السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

PESANAN NABI S.A.W.
"Sesiapa menempuh satu perjalanan untuk mencari suatu ilmu, Allah akan memudahkan untuknya jalan ke syurga" (Hadis riwayat Imam Muslim dari Abu Hurairah r.a.)

Monday, August 4, 2008

ZAKAT (Muqadimah 4; milik sempurna)

Apa maksud milik sempurna?

Maksudnya ialah pemiliknya berkuasa ke atas harta itu di mana ia boleh menggunakan harta itu dengan kehendaknya tanpa terikat dengan kebenaran dari orang lain. Ada sebahagian ulamak mensyaratkan juga hendaklah harta yang dimiliki itu berada di dalam tangan pemiliknya, barulah dikatakan milik sempurna dan wajib dizakati.[1]

Berdasarkan syarat ini, dikecuali dari kewajipan zakat harta-harta berikut;

a) Harta yang tidak mempunyai pemilik tertentu seperti harta milik kerajaan dari pungutan cukai, zakat atau sebagainya. Begitu juga, harta milik awam.

b) Harta yang diwakafkan untuk orang ramai seperti untuk fakir-miskin, masjid, para mujahidin, anak-anak yatim, madrasah atau sekolah dan sebagainya.

c) Harta dari sumber yang haram seperti mencuri, merampas, rasuah, penipuan, riba dan sebagainya. Orang yang mempunyai harta haram, ia tidak diiktiraf oleh Syarak sebagai pemilik harta tersebut kerana ia wajib memulangkan harta itu kepada pemiliknya yang sebenar.[2] Oleh demikian, tidak harus ia menggunakan harta tersebut termasuklah untuk mengeluarkan zakat kerana harta itu bukan miliknya.

d) Harta yang dihutangi oleh orang lain.

Adakah duit/harta yang dihutangi orang lain wajib dikeluarkan zakat?

Jumhur ulamak membahagikan hutang kepada dua jenis;

i. Hutang yang dapat diharap pelunasannya. Hutang jenis ini hendaklah dizakati bersama harta yang ada apabila cukup haul.

ii. Hutang yang tidak dapat diharap perlunasannya. Hutang dari jenis ini tidak wajib dikeluarkan zakat kecuali apabila orang yang berhutang melunasinya, maka wajib dikeluarkan zakat sebaik sahaja hutang itu berada dalam tangan tanpa perlu menunggu genap haul dan begitu juga, tidak dituntut mengqadha bayaran bagi tahun-tahun yang lepas.

Nota kaki;

[1] Iaitulah ulamak-ulamak mazhab Hanafi. Adapun ulamak-ulamak mazhab Syafi’ie mereka tidak mensyaratkan harta yang dimiliki berada dalam tangan pemiliknya. Memadai harta itu miliknya untuk diwajibkan zakat ke atasnya jika cukup nisab dan syarat-syarat yang lain sekalipun harta tersebut tidak berada dalam tangannya. Kesan khilaf dapat dilihat dalam masalah Mal al-Ghimar (مال الغمار) iaitu harta yang pemiliknya tidak dapat mengambil manfaat darinya kerana tidak berada dalam tangannya –walaupun harta itu secara sah diakui haknya- seperti; hutang yang diengkari dan pemiliknya tidak mempunyai saksi (untuk mensabitkan haknya ke atas orang yang berhutang) sedang tempoh haul telah pun sampai. Dalam hal ini, mazhab Hanafi berpandangan tidak wajib zakat kerana pemilikan tidak sempurna disebabkan harta itu tidak berada dalam tangan pemiliknya. Adapun ulamak-ulamak mazhab Syafi’ie berpandangan ia tetap diwajibkan zakat kerana mereka tidak mensyaratkan hal tersebut bagi pemilikan penuh. (Lihat; Al-Mufassal, Dr. Abdul Karim Zaidan, 1/354).

[2] Orang yang memiliki harta haram wajib membebaskan dirinya dari harta tersebut dengan mengembalikannya kepada pemiliknya jika ia mengetahui pemiliknya, atau kepada ahli-ahli warisnya. Jika ia tidak mengetahui siapa pemilik harta itu atau waris-warisnya, maka hendaklah ia mensedekahkan ke semua harta itu kepada orang-orang fakir. (Fiqh az-Zakah, 1/152)

2 comments:

Setar Impian Design and Construction said...

1-AS SALAM..SEKIRANYA SESEORANG MENYIMPAN DUIT SELAMA 1 TAHUN, SEBANYAK RM 10K
DALAM MASA YANG SAMA,DIA MEMPUNYAI HUTANG SEBANYAK RM 100K YANG RAKANYA BELUM JELASKAN .ADAKAH DIA PERLU KELUARKAN ZAKAT..

En. Mario said...

Simpanan 10k telah cukup haul namun tidak diwajibkan utk keluar zakat kerana tidak cukup nisabnya. Namun demikian, sekiranya terdapat pendapatan yg menghasilkan simpanan tersebut adalah diwajibkan zakat ke atasnya. Bagi wang daripada hutang tersebut pula, adalah diwajibkan zakat setelah individu itu telah menerima bayaran hutang tersebut. Wallahu a'lam