Apakah rukun-rukun puasa?
Rukun puasa ada dua sahaja;
1. Berniat puasa
2. Menjaga dari perkara-perkara yang membatalkan puasa
Apa makna berniat puasa?
Niat puasa bermaksud mengqasadkan puasa iaitu berazam di dalam hati untuk melakukan puasa.
Bilakah masanya kita perlu berniat puasa?
Bagi puasa Ramadhan dan puasa-puasa wajib yang lain (iaitu puasa nazar dan kaffarah), disyaratkan niat dilakukan pada waktu malam sebelum terbitnya fajar kerana Nabi s.a.w. bersabda; “Sesiapa yang tidak meniatkan puasa pada malam hari sebelum terbit fajar, maka tiadalah puasa baginya” (HR Imam Daruqutni dan Baihaqi dari Aisyah r.a.).
Bagi puasa sunat pula, tidak disyaratkan melakukan niat pada waktu malam. Harus berniat pada siang hari asalkan sebelum tergelincir matahari dari tengah langit (yakni sebelum masuk waktu solat zohor) dan sebelum melakukan sebarang perkara yang membatalkan puasa seperti makan, bersetubuh dan sebagainya. Rasulullah s.a.w. sendiri pernah berniat puasa sunat di siang hari sebagaimana diceritakan oleh Aishah r.a.; suatu hari Nabi s.a.w. bertanya kepadanya; “Apakah ada pada kamu makanan untuk pagi ini?”. Jawab Aishah; “Tidak ada”. Lantas Nabi berkata; “Jika begitu, aku berpuasa hari ini” (HR Imam ad-Daruqutni)
Adakah perlu menentukan jenis puasa di dalam niat?
Bagi puasa wajib, wajib ditentukan (dita’yinkan) di dalam hati jenis puasa yang akan dilakukan besok hari sama ada puasa Ramadhan, Nazar atau Kaffarah. Jika diniatkan semata-mata puasa (tanpa menentukan jenisnya) tidak sah niat puasa itu.
Bagi puasa sunat, tidak diwajibkan menentukan jenis puasa di dalam niat untuk mensahkan puasa, namun untuk kesempurnaan puasa disyaratkan menentukannya khusus bagi bagi puasa-puasa sunat yang berwaktu (seperti puasa Isnin dan Khamis, puasa ‘Asyura, puasa enam hari dalam bulan Syawal dan sebagai) dan juga bersebab (seperti puasa minta hujan). Maka bagi puasa-puasa yang berwaktu dan bersebab itu supaya ia mendapat pahala yang sempurna, hendaklah ditentukan jenis puasa di dalam niat. Adapun puasa-puasa sunat yang mutlak (yakni yang tidak berwaktu dan bersebab), memadai berniat puasa sahaja tanpa perlu menentukan jenisnya.
Adakah niat puasa Ramadhan wajib di ulang setiap malam? Adakah harus berniat untuk sebulan sekaligus?
Mengikut pandangan jumhur ulamak (termasuk mazhab Syafi’ie); niat puasa wajib dilakukan pada setiap malam. Tidak memadai niat sekaligus untuk keseluruhan bulan Ramadhan. Namun mengikut mazhab Imam Malik; harus berniat puasa untuk sebulan sekaligus iaitu pada malam pertama Ramadhan.
Menurut mazhab Syafi’ie; digalakkan berniat puasa sebulan sekaligus itu tetapi bukanlah untuk mengelak dari berniat pada setiap malam. Ia hanya sebagai langkah berhati-hati jika ditakdirkan terlupa niat pada mana-mana malam dari Ramadhan. Dengan adanya niat sekaligus itu, dapatlah dielakkan dari terbatal puasa kerana terlupa itu iaitu dengan bertaklid kepada mazhab yang mengharuskan niat sekaligus itu. Kesimpulannya, menurut mazhab Syafi’ie; niat puasa wajib dilakukan pada setiap malam. Adapun niat puasa sekaligus itu hanyalah sebagai langkah berhati-hati.
Apa hukum melafazkan niat dengan lidah?
Tempat niat adalah dalam hati. Jadi melafazkan niat dengan lidah tidaklah menjadi syarat sahnya niat. Dalam mazhab Syafi’ie; melafazkan niat dengan lidah hukumnya sunat kerana ia membantu menghadirkan niat di dalam hati. Contoh lafaz niat puasa Ramadhan ialah;
نَوَيْتُ صَوْمَ غَدٍ عَنْ أَدَاءِ فَرْضِ رَمَضَاْنَ هَذِهِ السَّنَةِ لَلَّهِ تَعَالَى
“Sahaja aku berpuasa pada besok hari bagi menunaikan fardhu Ramadhan pada tahun ini kerana Allah Ta’ala”.
Kalau seorang bangun bersahur, apakah memadai untuk dikira sebagai niat?
Ya, dengan syarat terdetik dalam hatinya bahawa tujuannya bersahur itu adalah untuk berpuasa Ramadhan pada besoknya. Ini kerana kebiasaannya perbuatan bangun bersahur itu lahir dari qashad (cita-cita/keazaman) untuk mengerjakan puasa.
16 comments:
salam,
saya ingin tahu adakah jika kita mahu menunaikan puasa nazar kita perlu melakukannya secara berterusan? contohnya ketika berniat untuk berpuasa nazar kita niat akan berpuasa selama seminggu maka ketika menunaikannya kita harus melakukan puasa tersebut secara berterusan isnin hingga khamis?
terima kasih kerana menjawab
maaf maksud saya isnin hingga ahad~
Assalamualaikum,
Kalau seseorang itu berniat nazar untuk melakukan puasa sunat, apakah kategori puasa itu? Adakah ia tergolong sebagai puasa sunat ataupun puasa wajib?
Trima Kasih.
assalamualaikum
Saya sehingga sekarang masih keliru mengenai puasa qada dan puasa enam. Yang mana harus didahulukan? Saya pernah terbaca mengenai ini dan ada pendapat mengatakan puasa ini tidak boleh disekalikan. Minta bantuan penulis untuk berikan sedikit pendapat. Terima kasih.
bgus tu pose.dirahmati Allah S.W.T
terimakasih lafaz niat pusanya.
kalau mahu puasa sunat kan waktu niatnya sblm zohor dn xmlakukan lkara yg mmbtalkan puasa kan? kalau masih blm suci tp mndi wjib sblm msuk wktu zoho? adakah sah sunat
saya berasa was was dangan puasa nazar yang saya kerjakan,hal ini kerana sya tlah brniat "sahaja aku brpuasa SUNAT nazar pada esok hri kerana allah..sya tlah mnmbhkn prkataan sunat dlm niat sya..adakah puasa nazar yg sy kerjakan ini sah.?
setelah baca artikel diatas, saya baru2 ini telah berpuasa nazar tetapi saya telah berniat "sahaja aku brpuasa SUNAT nazar pada esok hri kerana allah..sya tlah mnmbhkn prkataan sunat dlm niat sya..adakah puasa nazar yg sy kerjakan ini sah.? tolong jawab persoalan saya agar saya boleh buat semula puasa Nazar saya.. terima kasih
Mahu tanye..Wajib kah kalau nak bace niat mesti nak kene bace Sahaja?..Terima Kasih
Jika seseorang niat sebulan namun di bulan ramadan dia batalkan puasa,adakah niat sebulannya pon terbatal?
Jika seseorang niat sebulan namun di bulan ramadan dia batalkan puasa,adakah niat sebulannya pon terbatal?
Tidak batal kecuali dengan murtad.
ustaz. kalau seseorang wanita haid pada malam pertama ramadhan. sah atau tidak niat puasa sebulannya?
Jika saya sudah plan untuk puasa pada 1/7/19 tetapi niat saya itu pada 25/6/19. Manakala pada 1/7/19 saya baru ingat pada siang hari. maka sah atau tidak untuk berpuasa pada 1/7/19
Post a Comment