السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

PESANAN NABI S.A.W.
"Sesiapa menempuh satu perjalanan untuk mencari suatu ilmu, Allah akan memudahkan untuknya jalan ke syurga" (Hadis riwayat Imam Muslim dari Abu Hurairah r.a.)

Thursday, September 4, 2008

QADHA PUASA, FIDYAH & KAFFARAH (2)

Kaifiyat yang ditetapkan Syara’ untuk membayar/mengganti puasa yang ditinggalkan

Membayar atau mengganti puasa ramadhan yang ditinggalkan tertakluk dengan cara-cara yang ditetapkan Syara’ iaitu;

1) Qadha

Iaitu menggantikan puasa yang ditinggalkan itu dengan berpuasa semula pada hari lain di luar bulan Ramadhan. Dalil bagi Qadha’ ini ialah firman Allah; “Maka barang siapa di antara kamu ada yang sakit atau dalam perjalanan (lalu ia berbuka), maka (wajiblah baginya berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain”. (al-Baqarah: 184)

2) Fidyah

Iaitu dengan mengeluarkan denda dengan kadar tertentu dari makanan asasi setempat bagi setiap hari yang ditinggalkan dan diberikan kepada orang miskin. Dalil fidyah ini ialah firman Allah; “…Dan wajib ke atas orang-orang yang payah/sukar mengerjakan puasa (kerana tua, sakit yang tiada kemungkinan sembuh dan sebagainya) membayar fidyah, iaitu memberi makan seorang miskin (bagi tiap-tiap hari yang ditinggalkan puasanya)…”. (al-Baqarah: 184)

Kadar fidyah bagi sehari puasa yang ditinggalkan ialah satu mudd (cupak) iaitu ¼ gantang atau suku gantang. Menurut taksiran ulama’ hari ini, kadar satu mudd menyamai lebih-kurang 600gram mengikut timbangan gandum. (Rujuk; al-Fiqh al-Manhaji, jil. 2, hlm. 92). Syarat makanan yang hendak dikeluarkan fidyah ialah makanan asasi setempat.[1] Bagi penduduk Malaysia, makanan tersebut sudah tentunya adalah beras. Harus menukarkannya dengan wang yang seharga dengannya. Sebagai jalan mudah, apabila diumumkan nilai zakat fitrah, maka pastikan berapa nilai ¼nya, maka itulah nilai satu mudd (cupak) atau nilai fidyah bagi sehari. Ini kerana seperti dijelaskan tadi, satu mudd adalah menyamai ¼ gantang dan zakat fitrah sebagaimana diketahui kadarnya adalah satu gantang. Katakanlah, zakat fitrah bagi suatu tahun itu ialah; RM4.00. Maka nilai fidyah pada tahun tersebut ialah; RM1.00 (yakni ¼ dari nilai zakat fitrah).

Satu fidyah hanya harus diberikan kepada seorang fakir miskin sahaja. Namun jika fidyah itu banyak, maka harus jika hendak diberikan kepada seorang atau beberapa orang fakir dengan syarat bilangan mereka tidak boleh melebihi bilangan fidyah (supaya tidak berlaku satu fidyah diagihkan kepada lebih dari seorang fakir).

3. Kaffarah

Iaitu denda yang dikenakan ke atas seorang yang membatalkan puasanya dengan bersetubuh di siang hari di bulan Ramadhan dengan sengaja. Orang yang sengaja melakukan persetubuhan di siang hari pada bulan Ramadhan di samping ia wajib menggantikan puasanya yang terbatal itu, ia dikenakan pula denda berat oleh Syara’ iaitu mengikut urutan di bawah;

a) Membebaskan seorang hamba mukmin sama ada lelaki atau wanita
b) Jika tidak didapati atau tidak mampu, hendaklah ia berpuasa dua bulan berturut-turut (yakni tanpa selang)[2]
c) Jika tidak mampu, hendaklah ia memberi makan 60 orang miskin dengan setiap orang satu cupak makanan asasi penduduk setempat. Bagi penduduk di Malaysia ini, makanan asasinya ialah beras.

Jika ia tidak mampu menunaikan mana-mana satu dari tiga urutan di atas, maka kaffarah tersebut kekal menjadi tanggungannya hinggalah ia menunaikannnya. Dalil bagi masalah kaffarah ini ialah hadis dari Abu Hurairah r.a. yang menceritakan;

“Tatkala kami sedang duduk bersama Rasulullah s.a.w., datang seorang lelaki lalu berkata kepada baginda; ‘Ya Rasulullah! Aku telah musnah’. Rasulullah bertanya kepadanya; ‘Apa yang telah berlaku padamu?’. Jawabnya; ‘Aku telah mensetubuhi isteriku semasa aku sedang berpuasa (Ramadhan)’. Lalu Rasulullah bertanya; ‘Adakah kamu memiliki seorang hamba untuk dibebaskan?’. Jawabnya; ‘Tidak ada’. Baginda bertanya lagi; ‘Mampukah kamu berpuasa dua bulan berturut-turut?’. Jawabnya; ‘Tidak’. Baginda bertanya lagi; ‘Adakah kamu boleh memberi makan 60 orang miskin?’. Jawabnya; ‘Tidak’. Lalu Rasulullah mengambil satu bekas berisi kurma dan memberi kepadanya sambil berkata; ‘Ambillah kurma ini dan sedekahkannya kepada fakir miskin’. Lelaki tersebut menjawab; ‘Apakah ada orang yang lebih fakir dariku, ya Rasulullah? Demi Allah, tidak ada di Madinah ini ahli rumah yang lebih fakir dari ahli rumahku’. Rasulullah tersenyum hingga nampak jelas giginya. Kemudian baginda berkata; ‘Berilah makan kurma itu kepada ahli rumahmu’. (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah r.a.)

Menurut ulama’, seorang yang diwajibkan ke atasnya kaffarah dengan memberi makan (apabila ia tidak mampu melakukan dua yang sebelumnya), tidak harus ia memberikan makanan tersebut kepada ahli keluarganya sekalipun mereka miskin. Adapun yang tertera dalam hadis tadi, ia adalah kes khusus bagi lelaki dalam hadis itu sahaja. (Lihat penjelasan ini dalam; al-Fiqh al-Manhaji, jil. 2, hlm. 96).

Nota Kaki;

[1] Syarat makanan bagi Fidyah dan Kaffarah menyamai syarat makanan bagi Zakat Fitrah dari segi jenis dan sifatnya. Begitu juga, disyaratkan dalam kewajipan Fidyah dan Kaffarah (sebagai mana zakat fitrah) ada kelebihan dari keperluan diri sendiri dan ahli keluarga termasuklah khadam (merangkumi keperluan makanan dan tempat tinggal). (Rujuk; al-Iqna’, jil. 2, hlm. 353)
[2] Jika terputus turutan sekalipun kerana uzur seperti sakit, musafir, terlupa niat atau sebagainya, maka hendaklah dimulai semula puasa dari awal. Dikecualikan jika sebab putus itu haid, nifas, gila dan pengsan yang masanya tidak lebih dari satu hari, kerana semua perkara ini menyebabkan puasa tidak sah dan lagipun terjadinya tanpa keinginan.

1 comment:

farra_ said...

bagaimana dengan puasa untuk wanita mengandung, dimana semasa proses perubatan diperlukan untuk melakukan 'genital check' dan juga suntikan hormon. adakah perlu diganti puasa sahaja ataupun berserta fidyah?