السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

PESANAN NABI S.A.W.
"Sesiapa menempuh satu perjalanan untuk mencari suatu ilmu, Allah akan memudahkan untuknya jalan ke syurga" (Hadis riwayat Imam Muslim dari Abu Hurairah r.a.)

Saturday, June 27, 2009

Darah Haid

Berapa jeniskah darah yang keluar melalui kemaluan wanita (mengikut ilmu Fiqh Islam)?

Darah yang keluar melalui kemaluan wanita ada tiga jenis, iaitu;

1. Darah Haid
2. Darah Nifas
3. Darah Istihadhah

Pembahagian di atas telah menjadi ijmak ulamak (Lihat; Bidayatul Mujtahid, 1/69).

Apa yang dimaksudkan dengan darah haid?

Haid dari segi bahasa bermakna mengalir.

Adapun dari segi istilah ahli Fiqh, ia adalah darah yang mengalir keluar dari kemaluan wanita dari dalam rahimnya (uterus) kerana semulajadi (bukan kerana penyakit atau kerana selepas melahirkan anak). Keluarnya pada masa tertentu apabila seorang wanita telah mencapai umur tertentu.[1]

Apakah syarat-syarat darah haid?

Syarat-syarat darah haid ialah;

1. Warna darah yang keluar menepati ciri-ciri warna darah haid.
2. Seorang wanita itu telah mencapai umur kemungkinan haid. Maka darah yang keluar sebelum umur tersebut tidak dianggap haid.
3. Rahimnya kosong dari anak kerana wanita yang hamil tidak mungkin akan kedatangan haid mengikut jumhur ulamak (kecuali Syafi’ie dan Malik).
4. Hendaklah tempoh kedatangan haid tidak kurang dari tempoh minimanya.
5. Hendaklah kedatangannya tidak melebihi tempoh maksimanya.
6. Hendaklah kedatangannya didahului oleh tempoh suci yang paling pendek (iaitu 15 hari mengikut mazhab Syafi’ie) bagi wanita yang telah biasa kedatangan haid.

Jika darah yang keluar memenuhi syarat-syarat di atas, ia adalah darah haid. Jika tidak, maka ia bukan darah haid tetapi darah istihadhah.

Apakah warna darah haid?

Menurut ulamak; warna-warna darah haid ada lima, iaitu;
1. Hitam
2. Merah
3. Asyqar (warna antara merah dan kuning)
4. Kuning
5. Keruh

Kebiasaannya, mula-mula datang haid berwarna hitam, kemudian berubah kepada merah, kemudian antara merah dan kuning, kemudian kuning dan akhirnya keruh (yakni antara putih dan hitam).

Tanda habisnya haid ialah warna putih atau tiada sebarang warna. Apabila hilang semua warna-warna tadi sama ada kelihatan warna putih (seperti kapur putih yang disebut oleh Aisyah r.a. dalam hadisnya) atau tidak kelihatan sebarang warna, maka itu tandanya darah haid telah habis. Ketika itu, barulah ia boleh mandi dan melakukan ibadah sebagaimana wanita yang suci.

Bilakah warna kuning dan keruh dianggap haid dan bila pula tidak dianggap haid?

Warna kuning dan keruh hanya dianggap haid pada hari-hari kebiasaan haid. Ini berpandukan kepada hadis dari Saidatina Aisyah r.a. yang menceritakan; para wanita sahabat menghantar kepadanya satu bekas kecil berisi kapas yang terdapat padanya kesan kuning dan keruh dari haid. (*Tujuan mereka ialah meminta penjelasan darinya apakah mereka telah suci dari haid atau belum apabila yang masih tinggal pada faraj mereka hanyalah kesan kuning dan keruh). Lalu ‘Aisyah menjawab; “Janganlah kamu kamu tergesa-gesa (mandi wajib) sehinggalah kamu melihat seperti kapur putih”. (Riwayat Imam al-Bukhari)
Adapun selepas hari kebiasaan haid (yakni pada hari-hari suci), maka warna kedua-duanya tidak dianggap darah haid. Ini berdasarkan kenyataan Ummu ‘Athiyyah r.a. yang menyebutkan; “Kami tidak menghitung warna keruh dan juga kuning selepas suci (yakni setelah habis haid) sebagai sesuatu (dari darah haid)”. (Riwayat Imam Bukhari dan Abu Daud)

Berapakah umur kemungkinan datangnya haid?

Menurut jumhur ulamak (termasuk mazhab Syafi’ie, Hanafi, Hanbali dan kebanyakan ulamak mazhab Maliki); sekurang-kurang umur datangnya haid ialah sembilan tahun. Maka menurut pandangan ini, darah yang kelihatan sebelum sembilan tahun bukan darah haid, tetapi darah penyakit (istihadhah).

Sebahagian ulamak mazhab Maliki berpendapat; jika darah keluar dari kanak-kanak perempuan antara umur 9 hingga 13 tahun, hendaklah keadaannya ditanya kepada kaum wanita atau doktor yang berpengalaman. Jika mereka mengesahkan bahawa yang keluar adalah haid, maka darah itu adalah haid. Jika tidak, maka ia bukan darah haid.

Wanita yang kedatangan haid –jika umurnya telah genap sembilan tahun mengikut pandangan jumhur tadi-, ia dianggap telah baligh dan dituntut melaksanakan kewajipan-kewajipan Syarak. Ia sama seperti kanak-kanak lelaki yang baligh kerana mimpi hingga keluar mani. Bagi kanak-kanak yang tidak bermimpi atau datang haid, umur balighnya ialah 15 tahun, yakni apabila masuk umur 15 tahun, maka mereka dikira baligh sekalipun tidak datang haid atau tidak berlaku mimpi tersebut.

Berapakah umur putusnya haid?

Menurut mazhab Syafi’ie; tidak ada umur tetap bagi putusnya haid. Ia hendaklah dikiaskan kepada ahli-ahli keluarga terdekat bagi seorang wanita dari pihak bapa dan juga pihak ibu seperti ibu-ibu saudara sebelah bapa dan ibu-ibu saudara sebelah ibu. Hal tersebut kerana faktor keturunan. Namun jika perlu untuk dilihat kepada faktor umur, maka Imam Syafi’ie menganggarkan bahawa umur putus haid ialah selepas 62 tahun kerana ia adalah umur kebiasaannya wanita putus haid.

Mazhab Imam Abu Hanifah menetapkan umur putus haid sebagai 55 tahun. Selepas umur tersebut, darah yang keluar tidak lagi dinamakan haid mengikut pandangan yang terpilih dalam mazhab.

Menurut mazhab Maliki pula, umur putus haid dari 50 hingga 70 tahun. Jika darah masih keluar selepas umur 70 tahun, maka ia bukan haid tetapi istihadhah.

Mazhab Imam Ahmad pula menetapkan umur putus haid antara 50 hingga 60 tahun.antara dua tempoh ini merupakah tempoh syak di mana jika seorang wanita melihat darah semasa tempoh ini, maka ia tidak boleh berhenti dari ibadah sebagai langkah ihtiyat (berhati-hati) dan keluar dari khilaf. Namun jika umurnya genap 60 tahun dan darah masih keluar, maka darah yang dilihatnya bukan darah haid, tetapi istihadhah.

Apa yang perlu dilakukan oleh wanita yang telah putus haidnya?

Wanita yang telah putus haid, ia hendaklah bertindak sebagai perempuan yang suci sepanjang masa sama ada dari segi ibadah atau hukum-hakam yang lain. Dalam masalah eddah pula, ia hendaklah bereddah mengikut bulan, bukan mengikut bilangan haid atau bilangan suci lagi. Ini ditegaskan oleh Allah dalam firmanNya dalam surah al-Talaq, ayat 4.

Adakah perempuan mengandung ada kemungkinan datang haid?

Para ulamak berikhtilaf dalam masalah ini;

Menurut jumhur ulamak; perempuan mengandung tidak ada kemungkinan datangnya haid. Maka jika seorang wanita melihat darah keluar melalui farajnya semasa ia sedang mengangdung, darah itu bukan darah haid, tetapi darah penyakit.

Namun menurut Imam Syafi’ie, Malik dan al-Laits; perempuan mengandung ada kemungkinan datangnya haid. Menurut mereka; jika perempuan yang mengandung itu mendapati darah keluar dari farajnya dan keluarnya menepati hari-hari kebiasaan haidnya serta kelihatan ciri haid pada darah tersebut, maka darah itu adalah darah haid.

Berapa lamakah tempoh paling singkat berlakunya haid dan berapa pula tempoh paling panjang atau paling lama?

Dalam menentukan tempoh paling singkat dan tempoh paling panjang bagi haid, para ulamak berbeza pandangan;

1. Menurut Imam Syafi’ie, Atha dan Abu Thur; tempoh haid yang paling singkat ialah sehari semalam (yakni 24 jam) secara berterusan.[2] Tempoh kebiasaan wanita kedatangan haid ialah selama enam atau tujuh hari. Adapun tempoh paling panjang bagi haid ialah lima belas hari. Maka berdasarkan pandangan ini; jika darah yang datang kurang dari sehari semalam atau melebihi lima belas hari, maka ia bukan darah haid tetapi darah penyakit atau istihadhah.

2. Bagi Imam Abu Hanifah dan as-Sauri pula; tempoh haid paling singkat ialah tiga hari dan tempoh paling panjang ialah 10 hari.

3. Mengikut Imam Malik pula, tidak ada batasan bagi tempoh haid yang paling singkat, yakni ada kemungkinan haid datang sedetik sahaja. Adapun tempoh paling panjang, terdapat tiga riwayat dari beliau iaitu; 15 hari, 17 hari atau tiada batasan.

4. Menurut Imam Ibnu Taimiyyah; tidak perlu ditentukan tempoh paling singkat bagi haid dan juga tempoh paling lama baginya, akan tetapi dikira apa yang telah tetap menjadi kebiasaan bagi seorang wanita maka itulah tempoh haid baginya sekalipun tempoh itu kurang dari sehari atau lebih dari 15 hari atau 17 hari. Begitu juga tidak ada had bagi umur paling bawah untuk kedatangan haid dan juga umur paling lama/paling hujung. Sama juga, tidak ada had bagi sekurang-kurang masa suci antara dua haid. Menurut beliau lagi; bagi perempuan yang mula-mula kedatangan haid (مبتدأة), maka dikira/dihitung sebagai haid darah yang ia lihat selagi ia tidak menjadi mustahadhah (yakni perempuan yang kedatangan istihadhah iaitu darah yang keluar bukan pada masa yang sepatutnya). Begitu juga, perempuan yang berubah kebiasaan hari-hari haidnya (yakni hari-hari kebiasaan haidnya berubah sama ada bertambah atau berkurang atau bertukar pada hari-hari yang lain), maka perubahan itu adalah dikira haid sehinggalah ia mengetahui bahawa darah yang keluar itu bukan haid, tetapi istihadhah kerana darah yang keluar berterusan tanpa henti.

Suci di antara hari-hari kebiasaan haid; adakah dianggap haid atau tidak?

Dalam persoalan ini terdapat khilaf di kalangan ulamak;

a) Mazhab Syafi’ie dan Abu Hanifah berpendapat; suci yang berlaku pada hari-hari haid dikira sebagai haid. Oleh demikian, jika seorang wanita mendapati satu hari keluar darah dan satu hari berikutnya suci (di mana ia mengetahui suci itu sama ada dengan keringnya darah atau dengan ia meletakkan kapas dan tiada kesan darah haid pada kapas), kemudian hari berikutnya datang semula darah, maka menurut pandangan ini keseluruhan hari adalah haid.

Berkata Imam Khatib as-Syirbini dalam al-Iqna’; “Suci antara darah-darah sama ada dalam tempoh minima haid (iaitu sehari semalam) atau lebih adalah dikira haid kerana mengikutinya (yakni mengikuti haid), tetapi dengan beberapa syarat, iaitu;
a) Tempoh suci itu tidak melebihi 15 hari.[3]
b) Darah-darah haid (yang keluar secara keseluruhannya) tidak kurang dari tempoh minima haid iaitu sehari semalam.
c) Suci itu hendaklah dikelilingi antara dua darah haid”.

b) Mazhab Maliki dan Hanbali pula berpandangan; hari suci antara hari-hari kebiasaan haid adalah dikira suci. Oleh demikian, seorang wanita pada hari suci tersebut hendaklah mandi dan menunaikan solat, harus ia berpuasa, beriktikaf, membaca al-Quran dan tidak ditegah suaminya mensetubuhinya pada hari suci itu.

Apakah larangan-larangan Syarak ke atas wanita yang kedatangan haid?

Wanita kedatangan haid dilarang/diharamkan oleh Syarak untuk melakukan perkara-perkara berikut;

a) Mengerjakan solat
b) Melakukan tawaf
c) Menyentuh mushaf dan membawanya
d) Membaca al-Quran
e) Berhenti atau menetap di dalam masjid (termasuk beriktikaf)
f) Melintasi masjid jika dikuatiri akan mencemarkan masjid
g) Berpuasa
h) Bersetubuh dengan suami
i) Dijatuhkan talak ke atasnya

(*Untuk mendapatkan keterangan lebih terperinci sila baca dalam Bab Hadas yang dikemukakan sebelum ini)

Semua larangan di atas tidak terangkat kecuali setelah mandi wajib melainkan tiga larangan sahaja iaitu; puasa, talak dan melintasi masjid di mana ketiga-tiga larangan ini terangkat sebaik sahaja kering darah haid atau nifas, iaitu tidak disyaratkan selepas mandi barulah perkara-perkara tersebut harus dilakukan.

Bilakah wanita haid dibolehkan mandi wajib?

Bila ia mendapati darah haidnya telah habis, yakni telah kering. Sabda Nabi s.a.w. dalam hadis ‘Aisyah r.a. (mengikut satu riwayat darinya); “Apabila haid kamu telah habis, maka mandilah dan tunaikanlah solat”.

Apakah caranya untuk memastikan darah haid benar-benar habis?

Hendaklah dilakukan pemeriksaan terhadap faraj, iaitu dengan memasukkan cebisan kain, kapas atau sebagainya ke dalam faraj dan melihat sama ada masih terdapat kesan darah haid atau tidak. Jika tidak ada kesan darah haid sama ada tidak nampak sebarang warna pada kain/kapas tersebut atau nampak warna putih seperti kapur, maka ketika itu barulah diharuskan mandi. Jika masih ada sebarang kesan warna darah atau warna kuning atau keruh, tidak harus mandi lagi kerana darah haid belum habis.

Kaedah pemeriksaan di atas diambil daripada amalan wanita-wanita sahabat sebagaimana yang diceritakan oleh Saidatina ‘Aisyah r.a.; “Wanita-wanita sahabat menghantar kepadanya satu bekas kecil berisi kapas yang terdapat padanya kesan kuning dan keruh dari haid. (*Tujuan mereka ialah meminta penjelasan darinya apakah mereka telah suci dari haid atau belum apabila yang masih tinggal pada faraj mereka hanyalah kesan kuning dan keruh). Lalu ‘Aisyah menjawab; “Janganlah kamu kamu tergesa-gesa (mandi wajib) sehinggalah kamu melihat seperti kapur putih” (HR Imam al-Bukhari dan Imam Malik).

Nota Hujung;

[1] Takrif ini adalah hasil gabungan pelbagai takrif ulamak. Lihat; al-Haidh wa an-Nifas wa Ahkami at-Taharah Lin-Nisa’, Ibrahim Muhammad Jamal, hlm. 18-19.
[2] Tidak disyaratkan berterusan itu dengan darah kelihatan mengalir keluar. Memadai dengan diketahui bahawa darah itu ada iaitu sekira-kira jika diletakkan kapas atau kain, akan terlihatlah kesan darah padanya.
[3] Jika seorang wanita mu’tadah melihat darah berwarna hitam selama lima hari, kemudian ia suci 15 hari, kemudian ia lihat selepas itu darah kuning selama lima hari pula, maka darah kuning itu adalah haid. Adapun tempoh 15 hari di antara darah hitam dan darah kuning itu dikira sebagai tempoh suci yang sempurna. (Ahkam at-Taharah, hlm. 67)

48 comments:

sakinah said...
This comment has been removed by the author.
sakinah said...

salam..
sy nk mtk pndapat ustaz berkaitan artickle yg dipost di FB..sy xbpe pham ttg qadha solat bg Perempuan haidh..
ustaz bleh rujuk link dbwah...

http://www.facebook.com/note.php?note_id=156746307696268&id=100000804514482

Reen MsArina said...

Salam Ustaz..
Saya ingin bertanya tentang "Hukum dan implikasi darah yang keluar dari faraj wanita", saya harap ustaz dapat menjawab pertanyaan saya..syukran

.. said...

sakam.. ustaz
saya sejauh mana perlu dimasukkan kapas? adakah sehingga ke pintu rahim?

a cute girl said...

ustaz adakah saya dikira priod kalau hari pertama sahaja yg kluar darah bewarna coklat yang sdikit dan hari berikutnya hinggs hari kelima cuma klua cecair kuning yang amat banyak.

Mohamad Shuhmy Shuib said...

Minta izin kongsi bersama laman saya

Anonymous said...

kalo perempuan.. period xboleyh mengaji al-Quran..
macam mane kalo die bace ayat kursi?
ayat kursi kan dr al-quran.. xboleyh ke ?

ayuestorystory said...

salam ustaz. saya hendak bertanya. sekiranya saya mengalami masalah seperti ketidaktahuan saya mengenai warna-warna haid itu. sya datang bulan selepas itu, i sudah habis tetapi keputihan saya disusuli dgn warna coklat yang jernih. masih dikira datang bulan? macam kalau saya beras itu keputihan dan meneruskan puasa dibulan ramadahn ini? adakah amalan saya berpuasa ditolak dan saya harus menganti semuanya? saya keliru. saya mempunyai masalah keputihan ynag agak serius juga.

AnnisaKharir said...

salam ustaz ...
sye nak tanya , jika kita sedang mengalami haid , boleh kah kita mandi kolam..? diharap ustaz boleh menjawab pertanyaan sye ini ,, terima kasih...

Anonymous said...

jawapan
a cute girl : ya,masih haid (sebanyak2 haid 15 hari).awak baru 6 hari tu.
imah : ya,prmpuan haid haram baca al-Quran.adapun baca Bismillah,tasbih,tahmid boleh walaupun kalimah2 tu dr al-Quran.cuma diniatkan ZIKIR.

Anonymous said...

Assalammualaikum.

Dari apa yang saya baca memberitahu darah haid itu mestilah sehari semalam dan tidak melebihi 15hari. Saya mengalami haid yang tidak teratur. dan terjadi dua kali sebulan. Ciri2 haid saya:-
1- ada kala haid saya hanya secalit (kadang hanya mengotorkan tuara wanita) pada waktu siang dan malam saya bersih.
2- ada kala haid saya seperti darah haid biasa (biasanya akan keluar ketulan darah) tetapi hanya berlaku pada waktu siang dan pada waktu malam saya bersih
3- saya selalu mengalami pendarahan haid yang banyak sekiranya haid saya pada bulan sebelumnya hanya sedikit dan ianya akan melebihi 15 hari. A/b saya overflow, pastinya terjadi ketika hari ke-10 ke atas dan ianya amat tidak selesa. Dan saya pernah mengalaminya selama sebulan lebih sehingga terpaksa membeli ubat memberhentikan darah haid.

Soalan saya:
1- jika situasi satu dan dua di atas, adakah saya perlu mandi wajib?
2- jika situasi satu dan dua di atas berlaku ketika saya sedang berpuasa, adakah puasa saya batal?
3- untuk situasi tiga (setelah lebih 15hari), bagaimana cara saya untuk menghalang darah haid tersebut? Adakah saya perlu menyumbat vagina saya dengan kapas atau hanya sekadar memakai tuala wanita sahaja? Terus terang saya katakan, saya sering meninggalkan solat jika situasi ini berlaku. Saya sangat tidak khusyuk dengan apabila terasa aliran darah sangat banyak. Pernah sekali saya mencuba sembahyang ketika darah sedang mengalir banyak dan saya telah mengotorkan tempat solat. Ketika itu saya solat duduk

Harap ustaz dapat membantu saya. Saya tidak mahu lalai hanya kerana masalah ini

Anonymous said...

dyg lips adanan : klu soklan 1 dan 2 tu,mmg tk batal puasa dan tk perlu mandi wajib sbb darah tu mmg tk cukup 24 jam.klu tk cukup 24 jam mmg bukan haid dh tu.
soklan 3 tu kak kena basuh faraj,sumbat/sempal,pakai tuala wanita tu dan wudhuk.klu lps buat suma tu masih lg keluar darah,maka dimaafkan dh.solat wajib buat masa tu sbb darah tu mmg istihadah.
(ni apa yg sy fhm)

Unknown said...

salam ustaz..saya nak tau kalau saya dah 3 arie kering dari haid..tiba2 keluar warna keruh...adakah ia dianggap haid atau istihadah...

Unknown said...

assalamualaikum,

Saya period pada 12 Julai - 15 Julai (sedikit dari biasa). Hari ini, 3 Ramadan, sy dapati ada keluar lendir coklat (apabila saya calit dengan jari) pada pukul 6.30 am. 15 minit kemudian sy periksa sekali lagi, lendiran tiada. Saya mandi wajib dan solat subuh. Soalan saya berkenaan status puasa saya (untuk 1,2,3 Ramadhan) jika:

1. lendiran terus keluar.
2. lendiran dh berhenti sekitar 6.45 am tadi.

Terima kasih ustaz

Unknown said...

ASSALAMUALAIKUM USTAZ..

SAYA NAK BERTANYA,,ADAKAH WANITA YANG DATANG HAID,,SEPERTI KEBIASAAN BULAN,,BERUPAYA HAMIL ?.......

ATAU ADAKAH SEPANJANG KEHAMILAN,,HAID TIDAK AKAN KELUAR SEHINGGALAH ANAK DILAHIRKAN ?..

TERIMA KASIH USTAZ..

Anonymous said...

kak hani baharim...
status puasa kak sah.
kena ingt jarak di antara dua haid mesti 15 hari atau lebih dan klu darah hny mai 15 minit (6.30 pg - 6.45 pg) tk dikira haid sbb sekurg2 haid 24 jam

sapek...
dlm mazhab Imam Syafie,harus bg perempuan hamil dtg darah haid

Unknown said...

assalammualaikum..

saya ada terbaca dru satu buku ni brknaan keputihan.. ia trbhgi kpd 2 iaitu warna putih/jernih dan kuning/kekuningan..
soalannye: saye ad kputihan yg brwarna kekuningan.. bgaimana ingin mbezakan anara kekuningan kputihan & jga kekuningan ktika haid ??

Unknown said...

Mohon izin copy ke blog saya, untuk rujukan saya .. terima kasih

baby penguin said...

Assalamualaikum ustaz,
adakah salah jika seorang wanita yang period membaca al-quran untuk belajar?

. said...

Assalamualaikum ustaz, sya nak tanyak ni. haid saya skg ni dah masuk ke 16 hari dah. jadi saya masih keliru ada ia darah haid atau drah isthdhah. jadi adakah saya boleh solat atau tidak? dan adakah ia dikira sah klu sya solat. trima ksih ustaz .

Unknown said...

salam ustaz, saya nak tanya. ada kah keputihan juga keluar dalam warna hitam? saya x pasti ia haid kerna baunya amat lah berbeza. adakah ia haid?

Unknown said...

salam...saya nak tahu ttg fidyah.... saya telah lupa menggantikan puasa sebanyak 9 hari pada tahun 2009. berapa kah fidyah yang perlu saya byr...bagaimanakah kiraannya dan mcm mana nk membayarnya..kepada siapa dan ada x niat yg perlu saya baca utk byr fidyah...

Hamba yang hina said...

Salam ustaz...awek saya rase tanda2 nak period tp tak kuar lg drhnya..adakah itu satu kelewatan atau tnda2 dia nk mengandung ?

Unknown said...

Assalamualaikum.
Bolehkah saya mengaji jika istihadah?

Kyler Sarah said...

Trima kasih ustaz sekarang saya dah tahu nanti bila besar x delah tergopoh-gopoh nk cri mklumat psl ni.

Unknown said...

assalammualaikum ustaz,saya nk tanya.10.10.13 sy datang haid smpai 18.10.13.lps pada 2 27.10.13 ada kluar darah warna hitam seperti darah hari pertama haid.adakah darah itu darah haid atau istihadah?

abdul rahman said...

assalamualaikum ustaz...saya ingin bertanya tentang masalah yang dihadapi oleh ibu saya...haidnya yg x mnntu mnyebebkn dia bsendri tidak tahu adakah dia haid atau istihadah..contoh haidnya dtang pada waktu pagi berhanti pada wktu ptg..bila malam datang smula cuma dlm kadar yg sedikit...haidya juga kadg2 sbulan cuma 9 ari..kdg2 sbulan 15 ari..itulah masalahnya ustaz mohon penjelasan

nuri said...

Assalamualaikm wbt ustaz.. saya mohon utk menggunakan mklumat atas tujuan usrah..

Unknown said...

assalamualaikum ustaz, saya ada masalah keluar ketulan darah seperti haid tanpa ada cecair darah.. biasa ia keluar 3-4 hari sebelum darah cair keluar..dan darah cair keluar sekitar 15-20 hari.. adakah ketulan di awal itu dikira haid? biasa sy dapat solat 2-3minggu sahaja sbb haid kerap berlaku dan tak teratur..pernh lepas seminggu darah keluar smula..jadi saya tak pasti nak kira bilangan hari haid bermula dari ketulan atau cecair...

Unknown said...

Salam.. mohon penerangan berkaitan qhada solat.. sy mndi wajib pd pkol 11pg.. adakah sy perlu qhada solat subuh,?

Unknown said...

ustat dah pening nk jawab

Anonymous said...

Assalamualaikum ustaz. saya ada masalah haid yg tk teratur. kadang kadang 2 bulan sekali kadang kadang sebulan sekali. dan kebiasaannya haid saya berhenti dalam kurang 10 hari. selepas saya haid dalam beberapa minggu, saya mengalami keputihan berwarna coklat. kadang kadang dia akan keluar apabila saya membuang air kecil. saya tak tahu sama ada itu haid atau keputihan berpenyakit. kerana jarang keluar dn hanya keluar apabila buang air kecil. keputihan coklat ni jarang berlaku kepada saya. ini berlaku apabila haid saya lambat datang. adakah itu darah haid atau hanya keputihan berpenyakit dan adakah saya perlu mandi wajib? saya rasa was-was dalam hal ni. kadang kadang saya terpaksa mandi wajib sebab nak solat.

FAIZAH said...

MOHON PERKONGSIAN

Anonymous said...

Salam, kiranya, tempoh haid boleh sampai 15 hari, jadi kalau keluar cecair kuning dlm masa tu masih dikira haid ke?

farahwazir98@yahoo.com.my said...
This comment has been removed by the author.
Sharifah Zulaikha said...

Assalamualaikum. Saya datang haid pada 1st January dan berhenti 15th January. Lepas 8 hari, datang balik. Saya boleh semayang atau tak?

Dan berapa hari untuk tentukan haid yang sterusnya? Minta penjelasan. Tq

Zieqakil said...

assalamualaikum..
ustaz saya ada soalan..
kalau kita tengok dah tak ada darah dah..maknanya dah macam habis uzur..perlu ke kita tunggu sehari semalam untuk mandi wajib??? untuk tentukan adakah benar2 kita dah habis uzur atau tidak.

noorazie said...

Elok awak meruang untuk pastikan masih ada lagi darah kotor atau tak.confirm dah putih, wajib mandi dan solat.

mummy_hum@ira said...

Ustaz klu dalam tempos 15hari tu contoh hari Kelima darah dh kering tapi hari ke 6 sampai 10 still ade tompokan Hanya sedikit dan on off.adakah dikira masih dalam tempoh haid? Xboleh solat dan puasa?

AHMAD ADNAN FADZIL said...

15 hari adalah tempoh kemungkinan haid. Maka darah yang kelihatan dalam tempoh tersebut semuanya dikira darah haid. Perlu berhenti solat dan puasa.

Unknown said...

assalam ustaz..soalan dari seorg sahabat sy..
1-11june datang haid..11june dh mndi wajib.
hari ni 17june ada kluar lendiran kuning bersama sedikit jaluran2 darah..
adakah itu darah istihadhoh?
mohon pencerahan ustaz..syukran..

Unknown said...

Assalam , macam mana kalau darah haid keluar sekali lepas tu x keluar2 sehingga hari ke 6 ? Adakah perlu mandi wajib atau tunggu sehingga darah keluar kerana dikira darah tersekat ?

Unknown said...

Jika ada masalah haid dan keputihan boleh.makan herba2 yang org tua2 dulu ajar. bolehwasap sy 01121145929

Hayani said...

Share ya ustaz

Hayani said...

Wajib mandi bila darah berhenti. Kalau lewat mandi kena qadha semua solat yg ditinggalkan. Tunggu sehari semalam je cukup.

Hayani said...

Itu darah istihadhah kerana datang dlm tempoh kurang 15 hari bersih

Hayani said...

Itu darah istihadhah. Elok jumpa doktor sakit puan dan siasat

Mamamia said...

Assalamualaikum
Persoalan saya,
1)18-24 may saya period..malam 24 may dh kering..subuh 25may saya mandi wajib utk puasa dan solat..waktu zohor 25may kelaur darah bercampur lendir..itu dikira period ke?

2)selepas waktu zohor 25may,darah kering..lepas maghrib 26 may,saya tgk darah sikit bercampur lendir..sah ke puasa dan solat saya?

3)dari 27-30 may,darah seperti saiz benang bercampur lendir putih keluar selepas waktu isyak@maghrib sahaja...dan tidak berterusan..hanya waktu itu je sekali sehari..itu dikira haid atau x?sah ke puasa saya diwaktu siangnya?