السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

PESANAN NABI S.A.W.
"Sesiapa menempuh satu perjalanan untuk mencari suatu ilmu, Allah akan memudahkan untuknya jalan ke syurga" (Hadis riwayat Imam Muslim dari Abu Hurairah r.a.)

Thursday, June 19, 2008

SOLAT (SUJUD)

Apa makna sujud? Apa hukumnya?

Sujud bermaksud meletakkan dahi di atas tempat sujud. Sujud adalah wajib di dalam solat. Tidak sah solat tanpa sujud. Sujud yang diwajibkan di dalam solat ialah dua kali pada setiap rakaat dengan diselangi oleh duduk. Dalil kewajipan sujud ini ialah sabda Nabi s.a.w. (tatkala mengajar seorang lelaki yang salah dalam melakukan solat); “….Kemudian hendaklah kamu sujud sehingga kamu tomaninah (tetap dan tenang) dalam keadaan sujud, kemudian kamu bangkitlah dari sujud sehingga kamu tomaninah (tetap dan tenang) dalam keadaan duduk, kemudian kamu sujud kembali sehingga kamu tomaninah (tetap dan tenang) dalam keadaan sujud…”. (Riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim)

Apakah anggota-anggota yang terlibat semasa sujud?

Sabda Nabi s.a.w.; “Aku diperintahkan supaya sujud di atas tujuh tulang (yakni tujuh anggota) iaitu; dahi –baginda menunjukkan dengan tangannya ke atas hidungnya-, dua tangan, dua lutut dan jari-jari dari dua kaki…” (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim dari Ibnu ‘Abbas r.a.). Berdasarkan hadis ini, anggota sujud hendaklah merangkumi;
1. Dahi
2. Dua tangan
3. Dua lutut
4. Dua kaki

Ketika sujud, wajib ke semua tujuh anggota di atas diletakkan di atas lantai. Bagi dahi, memadai meletakkan sebahagian dahi sahaja di atas lantai. Bagi tangan yang dikira ialah tapak tangan dan bagi kaki pula ialah perut-perut anak jari kaki. Memadai dengan meletakkan sebahagian sahaja dari perut-perut anak jari kaki itu. Jika seseorang itu sujud di atas belakang tangan atau belakang anak-anak jari kakinya, tidak sah sujudnya.

Adakah hidung juga wajib diletakkan di atas lantai ketika sujud?

Terdapat khilaf di kalangan ulamak;
Pertama; menurut Imam Ahmad; dahi dan hidung wajib diletakkan di atas lantai ketika sujud. Tidak cukup hanya dahi sahaja atau hanya hidung sahaja. Beliau berdalilkan hadis di atas di mana Nabi turut menunjukkan kepada hidungnya tatkala menyebutkan tentang dahi sebagai salah satu angota sujud. Selain itu ia berdalilkan juga hadis dari Abu Humaid as-Sa’idi yang menceritakan; “Nabi tatkala sujud, baginda menekan hidung dan dahinya ke tanah, menjauhkan dua tangan dari rusuknya dan meletakkan dua tapak tangan setentang dua bahunya” (Riwayat Imam at-Tirmizi dan Abu Daud. Menurut at-Tirmizi; hadis ini hasan soheh). Ibnu ‘Abbas r.a. menceritakan; Nabi telah melihat seorang lelaki menunaikan solat. Ia sujud tanpa meletakkan hidungnya di atas tanah. Lalu Nabi berkata kepadanya; “Letakkan hidungmu (ke tanah) supaya ia sujud bersamamu” (Riwayat Abu Nu’aim dalam Akhbar Asbahan).
Kedua; menurut mazhab Syafi’ie dan Malik; yang wajib ialah meletakkan dahi sahaja. Adapun meletakkan hidung –di samping dahi- adalah sunat, tidak wajib. Sah sujud jika seseorang meletakkan dahinya sahaja di atas lantai tanpa meletakkan hidungnya. Bagi pandangan ini, hadis-hadis di atas menunjukkan kepada galakan, bukan kewajipan.
Ketiga; menurut Imam Abu Hanifah; boleh memilih sama ada hendak meletakkan dahi atau hidung di atas lantai. Bagi pandangan ini, isyarat Nabi kepada hidung tatkala menyebutkan dahi dalam hadis di atas ialah untuk menunjukkan keharusan memilih antara dahi atau hidung semasa sujud.

Adakah wajib semua anggota sujud di atas didedahkan (tanpa berlapik)?

Anggota-anggota sujud selain dahi telah sepakat para ulamak menyatakan tidak wajib didedahkan. Yang dituntut hanyalah meletakkannya di atas tanah/lantai. Oleh itu, harus seseorang menunaikan solat dengan memakai sarung tangan atau stokin. Adapun dahi, maka ia terdapat khilaf di kalangan ulamak;
Pertama; pandangan ulamak-ulamak mazhab Syafi’ie; dahi wajib didedahkan dan mengenai secara lansung tempat sujud (tanpa ada penghadang). Tidak sah sujud jika semua bahagian dahi berlapik sehingga tidak ada sedikitpun darinya yang terdedah dan mengenai tempat sujud secara langsung. Termasuk tidak sah ialah lapik dari pakaian yang dipakai ketika solat. Oleh demikian, tidak harus seseorang sujud di atas kain serban yang dipakainya atau di atas lengan bajunya atau di atas kain telekungnya atau benda-benda lain di badannya yang mengikuti pergerakan badannya.
Kedua; pandangan jumhur ulamak (termasuk Imam Malik, Abu Hanifah dan Imam Ahmad); dahi sama seperti anggota-anggota sujud yang lain iaitui tidak wajib didedahkan. Yang dituntut hanyalah meletakkannya di atas tempat sujud. Oleh itu, bagi jumhur ulamak, tidak menjadi kesalahan jika seseorang itu sujud di atas kain serbannya atau kain telekungnya. Mereka berdalilkan hadis dari Anas bin Malik r.a. yang menceritakan; “Kami mengerjakan solat bersama Rasulullah s.a.w. ketika panas yang bersangatan. Apabila sesiapa dari kami tidak dapat meletakkan dahinya di atas tanah kerana panas, ia bentangkan pakaiannya dan sujud di atasnya”. (Riwayat Imam Muslim).
(Dalail al-Ahkam, 1/ 298-299).

Tatkala turun sujud, mana dulu yang perlu di letakkan di atas lantai; tangan atau lutut?

Perkara ini juga terdapat khilaf di kalangan ulamak;
Pertama; menurut jumhur ulamak (termasuk mazhab Imam Abu Hanifah, Syafi’ie dan Imam Ahmad); disunatkan turun sujud dengan mula meletakkan dua lutut, diikuti dua tangan dan akhirnya muka atau dahi. Ini berdasarkan hadis dari Wail bin Hujrin r.a. yang menceritakan; “Aku telah melihat Nabi apabila sujud, baginda meletakkan dua lututnya sebelum dua tangannya dan apabila bangkit dari sujud, baginda mengangkat dua tangannya (terlebih dahulu) sebelum dua lututnya” (Riwayat Imam Abu Daud, an-Nasai, Ibnu Majah dan Ibnu Hibban).
Kedua; pandangan sebahagian ulamak (antaranya Imam Malik dan al-Auza’ie); sunat mendahulukan dua tangan dari dua lutut tatkala turun sujud. Ini berdalilkan sabda Nabi s.a.w.; “Jika seseorang dari kamu sujud, janganlah ia berteleku sebagaimana telekunya unta, sebaliknya hendaklah ia meletakkan dua tangannya terlebih dahulu sebelum dua lututnya” (Riwayat Abu Daud, at-Nasai dan Ahmad dari Abu Hurairah r.a.). Begitu juga, berdalilkan hadis dari Nafi’ yang menceritakan bahawa Ibnu ‘Umar r.a. semasa sujud, beliau meletakkan dua tangannya sebelum dua lututnya. Kata beliau (yakni Ibnu ‘Umar); “Nabi telah melakukan sedemikian” (Riwayat Imam al-Hakim, Ibnu Khuzaimah dan al-Baihaqi dengan sanad yang soheh. Lihat; Zadul-Ma’ad, 1/228)

Bagaimana cara sujud yang sempurna?

1. Ketika hendak turun sujud, ucapkan takbir tanpa mengangkat tangan.
2. Ketika sujud, dua tangan hendaklah diletakkan di atas lantai setentang dengan bahu atau telinga, dahi dan hidung hendaklah diletakkan di atas tanah dengan menekannya. Dari Abu Humaid as-Sa’idi menceritakan; “Nabi tatkala sujud, baginda menekan hidung dan dahinya ke tanah, menjauhkan dua tangan dari rusuknya dan meletakkan dua tapak tangan setentang dua bahunya” (Riwayat Imam at-Tirmizi dan Abu Daud. Menurut at-Tirmizi; hadis ini hasan soheh). Wail bin Hujrin r.a. (tatkala menceritakan sifat solat Nabi) beliau menceritakan; “….tatkala sujud, nabi meletakkan dua tangannya setentang dengan dua telinganya” (Riwayat Imam Ahmad).
3. Jari-jari dilepaskan menghala ke kiblat dalam keadaan dirapatkan antara satu sama lain. Wail bin Hujrin r.a. menceritakan; “Nabi s.a.w. tatkala ruku’ baginda merenggangkan antara jari-jarinya dan tatkala sujud baginda menghimpunnya (yakni merapatkannya)” (Riwayat al-Hakim).
4. Kedua-dua siku diangkat dari tanah (yakni jangan meratakannya di atas tanah) dan dijauhkan dari dua rusuk (yakni tidak merapatkannya ke rusuk). Sabda Nabi; “Apabila kamu sujud, letaklah dua tapak tanganmu di atas lantai dan angkatlah dua sikumu (yakni jangan menghamparnya di atas tanah)” (Riwayat Imam Muslim dari al-Barra’). Sabda Nabi s.a.w. juga; “Sempurnakanlah sujudmu. Dan janganlah seseorang kamu menghamparkan dua tangannya (dari tangan hingga siku) seperti hamparan anjing (yakni; meletakkan kedua-dua tangan dan siku di atas tanah/lantai umpama anjing tidur)” (Riwayat Imam Muslim dari Anas r.a.). Menjauhkan tangan dari rusuk adalah berdasarkan hadis at-Tirmizi tadi dan juga hadis dari Buhainah r.a. menceritakan; “Nabi semasa menunaikan solat tatkala sujud, baginda memisahkan antara dua tangannya (dari rusuknya) hingga nampak putih dua ketiaknya” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim/Bulugul-Maram).
5. Jari-jari kaki hendaklah dilipatkan menghala ke arah kiblat. Abu Humaid as-Sa’idi r.a. tatkala menceritakan sifat solat Nabi s.a.w. beliau menjelaskan; “….Ketika sujud Nabi meletakkan kedua tangannya ke bumi tetapi lengannya tidak dihamparkan dan tidak pula dirapatkan ke rusuk dan hujung jari kakinya dihadapkan ke arah qiblat” (Riwayat Imam al-Bukhari).
6. Ketika melakukan sujud wajib tomaninah dengan pengertian yang telah diterangkan terdahulu.
7. Ketika sujud disunatkan membaca zikir-zikir yang warid dari Nabi terutamanya tasbih. Begitu juga digalakkan banyak berdoa ketika berada di dalam sujud. Sabda Nabi s.a.w.; “Sehampir-hampir seorang hamba dengan Tuhannya ialah ketika ia sedang sujud. Oleh demikian, perbanyakkanlah oleh kamu sekelian berdoa (ketika sujud)” (Riwayat Imam Muslim dari Abu Hurairah r.a.)

Adakah harus membaca al-Quran semasa sujud?

Tidak harus kerana Nabi s.a.w. menegahnya dengan sabdanya; “Ketahuilah! Sesungguhnya aku dilarang membaca al-Quran ketika ruku’ atau sujud. Adapun di dalam ruku’, maka hendaklah kamu agungkan Tuhan kamu. Sementara di dalam sujud, hendaklah kamu bersungguh-sungguh berdoa, nescaya doamu pasti akan diperkenankan” (Riwayat Imam Muslim).

3 comments:

...Ummu Sumayya.. said...

Assalamualaikum,Ustaz,maaf mengganggu,Saya Rahimah mahu menanyakan berkenaan cara sujud yang betul bagi seseorang muslimah.Sebagaimana yang kita ketahui ada beberapa cara atau gerakan sujud mulslimin yang berlainan dengan muslimah.Jadi,saya mahu menanyakan tentang apakah dalil2 aqli/naqli atau pendapat jumhur ulama' yang menyatakan muslimah perlu merapatkan lengan yang dibengkokkan ketika sujud tanpa kelihatan ketiak.Saya sedang membantu seorang pensyarah dalam pengkajian tentang solat sebagai terapi pelbagai maslah kesihatan yang berkaitan dengan setiap gerakan tubuh ketika solat.Diharapkan ustaz boleh membantu saya dalam mengemukakan beberapa dalil2nya.

Jazaka-Allahu-Khairan-Kathira

Mohd Ashaari said...
This comment has been removed by the author.
Ahmad H Al-Qadah said...

Salam Ustaz,

Tadi saya solat Maghrib di satu masjid di Jeddah. Ada seorang Arab tegur saya, kata nya solat tak sah kalau sujud tak kena hidung. Saya kata, adakah sunat.. Dia kata wajib. Maka saya membuat rujukan bahawa hidung itu kalau kena masa sujud amat lah baik, tetapi tidak pula merosakkan sujud jika dahi sudah kena dengan baik pada lantai... Adakah fahaman di Saudi dikira wajib hidung turut kena ke lantai? Bagi hidung Arab mudah lah... bagi hidung orang Asia atau Afrika bukan semua hidung mancung macam Arab... Kalau hidung rendah nak dikenakan ke lantai, bahagian kening saja yang dapat mencecah, bukan dahi.. silap-silap mulut sekali kena ke lantai kalau bibir tebal..