السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

PESANAN NABI S.A.W.
"Sesiapa menempuh satu perjalanan untuk mencari suatu ilmu, Allah akan memudahkan untuknya jalan ke syurga" (Hadis riwayat Imam Muslim dari Abu Hurairah r.a.)

Monday, July 7, 2008

PUASA (PERSOALAN-1)

Adakah terlupa atau tidak sengaja akan membatalkan puasa?

Jika semua perkara di atas dilakukan secara tidak sengaja tidaklah akan membatalkan puasa. Sabda Nabi s.a.w.; “Sesiapa yang terlupa tatkala ia berpuasa lalu ia makan atau minum maka hendaklah ia sempurnakan puasanya. Sesungguhnya Allahlah yang memberinya makan dan memberinya minum” (HR Imam Bukhari, Muslim dan lain-lain dari Abu Hurairah r.a.)

Baginda juga bersabda; “Sesiapa yang terpaksa muntah, maka (tidaklah batal puasanya dan) ia tidak wajib mengqadha’ dan sesiapa yang sengaja muntah, maka (batallah puasanya dan) ia wajib mengqadhanya” (Riwayat Imam Abu Daud, Tirmizi, an-Nasai dan lain-lain dari Abu Hurairah r.a.)

Bagaimana jika seseorang itu dipaksa makan; adakah puasanya akan batal?

Menurut Imam Abu Hanifah dan Malik; batal puasa. Bagi mazhab Syafi’ie, ada dua qaul. Menurut Imam an-Nawawi; yang rajih ialah tidak batal puasa. Adapun mengikut Imam ar-Rafi’ie; yang rajih ialah batal puasa. Khilaf yang sama juga bagi seorang yang dipaksa bersetubuh seperti wanita yang dipaksa oleh suaminya. Menurut Imam Ahmad; jika yang dipaksa ialah makan, maka tidak batal puasa. Tetapi jika yang dipaksa itu ialah jimak, maka batallah puasa.

Bagaimana jika seseorang itu tersilap menyangka fajar belum terbit lalu ia masih bersahur atau menyangka matahari telah terbenam lalu ia pun berbuka?

Seorang yang menyangka fajar belum lagi terbit (yakni belum masuk waktu subuh), lalu ia meneruskan makan, minum, bersetubuh dengan isteri dan sebagainya (dari perkara-perkara yang membatalkan puasa di atas), tiba-tiba setelah beberapa minit kemudian ternyata padanya bahawa sangkaannya itu silap dan fajar sebenarnya telah pun terbit (yakni subuh telah masuk), batallah puasanya pada hari itu mengikut jumhur ulamak termasuk Imam-Imam mazhab empat. Wajib ke atasnya mengqadha puasa tersebut pada hari lain selepas Ramadhan. Walaupun begitu, untuk hari tersebut ia tetap wajib menahan dirinya dari makan, minum dan sebagainya sebagai menghormati bulan Ramadhan.

Begitu juga, jika orang yang menyangka matahari telahpun terbenam, lalu ia berbuka puasa dan kemudian ternyata bahawa sangkannya itu silap –yakni matahari belum lagi terbenam-, batallah puasanya. Wajib ke atasnya mengganti atau mengqadhakannya.

Imam Ishaq bin Rahawaih, ulamak-ulamak mazhab az-Zahiri, al-Hasan dan Mujahid menyanggahi pandangan jumhur di atas di mana menurut mereka; tidak batal puasa dan tidak perlu diqadha. Mereka meletakkan hukum bagi masalah ini sama seperti hukum orang yang makan kerana terlupa.

8 comments:

Ummu Naielah said...
This comment has been removed by the author.
Ummu Naielah said...

SAlam ustaz.Saya minta izin copy artikel ini.Syukran.

Unknown said...

Assalamualaikum...

Sy ingin mengetahui bagaimana sekiranya seseorang yang meninggalkan puasa kerana haid tetapi tidak sempat mengqada puasa yang ditinggalkan selama 1 minggu dan telah masuk ramadhan yang seterusnya?

Tahun berikutnya beliau telah mengqada puasa tersebut dan perlu membayar fidyah tetapi di atas sebab kekurangan duit (beliau sebagai pelajar dan masih belum bekerja pada masa itu) serta terlupa, tidak membayar fidyah tersebut sampai ke hari ini.

Berapa jumlah fidyah yang perlu dibayar?

Adakah fidyah tersebut akan berganda?

Jika dibayar berbentuk duit terus kepada fakir miskin adakah dibolehkan?

Adakan fidyah yang perlu dibayar hanya boleh dibuat sebelum masuk bulan syawal?

Sy hrp ustaz dapat memberi huraian dan penerangan kpd masalah ini.

Terima Kasih.

Assalamualaikum......

Encik F said...

minta untuk kongsi tulisan ni sikit untuk letak dalam blog saya..insyaallah ilmu yang berguna itu elok jika dikongsikan

Unknown said...

Salam Ustaz

Saya ingin tahu, bagi wanita yang haid, pada waktu manakah yang membolehkannya berpuasa pada hari tersebut ?

zaim said...
This comment has been removed by the author.
zaim said...

salam ustaz,

adakah terbatal puasa seseorang jika ia mengeluarkan air madzi

Nss19 said...

assalamualaikum..
apakah hukum puasa tetapi melakukan pembedahan?mohon ustaz dpt terangkan..syukran