Apakah dalilnya bagi kelebihan berpuasa dalam bulan-bulan haram secara amnya?
Diriwayatkan dari Mujibah al-Bahiliyyah dari bapanya atau bapa saudaranya yang menceritakan bahawa dia telah datang kepada Rasulullah s.a.w., kemudian ia pulang. Setelah setahun berlalu ia datang semula bertemu Rasulullah, namun keadaan tubuh-badannya telah banyak berubah[1] (sehingga Rasulullah tidak mengecamnya). Lalu ia bertanya Rasulullah; “Tidakkah kamu mengenali saya?”. Jawab baginda; “Siapakah kamu?”. Ia menjawab; “Saya adalah al-Bahili yang datang bertemu denganmu setahun yang lalu”. Lalu baginda berkata kepadanya; “Apa yang telah mengubahmu sedangkan kamu dulunya seorang yang elok tubuh-badan/rupa-parasnya”. Jawabnya; “Saya tidak menikmati makanan semenjak selepas saya berpisah dengan kamu (setahun yang lalu) kecuali di waktu malam sahaja”.[2] Lalu Rasulullah berkata kepadanya; “Engkau telah menyiksa diri engkau”. Kemudian baginda berkata; “Berpuasalah pada bulan sabar (yakni bulan Ramadhan) dan satu hari pada setiap bulan”. Ia menjawab; “Tambahkanlah kepadaku ya Rasulullah kerana aku sesungguhnya memiliki kemampuan”. Baginda berkata; “Puasalah dua hari (setiap bulan)”. Ia menjawab lagi; “Tambahkan lagi kepadaku”. Baginda berkata; “Puasalah tiga hari”. Ia menjawab lagi; “Tambahkanlah lagi”. Kemudian baginda bersabda kepadanya; “Puasalah pada (beberapa hari dari) bulan-bulan haram dan tinggalkanlah (beberapa hari yang lain jangan berpuasa)….(baginda menyebutnya 3 kali)”.[3] Baginda bersabda demikian sambil ia menunjukkan tiga jarinya, kemudian ia menggenggamnya dan kemudian melepaskannya kembali”.[4] (Riwayat Imam Abu Daud)
Hadis ini menjadi dalil bahawa disyari’atkan berpuasa pada bulan-bulan Haram (iaitu Dzul-Qaedah, Dzul-Hijjah, Muharram dan Rejab), namun demikian hendaklah jangan berpuasa pada keseluruhan hari atau sebulan penuh.[5]
Nota kaki;
[1] Yakni badannya telah menjadi kurus dan lemah. (Raudhatul-Muttaqien, jil. 3, hlm. 251).
[2] Yakni ia berpuasa senantiasa. (Raudhatul-Muttaqien).
[3] Maknanya; pada setiap bulan haram (yakni Rejab, Dzul-Qaedah, Dzul-Hijjah dan Muharam) kamu berpuasa beberapa hari dan kamu berbuka (yakni tidak berpuasa) beberapa hari. (Raudhatul-Muttaqien, jil. 3, hlm. 252)
[4] Makna isyarat Nabi s.a.w. dengan tiga jari itu ialah; hendaklah ia jangan berpuasa berturut-turut melebihi tiga hari. Dalam pengertian yang lain, setiap berpuasa tiga hari, maka hendaklah ia berbuka (yakni tidak berpuasa) sehari atau dua hari kemudian barulah berpuasa pula jika ia menghendaki. Harus juga dimengertikan dengan berpuasa dan berbuka setiap tiga hari (yakni berpuasa tiga hari dan berbuka (tidak berpuasa) tiga hari). Penafsiran yang kita kemukakan ini adalah dari pandangan Imam as-Sanadi. (Lihat; Raudhatul-Muttaqien, jil. 3, hlm. 252).
[5] Nailul-Authar, jil. 4.
No comments:
Post a Comment