السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

PESANAN NABI S.A.W.
"Sesiapa menempuh satu perjalanan untuk mencari suatu ilmu, Allah akan memudahkan untuknya jalan ke syurga" (Hadis riwayat Imam Muslim dari Abu Hurairah r.a.)

Tuesday, October 8, 2013

PANDUAN IBADAH KORBAN

Maksud ibadah korban

1. Ibadah korban bermaksud; menyembelih binatang ternakan pada hari raya korban (10 dzulhijjah) dan hari-hari tasyriq (11, 12 & 13 dzulhijjah) dengan niat mendekatkan diri kepada Allah.

2. Masa ibadah korban bermula apabila terbit matahari pada hari raya korban (10 zulhijjah) dan meninggi sedikit. Namun paling baik dilewatkan sedikit hingga matahari naik segalah dan selepas selesai solat hari raya.

Hukum ibadah korban

1. Hukum ibadah korban ialah sunat muakkad. Makruh meninggalkannya bagi yang mampu. Ibadah sunat ini menjadi wajib jika dinazarkan.

2. Bagi sebuah keluarga, ibadah korban adalah sunat kifayah, iaitu digalakkan seorang ahli keluarga melakukan ibadah korban bagi pihak ahli keluarga yang lain. Abu ‘Ayyub RA menceritakan; “Pada zaman Nabi SAW seorang lelaki menyembelih korban bagi pihak dirinya dan juga ahli keluarganya” (Muwatta’ Imam Malik; 1770).

3. Harus melakukan korban untuk orang telah mati atau meniatkan pahala korban untuknya.

Fadhilah ibadah korban

1. Sabda Nabi SAW; “Tidak ada amalan yang paling disukai Allah pada hari raya korban melebihi dari menyembelih korban. Binatang korban akan datang pada hari kiamat dengan tanduknya, kuku-kukunya dan bulu-bulunya” (Sunan at-Tirmizi; 1496, hasan).

2. Sabda Nabi SAW; “Bagi setiap helai bulu binatang korban satu kebajikan” (Sunan Ibnu Majah; 3127, dhaif).

Syarat-syarat binatang korban

1. Binatang ternakan yang sah dibuat korban ialah; biri-biri (berumur genap 1 tahun), kambing (genap 2 tahun), lembu (genap 2 tahun), kerbau (genap 2 tahun) dan unta (genap 5 tahun).

2. Seekor biri-biri dan kambing hanya untuk seorang. Adapun lembu, kerbau dan unta harus dikongsi tujuh orang.

2. Disyaratkan binatang tidak cacat dengan nyata. Menurut hadis; tidak sah korban dengan binatang yang buta sebelah matanya, yang tempang, yang nyata sakitnya dan yang terlalu kurus (Musnad Ahmad; 18510, isnadnya soheh).

3. Sunat memilih binatang korban yang paling elok. Lagi elok, lagi sempurnalah pahalanya.

Perkara yang disunatkan ke atas orang yang melakukan korban

1. Tidak membuang apa-apa rambut/bulu dan kuku dari badannya sehinggalah selesai korbannya di sembelih (Soheh Muslim; 1977).

2. Menyembelih sendiri korbannya jika mampu. Jika tidak mampu, sunat melihat binatang korbannya disembelih.

3. Ketika sembelihan dilakukan sunat ia mengucapkan seperti berikut;

·       إِنَّ صَلَاتِي وَنُسُكِي وَمَحْيَاي وَمَمَاتِي لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ، لَا شَرِيكَ لَهُ وَبِذَلِكَ أُمِرْتُ وَأَنَا مِنَ الْمُسْلِمِينَ
·       اللَّهُمَّ تَقَبَّلْ مِنّيْ وَأَهْلِيْ بَيْتِي
“Ya Allah, terimalah korban ini dariku dan dari ahli keluargaku”.

Cara pengagihan daging korban

1. Wajib sebahagian dari daging korban disedekahkan kepada fakir miskin dalam keadaan mentah, iaitu sekurang-kurangnya satu kadar yang dapat dinamakan sedekah (iaitu 1/2 kilo atau 1 kilo).

2. Daging korban harus jika hendak disedekah kesemuanya kepada fakir miskin. Namun sunat orang yang melakukan korban menikmati sedikit darinya mengikut sunnah Nabi SAW dan mengambil berkat darinya.

3. Sunat daging korban diagihkan kepada tiga pihak; (1) Untuk dimakan diri dan ahli keluarga, (2) Disedekahkan kepada fakir miskin, (3) Dihadiahkan kepada rakan-rakan, jiran tetangga dan sebagainya sekalipun mereka kaya/berada.

4. Dilarang menjual apa-apa  bahagian dari binatang korban. Ia menghilangkan pahala korban. Termasuk dilarang ialah memberi upah kepada tukang sembelih atau orang-orang kerja dengan daging korban. Jika diberikan atas nama hadiah atau sedekah diharuskan.

5. Sebahagian ulamak mengharuskan memberi daging korban kepada orang kafir yang berbaik dengan orang Islam. Sebahagian ulamak melarangnya.

6. Korban nazar dan korban untuk orang telah mati; wajib disedekahkan kesemua dagingnya kepada fakir miskin.

***وصلى الله على سيدنا محمد، والحمد لله رب العالمين***

11 comments:

Unknown said...

Assalamualaikum Ustaz,
Saya nk tanya apakah hukum & dalilnya jika kita sertai majlis menyambut tahun baru masihi yg diadakan berserta dengan acara tukar-tukar(exchange) hadiah dengan ada bertema-tema pakaian ? adakah ini mengikut cara agama-agama lain ?

mmfamie said...

Assalamualaikum ustaz, mohon izin untuk mnggunakan bahan ini untuk disampaikan sebagai bahan ceramah dan sebagainya...

Unknown said...

Assalamualaikum
Mohon share utk bacaan ahli kuarga ya ustaz....

Unknown said...

Assalamualaikum
Mohon share utk bacaan ahli kuarga ya ustaz....

Unknown said...

Assalamualaikum
Mohon share utk bacaan ahli kuarga ya ustaz....

ZAINABAH said...

mohon share ustaz..

ZAINABAH said...

mohon share ustaz..

Unknown said...

Trima ksih atas sedikit pencerahan dr ustaz... jazakallahu khairan jazila

Unknown said...

Assalamualaikum, saya minta izin share ye ustaz..

dan said...

mohon share ustaz

Unknown said...

Adakah dikira sah korban se ekor lembu untuk kami enam sekeluarga ustaz..mohon pencerahan, terima kasih