السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

PESANAN NABI S.A.W.
"Sesiapa menempuh satu perjalanan untuk mencari suatu ilmu, Allah akan memudahkan untuknya jalan ke syurga" (Hadis riwayat Imam Muslim dari Abu Hurairah r.a.)

Monday, August 18, 2014

TOHARAH & KESIHATAN



TOHARAH & KESIHATAN
(TINJAUAN DARI NAS-NAS AL-QURAN DAN AL-HADITH)

Skop toharah (yang disebut al-Quran dan al-Sunnah);

1. Toharah al-Qulub (tazkiyah)
2. Toharah ibadat; wudhuk, mandi wajib, tayammum.
3. Toharah adat
i) Membasuh najis
ii) Istinjak
iii) Membasuh tangan sebelum dan selepas makan
iv) Perapian diri; memotong kuku, mencukur misai, membuang bulu ari-ari dan bulu ketiak.
v) Bersugi
vi) Berwangian
v) Memakai pakaian cantik
vi) Mandi-mandi sunat; biasanya membabitkan ibadat secara jamaah (hadis mandi hari jumaat).

AL-QURAN

وَمَن يُرِدِ ٱللَّهُ فِتۡنَتَهُ ۥ فَلَن تَمۡلِكَ لَهُ ۥ مِنَ ٱللَّهِ شَيۡـًٔا‌ۚ أُوْلَـٰٓٮِٕكَ ٱلَّذِينَ لَمۡ يُرِدِ ٱللَّهُ أَن يُطَهِّرَ قُلُوبَهُمۡ‌ۚ لَهُمۡ فِى ٱلدُّنۡيَا خِزۡىٌ۬‌ۖ وَلَهُمۡ فِى ٱلۡأَخِرَةِ عَذَابٌ عَظِيمٌ۬ (٤١)
Maksud; dan sesiapa yang dikehendaki Allah kesesatannya, maka engkau tidak berkuasa sama sekali (menolak) sesuatu apapun (yang datang) dari Allah untuknya. Mereka ialah orang-orang yang Allah tidak mahu membersihkan hati mereka; bagi mereka kehinaan di dunia dan di akhirat kelak mereka beroleh azab seksa yang besar.  (41) (Surah al-Maidah, ayat 41).

خُذۡ مِنۡ أَمۡوَٲلِهِمۡ صَدَقَةً۬ تُطَهِّرُهُمۡ وَتُزَكِّيہِم بِہَا وَصَلِّ عَلَيۡهِمۡ‌ۖ إِنَّ صَلَوٰتَكَ سَكَنٌ۬ لَّهُمۡ‌ۗ وَٱللَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ (١٠٣)
Maksud; Ambillah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk) dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. (103) (Surah at-Taubah, ayat 103).

يَا أَيُّهَا الْمُدَّثِّرُ، قُمْ فَأَنْذِرْ، وَرَبَّكَ فَكَبِّرْ، وَثِيَابَكَ فَطَهِّرْ، وَالرُّجْزَ فَاهْجُرْ.
Maksud; Wahai orang yang berselimut! (1) Bangunlah serta berilah peringatan dan amaran (kepada umat manusia). (2) Dan Tuhanmu, maka ucaplah dan ingatlah kebesaranNya! (3) Dan pakaianmu, maka hendaklah engkau bersihkan. (4) Dan segala kejahatan, maka hendaklah engkau jauhi. (5) (Surah al-Muddatsir, ayat 1-5).

لَا تَقُمۡ فِيهِ أَبَدً۬ا‌ۚ لَّمَسۡجِدٌ أُسِّسَ عَلَى ٱلتَّقۡوَىٰ مِنۡ أَوَّلِ يَوۡمٍ أَحَقُّ أَن تَقُومَ فِيهِ‌ۚ فِيهِ رِجَالٌ۬ يُحِبُّونَ أَن يَتَطَهَّرُواْ‌ۚ وَٱللَّهُ يُحِبُّ ٱلۡمُطَّهِّرِينَ (١٠٨)
Maksud; Jangan engkau sembahyang di masjid (dhirar) itu selama-lamanya, kerana sesungguhnya masjid (Quba` yang engkau bina wahai Muhammad), yang telah didirikan di atas dasar takwa dari mula (wujudnya), sudah sepatutnya engkau sembahyang padanya. Di dalam masjid itu ada orang-orang lelaki yang suka (mengambil berat) membersihkan (mensucikan) dirinya dan Allah mengasihi orang-orang yang membersihkan diri mereka (zahir dan batin). (108) (Surah at-Taubah, ayat 108).

*Ayat ini adalah berkenaan golongan al-Ansar yang mengamalkan istinjak yang sempurna (Tafsir al-Jalalaian).

وَيَسۡـَٔلُونَكَ عَنِ ٱلۡمَحِيضِ‌ۖ قُلۡ هُوَ أَذً۬ى فَٱعۡتَزِلُواْ ٱلنِّسَآءَ فِى ٱلۡمَحِيضِ‌ۖ وَلَا تَقۡرَبُوهُنَّ حَتَّىٰ يَطۡهُرۡنَ‌ۖ فَإِذَا تَطَهَّرۡنَ فَأۡتُوهُنَّ مِنۡ حَيۡثُ أَمَرَكُمُ ٱللَّهُ‌ۚ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلتَّوَّٲبِينَ وَيُحِبُّ ٱلۡمُتَطَهِّرِينَ (٢٢٢)
Maksud; Dan mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (hukum) haid. Katakanlah: Darah haid itu satu benda yang (menjijikkan dan) mendatangkan mudarat. Oleh sebab itu hendaklah kamu menjauhkan diri dari perempuan (jangan bersetubuh dengan isteri kamu) dalam masa datang darah haid itu dan janganlah kamu hampiri mereka (untuk bersetubuh) sebelum mereka suci. Kemudian apabila mereka sudah bersuci maka datangilah mereka menurut jalan yang diperintahkan oleh Allah kepada kamu. Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri. (222)  (Surah al-Baqarah, ayat 222).

يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ إِذَا قُمۡتُمۡ إِلَى ٱلصَّلَوٰةِ فَٱغۡسِلُواْ وُجُوهَكُمۡ وَأَيۡدِيَكُمۡ إِلَى ٱلۡمَرَافِقِ وَٱمۡسَحُواْ بِرُءُوسِكُمۡ وَأَرۡجُلَڪُمۡ إِلَى ٱلۡكَعۡبَيۡنِ‌ۚ وَإِن كُنتُمۡ جُنُبً۬ا فَٱطَّهَّرُواْ‌ۚ وَإِن كُنتُم مَّرۡضَىٰٓ أَوۡ عَلَىٰ سَفَرٍ أَوۡ جَآءَ أَحَدٌ۬ مِّنكُم مِّنَ ٱلۡغَآٮِٕطِ أَوۡ لَـٰمَسۡتُمُ ٱلنِّسَآءَ فَلَمۡ تَجِدُواْ مَآءً۬ فَتَيَمَّمُواْ صَعِيدً۬ا طَيِّبً۬ا فَٱمۡسَحُواْ بِوُجُوهِڪُمۡ وَأَيۡدِيكُم مِّنۡهُ‌ۚ مَا يُرِيدُ ٱللَّهُ لِيَجۡعَلَ عَلَيۡڪُم مِّنۡ حَرَجٍ۬ وَلَـٰكِن يُرِيدُ لِيُطَهِّرَكُمۡ وَلِيُتِمَّ نِعۡمَتَهُ ۥ عَلَيۡكُمۡ لَعَلَّڪُمۡ تَشۡكُرُونَ (٦).
Maksud; Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan sembahyang (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku dan sapulah sebahagian dari kepala kamu dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali dan jika kamu berjunub (berhadas besar) maka bersucilah dengan mandi wajib dan jika kamu sakit (tidak boleh kena air) atau dalam pelayaran atau salah seorang dari kamu datang dari tempat buang air atau kamu sentuh perempuan, sedang kamu tidak mendapat air (untuk berwuduk dan mandi), maka hendaklah kamu bertayamum dengan tanah (debu) yang bersih, iaitu: Sapulah muka kamu dan kedua belah tangan kamu dengan tanah debu itu. Allah tidak mahu menjadikan kamu menanggung sesuatu kesusahan (kepayahan), tetapi Dia berkehendak membersihkan (mensucikan) kamu dan hendak menyempurnakan nikmatNya kepada kamu, supaya kamu bersyukur. (6) (Surah al-Maidah, ayat 6).

AL-HADITH

1. Salman RA menceritakan; “Aku telah membaca di dalam Kitab Taurat; ‘Sesungguhnya keberkatan makanan ialah dengan mengambil wudhuk selepasnya’. Lalu aku sebutkan maklumat tersebut kepada Nabi SAW dan aku memberitahunya tentang apa yang aku baca di dalam Taurat. Lantas baginda bersabda; ‘Keberkatan makanan ialah dengan berwudhuk sebelumnya dan berwudhuk selepasnya’” (Sunan at-Tirmizi, Kitab al-At’imah, 1846).

* Menurut ulamak; maksud wudhuk dalam hadis ini bukanlah wudhuk syar’ie, tetapi wudhuk ‘urfi (dengan maksud; membasuh tangan sebelum dan selepas makan) (lihat; Tuhfah al-Ahwazi).

2. Sabda Nabi SAW; “Kunci solat ialah toharah” (Musnad Ahmad; 1006, dari Saidina ‘Ali RA, soheh).

3. Rasulullah SAW bersabda; “Bersiwak itu menyucikan mulut dan menyebabkan keredhaan tuhan” (Musnad as-Syafiie; 56, dari ‘Aisyah RA. Musnad Ahmad; 7, dari Abu Bakar RA. Menurut Imam an-Nawawi; sanad hadis ini adalah soheh. Lihat; Faidhul-Qadier, hadis no. 4832).

4. Huzaifah RA menceritakan; “Rasulullah SAW apabila bangun dari tidur malam, baginda membersihkan mulutnya dengan siwak” (Soheh al-Bukhari; 245. Soheh Muslim; 255).

5. Saidatina ‘Aisyah RA menceritakan; “Rasulullah SAW apabila hendak memasuki rumah baginda bermula dengan bersiwak” (Soheh Muslim; 253).

6. Sabda Nabi SAW; “Sesiapa di kalangan kamu ingin menghadiri solat jumaat, hendaklah ia mandi” (Soheh Bukhari; 877. Soheh Muslim; 844).

7. Imam Malik yang menceritakan; “Abdullah bin Umar RA (seorang sahabat Nabi s.a.w.) pada hari raya puasa (‘idil-fitri) beliau mandi sebelum keluar pada pagi hari raya itu ke tempat sembahyang” (Riwayat Imam Malik dalam al-Muwattak).

8. Sabda Nabi SAW; “Peliharalah diri dari air kencing kerana kebanyakan azab kubur adalah kerananya” (Sunan ad-Daruqutni; 459. Kata beliau; hadis ini adalah mursal).

9. Sabda Nabi SAW; “Sesungguhnya kebanyakan azab kubur adalah dari kencing” (Musnad Ahmad; 9059, dari Abu Hurairah RA, isnadnya soheh).

10. Anas RA menceritakan; “Adalah Nabi s.a.w. apabila keluar membuang air, aku akan bawakan untuknya satu bekas air untuk beliau beristinjak” (Soheh al-Bukhari; 152). 

11. Sabda Nabi SAW; “Fitrah itu ada lima; berkhitan, istihdad (mencukur bulu ari-ari), memotong kuku, mencabut bulu ketiak dan menggunting misai” (Soheh Muslim; 257, dari Abu Hurairah RA)

12. Sabda  Nabi SAW; “Sepuluh perkara dari fitrah (sunnah); menggunting misai, membiarkan janggut, bersiwak, menghisap air ke dalam hidung, memotong kuku,  ghaslul-Barajim (membersihkan celah-celah jari dan kawasan-kawasan berlipat di belakang tangan), mencabut bulu ketiak, mencukur bulu kemaluan, istinjak. Kata Mus’ab (salah seorang perawi hadis); aku lupa yang ke sepuluh, namun seingat aku ianya ialah berkumur” (Soheh Muslim; 261, dari Saidatina ‘Aisah RA).

13. Anas bin Malik RA menceritakan; “Telah ditetapkan tempoh untuk kami bagi menggunting misai, memotong kuku, mencabut bulu ketiak dan mencukur bulu ari-ari iaitu kami tidak membiarkannya melebihi 40 hari” (Soheh Muslim; 258)

14. Sabda Nabi SAW; “Sesungguhnya Allah itu cantik dan Dia sukakan kecantikan” (Soheh Muslim; 91, dari Ibnu Mas’ud RA).

No comments: