السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

PESANAN NABI S.A.W.
"Sesiapa menempuh satu perjalanan untuk mencari suatu ilmu, Allah akan memudahkan untuknya jalan ke syurga" (Hadis riwayat Imam Muslim dari Abu Hurairah r.a.)

Saturday, June 28, 2008

SOLAT TERAWIH (2)

Bilangan rakaat solat Terawih

Segolongan ulamak berpendapat; bilangan rakaat solat Terawih ialah 11 rakaat termasuk witir. Mereka berdalilkan hadis dari Saidatina ‘Aisyah yang menceritakan;

ما كان رَسُول اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيهِ وَسَلَّم يزيد في رمضان ولا في غيره على إحدى عشرة ركعة
“Rasululllah s.a.w. tidak pernah menunaikan solat sama ada di bulan Ramadhan atau bulan lainnya melebihi dari 11 rakaat”. (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

Jumhur ulamak-ulamak mazhab Imam Syafi’ie, Imam Abu Hanifah dan Ahmad bin Hanbal berpandangan; bilangan rakaat solat Terawih ialah 20 rakaat tidak termasuk witir. Mereka berhujjah dengan hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Baihaqi dan lainnya dengan isnad yang soheh dari sahabat yang bernama as-Saib bin Yazid r.a. (السائب بن يزيد) yang menceritakan;

كانوا يقومون على عهد عمر في شهر رمضان بعشرين ركعة
“Umat Islam pada zaman Umar menunaikan solat Terawih di bulan Ramadhan 20 rakaat”.

Begitu juga, Imam Malik meriwayatkan dalam al-Muwatta’ dari Yazid bin Ruman;

كان الناس يقومون في زمان عمر بن الخطاب بثلاث وعشرين ركعة
“Orang ramai menunaikan solat Terawih pada zaman Umar bin al-Khattab sebanyak 23 rakaat (iaitu 20 rakaat Terawih dan 3 rakaat Witir)”.

Bagi Imam Malik; solat Terawih ialah 36 rakaat tidak termasuk witir. Beliau berhujjah dengan amalan penduduk Madinah. Berkata Imam Nafi’; “Aku mendapati orang ramai menghidupkan malam Ramadhan dengan (mengerjakan solat) 39 rakaat, mereka berwitir dengan tiga rakaat darinya”.

Jadi dalam mengerjakan solat Terawih ini terdapat keluasan bagi umat Islam. Mereka boleh memilih sama ada ingin mengerjakan 11 rakaat sebagaimana yang dilakukan oleh Nabi s.a.w., atau 23 rakaat sebagaimana yang dilakukan oleh kaum muslimin di zaman Umar r.a. atau mengerjakan 39 rakaat sebagaimana amalan penduduk Madinah.

Berkata Syeikh Mahmud Khattab as-Subki dalam kitabnya ad-Din al-Khalis; “Beramal sebagaimana yang dikerjakan pada zaman Nabi s.a.w., Abu Bakar r.a. dan awal pemerintahan Umar r.a. adalah lebih utama dan lebih baik iaitu dikerjakan solat Terawih sebanyak lapan atau sepuluh rakaat tidak termasuk witir. Yang afdhal berikutnya ialah menunaikannya sebanyak dua puluh rakaat sebagaimana yang diamalkan di hujung pemerintahan Umar r.a. dan pada zaman pemerintahan Usman dan Ali r.a.. Qiyam Ramadhan (yakni solat Terawih) adalah ibadah yang digalakkan (yakni sunat) dan tidak terdapat nas dari Syarak yang membataskan bilangan rakaatnya. Sesungguhnya Nabi s.a.w. telah bersabda;

عليكم بسنتي وسنة الخلفاء المهديِّين الراشدين تمسكوا بها وعضُّوا عليها بالنَّواجذ
“Hendaklah kamu berpegang dengan sunnahku dan sunnah para Khulafak yang mendapat petunjuk (selepasku). Berpegang lah dengannya dan gigitlah ia dengan geraham-geraham kamu…”. (Riwayat Imam Muslim dan Abu Daud dari Abi Najih al-‘Irbadh bin Sariyah r.a.)[1]

Nota Kaki;

[1] Ad-Din al-Khalis, juz. 5, hlm. 162 (Dinaqalkan dari kitan al-Fiqh al-Wadhih, jil. 2, hlm. 623).

2 comments:

Doc said...

Assalamualaikum Ustaz,
Bagaimana pula dengan bacaan2 antara 2 rakaat solat tarawikh? Adakah dalil2 nya dari zaman Rasulullah s.a.w atau Khulafa Ar Rasyidin? Terima Kasih.

AHMAD ADNAN FADZIL said...

Tidak ada dalil secara khusus yang menyebutkan bahawa Nabi atau mana-mana sahabat ada membaca bacaan-bacaan tertentu (sama ada selawat atau sebagainya) selepas solat terawih. Cuma selawat, zikir dan doa terdapat nas yang menggalakkannya secara umum, kerana itu sebahagian ulamak berpendapat; tidak menjadi kesalahan membacanya selepas solat terawih itu sekalipun Nabi tidak melakkannya secara khusus kerana baginda menggalakkannya secara umum. Namun ulamak-ulamak yang berpendirian tegas dalam masalah keaslian agama, mereka tidak menyetujui sebarang tambahan dalam agama. Setiap perlakuan yang bersifat ibadah mesti sabit dengan nas. Jika tidak ada nas, hendaklah ditinggalkan dan memadai beramal sekadar yang disebut oleh nas kerana itu sudah mencukupi.
Wallahu a'lam.