Fatihah. (Al-Mughni, 1/392-393).

Adakah imam disunatkan senyap seketika apabila habis membaca al-Fatihah, sebelum meneruskan bacaan ayat atau surah selepasnya?

Ya. Sebahagian ulamak –antaranya Imam Syafi’ie dan Imam Ahmad- mensunatkan imam supaya berhenti seketika selepas membaca al-Fatihah (sebelum meneruskan bacaan ayat atau surah yang lain) bagi memberi peluang kepada makmumnya membaca al-Fatihah di belakangnya. Mereka berdalilkan hadis dari Samurah bin Judub –radhiyallahu ‘anhu- yang menceritakan bahawa ia menghafal dari Nabi (yakni dari perbuatan baginda ketika solat) dua saktah (yakni dua ketika di mana baginda sengap); (pertama) selepas baginda mengucapkan Takbiratul-Ihram, dan (kedua) selepas membaca “غير المغضوب عليهم ولا الضالين” (yakni selepas membaca al-Fatihah)” (riwayat Imam Abu Daud).

Namun sebahagian ulamak yang lain –antaranya Imam Abu Hanifah dan Imam Malik- memakruhkannya. Menurut mereka hadis di atas adalah dhaif. (Al-Mughni, 1/346).

Apa hukum membaca Isti’azah sebelum membaca al-Fatitah? Adakah ia perlu di baca di setiap rakaat?

Membaca Isti’azah disunatkan sebelum membaca al-Quran sama ada di dalam solat atau di luar solat. Firman Allah (bermaksud); “Apabila kamu hendak membaca al-Quran, maka hendaklah (terlebih dahulu) kamu memohon perlindungan dengan Allah dari hasutan syaitan yang direjam” (al-Nahl: 98).

Menurut Imam Syafi’ie; Isti’azah sunat diulangi pada setiap rakaat dan yang paling utama ialah pada rakaat pertama. Imam Abu Hanifah pula berpandangan; Isti’azah hanya dibaca pada rakaat pertama sahaja. Tidak sunat diulangi pada rakaat-rakaat yang lain.

Apakah lafaz Isti’azah yang boleh dibaca di dalam solat?

Lafaz pertama;

أعوذ بالله من الشيطان الرجيم
“Aku berlindung dengan Allah dari syaitan yang direjam”.

Lafaz ini diambil dari ayat al-Quran tadi.

Lafaz kedua;

أعُوذُ باللّه السَّمِيعِ العَلِيمِ مِنَ الشَّيْطانِ الرََّجِيمِ مِنْ هَمْزِهِ وَنَفْخِهِ وَنَفْثِهِ
“Aku berlindung dengan Allah Tuhan yang maha mendengar lagi mengetahui dari kejahatan syaitan yang direjam; dari kegilaannya, kebongkakannya dan sya’irnya”.

Diriwayatkan dari Abi Sa’id al-Khudri –radhiyallahu ‘anhu- yang menceritakan bahawa Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam- selepas membaca doa Iftitah, baginda membaca Isti’azah di atas sebelum membaca al-Fatihah. (Riwayat Imam Ahmad, at-Tirmizi dan lain-lain)

Apa hukum mengucapkan aamin selepas membaca al-Fatihah? Adakah makmum mengucapkan aamin serentak dengan imam atau selepas imam mengucapkannya?

Mengucapkan aamin selepas membaca al-Fatihah adalah sunat. Ini berdasarkan sabda Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam-; “Apabila imam selesai membaca “غَيْرِ الْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلاَ الضَّالِّينَ”, maka hendaklah kamu membaca; “آمِينَ” (aamin)” (Riwayat Imam Muslim dari Abu Musa –radhiyallahu ‘anhu-). Sabda Nabi lagi; “Apabila qari (yakni imam) telah membaca “غَيْرِ الْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلاَ الضَّالِّينَ”, lalu orang di belakangnya (yakni makmum) membaca; “آمِينَ” dan bertepatan bacaan aminnya dengan bacaan amin penduduk langit (yakni para malaikat), nescaya akan diampunkan dosanya yang telah lalu” (Riwayat Imam Muslim).

Mengucapkan aamin itu disunatkan kepada orang yang bersolat sendirian, menjadi imam atau menjadi makmum. Dalam solat jahriyyah sunat ucapan aamin diperdengarkan dan dalam solat sirriyyah sunat diperlahankannya iaitu mengikut bacaan al-Fatihah. Dalam solat berjamaah, makmum hendaklah mengucapkan aamin serentak dengan imamnya, iaitu tidak mendahuluinya dan tidak juga selepasnya, akan tetapi bersama-samanya berdalilkan hadis Abu Musa di atas.

Apa hukum membaca ayat atau surah selepas al-Fatihah?

Hukumnya adalah sunat. Sabda Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam-; “Sesiapa yang membaca ummul-Kitab (surah al-Fatihah), maka mencukupi ummul-Kitab itu baginya (sebagai bacaan al-Quran yang diwajibkan di dalam solat). Dan sesiapa yang menambah (dengan membaca ayat atau surah lain), maka ia adalah paling baik” (Riwayat Imam Muslim dari Abu Hurairah –radhiyallahu ‘anhu-)

Adakah ayat atau surah selepas al-Fatihah itu disunatkan pada setiap rakaat?

Tidak. Ia hanya disunatkan pada rakaat pertama dan kedua sahaja. Ini berdasarkan hadis dari Abi Qatadah yang menceritakan; “Nabi membaca pada dua rakaat yang awal (yakni rakaat pertama dan kedua) di salam solat Zohor dan Asar al-Fatihah dan satu surah yang lain. Kadang-kadang baginda memperdengarkan kepada kami bacaan ayatnya. Pada dua rakaat yang akhir (yakni rakaat ketiga dan keempat), baginda hanya membaca al-Fatihah sahaja”. (Riwayat Imam Muslim).

Adakah disunatkan membaca ayat atau surah selepas al-Fatihah di dalam solat jenazah?

Menurut mazhab Imam Syafi’ie; tidak disunatkan.

Adakah sunat bacaan ayat atau surah selepas al-Fatihah itu dimulakan dengan Bismillah?

Menurut Imam Ibnu al-Qudamah; disunatkan dan hendaklah dibaca perlahan.

Apakah perkara-perkara yang disunatkan ketika membaca ayat atau surah di dalam al-Quran?

1. Disunatkan di dalam solat subuh dan zohor membaca surah-surah dari kelompok “طوال المفصل”. Di dalam solat asar dan isya’ disunatkan “أوساط المفصل” dan disunatkan “قصار المفصل” dalam solat maghrib.

2. Disunatkan bacaan dalam rakaat pertama lebih panjang dari rakaat kedua. Ini berdasarkan hadis riwayat Imam al-Bukhari dari Abi Qatadah yang menceritakan; “Adalah Rasulullah s.a.w. membaca pada dua rakaat pertama dari solat zohor surah al-Fatihah dan dua surah yang lain di mana baginda memanjangkan (bacaan) pada rakaat pertama dan memendekkannya pada rakaat kedua dan adakalanya memperdengarkan ayat kepada kami (yakni membaca dengan kuat hingga didengari oleh kami). Dan baginda membaca dalam solat asar surah al-Fatihah dan dua surah yang lain di mana baginda memanjangkan (bacaan) pada rakaat pertama. Begitu juga, baginda memanjangkan (bacaan) pada rakaat pertama dari solat subuh dan memendekkannya pada rakaat kedua”. (Riwayat Imam Bukhari)

3. Membaca satu surah pendek lebih afdhal dari membaca ayat-ayat dengan kadarnya dari surah-surah panjang. Ini berdasarkan hadis-hadis tadi yang menyebutkan; “Nabi membaca al-Fatihah dan surah”.

4. Disunatkan bacaan mengikut tertib surah dan ayat di dalam mushaf iaitu dibaca dalam rakaat pertama ayat atau surah yang terdahulu susunannya dari ayat atau surah yang akan dibaca dalam rakaat kedua. Makruh melakukan sebaliknya, namun jika dilakukan tidaklah membatalkan solat.

5. Harus membaca di dalam solat mengikut mana-mana wajah qiraat yang tujuh. Adapun wajah qiraat yang syaz, maka tidak harus.

Adakah makmun juga disunatkan membaca ayat atau surah selepas al-Fatihah?

Jika solat yang ditunaikan secara berjamaah adalah solat sirriyyah (yakni solat yang solat yang tidak diperdengarkan bacaan al-Quran di dalamnya), makmun juga disunatkan membaca ayat atau surah selepas al-Fatihah sebagaimana imamnya juga. Ini berdasarkan hadis dari Jabir –radhiyallahu ‘anhu- yang menceritakan; “Kami membaca di dalam solat Zohor dan Asar di belakang imam pada dua rakaat yang pertama surah al-Fatihah dan satu surah yang lain. Pada dua rakaat yang lain (yakni rakaat ke tiga dan ke empat), kami hanya membaca al-Fatihah sahaja” (Riwayat Imam Ibnu Majah dengan sanad yang soheh).

Akan tetapi, janganlah menguatkan bacaan hingga mengganggu ahli jamaah yang lain. Sabda Nabi; “Sesungguhnya orang yang menunaikan solat ia sedang bermunajat dengan Tuhannya. Hendaklah ia perhatikan dengan apa ia munajatkan. Janganlah sebahagian kamu mengeraskan suara ke atas sebahagian yang lain tatkala membaca al-Quran” (Riwayat Imam at-Thabrani dari Abu Hurairah dan ‘Aisyah). Dari ‘Imran bin Hushain r.a. menceritakan; “Nabi s.a.w. telah menunaikan solat zohor –atau asar- bersama kami. (Lalu seorang lelaki membaca di belakang baginda surah “سبح اسم ربك الأعلى” dengan suara yang kuat). Maka (apabila selesai solat) Rasulullah bertanya; ‘Siapakah yang membaca di belakangku surah “سبح اسم ربك الأعلى”? Lelaki itu menjawab; Saya ya Rasulullah! Namun saya tidak bermaksud melainkan dengan tujuan yang baik. Lalu Rasulullah s.a.w. berkata; “Sesungguhnya aku mendapati sebahagian dari kamu telah menyanggahiku dengan bacaannya (yakni mengganggu bacaanku dengan bacaannya yang kuat)” (Riwayat Imam Muslim).

Adapun jika solat yang dikerjakan berjamaah itu adalah solat jahriyyah, maka tidak disunatkan makmum membaca ayat atau surah selepas al-Fatihah. Ia hendaklah mendengar bacaan imam sahaja sebagaimana sabda Nabi; “Sesungguhnya dilantik imam itu adalah untuk diikuti. Maka apabila ia bertakbir, maka hendaklah kamu turut bertakbir dan apabila ia membaca (al-Quran) hendaklah kamu senyap (dan mendengarnya)” (riwayat Imam Muslim dari Abu Hurairah –radhiyallahu ‘anhu-). Namun dikecualikan jika makmum berada jauh dari imam dan tidak dapat mendengar bacaannya, maka ketika itu disunatkan ia membaca sendiri ayat atau surah.

Apa maksud solat jahriyyah dan solat sirriyyah? Apa kaedah dari Syarak untuk menentukan antara keduanya?

Solat jahriyyah bermaksud solat-solat yang mana bacaan al-Quran (yakni al-Fatihah dan ayat atau surah selepasnya) di dalamnya sunat diperdengarkan. Solat Sirriyyah pula ialah solat-solat yang mana bacaan al-Quran di dalamnya sunat diperlahankan atau disembunyikan. Dalam sebuah hadis, Abu Hurairah r.a. menceritakan; “Dalam setiap solat ada bacaan. Maka apa yang diperdengarkan kepada kami oleh Nabi s.a.w., maka kami perdengarkan kepada kamu dan apa yang disembunyikannya dari kami, maka kami sembunyikannya dari kamu” (Riwayat Imam Muslim). Hadis di atas menunjukkan bahawa terdapat solat di mana Rasulullah memperdengarkan bacaannya (yakni membaca surah al-Fatihah dan ayat/surah selepasnya dengan suara kuat) dan ada solat di mana baginda menyembunyi (yakni memperlahankan) bacaannya.

Bagi solat-solat fardhu, kaedah menentukan antara keduanya adalah seperti berikut;
1. Bagi solat subuh dan solat jumaat, sunat menguat atau memperdengarkan bacaan pada kedua-dua rakaatnya.
2. Bagi solat maghrib dan isyak, sunat menguat atau memperdengarkan bacaan pada dua rakaat yang awal sahaja. Adapun rakaat ketika atau keempat, hendaklah disembunyikan bacaan.
3. Bagi solat zohor dan asar, disunatkan menyembunyikan bacaan pada keseluruhan rakaatnya.

Bagi solat sunat pula; kaedahnya ialah;
1. Bagi solat hari-raya dan istisqa’ disunatkan memperdengarkan bacaan.
2. Solat-solat sunat siang (نوافل النهار) disunatkan menyembunyikan bacaan.
3. Solat-solat sunat malam (نوافل الليل); ada dua pandangan; (pertama) disunatkan memperdengarkan bacaan, (kedua) dibaca secara sederhana antara memperdengar dan menyembunyikannya. Pandangan yang rajih ialah yang kedua.
4. Solat kusuf (gerhana matahari/bulan); jika berlaku gerhana di siang hari, maka disunatkan menyembunyikan bacaan dan jika gerhana pada malam hari, disunatkan memperdengarkan bacaan.

Bagi solat qadha’, jika solat yang tertinggal adalah solat malam (iaitu maghrib, isya’ dan subuh), sekiranya diqadha’ pada malam yang lain, maka sunat diperdengarkan bacaan. Jika diqadha’ pada waktu siang, sunat disembunyikan bacaan. Jika yang tertinggal adalah solat siang (yakni zohor dan asar) dan diqadha pada siang hari, maka sunat disembunyikan bacaan. Adapun jika diqadha pada malam hari, maka sunat diperdengarkan bacaan. Kesimpulannya, yang dijadikan perkiraan ialah bila solat qadha itu ditunaikan; di waktu siang atau di waktu malam.

Adapun solat jenazah, sunat disembunyikan bacaan sama ada dikerjakan pada waktu siang atau malam. Oleh kerana, memperdengar atau menyembunyikan bacaan dalam masalah-masalah di atas hukumnya sunat sahaja, maka jika dicanggahi tidaklah membawa kepada batalnya solat, malah tidak membawa kepada perlunya sujud sahwi.

SOLAT (DOA IFTITAH)

Apa maksud doa Iftitah? Apa hukum membacanya?

Doa Iftitah ialah doa yang dibaca sebagai pembuka solat iaitu sebaik saja selesai takbiratul-Ihram dan sebelum membaca al-Fatihah. Abu Hurairah r.a. menceritakan; “Adalah Rasulullah s.a.w. apabila telah bertakbir memasuki solat (yakni takbiratul-ihram), baginda senyap seketika sebelum mula membaca (al-Fatihah). Lalu aku bertanya baginda; ‘Ya Rasulullah! Sesungguhnya aku melihat engkau senyap di antara takbir dan bacaan (al-Fatihah). Apa yang engkau ucapkan?’. Baginda menjawab; ‘Aku membaca;

اللَّهُمَّ بَاعِدْ بَيْنِي وَبَيْنَ خَطَايَايَ كَمَا بَاعَدْتَ بَيْنَ الْمَشْرِقِ وَالْمَغْرِبِ، اللَّهُمَّ نَقِّنِي مِنْ خَطَايَايَ كَمَا يُنَقَّى الثَّوْبُ الأَبْيَضُ مِنَ الدَّنَسِ، اللَّهُمَّ اغْسِلْنِي مِنْ خَطَايَايَ بِالثَّلْجِ وَالْمَاءِ وَالْبَرَدِ
“Ya Allah! Jauhkanlah aku dari dosa-dosaku sebagaimana Engkau menjauhkan Timur dan Barat. Ya Allah! Bersihkanlah daku dari dosa-dosaku sebagaimana dibersihkan pakaian putih dari kotoran. Ya Allah! Sucikanlah daku dari dosa-dosaku dengan salji, air dan embun”. (Riwayat Imam Muslim)

Hukum membaca doa Iftitah adalah sunat. Kita boleh memilih mana-mana satu doa Iftitah yang pernah dibaca atau diajar oleh Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam- di dalam hadisnya-. Doa Iftitah ini hendaklah dibaca perlahan (tidak dikuatkan suara).

Wednesday, June 18, 2008

SOLAT (TAKBIRATUL-IHRAM DAN MENGANGKAT TANGAN)

Apa hukum memulakan solat dengan bertakbir? Kenapakah takbir di awal solat dinamakan Takbiratul-Ihram?

Hukumnya adalah wajib kerana Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam- bersabda; “Apabila kamu hendak menunaikan solat, maka sempurnakanlah wudhuk, kemudian mengadaplah ke arah qiblat. Setelah itu, ucapkanlah takbir…”. (Riwayat Imam al-Bukhari dari Abu Hurairah –radhiyallahu ‘anhu-).

Ia dinamakan Takbiratul-Ihram kerana (takbir yang mengharamkan) kerana ia mengharamkan semua perbuatan yang lain daripada perbuatan-perbuatan yang mesti dilakukan didalam solat, iaitu; apabila mula melafazkan ucapan takbir ini, tidak harus bagi kita untuk melakukan perbuatan-perbuatan diluar solat seperti makan, minum dan sebagainya. Sabda Nabi; “Pembuka solat ialah bersuci, yang mengharamkan segala perbuatan yang lain (selain perbuatan solat) ialah takbir dan yang menghalalkannya semula ialah memberi salam”. (Riwayat Imam Ahmad, Abu Daud, Tirmizi dan Ibnu Majah dari ‘Ali bin Abi Thalib r.a.).

Apa hukum mengangkat tangan ketika Takbiratul-Ihram? Bagaimana caranya yang sempurna yang dilakukan oleh Nabi?

Mengangkat tangan ketika Takbiratul-Ihram adalah sunat. Caranya ialah; kedua-dua tangan diangkat hingga setentang dengan dua telinga atau setentang dengan dua bahu, yakni boleh memilih mana satu dari dua cara ini kerana kedua-duanya ada dilakukan oleh Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam-;

Cara pertama; hadis dari Malik bin al-Huwairith –radhiyallahu ‘anhu- yang menceritakan; “Rasulullah –sallallahu ‘alaihi wasallam- apabila baginda bertakbir, baginda mengangkat dua tangan hingga setentang dengan dua telinganya. Dan apabila baginda ruku’, baginda mengangkat dua tangan hingga setentang dengan dua telinganya. Apabila mengangkat kepalanya dari ruku’, baginda membaca; “سمع الله لمن حمده” dengan melakukan seumpama tadi”. (Riwayat Imam Muslim)

Cara kedua; berdasarkan hadis Abdullah bin ‘Umar –radhiyallahu ‘anhu- yang menceritakan; “Aku melihat Rasulullah –sallallahu ‘alaihi wasallam- apabila memulakan solat, baginda mengangkat dua tangannya hingga setentang dengan dua bahunya, begitu juga sebelum baginda ruku’ dan apabila baginda bangkit dari Ruku’. Namun baginda tidak mengangkat kedua tangannya antara dua sujud”. (Riwayat Imam Muslim)

Semasa mengangkat tangan itu, tapak tangan hendak di buka atau didedahkan dan dihalakan ke arah kiblat. Jari-jari tangan pula, menurut Imam Syafi’ie hendaklah diluruskan dengan direnggangkan secara sederhana antara satu sama lain (yakni tidak dirapatkan). Menurut ulamak-ulamak yang lain (antaranya Imam Ahmad), jari-jari tangan hendaklah dirapatkan (yakni tidak direnggangkan).[1] Imam Syafi’ie berdalilkan hadis dari Abu Hurairah –radhiyallahu ‘anhu- yang menceritakan; “Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam- membuka jari-jarinya semasa takbir”. (Riwayat Imam Ibnu Khuzaimah, Ibnu Hibban dan al-Hakim dari Abu Hurairah)

Imam Ahmad pula berdalilkan hadis dari Abu Hurairah juga yang menceritakan; “Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam- semasa memasuki solat (yakni memulakan solat) baginda mengangkat dua tangannya dengan meluruskannya (tanpa merenggangkannya)”. (Riwayat Imam at-Tirmizi). Menurut Imam at-Tirmizi; riwayat yang kedua ini lah yang soheh. Adapun riwayat pertama di atas berlaku kesalahan dalam riwayat (oleh seorang perawi bernama Yahya bin al-Yaman). Kerana itu, menurut Imam Ibnu Qudamah; pandangan yang tepat dalam masalah ini ialah pandangan kedua (iaitu pandangan Imam Ahmad).[2]

Selain dari ketika Takbiratul-Ihram, bilakah lagi kita disunatkan mengangkat tangan?

Ada tiga tempat lagi iaitu;
1. Ketika hendak ruku’
2. Ketika bangun dari ruku’
3. Ketika bangun dari Tahiyat Awal ke rakaat ke tiga.

Malik bin al-Huwairith r.a. menceritakan; “Bahawa Rasulullah s.a.w. apabila baginda bertakbir, baginda mengangkat dua tangan hingga setentang dengan dua telinganya. Dan apabila baginda ruku’, baginda mengangkat dua tangan hingga setentang dengan dua telinganya. Apabila mengangkat kepalanya dari ruku’, baginda membaca; “سمع الله لمن حمده” dengan melakukan seumpama itu” (Riwayat Imam Muslim).

Ibnu ‘Umar –radhiyallahu ‘anhu- menceritakan; “Adalah Rasulullah –sallallahu ‘alaihi wasallam- apabila beliau bangun selepas (selesai) dua rakaat, beliau akan bertakbir dan mengangkat dua tangannya” (Riwayat Imam Abu Daud).

Bila masanya tangan hendak diangkat; sebelum takbir atau selepas takbir atau serentak dengan takbir?

Ada tiga cara yang ketiga-tiganya disebut oleh hadis;

Pertama; mengangkat tangan serentak dengan takbir. Ini berdasarkan hadis dari Nafi’ (seorang Tabi’in) yang menceritakan; Ibnu ‘Umar –radhiyallahu ‘anhu- (seorang sahabat Nabi) apabila memasuki solat (yakni memulakannya), beliau bertakbir sambil mengangkat dua tangannya…Beliau (yakni Ibnu ‘Umar) merujuk hal tersebut kepada Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam-”. (Riwayat Imam al-Bukhari)

Kedua; mengangkat tangan terlebih dahulu, kemudian bertakbir. Ini berdasarkan hadis Ibnu ‘Umar –radhiyallahu ‘anhu- yang menceritakan; “Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam- apabila telah berdiri untuk solat, beliau mengangkat dua tangannya setentang dua bahunya, kemudian beliau bertakbir…”. (Riwayat Imam Muslim)

Ketiga; bertakbir terlebih dahulu, kemudian mengangkat tangan. Ini berdasarkan hadis dari Abi Qilabah yang menceritakan bahawa ia telah melihat Malik bin al-Huwairith (seorang sahabat Nabi) –radhiyallahu ‘anhu- tatkala beliau mengerjakan solat, ia mengucapkan takbir, kemudian baru mengangkat kedua tangannya. Malik memberitahu bahawa Rasulullah melakukan sedemikian”. (Riwayat Imam Muslim)

Jika kita mengerjakan solat berjamaah, bila masanya kita perlu bertakbir; selepas imam atau bersama-sama dengan imam?

Makmum hendaklah bertakbir selepas imamnya selesai bertakbir. Tidak harus ia bertakbir mendahului imamnya atau bertakbir serentak dengan imamnya. Ini kerana Rasulullah –sallallahu ‘alaihi wasallam- bersabda; “Sesungguhnya imam itu adalah untuk diikuti. Apabila ia bertakbir, barulah kamu turut bertakbir. Apabila ia sujud, barulah kamu turut sujud…”. (Riwayat Imam Muslim dari Anas bin Malik –radhiyallahu ‘anhu-)

Apa kelebihan Takbir Pertama (at-Takbiratul-Ula)? Apa maksudnya?

Kelebihan Takbir Pertama disebut oleh Rasulullah - sallallahu ‘alahi wasallam- dalam sabdanya; “Sesiapa menunaikan solat kerana Allah selama 40 hari berjamaah dengan memperolehi takbir pertama, akan ditulis untuknya dua pembebasan; pembebasan dari neraka dan pembebasan dari nifaq”. (Riwayat Imam at-Tirmizi dari Anas –radhiyallahu ‘anhu-)

Menurut Imam Nawawi; maksud takbir pertama ialah seseorang itu bertakbir sebaik sahaja imamnya selesai bertakbir, yakni ia mengikut imam bermula dari takbiratul-ihram lagi. Ada pandangan berkata; fadhilat takbir pertama itu diperolehi selagi seseorang itu sempat berdiri bersama imam (sebelum imam rukuk). Pandangan lain lagi menyebutkan; kelebihan takbir pertama itu masih dapat diperolehi oleh makmum jika ia mendapat awal ruku’ bersama imam (pada rakaat pertama).[3]

Di mana tangan hendak diletakkan selepas takbiratul-ihram? Bagaimana caranya?

Tangan hendaklah di letakkan di bahagian atas dari pusat iaitu di atas dada atau di bawah sedikit dari dada (menurut Imam Syafi’ie) dengan kedudukan tangan kanan di atas tangan kiri. Ini berdalilkan hadis dari Wail bin Hujrin –radhiyallahu ‘anhu- yang menceritakan; “Saya menunaikan solat bersama Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam- di mana baginda meletakkan tangan kanannya di atas tangan kirinya di atas dada”. (Riwayat Imam Ibnu Khuzaimah).

Jari-jari tangan kanan hendaklah memegang belakang tangan kiri. Ini berdasarkan dari Qubaishah bin Hulb dari bapanya –radhiyallahu ‘anhu- yang menceritakan; “Rasulullah –sallallahu ‘alaihi wasallam- telah mengimami kami di mana baginda memegang tangan kirinya dengan tangan kanannya”. (Riwayat Imam at-Tirmizi. Menurut Imam at-Tirmizi, hadis ini adalah hasan).

Ada juga ulamak yang berpandangan; tangan hendaklah diletakkan di bawah pusat. Antara mereka ialah Imam an-Nakha’ie, as-Sauri dan Imam Ahmad (mengikut satu riwayat darinya). Mereka berdalilkan hadis dari Saidina ‘Ali yang berkata; “Di antara sunnah di dalam solat ialah meletakkan tangan kanan di atas tangan kiri di bawah pusat”. (Riwayat Imam Ahmad dan Abu Daud). Namun menurut ulamak hadis; hadis ini adalah dhaif, tidak harus dijadikan hujjah.

Ke mana kita perlu letakkan pandangan mata kita ketika solat?

Mata hendaklah melihat ke tempat sujud.

[1] Al-Mughni, 1/333.
[2] Al-Mughni, 1/333.
[3] Mugni al-Muhtaj, jil. 1, hlm. 317-318.

SOLAT (NIAT)

Apakah hukum niat?

Niat adalah wajib. Tidak sah solat tanpa niat. Kewajipan niat adalah berdasarkan sabda Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam; “Sesungguhnya segala amalan bergantung kepada niat. Sesungguhnya bagi setiap diri apa yang diniatkannya”. (Riwayat Imam Muslim dari Saidina ‘Umar–radhiyallahu ‘anhu-)

Bagaimana cara berniat bagi solat fardhu?

Apabila kita hendak mengerjakan solat fardhu, hadirkan di dalam hati kita;
1. Kehendak untuk mengerjakan solat
2. Meniatkan bahawa solat yang hendak dikerjakan itu adalah solat fadhu
3. Menentukan mana solat satu fardhu yang hendak dilakukan; subuh atau zohor atau sebagainya.
4. Jika kita berjamaah, niatkan di dalam hati mengikuti orang lain.

Niat yang diwajibkan ialah di dalam hati. Adapun melafazkan dengan lidah, ia hanya sunat sahaja mengikut mazhab Syafi’ie. Ada ulamak berpandangan; bid’ah melafazkannya dengan lidah kerana tidak pernah dilakukan oleh Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam- atau para sahabat.

Bagaimana cara berniat bagi solat sunat?

Solat sunat ada dua jenis;
1. Solat sunat yang tidak berwaktu atau bersebab (iaitu solat sunat mutlak)
2. Solat sunat berwaktu dan bersebab; contohnya; solat sunat Dhuha, solat sunat Qabliyah atau Ba’diyah, solat sunat Kusuf (gerhanan), solat sunat hari raya dan sebagainya.

Bagi jenis pertama, memadai dengan kita berniat di dalam hati kehendak untuk mengerjakan solat.

Adapun bagi jenis kedua (yakni solat sunat berwaktu dan bersebab), niatnya hendaklah merangkumi;
1. Kehendak hati untuk mengerjakan solat
2. Meniatkan jenis solat solat yang hendak dikerjakan.

Contohnya; jika kita ingin mengerjakan solat Dhuha, maka niatkan di dalam hati keinginan kita untuk mengerjakan solat dan bahawa solat yang hendak dikerjakan itu ialah dhuha.

Bilakah masanya kita perlu menghadirkan niat?

Niat hendaklah dihadirkan semasa mengucapkan takbir. Tidak harus niat dihadirkan sebelum takbir atau selepas habis takbir. Ini adalah pandangan mazhab Syafi’ie. Ada di kalangan ulamak berpendapat; harus didahulukan niat dari takbir asalkan jarak masa antara niat dan takbir itu tidak lama, iaitu sebaik sahaja berniat, hendaklah terus melafazkan takbir tanpa menunggu lagi. Pandangan kedua ini merupakan mazhab Imam Ahmad dan juga Abu Hanifah. (Al-Mughni, 1/332).

CIRI-CIRI SOLAT SEMPURNA

Apa yang dimaksudkan dengan solat yang sempurna?

Iaitu solat yang dilakukan dengan memenuhi segala rukun-rukun dan sunat-sunatnya dalam keadaan tenang, khusyuk dan penuh penumpuan. ciri-ciri solat yang sempurna ialah;
1. Orang yang melakukannya meyakini bahawa solat yang dilakukannya adalah sebagaimana solat Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam-.
2. Setiap pergerakan di dalamnya dilakukan dengan toma’ninah (tenang, tertib, sopan dan tidak tergesa-gesa).
3. Lidah menyebut dengan elok dan fasih bacaan-bacaan di dalam solat terutamanya ayat-ayat al-Quran.
4. Bacaan-bacaan di dalam solat difahami maknanya sama ada bacaan itu berupa ayat-ayat al-Quran, zikir atau doa kerana memahami makna membawa kepada penghayatan terhadap apa yang dibaca itu.
5. Hati dalam keadaan khusyuk dan memberi penumpuan kepada solat iaitu tidak lalai atau alpa.

Apa hukum mengetahui kaifiyat solat Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam-? Bagaimana caranya?

Hukumnya adalah wajib kerana Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam- bersabda (dalam bentuk perintah); “Kerjakanlah solat sama sebagaimana kamu melihat aku mengerjakan solat”. (Riwayat Imam al-Bukhari dari Malik bin al-Huwairith –radhiyallahu ‘anhu-)

Untuk mengetahui kaifiyat solat Nabi, caranya ialah melalui riwayat-riwayat yang soheh dari para sahabat yang menceritakan bagaimana Nabi mengerjakan solat bermula dari niat dan takbiratul-ihram hinggalah kepada memberi salam.

Apa persediaan yang perlu dilakukan sebelum menunaikan solat?

1. Bersih dari hadas dan najis.
2. Memakai pakaian menutup aurat
3. Memastikan telah masuk waktu jika solat yang hendak dikerjakan itu solat fardhu atau solat sunat yang berwaktu seperti dhuha atau sebagainya.
4. Memastikan arah qiblat.
5. Persediaan batiniyah; iaitu melapangkan hati dan akal fikiran dari segala urusan dunia dan memberi tumpuan kepada solat sahaja.

Apa akibatnya jika solat tidak dilakukan dengan sempurna?

Menyebabkan solat tidak sah jika yang tidak disempurnakan itu adalah perkara rukun dan hilang pahala jika yang tidak disempurnakan itu perkara sunat. Di dalam sebuah hadis, Abu Hurairah –radhiyallahu ‘anhu- menceritakan; “Suatu hari Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam- berada di dalam masjid. Masuk seorang lelaki, lalu mengerjakan solat. Kemudian ia datang kepada baginda dan memberi salam. Setelah menjawab salamnya, baginda berkata kepadanya; ‘Ulangi semula solat kamu. Sesungguhnya kamu belum mengerjakan solat’…” (Riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim). Hadis ini menunjukkan kepada kita bahawa solat yang dilakukan tanpa memenuhi rukun-rukunnya sama seperti tidak melakukannya, kerana itu disuruh oleh Nabi supaya mengulanginya semula.

Saturday, June 14, 2008

PERAPIAN DIRI

Apa maksud perapian diri?

Iaitulah kekemasan diri yang menjadi sunnah Nabi s.a.w., antaranya yang disebut beliau dalam sabdanya; “Fitrah itu ada lima;
1. Berkhitan
2. Istihdad (mencukur bulu ari-ari)
3. Menggunting misai
4. Memotong kuku
5. Mencabut bulu ketika”.
(Riwayat Imam Muslim dari Abu Hurairah r.a.)

Maksud fitrah di dalam hadis di atas menurut Imam al-Khatthabi ialah as-Sunnah, yakni lima perkara yang tergolong dalam sunnah Nabi. Ada ulamak berkata; yang dimaksudkan ialah sunnah-sunnah para Nabi. Ada juga yang berpandangan; yang dimaksudkan ialah agama, yakni; lima perkara dari suruhan agama.[1]

Apa maksud berkhitan? Dan apa hukum berkhitan?

Bagi lelaki, berkhitan ialah dengan memotong keseluruhan kulit yang menselaputi hasyafahnya (yakni kepala zakarnya) sehingga terdedah ke semua sekali hasyafah itu. Bagi wanita pula, berkhitan ialah memotong sedikit kulit di bahagian paling atas farajnya (yakni yang berada di atas dari lubang masuk zakar) yang kelihatan seperti biji atau balung ayam.

Hukum berkhitan adalah wajib mengikut pandangan Imam Syafi’ie dan ramai ulamak yang lain. Majoriti ulamak (antaranya Imam Malik) berpandangan; ia sunat sahaja. Bagi Imam Syafi’ie; wajib berkhitan adalah atas kedua-dua golongan lelaki dan wanita.

Apa maksud Istihdad? Apa hukumnya?

Istihdad bermaksud mencukur bulu di kawasan ari-ari (العانة) iaitu kawasan di atas kemaluan dan di sekitarnya sama ada lelaki atau wanita. Hukumnya adalah sunat. Tujuannya ialah untuk membersihkan kawasan tersebut. Yang terbaik ialah dengan mencukur. Namun harus dengan menggunting atau mencabutnya. Menurut al-‘Abbas bin Suraij; termasuk dalam pengertian bulu ari-ari ialah bulu yang tumbuh di sekitar lubang dubur. Jadi dengan mengambil kira pandangan beliau, maka disunatkan kita mencukur keseluruhan bulu yang tumbuh di kemaluan depan dan dubur serta di kawasan sekitar keduanya.[2]

Apa hukum memotong kuku? Bagaimana cara yang disunatkan?

Memotong kuku hukumnya adalah sunat. Sunat memotong di tangan terlebih dahulu, berikutnya baru kaki. Sunat dimulai dengan tangan kanan iaitu bermula dari jari telunjuk, kemudian jari tengah, kemudian jari manis, kemudian jari kelingking dan seterusnya ibu jari. Setelah itu pergi pula ke tangan kiri dengan bermula dari jari kelingking, kemudian jari manis dan berikutnya hinggalah ke ibu jari. Berikutnya pergi pula ke jari-jari kaki dengan bermula dari jari kelingking kaki kanan dan tamat di jari kelingking kaki kiri.[3]

Apa hukum mencabut bulu ketiak? Haruskah mencukurnya?

Hukumnya sunat. Yang terbaik ialah dengan mencabut bagi sesiapa yang mampu. Jika tidak, memadai dengan mencukurnya. Sunat dimulai dengan ketiak kanan, kemudian baru ketiak kiri.[4]

Apa hukum menggunting misai? Adakah harus dilakukan oleh orang lain untuk kita?

Hukumnya adalah sunat. Sunat dimulai dengan misai sebelah kanan. Harus sama ada kita menggunting sendiri atau menyuruh orang lain melakukannya untuk kita. Adapun mencabut bulu ketiak dan mencukur bulu ari-ari tadi tidak harus dilakukan oleh orang lain kerana ia merosakkan maruah dan kehormatan.[5]

Pada had manakah misai perlu digunting? Adakah sunat mencukurnya?

Para ulamak berbeza pandangan;[6]

a) Pandangan pertama; menurut ulamak-ulamak mazhab Hanafi dan Hanbali; yang terbaik ialah mencukurnya (yakni membuang habis). Mereka berdalilkan beberapa sabda Nabi s.a.w. antaranya;

جُزُّوا الشَّوَارِبَ، وَأَرْخُوا اللِّحَى، خَالِفُوا الْمَجُوسَ
“Potonglah misai (hingga nampak kulit) dan biarkanlah janggut. Hendaklah kamu berbeza dengan orang Majusi”. (Riwayat Imam Muslim dari Abu Hurairah r.a.)

Menurut ulamak, perkataan al-jazz dalam hadis di atas memberi makna menggunting misai dan bulu hingga sampai ke kulit.

Di dalam hadis yang lain, Nabi s.a.w. bersabda;

خالفوا المشركين: وفروا اللحى، وأحفوا الشوارب
“Hendaklah kamu berbeza dengan orang-orang Musyrikin; kerana itu biarkanlah janggut dan buanglah misai”. (Riwayat Imam al-Bukhari)

Berkata Imam Ibnu Hajar; perkataan al-Jazz dan al-Ihfa’ menunjukkan kepada tuntutan agar bersungguh-sungguh dalam membuang misai. Al-Jazz bermaksud; menggunting hingga ke kulit. Al-Ihfa’ pula bermaksud; membuang habis. Kerana itu Imam Abu Hanifah dan Imam Ahmad mensunatkan dibuang habis misai dengan mencukurnya.[7]

b) Pandangan kedua; menurut ulamak-ulamak mazhab Syafi’ie dan Maliki; yang disunatkan hanyalah mengguntingnya sahaja sehingga kelihatan bibir mulut (yakni menggunting bahagian yang memanjang ke atas bibir mulut). Adapun mencukurnya adalah dilarang, di mana hukumnya adalah makruh.[8]

c) Pandangan ketiga; menurut Imam Ibnu Jarir at-Tabari; harus kedua-duanya, yakni kita boleh memilih sama ada hendak mengguntingnya sahaja atau mencukurnya kerana kedua-duanya sabit di dalam hadis Nabi s.a.w..[9]

Bilakah masanya kita dituntut untuk mencukur bulu ari-ari, memotong kuku dan sebagainya tadi?

Iaitu pada bila-bila masa mengikut keperluan dan apabila ia panjang asalkan jangan membiarkannya melebihi empat puluh hari. Ini berdasarkan cerita Anas bin Malik r.a.;

وُقِّتَ لَنَا فِي قَصِّ الشَّارِبِ وَتَقْلِيمِ الْأَظْفَارِ وَنَتْفِ الْإِبِطِ وَحَلْقِ الْعَانَةِ أَنْ لَا نَتْرُكَ أَكْثَرَ مِنْ أَرْبَعِينَ لَيْلَةً
“Telah ditetapkan tempoh untuk kami bagi menggunting misai, memotong kuku, mencabut bulu ketiak dan mencukur bulu ari-ari iaitu kami tidak membiarkannya melebihi 40 hari”. (Riwayat Imam Muslim)[10]

Nota Kaki

[1] Syarah Soheh Muslim, 3/151.
[2] Syarah Soheh Muslim, 3/153.
[3] Syarah Soheh Muslim, 3/152.
[4] Syarah Soheh Muslim, 3/152.
[5] Syarah Soheh Muslim, 1/152.
[6] Syarah Soheh Muslim, 1/152-155, Faidhul-Qadier, hadis no. 3586 dan Fiqh al-Albisah Wa az-Zinah (Abdul-Wahhab Abdus-Salam Tawilah, hlm. 276-280.
[7] Faidhul-Qadier, hadis no. 3586.
[8] Syarah Soheh Muslim, 3/152, Fiqh al-Albisah Wa az-Zinah (Abdul-Wahhab Abdus-Salam Tawilah, hlm. 278 dan 280.
[9] Fiqh al-Albisah Wa az-Zinah (Abdul-Wahhab Abdus-Salam Tawilah, hlm. 280, Syarah Soheh Muslim, 1/155.
[10] Syarah Soheh Muslim, 3/152.