السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

PESANAN NABI S.A.W.
"Sesiapa menempuh satu perjalanan untuk mencari suatu ilmu, Allah akan memudahkan untuknya jalan ke syurga" (Hadis riwayat Imam Muslim dari Abu Hurairah r.a.)

Saturday, June 28, 2008

SOLAT TERAWIH (4)

Bacaan di dalam solat Terawih

Disunatkan memanjangkan bacaan al-Quran di dalam solat terawih, begitu juga di di dalam solat-solat yang lain sama ada solat fardhu atau sunat. Ini kerana Rasulullah s.a.w. bersanda;
أفضل الصلاة طول القنوت
“Solat yang paling baik ialah yang lama berdirinya” (HR Imam Ahmad dan Muslim dari Jabir r.a.).

Maksud lama berdiri itu ialah; memanjangkan bacaan al-Quran di dalam solat kerana tempat bacaan al-Quran di dalam solat ialah ketika kita berdiri (sebelum ruku’).[1]

Namun jika kita menjadi imam hendaklah mengambil kira keadaan makmum di belakang kita. Janganlah keterlaluan memanjangkan bacaan hingga menyusahkan makmum di belakang kerana ada di antara mereka yang dhaif, tua, sakit, sibuk dan sebagainya. Sebaliknya hendaklah dipendekkan bacaan sesuai dengan keadaan makmum itu.

Sabda Nabi s.a.w.;

إذا صلى أحدكم للناس فليخفف؛ فإن فيهم الضعيف والسقيم والكبير، وإذا صلى أحدكم لنفسه فليطول ما شاء
“Jika seseorang dari kamu menunaikan solat dengan orang ramai (yakni menjadi imam kepada mereka), hendaklah ia meringankan solatnya kerana di kalangan mereka itu ada yang dhaif/lemah, sakit dan tua. Tetapi jika ia menunaikan solat seorang diri, maka perpanjangkanlah solatnya mengikut yang ia kehendaki” (HR Imam al-Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah r.a.).

Namun perlu diingatkan; maksud memendekkan bacaan bukanlah dengan terlalu pendek seperti membaca satu ayat yang pendek umpamanya membaca “سبح اسم ربك الأعلى”, kemudian terus ruku’. Sekurang-kurangnya ialah dengan membaca satu surah yang pendek seperti surah al-Kausar, al-Kafirun, al-Ikhlas dan seumpamanya atau membaca tiga ayat yang menyamai panjang surah-surah pendek itu atau membaca satu ayat panjang yang menyamainya.

***Tamat huraian tentang solat Terawih, al-Hamdulillah***
Rujukan;

1. Al-Jami’ as-Saghier, Imam as-Suyuti dan Syarahnya Faidhul-Qadier, Imam al-Minawi.
2. Nailul-Authar, Imam as-Syaukani, juz. 3, bab Solati at-Tarawikh.
3. Soheh Muslim Bisyarhi an-Nawawi, juz. 6, hlm. 46.
5. Al-Fiqh al-Wadhih, Dr. Muhammad Bakr Ismail, jil. 1, hlm. 261-265.
Nota Kaki;

[1] Faidhul-Qadier, hadis no. 1275.

SOLAT TERAWIH (3)

Jamaah solat Terawih

Jumhur ulamak berpandangan; menunaikan solat Terawih di Masjid secara berjamaah adalah lebih baik dari mengerjakannya di rumah sendirian kerana solat secara berjamaah adalah salah satu dari syi’ar Islam sebagaimana solat hari raya dan juga kerana banyak pahalanya di mana ia melebihi dari solat sendirian sebanyak 27 darjat.

Para zaman Nabi s.a.w., para sahabat baginda mengerjakannya secara berjamaah di Masjid. Malah Nabi s.a.w. juga turut berjamaah bersama mereka walaupun diperingkat awalnya sahaja iaitu selama tiga malam. Sama halnya pada zaman Khulafak ar-Rasyidin iaitu solat Terawih dikerjakan berjamaah di masjid.

Imam Muslim meriwayatkan dari Saidatina Aisyah r.a. yang menceritakan:

أَنَّ رَسُولَ اللهِ -صَلَّى اللهُ عَلَيهِ وَسَلَّمَ- خَرَجَ مِنْ جَوْفِ اللَّيْلِ فَصَلَّى فِي الْمَسْجِدِ، فَصَلَّى رِجَالٌ بِصَلاَتِهِ، فَأَصْبَحَ النَّاسُ يَتَحَدَّثُونَ بِذَلِكَ، فَاجْتَمَعَ أَكْثَرُ مِنْهُمْ فَخَرَجَ رَسُولُ اللهِ -صَلَّى اللهُ عَلَيهِ وَسَلَّمَ- فِي اللَّيْلَةِ الثَّانِيَةِ، فَصَلُّوْا بِصَلاَتِهِ، فَأَصْبَحَ النَّاسُ يَذْكُرُونَ ذَلِك، فَكَثُرَ أَهْلُ الْمَسْجِدِ مِنَ اللَّيْلَةِ الثَّالِثَةِ، فَخَرَجَ فَصَلُّوْا بِصَلاَتِهِ، فَلَمَّا كَانَتِ اللَّيْلَةُ الرَّابِعَةُ عَجَزَ الْمَسْجِدُ عَنْ أَهْلِهِ، فَلَمْ يَخْرُجْ إِلَيْهِمْ رَسُولُ اللهِ -صَلَّى اللهُ عَلَيهِ وَسَلَّمَ- فَطَفِقَ رِجَالٌ مِنْهُمْ يَقُولُونَ: الصَّلاَة، فَلَمْ يَخْرُجْ إِلَيْهِمْ رَسُولُ اللهِ -صَلَّى اللهُ عَلَيهِ وَسَلَّمَ- حَتَّى خَرَجَ لِصَلاَةِ الْفَجْرِ.فَلَمَّا قَضَى الْفَجْرَ أَقَبْلَ عَلَى النَّاسِ، ثُمَّ تَشَهَّدَ، فَقَالَ: "أَمَّا بَعْدُ، فَإِنَّهُ لَمْ يَخْفَ عَلَيَّ شَأْنُكُمُ اللَّيْلَةَ، وَلَكِنِّي خَشِيتُ أَنْ تُفْرَضَ عَلَيْكُمْ صَلاَةُ اللَّيْلِ فَتَعْجِزُوا عَنْهَا.
“Rasulullah s.a.w. keluar pada satu malam (di bulan Ramadhan) ke masjid, lalu menunaikan solat (yakni solat qiyam Ramadhan atau Terawih). Beberapa lelaki (yang kebetulan berada di dalam masjid) ikut sama bersolat dengan baginda. (Besoknya) orang ramai bercakap-cakap tentang hal itu menyebabkan lebih ramai yang berkumpul di masjid (pada malam kedua). Rasulullah s.a.w. keluar pada malam kedua (untuk menunaikan solat) dan orang ramai turut bersolat dengan baginda. (Besoknya) orang ramai menyebut-nyebut lagi hal itu, menyebabkan semakin ramai yang datang ke masjid pada malam ketiga. Rasulullah s.a.w, keluar lagi (pada malam ketiga untuk menunaikan solat) dan orang ramai turut bersolat dengan baginda. Pada malam ke empat, (semakin ramai yang datang) sehingga masjid menjadi sempit sehingga tidak dapat menampung orang ramai. Namun pada malam ke empat itu Rasulullah tidak keluar. Walaupun beberapa lelaki melaungkan “as-Solah!”, baginda tetap tidak keluar. Sehinggalah (apabila menjelang subuh) barulah baginda keluar untuk menunaikan solat subuh. Selesai mengerjakan solat subuh, baginda mengadap orang ramai dan berucap kepada mereka; ‘Sesungguhnya aku mengetahui keadaan kamu malam tadi. Namun (aku sengaja tidak keluar untuk mengerjakan solat bersama kamu kerana) aku bimbang akan difardhukan ke atas kamu solat malam, lalu kamu tidak mampu mengerjakannya’”. (Riwayat Imam Muslim)

Sebahagian ulamak mazhab Syafi’ie dan Maliki berpendapat; mengerjakan solat Terawih di rumah adalah lebih baik kerana Rasulullah s.a.w. bersabda;

صلوا أيها الناس في بيوتكم؛ فإن أفضل الصلاة صلاة المرء في بيته إلا المكتوبة
“Tunaikanlah solat wahai sekelian manusia di rumah-rumah kamu. Sesungguhnya solat yang paling baik ialah solat yang dikerjakan oleh seseorang di rumahnya kecuali solat fardhu”. (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim dari Zaid bin Tsabit r.a.)

Sebahagian ulamak yang lain pula membuat perincian bagi masalah ini untuk menghimpun antara hadis-hadis di atas di mana menurut mereka; jika sekiranya seorang muslim itu penghafal al-Quran dan tidak ada sebarang gangguan (di rumah) yang akan menghalangnya dari solat terawikh serta ia tidak rasa khuatir akan lumpuh solat di Masjid tanpa kehadirannya, maka baginya solat di rumah adalah lebih utama. Namun jika dikhutiri perkara-perkara tersebut berlaku, maka solat di Masjid adalah lebih utama.[1]

Nota Kaki;

[1] Al-Fiqh al-Wadhih, Dr. Muhammad Bakr Ismail, jil. 1, hlm. 264.

SOLAT TERAWIH (2)

Bilangan rakaat solat Terawih

Segolongan ulamak berpendapat; bilangan rakaat solat Terawih ialah 11 rakaat termasuk witir. Mereka berdalilkan hadis dari Saidatina ‘Aisyah yang menceritakan;

ما كان رَسُول اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيهِ وَسَلَّم يزيد في رمضان ولا في غيره على إحدى عشرة ركعة
“Rasululllah s.a.w. tidak pernah menunaikan solat sama ada di bulan Ramadhan atau bulan lainnya melebihi dari 11 rakaat”. (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

Jumhur ulamak-ulamak mazhab Imam Syafi’ie, Imam Abu Hanifah dan Ahmad bin Hanbal berpandangan; bilangan rakaat solat Terawih ialah 20 rakaat tidak termasuk witir. Mereka berhujjah dengan hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Baihaqi dan lainnya dengan isnad yang soheh dari sahabat yang bernama as-Saib bin Yazid r.a. (السائب بن يزيد) yang menceritakan;

كانوا يقومون على عهد عمر في شهر رمضان بعشرين ركعة
“Umat Islam pada zaman Umar menunaikan solat Terawih di bulan Ramadhan 20 rakaat”.

Begitu juga, Imam Malik meriwayatkan dalam al-Muwatta’ dari Yazid bin Ruman;

كان الناس يقومون في زمان عمر بن الخطاب بثلاث وعشرين ركعة
“Orang ramai menunaikan solat Terawih pada zaman Umar bin al-Khattab sebanyak 23 rakaat (iaitu 20 rakaat Terawih dan 3 rakaat Witir)”.

Bagi Imam Malik; solat Terawih ialah 36 rakaat tidak termasuk witir. Beliau berhujjah dengan amalan penduduk Madinah. Berkata Imam Nafi’; “Aku mendapati orang ramai menghidupkan malam Ramadhan dengan (mengerjakan solat) 39 rakaat, mereka berwitir dengan tiga rakaat darinya”.

Jadi dalam mengerjakan solat Terawih ini terdapat keluasan bagi umat Islam. Mereka boleh memilih sama ada ingin mengerjakan 11 rakaat sebagaimana yang dilakukan oleh Nabi s.a.w., atau 23 rakaat sebagaimana yang dilakukan oleh kaum muslimin di zaman Umar r.a. atau mengerjakan 39 rakaat sebagaimana amalan penduduk Madinah.

Berkata Syeikh Mahmud Khattab as-Subki dalam kitabnya ad-Din al-Khalis; “Beramal sebagaimana yang dikerjakan pada zaman Nabi s.a.w., Abu Bakar r.a. dan awal pemerintahan Umar r.a. adalah lebih utama dan lebih baik iaitu dikerjakan solat Terawih sebanyak lapan atau sepuluh rakaat tidak termasuk witir. Yang afdhal berikutnya ialah menunaikannya sebanyak dua puluh rakaat sebagaimana yang diamalkan di hujung pemerintahan Umar r.a. dan pada zaman pemerintahan Usman dan Ali r.a.. Qiyam Ramadhan (yakni solat Terawih) adalah ibadah yang digalakkan (yakni sunat) dan tidak terdapat nas dari Syarak yang membataskan bilangan rakaatnya. Sesungguhnya Nabi s.a.w. telah bersabda;

عليكم بسنتي وسنة الخلفاء المهديِّين الراشدين تمسكوا بها وعضُّوا عليها بالنَّواجذ
“Hendaklah kamu berpegang dengan sunnahku dan sunnah para Khulafak yang mendapat petunjuk (selepasku). Berpegang lah dengannya dan gigitlah ia dengan geraham-geraham kamu…”. (Riwayat Imam Muslim dan Abu Daud dari Abi Najih al-‘Irbadh bin Sariyah r.a.)[1]

Nota Kaki;

[1] Ad-Din al-Khalis, juz. 5, hlm. 162 (Dinaqalkan dari kitan al-Fiqh al-Wadhih, jil. 2, hlm. 623).

SOLAT TERAWIH (1)

Apa itu solat Terawih?

Solat Terawih adalah solat yang dilakukan pada setiap malam di bulan Ramadhan selepas menunaikan solat Isyak dan sebelum solat witir. Ia disunatkan kepada kaum lelaki dan juga wanita.

Solat Terawih sentiasa dilakukan oleh Nabi s.a.w. dan baginda menggalakkan kaum muslimin supaya mengerjakannya. Begitu juga, para sahabat dan tabi’in selepas baginda. Ia adalah antara syi’ar di bulan Ramadhan yang mempunyai fadhilat yang amat besar di sisi Allah. Di dalam hadis soheh, Rasulullah s.a.w. bersabda;

مَنْ قَامَ رَمَضَانَ إِيْمَانَاً وَاحْتِسَاباً غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ
“Sesiapa mengerjakan qiyam Ramadhan kerana imannya kepada Allah dan kerana mengharapkan pahala dariNya, akan diampunkan dosanya yang lalu”. (Riwayat Imam Bukhari, Muslim, Abu Daud, at-Tirmizi, an-Nasai dan Ibnu Majah dari Abu Hurairah r.a.)[1]

Maksud qiyam Ramadhan di dalam hadis di atas ialah menghidupkan malam-malam Ramadhan dengan ibadah. Menurut ulamak, secara khususnya qiyam Ramadhan terhasil dengan mengerjakan solat Terawih iaitu solat sunat yang disyari’atkan khusus dalam bulan Ramadhan. Namun secara umumnya segala jenis ibadah yang dilakukan pada malam-malam Ramadhan dengan niat untuk menghidupkan malam-malam itu sama ada ibadah itu berupa solat sunat, bacaan al-Quran, berzikir, menuntut ilmu dan sebagainya, semuanya dapat dianggap sebagai qiyam Ramadhan.[2]

Nota Kaki;

[1] Al-Jami’ as-Saghier, hadis no. 8901.
[2] Rujuk: Nailul-Authar (juz. 3, bab Solati at-Tarawikh), Faidhul-Qadier (hadis no. 8901), Soheh Muslim Bisyarhi an-Nawawi (juz. 6, hlm. 46).

SOLAT (KHUSYUK)

Apa makna khusyuk?

Khusyuk pada pengertian bahasa bermaksud tunduk dan merendah diri. Orang yang khusyuk ialah orang yang tunduk dan merendah diri. Adapun pengertian khusyuk di dalam solat, di bawah ini kita kemukakan beberapa pandangan ulamak tentang makna khusyuk di dalam solat;

1. Berkata Saidina ‘Ali r.a.; “Khusyuk itu ialah khusyuk hati”. Menurut riwayat lain, beliau berkata; “Khusyuk itu ialah tidak berpaling ke kanan atau ke kiri”.

2. Menurut Imam al-Qurthubi; “Khusyuk ialah suatu keadaan di dalam jiwa di mana dia mewujudkan keadaan tetap (tenang) dan merendah diri segala anggota”.

3. Menurut Imam Zamakhsyari; “Khusuk dalam solat ialah hati berkeadaan takut dan mata selalu tunduk (ke tempat sujud)”. (al-Kasysyaf)

4. Berkata Imam al-Jurjani; “Orang yang khusyuk ialah yang merendah diri kepada Allah dengan hati dan segala anggotanya”. (at-Ta’rifat)

5. Menurut Imam al-Kalbi; “Khusyuk itu ialah suatu keadaan di hati di mana dia mempunyai sifat takut, muraqabah (selalu memperhati kan Allah) dan merendah diri kepada kebesaran Allah, kemudian dia mempengaruhi segala anggota yang membawa berkeadaan tetap, seronok melakukan solat, tidak berpaling-paling, menangis dan berdoa”.

Dari penjelasan para ulamak di atas, dapat kita simpulkan bahawa khusyuk di dalam solat hendaklah menggabungkan dua bentuk khusyuk;

1. Khusyuk batin; iaitu khusyuk hati dengan menghadirkan di dalam hati perasaan takut kepada Allah, rendah diri serta mengharapkan rahmatNya.

2. Khusyuk lahir; iaitu khusyuk kepala dengan cara menundukkannya, khusyuk mata dengan cara tidak menoleh atau berpaling-paling, khusyuk tangan ialah dengan meletakkan tangan kanan ke atas tangan kiri dengan penuh hormat seperti perlakuan seorang hamba dan khusyuk dua kaki ialah dengan tegaknya berpijak dan berkeadaan tetap, tidak bergerak. Khusyuk lahir ini terbit dari khusyuk batin atau hati tadi.

Kenapakah khusyuk penting?

Khusyuk penting kerana pahala solat bergantung kepadanya. Sabda Nabi s.a.w.; “Sesungguhnya seorang lelaki selesai menunaikan solat, namun tidak ditulis pahala untuknya melainkan sepersepuluh, sepersembilan, seperlapan, sepertujuh, sepernam, seperlima, seperempat, sepertiga atau seperdua” (Riwayat Imam Ahmad, Abu Daud dan Ibnu Hibban dari ‘Ammar bin Yasir r.a.. Menurut Imam as-Suyuti, hadis ini soheh. Lihat. Al-Jami’ as-Saghier, hadis no. 1978).

Dalam hadis yang lain Nabi s.a.w. bersabda; “Barangkali seorang yang bangun mengerjakan solat di malam hari, habuannya dari solat malamnya hanyalah berjaga malam (yakni tidak ada pahala). Dan barangkai seorang yang berpuasa, habuannya dari puasanya hanyalah lapar dan dahaga”. (Riwayat at-Tabrani, Ahmad, al-Hakim dan al-Baihaqi dari Abu Hurairah r.a.. Menurut Imam as-Suyuti; hadis ini soheh. Berkata Hafidz al-‘Iraqi; ia adalah hasan. Menurut Imam al-Haitami; perawi-perawinya adalah siqah. Lihat; al-Jami’ as-Saghier dan Faidhul-Qadier, hadis no. 4405).

Berikah contoh manusia yang khusyuk di dalam solat

Contoh manusia yang khusyuk ialah para sahabat. Abdullah bin ‘Umar r.a. –salah seorang sahabat Nabi yang masyhur- pernah menceritakan sentang solat para sahabat dengan katanya; “Para sahabat Nabi s.a.w. apabila mereka mengerjakan solat, mereka memberi perhatian bersungguh-sungguh kepada solat mereka, mereka menundukkan penglihatan mereka ke tempat-tempat sujud mereka dan mereka menyedari sesungguhnya Allah sedang berhadap kepada mereka, maka tidaklah mereka berpaling ke kanan dan ke kiri”.

Nyatakan rahsia-rahsia untuk mendapat khusyuk di dalam solat mengikut Imam al-Ghazali

Menurut Imam al-Ghazali, untuk menghadirkan khusyuk di dalam solat, ada enam perkara yang perlu kita lakukan semasa mengerjakan solat;

Pertama; Hudhur al-Qlabi (حضور القلب); iaitu menghadirkan hati kita ketika menunaikan solat iaitu dengan membuang dari hati segala yang tidak ada kena-mengena dengan solat kita.

Kedua; at-Tafahhum (التفهم); iaitu berusaha memahami iaitu melakukan usaha untuk memahami segala perkara yang dilakukan di dalam solat sama ada perbuatan atau yang dibaca/diucapkan.

Ketiga; at-Ta’dziem (التعظيم); iaitu merasai kebesaran Allah iaitu dengan merasai diri terlalu kerdil di hadapan Allah.

Keempat; al-Haibah (الهيبة); iaitu merasa gerun terhadap keagungan Allah dan siksaanNya.

Kelima; ar-Raja’ (الرجاء); iaitu sentiasa menaruh harapan besar kepada Allah mudah-mudahan solat yang dikerjakan akan diterima dan diganjari oleh Allah.

Keenam; al-Haya’ (الحياء); iaitu merasa malu terhadap Allah di atas segala kekurangan dan kecacatan yang terdapat di dalam solat.

SOLAT (DOA SEBELUM MEMBERI SALAM)

Adakah disunatkan berdoa sebelum memberi salam?

Ya. Disunatkan berdoa –antaranya- dengan doa berikut;

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ جَهَنَّمَ، وَمِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ، وَمِنْ شَرِّ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ
“Ya Allah! Sesungguhnya aku berlindung denganMu dari azab api neraka jahannam, dari azab kubur, dari fitnah/ujian ketika hidup dan mati dan dari kejahatan fitnah Dajjal”.

Dalam riwayat hadis dari Abu Hurairah r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda; “Apabila seseorang kamu selesai dari membaca tasyahhud (yakni tahiyyat) akhir, maka mintalah perlindungan dengan Allah dari empat; dari azab neraka jahannam, dari azab kubur, dari fitnah hidup dan mati dan dari kejahatan Dajjal”. (Riwayat Imam Muslim)

Selain doa di atas, doa lain yang pernah dibaca Nabi s.a.w. ialah;

اللَّهمَّ اغْفِرْ لِي مَا قَدَّمْتُ وَمَا أَخَّرْتُ، وَمَا أَسْرَرْتُ وَمَا أَعْلَنْتُ، وَمَا أَسْرَفْتُ، وَمَا أَنْتَ أَعْلَمُ بِهِ مِنِّي، أَنْتَ الْمُقَدِّمُ وَأَنْتَ الْمُؤَخِّرُ، لاَ إِلَهَ إِلاَّ أَنْتَ.
“Ya Allah. Kurniakanlah keampunan untukku terhadap apa sahaja (dosa) yang telah aku lakukan yang terdahulu dan juga yang terkemudian, yang aku sembunyikan dan yang aku nampakkan serta apa sahaja perbuatan sia-sia atau melampau yang telah aku lakukan di mana Engkaulah yang lebih tahu tentangnya dari diriku sendiri. Engkaulah Tuhan yang maha dahulu dan yang maha akhir. Tidak ada Tuhan kecuali Engkau sahaja”.
(Riwayat Imam Muslim dari Saidina ‘Ali r.a.)

SOLAT (DUDUK TAHIYYAT)

Apa yang dimaksudkan duduk Tahiyyat/Tasyahhud?

Duduk Tahiyyat/Tasyahhud bermakna duduk di hujung rakaat kedua dan hujung rakaat akhir (yakni rakaat ketiga atau keempat) bagi solat yang melebihi dua rakaat. Tujuan duduk ialah untuk membaca tasyahhud atau tahiyyat dan juga selawat. Jadi duduk tahiyyat di dalam solat ada dua, iaitu;
1. Duduk tahiyyat awal; iaitu duduk di hujung rakaat kedua solat.
2. Duduk tahiyyat akhir; iaitu duduk di hujung rakaat akhir solat.

Apa hukum duduk Tahiyyat/Tasyahhud Awal?

Para ulamak berbeza pandangan;
1. Pandangan Imam Abu Hanifah, Malik dan Syafi’ie; duduk Tahiyyat/Tasyahhud dan juga membaca Tahiyyat/Tasyahhud semasa duduk itu hukumnya sunat sahaja (tidak wajib). Jika ditinggalkan tidak membatalkan solat, namun hukumnya makruh dan disunatkan sujud sahwi. Dalil mereka ialah dalam hadis Musi’ as-Solah di awal tadi (yakni hadis berkenaan seorang lelaki yang salah dalam menunaikan solat, lalu diajar oleh Nabi), Nabi s.a.w. tidak menyebutkan tentang tahiyyat/tasyahhud awal tatkala menerangkan kaifiyat solat. Selian itu, ada hadis menceritakan bahawa Nabi pernah tertinggal tasyahhud awal, namun baginda tidak mengulanginya, akan tetapi menggantinya dengan sujud sahwi sahaja.
2. Pandangan Imam Ahmad; ia adalah wajib.[1] Dalil mereka arahan Nabi s.a.w.; “Apabila kamu duduk pada setiap dua rakaat, bacalah; “at-Tahiyyatul lillahi was-Solawati wat-Thaiyyibati…” (Riwayat Imam Ahmad, an-Nasai dan at-Thabrani dengan sanad yang soheh). Selain itu, ia tidak pernah ditinggalkan oleh Nabi s.a.w.. (al-Mughni, 1/373)

Apa hukum duduk Tahiyyat/Tasyahhud Akhir?

Hukum duduk tahiyyat akhir adalah wajib dan merupakan rukun solat. Jika ditinggalkan batallah solat.

Apakah cara duduk yang disunatkan ketika duduk Tahiyyat/Tasyahhud?

Disunatkan ketika tahiyyat awal duduk secara iftriraysh dan ketika tahiyyat akhir disunatkan duduk secara tawarruk. Duduk iftiraysh ialah dengan menghamparkan kaki kiri sebagai hamparan bagi punggung dan memacakkan kaki kanan. Adapun duduk tawarruk pula ialah dengan mengeluar/menghulurkan kaki kiri ke bawah kaki kanan dan pangkal paha (yakni punggung) diletakkan di atas lantai, adapun kaki kanan dipacakkan. Perbezaan antara dua jenis duduk tersebut berdalilkan hadis dari Abu Humaid r.a. yang menceritakan sifat solat Nabi s.a.w.; “Apabila baginda duduk sesudah dua rakaat, baginda duduk di atas kakinya yang kiri dan menegakkan tapak kakinya yang kanan. Apabila baginda duduk pada rakaat yang akhir, baginda mengulurkan tapak kakinya yang kiri (ke bawah betis kanan) dan menegakkan tapak kakinya yang kanan dan baginda duduk di atas punggungnya” (Riwayat Imam Bukhari).

Itu adalah pandangan sebahagian ulamak termasuk mazhab Syafi’ie. Sebahagian ulamak yang lain (antaranya Imam Abu Hanifah) berpandangan; cara duduk semasa Tahiyyat Akhir adalah sama seperti cara duduk semasa Tahiyyat Awal iaitu Iftiraysh. Mereka berdalilkan hadis dari Saidatina Aisyah r.a. yang menceritakan sifat solat Nabi s.a.w.; “…Nabi membaca tahiyyat setiap selesai dua rakaat. Baginda (duduk tahiyyat dengan) menghampar kakinya yang kiri dan menegakkan kakinya yang kanan…” (Riwayat Imam Muslim). Dalam hadis ini ‘Aisyah r.a. hanya menyebutkan satu jenis duduk sahaja bagi Tahiyyat/Tasyahhud iaitu duduk Itiraysh.

Apakah yang dibaca semasa duduk Tahiyyat?

1. Bacaan Tahiyyat
2. Bacaan Selawat

Bacaan tahiyyat ialah;

التَّحِيَّاتُ المُبارَكاتُ الصَّلَواتُ الطَّيِّباتُ لِلَّهِ، السَّلامُ عَلَيْكَ أيُّهَا النَّبيُّ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ، السَّلامُ عَلَيْنا وعلى عِبادِ اللّه الصَّالِحينَ، أشْهَدُ أنْ لا إلهَ إِلاَّ اللَّهُ، وَأشْهَدُ أنَّ مُحَمَّداً رَسُولُ اللَّهِ
“Segala kerajaan/kekuasaan, limpahan barakah, selawat dan kalimah-kalimah yang baik adalah milik Allah. Selamat sejahtera ke atas engkau wahai Nabi serta rahmat Allah dan juga keberkatan-keberkatanNya. Selamat sejahtera juga ke atas kami serta ke atas hamba-hamba Allah yang soleh. Aku bersaksi bahawa tidak ada Tuhan melainkan Allah dan aku bersaksi bahawa Muhammad itu adalah Rasul Allah”. (Riwayat Imam Muslim dari Ibnu ‘Abbas r.a.)

Bacaan Selawat pula ialah;

اللَّهم صلِّ عَلَى مُحمَّدٍ وعَلَى آلِ مُحمَّدٍ كما صلَّيْتَ عَلَى إِبْرَاهِيْمَ وعَلَى آل إِبْرَاهِيْمَ وباركْ عَلَى مُحمَّد وعَلَى آلِ مُحمَّدٍ كما باركتَ عَلَى إِبْرَاهِيْم وعَلَى آل إِبْرَاهِيْم في العالمينَ إنَّكَ حميدٌ مجيدٌ
“Ya Allah, kurniakanlah selawat ke atas Muhammad dan ke atas ahli Muhammad sebagaimana kamu mengurniakan selawat ke atas Ibrahim dan ke atas ahli Ibrahim. Serta kurniakanlah barakah ke atas Muhammad dan ke atas ahli Muhammad sebagaimana engkau kurniakan barakah ke atas Ibrahim dan ahli Ibrahim dalam seluruh alam. Sesungguhnya Engkau maha terpuji lagi maha mulia”. (Riwayat Imam Muslim dari Ibnu Mas’ud)

Bagaimana kedudukan jari-jari tangan kita semasa Tahiyyat/Tasyahhud itu?

Ketika duduk tahiyyat, sunat kita meletakkan tangan kanan di atas paha kanan dalam keadaan jari hujung (yakni kelingking), jari manis dan jari tengah digenggam, sementara jari telunjuk dilepaskan dan diangkat serta diisyaratkan (menghala ke arah kiblat) ketika menyebutkan (إلا الله) sambil meniatkan di dalam hati tauhid dan ikhlas di mana ia terus diluruskan tanpa meletak atau menjatuhkannya. Ibu jari diletakkan pada jari tengah. Adapun tangan kiri, hendaklah diletakkan di atas paha kiri.

Cara kedudukan tangan di atas adalah berdalilkan hadis-hadis berikut;

1. Hadis Ibnu ‘Umar r.a. yang menceritakan; “Adalah Rasulullah s.a.w. apabila duduk di dalam solat, baginda meletakkan tapak tangannya yang kanan di atas paha kanannya dan baginda menggenggam semua jarinya dan memberi isyarat dengan jarinya bersebelahan ibu jari (yakni jari telunjuk). Adapun tapak tangan kirinya, baginda letakkan di atas paha kirinya”. (Riwayat Imam Muslim)

2. Dari Ali bin Abdirrahman al-Maghafiri yang menceritakan dari Abdullah bin ‘Umar r.a. yang melihat seorang lelaki mengerak-gerakkan batu dengan tangannya ketika ia sedang solat. Apabila lelaki selesai solat, Abdullah berkata kepadanya; “Jangan mengerak-gerakkan batu semasa kamu berada dalam solat kerana itu adalah dari Syaitan. Akan tetapi lakukanlah sebagaimana yang dilakukan Rasulullah s.a.w.. Lelaki itu bertanya; “Bagaimana yang dilakukan baginda?”. Abdullah menjelaskan kepadanya; “Baginda meletakkan tangannya yang kanan di atas paha kanannya, mengisyaratkan jarinya yang bersebelahan ibu jari ke arah kiblat dan melontarkan pandangan matanya ke arah jari tersebut. Begitulah yang aku lihat dilakukan Rasulullah s.a.w.”. (HR Imam an-Nasai).

3. Diriwayatkan dari Abdullah bin az-Zubair r.a. yang menceritakan; “Adalah Rasulullah s.a.w. apabila duduk berdoa (semasa tasyahhud) baginda meletakkan tangannya yang kanan di atas pahanya yang kanan dan tangannya yang kiri di atas pahanya yang kiri. Baginda melakukan isyarat dengan jari telunjuknya, sementara ibu jari baginda letakkan pada jari tengahnya. Adapun tangan kiri, maka baginda meratakannya di atas lutut kirinya”. (Riwayat Imam Muslim)

4. Dalam hadis riwayat Abu Daud dan an-Nasai, seorang sahabat bernama Wail bin Hujrin r.a. tatkala menceritakan sifat solat Nabi s.a.w., beliau memberitahu; “…Semasa Tahiyyat, Rasulullah s.a.w. meletakkan tangan kanannya (bermula dari siku) di atas paha kanannya, kemudian baginda menggenggam dua jari dari jari-jari tangannya (iaitu jari kelingking dan jari hantu) dan membentuk gelungan (dengan jari tengah/telunjuk dan ibu jarinya), kemudian mengangkat jari (telunjuk)nya. Aku melihat beliau menggerak-gerakkan jari telunjuknya itu sambil berdoa dengannya” (HR Imam an-Nasai dan Abu Daud). Di dalam hadis Abdullah bin az-Zubair tadi, diceritakan bahawa Nabi s.a.w. hanya meletakkan sahaja ibu jarinya pada jari tengahnya. Sedang di dalam hadis ini, baginda membentuk gelungan dengan dua jari tersebut.


Perlukah jari telunjuk kanan tadi digerak-gerakkan ketika mengangkat dan mengisyaratkannya tadi?

Hal ini terdapat khilaf di kalangan ulamak;

a) Pandangan pertama; tidak perlu digerak-gerakkan kerana Nabi s.a.w. tidak melakukannya sebagaimana hadis riwayat Abu Daud dari Abdullah bin az-Zubair r.a. yang menceritakan; “Nabi s.a.w. memberi isyarat dengan jarinya (yakni jari telunjukkan) tatkala berdoa (semasa tasyahhud) dan baginda tidak menggerak-gerakkannya”.[2]

b) Pandangan kedua; perlu menggerak-gerakkannya berdalilkan hadis dari Wail bin Hujrin r.a. yang diriwayatkan oleh Abu Daud dan an-Nasai tadi yang menceritakan; “…Aku melihat beliau (yakni Nabi s.a.w.) menggerak-gerakkan jari telunjuknya itu (semasa Tasyahhud) sambil berdoa dengannya”.[3]

Menurut Imam al-Baihaqi; kedua-dua hadis tersebut adalah soheh. (Lihat; Mughni al-Muhtaj, jil. 1, hlm. 240).

Nota Kaki;

[1] Rahmatul-Ummah, hlm. 34.
[2] Menurut Imam an-Nawawi; hadis ini sanadnya adalah soheh (Fiqh as-Sunnah, 1/119). Namun disanggah oleh al-Albani yang menegaskan; hadis ini tidak sabit dari Nabi dari segi sanadnya. (Lihat; Sifatu Solati an-Nabi, hlm. 158).
[3] Menurut Imam al-Baihaqi; ada kemungkinan bahawa yang dimaksudkan dengan at-tahrik dalam hadis ini ialah al-Isyarah biha (yakni menunjuk/mengisyaratkan dengan jari tersebut, bukan menggerak-gerakkannya berulang-ulang kali. Andaian ini dikemukakan untuk menyesuaikan hadis ini dengan hadis Ibnu az-Zubair yang dikemukakan oleh pandangan pertama tadi. (Fiqh as-Sunnah, 1/119).

Thursday, June 19, 2008

SOLAT (DUDUK ANTARA DUA SUJUD DAN ISTIRAHAH)

Apa hukum duduk antara dua sujud?

Hukumnya adalah wajib. Tidak sah solat tanpa diselangi dua sujud tadi dengan duduk. Ini berdalilkan banyak hadis, antara hadis dari Saidatina ‘Aisyah r.a. yang menceritakan solat Nabi s.a.w.; “Apabila bangkit dari sujud (pertama), Nabi s.a.w. tidak sujud (kali kedua) melainkan setelah duduk dengan sempurna lebih dahulu” (Riwayat Imam Muslim).

Bagaimana melakukan duduk antara dua sujud yang sempurna?

1. Semasa hendak mengangkat kepada sujud, ucapkan takbir tanpa mengangkat dua tangan.
2. Semasa duduk disunatkan duduk secara iftirasyh iaitu dengan menghamparkan kaki kiri, meletakkan punggung di atas hamparan kaki kiri itu dan kaki kanan pula dipacakkan dengan jari-jarinya menghala ke arah qiblat. Abu Humaid r.a. menceritakan; “…apabila Nabi mengangkat kepalanya (dari sujud baginda yang pertama), baginda melipat kaki kirinya dan duduk di atasnya” (Riwayat Imam Abu Daud). Sabda Nabi (tatkala mengajar seorang yang salah dalam mengerjakan solat); “…Apabila kamu bangun dari sujud, duduklah di atas pahamu yang kiri” (Riwayat Abu Daud dari Rifa’ah bin Rafi’ r.a.).
3. Harus juga duduk secara Iq’ak iaitu duduk dengan meletakkan dua pangkal paha (yakni punggung) di atas dua tumit kaki di mana dua kaki dipacak/ditegakkan di atas jari-jarinya dan kedua lutut diletakkan di atas tanah. Keharusan duduk secara iq’ak ini berdasarkan hadis dari Thawus yang menceritakan; “Kami bertanya Ibnu ‘Abbas r.a. berkenaan duduk al-Iq’ak di atas dua kaki (semasa mengerjakan solat)?. Maka ia menjawab; ‘Ia adalah sunnah Nabi s.a.w.’.” (Riwayat Imam Muslim).
4. Duduk antara dua sujud ini wajib dilakukan dengan Tomaninah.
5. Disunatkan semasa duduk antara dua sujud ini kita membaca doa yang warid dari Nabi iaitu;

رَبّ اغْفِرْ لِيْ وارْحَمْنِي واجْبُرْنِي وَارْفَعْنِي وَارْزُقْنِي وَاهْدِني وَعَافِني
“Tuhanku! Kurniakanlah keampunan untukku, rahmatilah daku, perbaikilah diriku, angkatlah darjatku, kurniakanlah rezki kepadaku, berilah hidayah kepadaku dan maafkanlah daku”. (Riwayat Imam al-Baihaqi dan Abu Daud. Riwayat Imam Abu Daud dengan sanad yang hasan menurut Imam an-Nawawi. Lihat; al-Azkar, kitab Ma Yaqulu Iza Dakhala fis-Solah).

Menurut sebahagian ulamak (termasuk dari mazhab Syafi’ie); selain dari bacaan yang terdapat dalam hadis, diharuskan untuk berdoa memohon kebaikan dunia dan akhirat ketika duduk antara dua sujud itu.

Apa itu duduk istirahah?

Duduk istirahah ialah duduk yang ringkas sebelum bangun (ke rakaat kedua atau keempat) selepas sujud kedua bagi rakaat pertama dan ketiga (jika solat empat rakaat). Duduk istirahah ini hukumnya adalah sunat berdalilkan hadis dari Malik bin al-Huwairis al-Laitsi yang menceritakan; “Bahawa ia melihat Rasulullah s.a.w. menunaikan solat. Ketika baginda berada dalam rakaat yang ganjil dari solatnya, baginda tidak bangun (untuk ke rakaat seterusnya setelah bangkit dari sujud kedua) melainkan setelah duduk terlebih dahulu”. (Riwayat Imam al-Bukhari, Abu Daud, an-Nasai dan at-Tirmizi).

Duduk Istirahah ini hanya sekejap sahaja dan tidak ada sebarang bacaan doa atau zikir yang sunat dibaca ketika duduk itu. Cara duduk yang disunatkan bagi duduk istirahah ini ialah duduk secara Iftirasyh.

Tatkala bangun untuk ke rakaat berikutnya, mana dulu yang di angkat; lutut atau tangan?

Terdapat dua pandangan dari ulamak;
Pertama; pandangan mazhab Imam Abu Hanifah dan Imam Ahmad; dimulai dengan mengangkat muka, kemudian dua tangan dan seterusnya dua lutut, iaitu bangun dengan menekankan dua tangan ke atas dua paha. Cara ini ini adalah sebalik kepada cara ketika turun sujud tadi (mengikut pendapat jumhur). Mereka berdalilkan hadis dari Wail bin Hujrin r.a. tadi yang menceritakan; “Aku telah melihat Nabi apabila sujud, baginda meletakkan dua lututnya sebelum dua tangannya dan apabila bangkit dari sujud, baginda mengangkat dua tangannya (terlebih dahulu) sebelum dua lututnya” (Riwayat Imam Abu Daud, an-Nasai, Ibnu Majah dan Ibnu Hibban).
Kedua; pandangan mazhab Imam Malik dan Syafi’ie; sunat didahulukan mengangkat dua lutut dari dua tangan, iaitu bangun dengan menekan dua tangan ke atas lantai, bukan dengan menekan dua tangan ke atas dua paha sebagaimana pandangan pertama di atas. Mereka berdalilkan hadis dari Malik bin al-Huwairth yang menceritakan sifat solat Nabi; “….apabila mengangkat kepala dari sujud kedua (di rakaat pertama), beliau duduk dengan lurus (yakni duduk istirahah-pent.), kemudian beliau bangun dengan menekan (dua tangan) ke atas tanah” (Riwayat Imam al-Bukhari). Begitu juga, hadis dari Nafi’ yang menceritakan; “Ibnu ‘Umar r.a. tatkala bangun dari sujud, beliau menungkat di atas dua tangannya (yakni dengan menekan dua tangan ke atas tanah-pent.)” (Riwayat Imam al-Baihaqi dalam as-Sunan al-Kubra).
(Rujuk; Zadul-Ma’ad, 1/240, as-Solah ‘Ala al-Mazahib al-Arba’ah, hlm. 147).

SOLAT (SUJUD)

Apa makna sujud? Apa hukumnya?

Sujud bermaksud meletakkan dahi di atas tempat sujud. Sujud adalah wajib di dalam solat. Tidak sah solat tanpa sujud. Sujud yang diwajibkan di dalam solat ialah dua kali pada setiap rakaat dengan diselangi oleh duduk. Dalil kewajipan sujud ini ialah sabda Nabi s.a.w. (tatkala mengajar seorang lelaki yang salah dalam melakukan solat); “….Kemudian hendaklah kamu sujud sehingga kamu tomaninah (tetap dan tenang) dalam keadaan sujud, kemudian kamu bangkitlah dari sujud sehingga kamu tomaninah (tetap dan tenang) dalam keadaan duduk, kemudian kamu sujud kembali sehingga kamu tomaninah (tetap dan tenang) dalam keadaan sujud…”. (Riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim)

Apakah anggota-anggota yang terlibat semasa sujud?

Sabda Nabi s.a.w.; “Aku diperintahkan supaya sujud di atas tujuh tulang (yakni tujuh anggota) iaitu; dahi –baginda menunjukkan dengan tangannya ke atas hidungnya-, dua tangan, dua lutut dan jari-jari dari dua kaki…” (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim dari Ibnu ‘Abbas r.a.). Berdasarkan hadis ini, anggota sujud hendaklah merangkumi;
1. Dahi
2. Dua tangan
3. Dua lutut
4. Dua kaki

Ketika sujud, wajib ke semua tujuh anggota di atas diletakkan di atas lantai. Bagi dahi, memadai meletakkan sebahagian dahi sahaja di atas lantai. Bagi tangan yang dikira ialah tapak tangan dan bagi kaki pula ialah perut-perut anak jari kaki. Memadai dengan meletakkan sebahagian sahaja dari perut-perut anak jari kaki itu. Jika seseorang itu sujud di atas belakang tangan atau belakang anak-anak jari kakinya, tidak sah sujudnya.

Adakah hidung juga wajib diletakkan di atas lantai ketika sujud?

Terdapat khilaf di kalangan ulamak;
Pertama; menurut Imam Ahmad; dahi dan hidung wajib diletakkan di atas lantai ketika sujud. Tidak cukup hanya dahi sahaja atau hanya hidung sahaja. Beliau berdalilkan hadis di atas di mana Nabi turut menunjukkan kepada hidungnya tatkala menyebutkan tentang dahi sebagai salah satu angota sujud. Selain itu ia berdalilkan juga hadis dari Abu Humaid as-Sa’idi yang menceritakan; “Nabi tatkala sujud, baginda menekan hidung dan dahinya ke tanah, menjauhkan dua tangan dari rusuknya dan meletakkan dua tapak tangan setentang dua bahunya” (Riwayat Imam at-Tirmizi dan Abu Daud. Menurut at-Tirmizi; hadis ini hasan soheh). Ibnu ‘Abbas r.a. menceritakan; Nabi telah melihat seorang lelaki menunaikan solat. Ia sujud tanpa meletakkan hidungnya di atas tanah. Lalu Nabi berkata kepadanya; “Letakkan hidungmu (ke tanah) supaya ia sujud bersamamu” (Riwayat Abu Nu’aim dalam Akhbar Asbahan).
Kedua; menurut mazhab Syafi’ie dan Malik; yang wajib ialah meletakkan dahi sahaja. Adapun meletakkan hidung –di samping dahi- adalah sunat, tidak wajib. Sah sujud jika seseorang meletakkan dahinya sahaja di atas lantai tanpa meletakkan hidungnya. Bagi pandangan ini, hadis-hadis di atas menunjukkan kepada galakan, bukan kewajipan.
Ketiga; menurut Imam Abu Hanifah; boleh memilih sama ada hendak meletakkan dahi atau hidung di atas lantai. Bagi pandangan ini, isyarat Nabi kepada hidung tatkala menyebutkan dahi dalam hadis di atas ialah untuk menunjukkan keharusan memilih antara dahi atau hidung semasa sujud.

Adakah wajib semua anggota sujud di atas didedahkan (tanpa berlapik)?

Anggota-anggota sujud selain dahi telah sepakat para ulamak menyatakan tidak wajib didedahkan. Yang dituntut hanyalah meletakkannya di atas tanah/lantai. Oleh itu, harus seseorang menunaikan solat dengan memakai sarung tangan atau stokin. Adapun dahi, maka ia terdapat khilaf di kalangan ulamak;
Pertama; pandangan ulamak-ulamak mazhab Syafi’ie; dahi wajib didedahkan dan mengenai secara lansung tempat sujud (tanpa ada penghadang). Tidak sah sujud jika semua bahagian dahi berlapik sehingga tidak ada sedikitpun darinya yang terdedah dan mengenai tempat sujud secara langsung. Termasuk tidak sah ialah lapik dari pakaian yang dipakai ketika solat. Oleh demikian, tidak harus seseorang sujud di atas kain serban yang dipakainya atau di atas lengan bajunya atau di atas kain telekungnya atau benda-benda lain di badannya yang mengikuti pergerakan badannya.
Kedua; pandangan jumhur ulamak (termasuk Imam Malik, Abu Hanifah dan Imam Ahmad); dahi sama seperti anggota-anggota sujud yang lain iaitui tidak wajib didedahkan. Yang dituntut hanyalah meletakkannya di atas tempat sujud. Oleh itu, bagi jumhur ulamak, tidak menjadi kesalahan jika seseorang itu sujud di atas kain serbannya atau kain telekungnya. Mereka berdalilkan hadis dari Anas bin Malik r.a. yang menceritakan; “Kami mengerjakan solat bersama Rasulullah s.a.w. ketika panas yang bersangatan. Apabila sesiapa dari kami tidak dapat meletakkan dahinya di atas tanah kerana panas, ia bentangkan pakaiannya dan sujud di atasnya”. (Riwayat Imam Muslim).
(Dalail al-Ahkam, 1/ 298-299).

Tatkala turun sujud, mana dulu yang perlu di letakkan di atas lantai; tangan atau lutut?

Perkara ini juga terdapat khilaf di kalangan ulamak;
Pertama; menurut jumhur ulamak (termasuk mazhab Imam Abu Hanifah, Syafi’ie dan Imam Ahmad); disunatkan turun sujud dengan mula meletakkan dua lutut, diikuti dua tangan dan akhirnya muka atau dahi. Ini berdasarkan hadis dari Wail bin Hujrin r.a. yang menceritakan; “Aku telah melihat Nabi apabila sujud, baginda meletakkan dua lututnya sebelum dua tangannya dan apabila bangkit dari sujud, baginda mengangkat dua tangannya (terlebih dahulu) sebelum dua lututnya” (Riwayat Imam Abu Daud, an-Nasai, Ibnu Majah dan Ibnu Hibban).
Kedua; pandangan sebahagian ulamak (antaranya Imam Malik dan al-Auza’ie); sunat mendahulukan dua tangan dari dua lutut tatkala turun sujud. Ini berdalilkan sabda Nabi s.a.w.; “Jika seseorang dari kamu sujud, janganlah ia berteleku sebagaimana telekunya unta, sebaliknya hendaklah ia meletakkan dua tangannya terlebih dahulu sebelum dua lututnya” (Riwayat Abu Daud, at-Nasai dan Ahmad dari Abu Hurairah r.a.). Begitu juga, berdalilkan hadis dari Nafi’ yang menceritakan bahawa Ibnu ‘Umar r.a. semasa sujud, beliau meletakkan dua tangannya sebelum dua lututnya. Kata beliau (yakni Ibnu ‘Umar); “Nabi telah melakukan sedemikian” (Riwayat Imam al-Hakim, Ibnu Khuzaimah dan al-Baihaqi dengan sanad yang soheh. Lihat; Zadul-Ma’ad, 1/228)

Bagaimana cara sujud yang sempurna?

1. Ketika hendak turun sujud, ucapkan takbir tanpa mengangkat tangan.
2. Ketika sujud, dua tangan hendaklah diletakkan di atas lantai setentang dengan bahu atau telinga, dahi dan hidung hendaklah diletakkan di atas tanah dengan menekannya. Dari Abu Humaid as-Sa’idi menceritakan; “Nabi tatkala sujud, baginda menekan hidung dan dahinya ke tanah, menjauhkan dua tangan dari rusuknya dan meletakkan dua tapak tangan setentang dua bahunya” (Riwayat Imam at-Tirmizi dan Abu Daud. Menurut at-Tirmizi; hadis ini hasan soheh). Wail bin Hujrin r.a. (tatkala menceritakan sifat solat Nabi) beliau menceritakan; “….tatkala sujud, nabi meletakkan dua tangannya setentang dengan dua telinganya” (Riwayat Imam Ahmad).
3. Jari-jari dilepaskan menghala ke kiblat dalam keadaan dirapatkan antara satu sama lain. Wail bin Hujrin r.a. menceritakan; “Nabi s.a.w. tatkala ruku’ baginda merenggangkan antara jari-jarinya dan tatkala sujud baginda menghimpunnya (yakni merapatkannya)” (Riwayat al-Hakim).
4. Kedua-dua siku diangkat dari tanah (yakni jangan meratakannya di atas tanah) dan dijauhkan dari dua rusuk (yakni tidak merapatkannya ke rusuk). Sabda Nabi; “Apabila kamu sujud, letaklah dua tapak tanganmu di atas lantai dan angkatlah dua sikumu (yakni jangan menghamparnya di atas tanah)” (Riwayat Imam Muslim dari al-Barra’). Sabda Nabi s.a.w. juga; “Sempurnakanlah sujudmu. Dan janganlah seseorang kamu menghamparkan dua tangannya (dari tangan hingga siku) seperti hamparan anjing (yakni; meletakkan kedua-dua tangan dan siku di atas tanah/lantai umpama anjing tidur)” (Riwayat Imam Muslim dari Anas r.a.). Menjauhkan tangan dari rusuk adalah berdasarkan hadis at-Tirmizi tadi dan juga hadis dari Buhainah r.a. menceritakan; “Nabi semasa menunaikan solat tatkala sujud, baginda memisahkan antara dua tangannya (dari rusuknya) hingga nampak putih dua ketiaknya” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim/Bulugul-Maram).
5. Jari-jari kaki hendaklah dilipatkan menghala ke arah kiblat. Abu Humaid as-Sa’idi r.a. tatkala menceritakan sifat solat Nabi s.a.w. beliau menjelaskan; “….Ketika sujud Nabi meletakkan kedua tangannya ke bumi tetapi lengannya tidak dihamparkan dan tidak pula dirapatkan ke rusuk dan hujung jari kakinya dihadapkan ke arah qiblat” (Riwayat Imam al-Bukhari).
6. Ketika melakukan sujud wajib tomaninah dengan pengertian yang telah diterangkan terdahulu.
7. Ketika sujud disunatkan membaca zikir-zikir yang warid dari Nabi terutamanya tasbih. Begitu juga digalakkan banyak berdoa ketika berada di dalam sujud. Sabda Nabi s.a.w.; “Sehampir-hampir seorang hamba dengan Tuhannya ialah ketika ia sedang sujud. Oleh demikian, perbanyakkanlah oleh kamu sekelian berdoa (ketika sujud)” (Riwayat Imam Muslim dari Abu Hurairah r.a.)

Adakah harus membaca al-Quran semasa sujud?

Tidak harus kerana Nabi s.a.w. menegahnya dengan sabdanya; “Ketahuilah! Sesungguhnya aku dilarang membaca al-Quran ketika ruku’ atau sujud. Adapun di dalam ruku’, maka hendaklah kamu agungkan Tuhan kamu. Sementara di dalam sujud, hendaklah kamu bersungguh-sungguh berdoa, nescaya doamu pasti akan diperkenankan” (Riwayat Imam Muslim).

SOLAT (I'TIDAL)

Apa makna I’tidal? Apa hukumnya?

I’tidal bermaksud; kembali semula selepas ruku’ kepada keadaan sebelum ruku’ sama ada seseorang itu menunaikan solat sambil berdiri atau sambil duduk. Jika seseorang itu menunaikan solat dengan berdiri, I’tidal ialah dengan ia kembali berdiri lurus/tegak selepas bangkit dari ruku’ sebelum turun untuk sujud.

Hukum I’tidal adalah wajib. Tidak sah solat tanpa melakukannya. Dalil kewajipan I’tidal ini ialah hadis Saidatina ‘Aisyah r.a. yang menceritakan tentang solat Nabi s.a.w.; “Apabila mengangkat kepala dari ruku’ (yakni bangkit dari ruku’), Nabi s.a.w. tidak sujud melainkan setelah berdiri dengan sempurna lebih dahulu (yakni berdiri I’tidal)”.
(Riwayat Imam Muslim)

Bagaimana melakukan I’tidal dengan sempurna?

1. Apabila hendak bangkit dari ruku’, ucapkanlah; “سَمِعَ الله لِمَنْ حَمِدَهُ” (bermaksud; Allah mendengar (dan menjawab) orang yang memujinya) sambil mengangkat kedua tangan setentang bahu atau setentang dua telinga.
2. Apabila telah tegak berdiri, bacalah;
اللَّهُمَّ رَبَّنَا لَكَ الْحَمْدُ، مِلْءَ السَّمَاوَاتِ وَمِلْءَ الأَرْضِ، وَمِلْءَ مَا شِئْتَ مِنْ شَيْءٍ بَعْدُ
“Ya Allah! Wahai Tuhan Kami, untukMulah pujian kami, (pujian) yang mengisi sekelian langit dan bumi serta mengisi apa yang Engkau kehendaki dari sesuatu selepasnya” (Riwayat Imam Muslim).
3. I’tidal wajib dilakukan dengan tomaninah iaitu memastikan diri berada dalam keadaan tetap dan tenang dalam posisi I’tidal (berdiri lurus) itu sebelum turun sujud. Jika seseorang membaca zikir di atas semasa I’tidalnya, maka ia telah memenuhi tuntutan tomaninah semasa I’tidalnya.

Adakah makmum juga disunatkan membaca “SAMI’ALLAHU LIMAN HAMIDAH” sebagaimana imam atau atau ia hanya membaca “RABBANA LAKAL-HAMDU…” sahaja?

Persoalan ini terdapat khilaf di kalangan ulamak;

Pandangan pertama; menurut mazhab Imam Syafi’ie dan Imam Malik; Disunatkan kepada semua orang yang menunaikan solat sama ada solat sendirian, menjadi imam atau makmum untuk membaca; (سَمِعَ الله لِمَنْ حَمِدَهُ.....) dan (رَبَّنَا لَكَ الْحَمْدُ) dengan menghimpunkan kedua-duanya iaitu membaca (سَمِعَ الله لِمَنْ حَمِدَهُ) ketika mula bangkit dari ruku’ dan membaca (رَبَّنَا لَكَ الْحَمْدُ....) apabila sudah berada dalam I’tidal. Mereka berdalilkan hadis Ibnu Abi Aufa r.a. yang menceritakan; “Adalah Rasulullah s.a.w. apabila mengangkat belakangnya dari ruku’, baginda mengucapkan;

سَمِعَ الله لِمَنْ حَمِدَهُ، اللَّهُمَّ رَبَّنَا لَكَ الْحَمْدُ، مِلْءَ السَّمَاوَاتِ وَمِلْءَ الأَرْضِ، وَمِلْءَ مَا شِئْتَ مِنْ شَيْءٍ بَعْدُ
“Allah mendengar (dan menjawab) orang yang memujinya. Ya Allah! Wahai Tuhan Kami, untukMulah pujian kami, (pujian) yang mengisi sekelian langit dan bumi serta mengisi apa yang Engkau kehendaki dari sesuatu selepasnya” (Riwayat Imam Muslim). Di dalam hadis ini, Nabi membaca kedua-duanya sekali tanpa memisahkannya.

Pandangan kedua; menurut sebahagian ulamak –antaranya Imam Ahmad dan Ibnu al-Munzir-; ucapan (سَمِعَ الله لِمَنْ حَمِدَهُ.....) dibaca oleh imam sahaja, adapun makmum hendaklah terus membaca (رَبَّنَا لَكَ الْحَمْدُ....) dan tidak perlu mereka membaca (سَمِعَ الله لِمَنْ حَمِدَهُ.....). Mereka berdalilkan hadis Abu Hurairah r.a. yang menceritakan Rasulullah s.a.w. bersabda yang maksudnya; “Apabila Imam telah berkata: “سَمِعَ الله لِمَنْ حَمِدَهُ”, maka hendaklah kamu membaca;
اللَّهُمَّ رَبَّنَا لَكَ الْحَمْدُ
“Ya Allah, wahai Tuhan kami, bagiMulah segala pujian”.
Maka sesungguhnya siapa yang bacaannya bersamaan dengan bacaan malaikat, nescaya akan diampunkan baginya dosanya yang telah lalu”.
(Riwayat Imam Muslim)

Adakah harus memanjangkan I’tidal?

Harus, berdalilkan hadis dari Anas r.a. yang menceritakan; “Rasulullah s.a.w. setelah mengucapkan “Sami’allahu liman hamidah”, baginda berdiri (begitu lama) sehingga kami berkata; ‘Beliau telah lupa’. Kemudian baginda sujud dan duduk di antara dua sujud (dengan begitu lama) hingga kami berkata; ‘Baginda telah lupa’” (Riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim). Berkata Imam as-Syaukani; hadis ini menjadi dalil keharusan memanjangkan I’tidal dan duduk antara dua sujud. (Nailul-Autar, juz. 2, kitab as-Solah).

SOLAT (RUKU')

Apa hukum ruku’?

Ruku’ adalah wajib di dalam solat. Tidak sah solat tanpa ruku’. Seorang sahabat Nabi s.a.w. iaitu Huzaifah r.a. pada suatu hari ia melihat seorang lelaki menunaikan solat tanpa melakukan ruku’ dan sujud dengan sempurna. Maka ia berkata; “Engkau sebenarnya tidak mengerjakan solat. Jika engkau mati, engkau mati bukan di atas fitrah Nabi Muhammad s.a.w.” (Riwayat oleh Imam al-Bukhari).

Bagaimana melakukan ruku’ dengan sempurna?

1. Sebelum menundukkan badan untuk ruku’, ucapkan takbir sambil mengangkat tangan –setentang bahu atau telinga-, kemudian barulah turunkan badan.
2. Tapak tangan hendaklah mencapai lutut, jari-jari tangan direnggangkan antara satu sama lain dalam keadaan memegang lutut. Abu Humaid as-Sa’idi r.a. menceritakan; “Nabi tatkala ruku’, baginda menjadikan dua tangannya mencapai dua lututnya” (Riwayat al-Bukhari). Wail bin Hujrin r.a. menceritakan; “Nabi s.a.w. tatkala ruku’ baginda merenggangkan antara jari-jarinya dan tatkala sujud baginda menghimpunnya (yakni merapatkannya)” (Riwayat al-Hakim). Dalam hadis Ibnu ‘Umar r.a., Nabi memerintahkan; “Apabila kamu ruku’, letakkan dua tapak tanganmu di atas dua lututmu, kemudian renggangkan antara jari-jari tanganmu dan berikutnya tetapkanlah diri di dalam ruku’ itu hingga semua anggota berada di dalam posisinya” (Riwayat Ibnu Hibban dan Ibnu Khuzaimah dalam soheh keduanya).
3. Semasa ruku’, belakang badan hendaklah diratakan/disamakan dari punggung hingga ke kepala di mana kepala berada dalam keadaan selari dengan belakang; iaitu tidak ditinggi atau didongakkan dan tidak pula ditundukkan, akan tetapi pertengahan. Ini berdasarkan hadis ‘Aisyah r.a. yang menceritakan sifat solat Nabi s.a.w; “Apabila ruku’, Nabi s.a.w. tidak meninggi atau mendongakkan kepalanya dan tidak juga menunduknya, akan tetapi tengah-tengah antara keduanya (sehingga kepalanya kelihatan rata dengan punggung)”. (Riwayat Imam Muslim)
4. Siku hendaklah dijauhkan dari rusuk. Abu Humaid r.a. menceritakan; “Nabi s.a.w. tatkala ruku’, baginda meletakkan dua tangannya ke atas dua lututnya seolah-olah memegangnya, menegangkan (yakni meluruskan) dua tangannya (yakni dari pergelangan hingga bahu-pent.) serta memisahkannya dari dua rusuknya” (Riwayat Imam at-Tirmizi. Hadis ini menurut Imam at-Tirmizi adalah hasan soheh).
5. Ruku’ wajib dikerjakan dengan tomaninah iaitu berada di dalam keadaan tetap dan tenang di dalam posisi ruku’ di atas sebelum bangun darinya.
5. Semasa ruku’ disunatkan membaca zikir-zikir yang warid dari Nabi terutamanya tasbih.

Apa makna Tomaninah? Apa hukum Tomaninah di dalam solat?

Tomaninah bermakna memastikan diri tetap, tenang dan tidak tergesa-gesa dalam sesuatu posisi solat sebelum berpindah ke posisi yang lain. Sekurang-kurang kadar tomaninah ialah sekali tasbih.

Hukum tomaninah adalah wajib semasa ruku’, I’tidal, sujud dan duduk antara dua sujud. Sabda Nabi s.a.w. (tatkala baginda mengajar solat kepada seorang lelaki yang salah dalam mengerjakan solatnya); “…..kemudian (setelah membaca al-Quran) ruku’lah sehingga kamu tomaninah (tetap dan tenang) dalam keadaan ruku’ itu, kemudian bangkitlah dari ruku’ hingga badan kamu lurus/tegak berdiri, kemudian sujudlah sehingga kamu tomaninah (tetap dan tenang) dalam keadaan sujud itu, kemudian kamu bangkitlah dari sujud sehingga kamu tomaninah (tetap dan tenang) dalam keadaan duduk (antara dua sujud) itu. Seterusnya kamu lakukanlah sedemikian pada (rakaat-rakaat) solat kamu keseluruhannya” (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim). Dalam hadis yang lain, Nabi bersabda; “Tidak sah solat seorang lelaki yang tidak menetapkan tulang sulbinya semasa ruku’ dan sujud” (Riwayat Imam at-Tirmizi dari Abu Mas’ud al-Badari r.a.. Hadis ini menurut beliau; hasan soheh).

Apa hukum membaca tasbih ketika ruku? Berapakah bilangan Tasbih yang sebaiknya dan berapa had maksimanya?

Hukum bertasbih semasa ruku’ adalah sunat. Selain dari tasbih, harus dibaca zikir-zikir lain yang warid dari Nabi s.a.w. semasa ruku’. Sekurang-kurang bilangan tasbih –untuk mendapat pahala bertasbih semasa ruku’- ialah sekali. Lafaznya ialah, “سبحان ربي العطيم” atau “سبحان ربي العطيم وبحمده”. Namun bilangan yang sempurna ialah sekurang-kurangnya tiga kali. Dari ‘Uqbah bin ‘Amir r.a. menceritakan; “Adalah Nabi s.a.w. apabila ruku’ baginda membaca; “سُبْحَاْنَ رَبِّيَ الْعَظِيْمِ وَبِحَمْدِهِ” tiga kali dan apabila sujud baginda membaca; “سُبْحَانَ رَبِّيَ الأَعْلَى وَبِحَمْدِهِ” tiga kali” (Riwayat Imam Abu Daud. Hadis ini dinyatakan oleh Imam as-Suyuti sebagai hasan. Lihat; al-Jami’ as-Saghier, no. 6710)

Bagi yang bersolat sendirian, digalakkan memperbanyakkaan tasbih melebihi tiga kali iaitu lima, tujuh, sembilan sehingga sebelas kali. Jumhur ulamak mazhab Syafi’ie berpandangan; bilangan sebelas adalah yang maksima. Namun Imam as-Subki berpendapat; ia tidak terikat dengan bilangan tertentu. Siapa menghendaki ia boleh menambah seberapa banyak tasbih yang ia suka. Adapun orang yang menjadi imam, ia tidak digalakkan menambah terlalu banyak tasbih kerana dibimbangi memberatkan sebahagian makmumnya. Sebahagian ulamak berkata; memadai imam bertasbih tiga kali sahaja untuk memberi keringanan kepada makmumnya. Namun Ibnu al-Mubarak berpandangan; digalakkan imam bertasbih lima kali supaya makmum di belakangnya sempat bertasbih tiga kali. (Dalail al-Ahkam, 1/289).

Sunat bertasbih semasa ruku’ itu adalah pandangan jumhur ulamak. Ada di kalangan ulamak yang mewajibkannya, antara mereka ialah Imam Ahmad dan al-Hasan.

Adakah harus membaca al-Quran ketika ruku’?

Tidak harus kerana Nabi s.a.w. menegahnya dengan sabdanya; “Ketahuilah! Sesungguhnya aku dilarang membaca al-Quran ketika ruku’ atau sujud. Adapun di dalam ruku’, maka hendaklah kamu agungkan Tuhan kamu. Sementara di dalam sujud, hendaklah kamu bersungguh-sungguh berdoa, nescaya doamu pasti akan diperkenankan” (Riwayat Imam Muslim).

SOLAT (FATIHAH DAN BACAAN AL-QURAN)

Apa hukum membaca al-Fatihah di dalam solat?

Membaca al-Fatihah adalah wajib pada setiap rakaat solat. Sabda Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam-; “Tidak ada solat bagi seorang yang tidak membaca ummul-Quran (yakni surah al-Fatihah)” (Riwayat Imam Muslim dari ‘Ubadah bin as-Shamit r.a.). Maksud tidak ada solat ialah; solat tidak sah.

Apakah syarat-syarat bacaan al-Fatihah yang sempurna?

1. Membacanya dengan memperdengarkan kepada diri sendiri. Tidak memadai membaca di dalam hati. Adapun bagi orang bisu, memadai dengan menggerakkan lidah dan dua bibirnya sekadar yang mampu.

2. Wajib menjaga makhraj serta tajwidnya. Begitu juga, wajib mengikut susunan dan berturut-turut iaitu tanpa diselangi antara ayat-ayatnya dengan berhenti yang lama.

3. Hendaklah dibaca dengan bahasa Arab. Tidak sah solat jika dibaca dengan bahasa lain, sama ada seseorang itu memahami bahasa Arab atau tidak.

Adakah Bismillah sebahagian dari al-Fatihah?

Ya. Bismillah adalah sebahagian dari al-Fatihah dan wajib dibaca tatkala membaca al-Fatihah. Dalilnya ialah apa yang tertera di dalam mushaf al-Quran di mana Bismillah ditulis sebagai ayat pertama dari al-Fatihah dan apa yang ditulis di dalam al-Quran merupakan ijmak para Huffaz.

Bagi solat jahriyyah (yakni yang sunat diperdengarkan bacaan al-Quran di dalamnya), adakah Bismillah itu perlu dibaca dengan kuat atau dibaca perlahan sahaja?

Dalam masalah ini ada dua pandangan;

Pandangan pertama; iaitu pandangan ulamak-ulamak mazhab Syafi’ie; Bismillah wajib dibaca dengan kuat (yakni diperdengarkan) kerana ia adalah salah satu ayat dari al-Fatihah sebagaimana yang tertera di dalam mushaf. Terdapat hadis dari Ummu Salamah –radhiyallahu ‘anha- menceritakan: “Rasulullah menghitung Bismillah sebagai satu ayat (dari al-Fatihah)”. (Riwayat Imam Ibnu Khuzaimah dengan sanad yang soheh. Kedudukan sanad hadis ini sebagai soheh juga ditegaskan oleh Dr. Mustafa al-Khin dan Dr. Mustafa al-Bugha dalam kitab mereka al-Fiqhul-Manhaji (Jil. 1, hlm. 131).). Dalam musnad Imam Syafi’ie terdapat riwayat dari Soleh Maula at-Tauamah yang menceritakan; “Sesungguhnya Abu Hurairah r.a. membuka solatnya dengan membaca Bismillah”. (Hadis yang miripnya diriwayatkan juga oleh Abdurrazzaq, ad-Daruqutni, Ibnu al-Jarud, Ibnu Khuzaimah, Ibnu Hibban dan al-Hakim. Darjatnya adalah soheh menurut Imam ad-Daruqutni, al-Baihaqi dan al-Hakim dengan dipersetujui oleh az-Zahabi. Lihat; Musnad Imam as-Syafi’ie, ditahqiq dan ditakhrij oleh; Dr. Rif’at Fauzi ‘Abdul-Muttalib, jil. 1, hlm. 256, ter. Dar al-Basyair al-Islamiyyah, Beirut (2005)).

Pandangan kedua; iaitu pandangan jumhur ulamak; Bismillah hendaklah dibaca secara perlahan, tidak dikuatkan. Mereka berdalilkan hadis dari Anas r.a. yang menceritakan; “Aku telah pernah menunaikan solat bersama Rasulullah s.a.w., Abu Bakar, Umar dan Ustman, maka aku tidak pernah mendengar seorang pun dari mereka yang membaca Bismillah”. (Riwayat Imam Muslim)

Dalam menselarikan antara dua riwayat yang zahirnya kelihatan saling bercanggah itu, ada baiknya kita mengambil pandangan Imam Ibnu Khuzaimah yang menyebutkan; membaca Bismillah dengan kuat atau membacanya dengan perlahan kedua-duanya adalah harus kerana kedua-duanya dilakukan oleh Rasulullah. Tidak ada salah satu darinya yang dilarang. Perbezaan dalam hal ini adalah diharuskan. (Lihat; ulasan Dr. Rif’at Fauzi ‘Abdul-Muttalib dalam Musnad Imam as-Syafi’ie, jil. 1, hlm. 256, ter. Dar al-Basyair al-Islamiyyah, Beirut (2005)). Hal yang sama ditegaskan oleh Imam Ibnul-Qayyim dalam Zadul-Ma’ad; Rasulullah s.a.w. adakalanya baginda membaca Bismillah dengan kuat, namun baginda menyembunyikannya (yakni membacanya dengan suara perlahan) adalah lebih kerap dari menguatkannya. (Lihat; Zadul-Ma’ad, jil. 1)

Adakah makmum juga perlu membaca al-Fatihah di belakang imam? Atau memadai dengan bacaan al-Fatihah imamnya?

Dalam masalah ini ada dua pandangan ulamak;

Pertama; menurut ulamak-ulamak mazhab Imam Syafi’ie; makmum wajib membaca al-Fatihah di belakang imamnya sama ada di dalam solat sirriyah atau jahriyyah, sama ada ia dapat mendengar bacaan imamnya atau tidak. Mereka berdalilkan hadis dari Abu Hurairah r.a. yang menceritakan bahawa Nabi s.a.w. bersabda; ‘Sesiapa menunaikan solat tanpa membaca di dalamnya ummul-Quran (yakni al-Fatihah), maka solatnya adalah cacat (tidak sempurna)’. Baginda mengulangi sabdanya itu sebanyak tiga kali. Lalu ditanya kepada Abu Hurairah r.a.; ‘Bagaimana jika kami menunaikan solat di belakang imam?’. Jawab Abu Hurairah r.a.; ‘Bacalah al-Fatihah itu dalam diri kamu’” (Riwayat Imam Muslim, Tirmizi dan Ibnu Majah).

Kedua; menurut jumhur ulamak (Imam Abu Hanifah, Malik dan Ahmad); tidak wajib lagi makmum membaca al-Fatihah kerana al-Fatihahnya telah ditanggung oleh imamnya. Cuma Imam Ahmad membezakan antara dua keadaan;
(Pertama); ketika imam tidak membaca dengan kuat atau makmum tidak dapat mendengar bacaannya; maka ketika itu disunatkan makmum membaca al-Fatihah di belakang imamnya. Jika ia tidak membacanya, tidaklah mengapa (yakni solatnya masih sah) kerana ia disunatkan sahaja dan bacaan imam telah memadai untuknya. Begitu juga, disunatkan juga ia membacanya jika imamnya senyap seketika selepas membaca al-Fatihah untuk memberi peluang makmumnya membaca al-Fatihah.
(Kedua); jika imam membaca dengan kuat dan makmum dapat mendengar bacaannya, ketika itu tidak disunatkan makmum membacanya (malah dimakruhkan), sebaliknya makmum hendaklah mendengar dan memberi perhatian kepada bacaan imamnya.
Ulamak-ulamak mazhab Imam Ahmad berdalilkan ayat al-Quran yang bermaksud; “Dan apabila al-Quran itu dibacakan, maka dengar dengan memberi perhatian kepadanya serta diamlah supaya kamu beroleh rahmat” (surah al-A’raf, ayat 204). Begitu juga, berdalilkan sabda Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam-; “Sesungguhnya dilantik imam itu adalah untuk diikuti. Maka apabila ia bertakbir, maka hendaklah kamu turut bertakbir dan apabila ia membaca (al-Quran) hendaklah kamu senyap (dan mendengarnya)” (riwayat Imam Muslim dari Abu Hurairah –radhiyallahu ‘anhu-), dan juga sabdanya; “Sesiapa mempunyai imam, maka bacaan imam adalah bacaan untuknya” (Riwayat Ibnu Abi Syaibah, ad-Daruqutni dan Ibnu Majah). Mengenai hadis yang dikemukakan oleh ulamak-ulamak mazhab Syafi’ie di atas, mereka menjawab; hadis itu khusus untuk orang yang mengerjakan solat bersendirian atau untuk makmum yang tidak dapat mendengar bacaan imamnya. Adapun ucapan Abu Hurairah ‘Bacalah al-Fatihah itu dalam diri kamu’, ucapan tersebut merupakan pandangan beliau (bukan arahan Nabi), atau mungkin juga bacaan yang beliau maksudkan ialah bacaan ketika imam senyap seketika selepas membaca al-Fatihah untuk memberi peluang kepada makmumnya membaca al-Fatihah. (Al-Mughni, 1/392-393).

Adakah imam disunatkan senyap seketika apabila habis membaca al-Fatihah, sebelum meneruskan bacaan ayat atau surah selepasnya?

Ya. Sebahagian ulamak –antaranya Imam Syafi’ie dan Imam Ahmad- mensunatkan imam supaya berhenti seketika selepas membaca al-Fatihah (sebelum meneruskan bacaan ayat atau surah yang lain) bagi memberi peluang kepada makmumnya membaca al-Fatihah di belakangnya. Mereka berdalilkan hadis dari Samurah bin Judub –radhiyallahu ‘anhu- yang menceritakan bahawa ia menghafal dari Nabi (yakni dari perbuatan baginda ketika solat) dua saktah (yakni dua ketika di mana baginda sengap); (pertama) selepas baginda mengucapkan Takbiratul-Ihram, dan (kedua) selepas membaca “غير المغضوب عليهم ولا الضالين” (yakni selepas membaca al-Fatihah)” (riwayat Imam Abu Daud).

Namun sebahagian ulamak yang lain –antaranya Imam Abu Hanifah dan Imam Malik- memakruhkannya. Menurut mereka hadis di atas adalah dhaif. (Al-Mughni, 1/346).

Apa hukum membaca Isti’azah sebelum membaca al-Fatitah? Adakah ia perlu di baca di setiap rakaat?

Membaca Isti’azah disunatkan sebelum membaca al-Quran sama ada di dalam solat atau di luar solat. Firman Allah (bermaksud); “Apabila kamu hendak membaca al-Quran, maka hendaklah (terlebih dahulu) kamu memohon perlindungan dengan Allah dari hasutan syaitan yang direjam” (al-Nahl: 98).

Menurut Imam Syafi’ie; Isti’azah sunat diulangi pada setiap rakaat dan yang paling utama ialah pada rakaat pertama. Imam Abu Hanifah pula berpandangan; Isti’azah hanya dibaca pada rakaat pertama sahaja. Tidak sunat diulangi pada rakaat-rakaat yang lain.

Apakah lafaz Isti’azah yang boleh dibaca di dalam solat?

Lafaz pertama;

أعوذ بالله من الشيطان الرجيم
“Aku berlindung dengan Allah dari syaitan yang direjam”.

Lafaz ini diambil dari ayat al-Quran tadi.

Lafaz kedua;

أعُوذُ باللّه السَّمِيعِ العَلِيمِ مِنَ الشَّيْطانِ الرََّجِيمِ مِنْ هَمْزِهِ وَنَفْخِهِ وَنَفْثِهِ
“Aku berlindung dengan Allah Tuhan yang maha mendengar lagi mengetahui dari kejahatan syaitan yang direjam; dari kegilaannya, kebongkakannya dan sya’irnya”.

Diriwayatkan dari Abi Sa’id al-Khudri –radhiyallahu ‘anhu- yang menceritakan bahawa Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam- selepas membaca doa Iftitah, baginda membaca Isti’azah di atas sebelum membaca al-Fatihah. (Riwayat Imam Ahmad, at-Tirmizi dan lain-lain)

Apa hukum mengucapkan aamin selepas membaca al-Fatihah? Adakah makmum mengucapkan aamin serentak dengan imam atau selepas imam mengucapkannya?

Mengucapkan aamin selepas membaca al-Fatihah adalah sunat. Ini berdasarkan sabda Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam-; “Apabila imam selesai membaca “غَيْرِ الْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلاَ الضَّالِّينَ”, maka hendaklah kamu membaca; “آمِينَ” (aamin)” (Riwayat Imam Muslim dari Abu Musa –radhiyallahu ‘anhu-). Sabda Nabi lagi; “Apabila qari (yakni imam) telah membaca “غَيْرِ الْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلاَ الضَّالِّينَ”, lalu orang di belakangnya (yakni makmum) membaca; “آمِينَ” dan bertepatan bacaan aminnya dengan bacaan amin penduduk langit (yakni para malaikat), nescaya akan diampunkan dosanya yang telah lalu” (Riwayat Imam Muslim).

Mengucapkan aamin itu disunatkan kepada orang yang bersolat sendirian, menjadi imam atau menjadi makmum. Dalam solat jahriyyah sunat ucapan aamin diperdengarkan dan dalam solat sirriyyah sunat diperlahankannya iaitu mengikut bacaan al-Fatihah. Dalam solat berjamaah, makmum hendaklah mengucapkan aamin serentak dengan imamnya, iaitu tidak mendahuluinya dan tidak juga selepasnya, akan tetapi bersama-samanya berdalilkan hadis Abu Musa di atas.

Apa hukum membaca ayat atau surah selepas al-Fatihah?

Hukumnya adalah sunat. Sabda Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam-; “Sesiapa yang membaca ummul-Kitab (surah al-Fatihah), maka mencukupi ummul-Kitab itu baginya (sebagai bacaan al-Quran yang diwajibkan di dalam solat). Dan sesiapa yang menambah (dengan membaca ayat atau surah lain), maka ia adalah paling baik” (Riwayat Imam Muslim dari Abu Hurairah –radhiyallahu ‘anhu-)

Adakah ayat atau surah selepas al-Fatihah itu disunatkan pada setiap rakaat?

Tidak. Ia hanya disunatkan pada rakaat pertama dan kedua sahaja. Ini berdasarkan hadis dari Abi Qatadah yang menceritakan; “Nabi membaca pada dua rakaat yang awal (yakni rakaat pertama dan kedua) di salam solat Zohor dan Asar al-Fatihah dan satu surah yang lain. Kadang-kadang baginda memperdengarkan kepada kami bacaan ayatnya. Pada dua rakaat yang akhir (yakni rakaat ketiga dan keempat), baginda hanya membaca al-Fatihah sahaja”. (Riwayat Imam Muslim).

Adakah disunatkan membaca ayat atau surah selepas al-Fatihah di dalam solat jenazah?

Menurut mazhab Imam Syafi’ie; tidak disunatkan.

Adakah sunat bacaan ayat atau surah selepas al-Fatihah itu dimulakan dengan Bismillah?

Menurut Imam Ibnu al-Qudamah; disunatkan dan hendaklah dibaca perlahan.

Apakah perkara-perkara yang disunatkan ketika membaca ayat atau surah di dalam al-Quran?

1. Disunatkan di dalam solat subuh dan zohor membaca surah-surah dari kelompok “طوال المفصل”. Di dalam solat asar dan isya’ disunatkan “أوساط المفصل” dan disunatkan “قصار المفصل” dalam solat maghrib.

2. Disunatkan bacaan dalam rakaat pertama lebih panjang dari rakaat kedua. Ini berdasarkan hadis riwayat Imam al-Bukhari dari Abi Qatadah yang menceritakan; “Adalah Rasulullah s.a.w. membaca pada dua rakaat pertama dari solat zohor surah al-Fatihah dan dua surah yang lain di mana baginda memanjangkan (bacaan) pada rakaat pertama dan memendekkannya pada rakaat kedua dan adakalanya memperdengarkan ayat kepada kami (yakni membaca dengan kuat hingga didengari oleh kami). Dan baginda membaca dalam solat asar surah al-Fatihah dan dua surah yang lain di mana baginda memanjangkan (bacaan) pada rakaat pertama. Begitu juga, baginda memanjangkan (bacaan) pada rakaat pertama dari solat subuh dan memendekkannya pada rakaat kedua”. (Riwayat Imam Bukhari)

3. Membaca satu surah pendek lebih afdhal dari membaca ayat-ayat dengan kadarnya dari surah-surah panjang. Ini berdasarkan hadis-hadis tadi yang menyebutkan; “Nabi membaca al-Fatihah dan surah”.

4. Disunatkan bacaan mengikut tertib surah dan ayat di dalam mushaf iaitu dibaca dalam rakaat pertama ayat atau surah yang terdahulu susunannya dari ayat atau surah yang akan dibaca dalam rakaat kedua. Makruh melakukan sebaliknya, namun jika dilakukan tidaklah membatalkan solat.

5. Harus membaca di dalam solat mengikut mana-mana wajah qiraat yang tujuh. Adapun wajah qiraat yang syaz, maka tidak harus.

Adakah makmun juga disunatkan membaca ayat atau surah selepas al-Fatihah?

Jika solat yang ditunaikan secara berjamaah adalah solat sirriyyah (yakni solat yang solat yang tidak diperdengarkan bacaan al-Quran di dalamnya), makmun juga disunatkan membaca ayat atau surah selepas al-Fatihah sebagaimana imamnya juga. Ini berdasarkan hadis dari Jabir –radhiyallahu ‘anhu- yang menceritakan; “Kami membaca di dalam solat Zohor dan Asar di belakang imam pada dua rakaat yang pertama surah al-Fatihah dan satu surah yang lain. Pada dua rakaat yang lain (yakni rakaat ke tiga dan ke empat), kami hanya membaca al-Fatihah sahaja” (Riwayat Imam Ibnu Majah dengan sanad yang soheh).

Akan tetapi, janganlah menguatkan bacaan hingga mengganggu ahli jamaah yang lain. Sabda Nabi; “Sesungguhnya orang yang menunaikan solat ia sedang bermunajat dengan Tuhannya. Hendaklah ia perhatikan dengan apa ia munajatkan. Janganlah sebahagian kamu mengeraskan suara ke atas sebahagian yang lain tatkala membaca al-Quran” (Riwayat Imam at-Thabrani dari Abu Hurairah dan ‘Aisyah). Dari ‘Imran bin Hushain r.a. menceritakan; “Nabi s.a.w. telah menunaikan solat zohor –atau asar- bersama kami. (Lalu seorang lelaki membaca di belakang baginda surah “سبح اسم ربك الأعلى” dengan suara yang kuat). Maka (apabila selesai solat) Rasulullah bertanya; ‘Siapakah yang membaca di belakangku surah “سبح اسم ربك الأعلى”? Lelaki itu menjawab; Saya ya Rasulullah! Namun saya tidak bermaksud melainkan dengan tujuan yang baik. Lalu Rasulullah s.a.w. berkata; “Sesungguhnya aku mendapati sebahagian dari kamu telah menyanggahiku dengan bacaannya (yakni mengganggu bacaanku dengan bacaannya yang kuat)” (Riwayat Imam Muslim).

Adapun jika solat yang dikerjakan berjamaah itu adalah solat jahriyyah, maka tidak disunatkan makmum membaca ayat atau surah selepas al-Fatihah. Ia hendaklah mendengar bacaan imam sahaja sebagaimana sabda Nabi; “Sesungguhnya dilantik imam itu adalah untuk diikuti. Maka apabila ia bertakbir, maka hendaklah kamu turut bertakbir dan apabila ia membaca (al-Quran) hendaklah kamu senyap (dan mendengarnya)” (riwayat Imam Muslim dari Abu Hurairah –radhiyallahu ‘anhu-). Namun dikecualikan jika makmum berada jauh dari imam dan tidak dapat mendengar bacaannya, maka ketika itu disunatkan ia membaca sendiri ayat atau surah.

Apa maksud solat jahriyyah dan solat sirriyyah? Apa kaedah dari Syarak untuk menentukan antara keduanya?

Solat jahriyyah bermaksud solat-solat yang mana bacaan al-Quran (yakni al-Fatihah dan ayat atau surah selepasnya) di dalamnya sunat diperdengarkan. Solat Sirriyyah pula ialah solat-solat yang mana bacaan al-Quran di dalamnya sunat diperlahankan atau disembunyikan. Dalam sebuah hadis, Abu Hurairah r.a. menceritakan; “Dalam setiap solat ada bacaan. Maka apa yang diperdengarkan kepada kami oleh Nabi s.a.w., maka kami perdengarkan kepada kamu dan apa yang disembunyikannya dari kami, maka kami sembunyikannya dari kamu” (Riwayat Imam Muslim). Hadis di atas menunjukkan bahawa terdapat solat di mana Rasulullah memperdengarkan bacaannya (yakni membaca surah al-Fatihah dan ayat/surah selepasnya dengan suara kuat) dan ada solat di mana baginda menyembunyi (yakni memperlahankan) bacaannya.

Bagi solat-solat fardhu, kaedah menentukan antara keduanya adalah seperti berikut;
1. Bagi solat subuh dan solat jumaat, sunat menguat atau memperdengarkan bacaan pada kedua-dua rakaatnya.
2. Bagi solat maghrib dan isyak, sunat menguat atau memperdengarkan bacaan pada dua rakaat yang awal sahaja. Adapun rakaat ketika atau keempat, hendaklah disembunyikan bacaan.
3. Bagi solat zohor dan asar, disunatkan menyembunyikan bacaan pada keseluruhan rakaatnya.

Bagi solat sunat pula; kaedahnya ialah;
1. Bagi solat hari-raya dan istisqa’ disunatkan memperdengarkan bacaan.
2. Solat-solat sunat siang (نوافل النهار) disunatkan menyembunyikan bacaan.
3. Solat-solat sunat malam (نوافل الليل); ada dua pandangan; (pertama) disunatkan memperdengarkan bacaan, (kedua) dibaca secara sederhana antara memperdengar dan menyembunyikannya. Pandangan yang rajih ialah yang kedua.
4. Solat kusuf (gerhana matahari/bulan); jika berlaku gerhana di siang hari, maka disunatkan menyembunyikan bacaan dan jika gerhana pada malam hari, disunatkan memperdengarkan bacaan.

Bagi solat qadha’, jika solat yang tertinggal adalah solat malam (iaitu maghrib, isya’ dan subuh), sekiranya diqadha’ pada malam yang lain, maka sunat diperdengarkan bacaan. Jika diqadha’ pada waktu siang, sunat disembunyikan bacaan. Jika yang tertinggal adalah solat siang (yakni zohor dan asar) dan diqadha pada siang hari, maka sunat disembunyikan bacaan. Adapun jika diqadha pada malam hari, maka sunat diperdengarkan bacaan. Kesimpulannya, yang dijadikan perkiraan ialah bila solat qadha itu ditunaikan; di waktu siang atau di waktu malam.

Adapun solat jenazah, sunat disembunyikan bacaan sama ada dikerjakan pada waktu siang atau malam. Oleh kerana, memperdengar atau menyembunyikan bacaan dalam masalah-masalah di atas hukumnya sunat sahaja, maka jika dicanggahi tidaklah membawa kepada batalnya solat, malah tidak membawa kepada perlunya sujud sahwi.

SOLAT (DOA IFTITAH)

Apa maksud doa Iftitah? Apa hukum membacanya?

Doa Iftitah ialah doa yang dibaca sebagai pembuka solat iaitu sebaik saja selesai takbiratul-Ihram dan sebelum membaca al-Fatihah. Abu Hurairah r.a. menceritakan; “Adalah Rasulullah s.a.w. apabila telah bertakbir memasuki solat (yakni takbiratul-ihram), baginda senyap seketika sebelum mula membaca (al-Fatihah). Lalu aku bertanya baginda; ‘Ya Rasulullah! Sesungguhnya aku melihat engkau senyap di antara takbir dan bacaan (al-Fatihah). Apa yang engkau ucapkan?’. Baginda menjawab; ‘Aku membaca;

اللَّهُمَّ بَاعِدْ بَيْنِي وَبَيْنَ خَطَايَايَ كَمَا بَاعَدْتَ بَيْنَ الْمَشْرِقِ وَالْمَغْرِبِ، اللَّهُمَّ نَقِّنِي مِنْ خَطَايَايَ كَمَا يُنَقَّى الثَّوْبُ الأَبْيَضُ مِنَ الدَّنَسِ، اللَّهُمَّ اغْسِلْنِي مِنْ خَطَايَايَ بِالثَّلْجِ وَالْمَاءِ وَالْبَرَدِ
“Ya Allah! Jauhkanlah aku dari dosa-dosaku sebagaimana Engkau menjauhkan Timur dan Barat. Ya Allah! Bersihkanlah daku dari dosa-dosaku sebagaimana dibersihkan pakaian putih dari kotoran. Ya Allah! Sucikanlah daku dari dosa-dosaku dengan salji, air dan embun”. (Riwayat Imam Muslim)

Hukum membaca doa Iftitah adalah sunat. Kita boleh memilih mana-mana satu doa Iftitah yang pernah dibaca atau diajar oleh Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam- di dalam hadisnya-. Doa Iftitah ini hendaklah dibaca perlahan (tidak dikuatkan suara).

Wednesday, June 18, 2008

SOLAT (TAKBIRATUL-IHRAM DAN MENGANGKAT TANGAN)

Apa hukum memulakan solat dengan bertakbir? Kenapakah takbir di awal solat dinamakan Takbiratul-Ihram?

Hukumnya adalah wajib kerana Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam- bersabda; “Apabila kamu hendak menunaikan solat, maka sempurnakanlah wudhuk, kemudian mengadaplah ke arah qiblat. Setelah itu, ucapkanlah takbir…”. (Riwayat Imam al-Bukhari dari Abu Hurairah –radhiyallahu ‘anhu-).

Ia dinamakan Takbiratul-Ihram kerana (takbir yang mengharamkan) kerana ia mengharamkan semua perbuatan yang lain daripada perbuatan-perbuatan yang mesti dilakukan didalam solat, iaitu; apabila mula melafazkan ucapan takbir ini, tidak harus bagi kita untuk melakukan perbuatan-perbuatan diluar solat seperti makan, minum dan sebagainya. Sabda Nabi; “Pembuka solat ialah bersuci, yang mengharamkan segala perbuatan yang lain (selain perbuatan solat) ialah takbir dan yang menghalalkannya semula ialah memberi salam”. (Riwayat Imam Ahmad, Abu Daud, Tirmizi dan Ibnu Majah dari ‘Ali bin Abi Thalib r.a.).

Apa hukum mengangkat tangan ketika Takbiratul-Ihram? Bagaimana caranya yang sempurna yang dilakukan oleh Nabi?

Mengangkat tangan ketika Takbiratul-Ihram adalah sunat. Caranya ialah; kedua-dua tangan diangkat hingga setentang dengan dua telinga atau setentang dengan dua bahu, yakni boleh memilih mana satu dari dua cara ini kerana kedua-duanya ada dilakukan oleh Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam-;

Cara pertama; hadis dari Malik bin al-Huwairith –radhiyallahu ‘anhu- yang menceritakan; “Rasulullah –sallallahu ‘alaihi wasallam- apabila baginda bertakbir, baginda mengangkat dua tangan hingga setentang dengan dua telinganya. Dan apabila baginda ruku’, baginda mengangkat dua tangan hingga setentang dengan dua telinganya. Apabila mengangkat kepalanya dari ruku’, baginda membaca; “سمع الله لمن حمده” dengan melakukan seumpama tadi”. (Riwayat Imam Muslim)

Cara kedua; berdasarkan hadis Abdullah bin ‘Umar –radhiyallahu ‘anhu- yang menceritakan; “Aku melihat Rasulullah –sallallahu ‘alaihi wasallam- apabila memulakan solat, baginda mengangkat dua tangannya hingga setentang dengan dua bahunya, begitu juga sebelum baginda ruku’ dan apabila baginda bangkit dari Ruku’. Namun baginda tidak mengangkat kedua tangannya antara dua sujud”. (Riwayat Imam Muslim)

Semasa mengangkat tangan itu, tapak tangan hendak di buka atau didedahkan dan dihalakan ke arah kiblat. Jari-jari tangan pula, menurut Imam Syafi’ie hendaklah diluruskan dengan direnggangkan secara sederhana antara satu sama lain (yakni tidak dirapatkan). Menurut ulamak-ulamak yang lain (antaranya Imam Ahmad), jari-jari tangan hendaklah dirapatkan (yakni tidak direnggangkan).[1] Imam Syafi’ie berdalilkan hadis dari Abu Hurairah –radhiyallahu ‘anhu- yang menceritakan; “Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam- membuka jari-jarinya semasa takbir”. (Riwayat Imam Ibnu Khuzaimah, Ibnu Hibban dan al-Hakim dari Abu Hurairah)

Imam Ahmad pula berdalilkan hadis dari Abu Hurairah juga yang menceritakan; “Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam- semasa memasuki solat (yakni memulakan solat) baginda mengangkat dua tangannya dengan meluruskannya (tanpa merenggangkannya)”. (Riwayat Imam at-Tirmizi). Menurut Imam at-Tirmizi; riwayat yang kedua ini lah yang soheh. Adapun riwayat pertama di atas berlaku kesalahan dalam riwayat (oleh seorang perawi bernama Yahya bin al-Yaman). Kerana itu, menurut Imam Ibnu Qudamah; pandangan yang tepat dalam masalah ini ialah pandangan kedua (iaitu pandangan Imam Ahmad).[2]

Selain dari ketika Takbiratul-Ihram, bilakah lagi kita disunatkan mengangkat tangan?

Ada tiga tempat lagi iaitu;
1. Ketika hendak ruku’
2. Ketika bangun dari ruku’
3. Ketika bangun dari Tahiyat Awal ke rakaat ke tiga.

Malik bin al-Huwairith r.a. menceritakan; “Bahawa Rasulullah s.a.w. apabila baginda bertakbir, baginda mengangkat dua tangan hingga setentang dengan dua telinganya. Dan apabila baginda ruku’, baginda mengangkat dua tangan hingga setentang dengan dua telinganya. Apabila mengangkat kepalanya dari ruku’, baginda membaca; “سمع الله لمن حمده” dengan melakukan seumpama itu” (Riwayat Imam Muslim).

Ibnu ‘Umar –radhiyallahu ‘anhu- menceritakan; “Adalah Rasulullah –sallallahu ‘alaihi wasallam- apabila beliau bangun selepas (selesai) dua rakaat, beliau akan bertakbir dan mengangkat dua tangannya” (Riwayat Imam Abu Daud).

Bila masanya tangan hendak diangkat; sebelum takbir atau selepas takbir atau serentak dengan takbir?

Ada tiga cara yang ketiga-tiganya disebut oleh hadis;

Pertama; mengangkat tangan serentak dengan takbir. Ini berdasarkan hadis dari Nafi’ (seorang Tabi’in) yang menceritakan; Ibnu ‘Umar –radhiyallahu ‘anhu- (seorang sahabat Nabi) apabila memasuki solat (yakni memulakannya), beliau bertakbir sambil mengangkat dua tangannya…Beliau (yakni Ibnu ‘Umar) merujuk hal tersebut kepada Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam-”. (Riwayat Imam al-Bukhari)

Kedua; mengangkat tangan terlebih dahulu, kemudian bertakbir. Ini berdasarkan hadis Ibnu ‘Umar –radhiyallahu ‘anhu- yang menceritakan; “Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam- apabila telah berdiri untuk solat, beliau mengangkat dua tangannya setentang dua bahunya, kemudian beliau bertakbir…”. (Riwayat Imam Muslim)

Ketiga; bertakbir terlebih dahulu, kemudian mengangkat tangan. Ini berdasarkan hadis dari Abi Qilabah yang menceritakan bahawa ia telah melihat Malik bin al-Huwairith (seorang sahabat Nabi) –radhiyallahu ‘anhu- tatkala beliau mengerjakan solat, ia mengucapkan takbir, kemudian baru mengangkat kedua tangannya. Malik memberitahu bahawa Rasulullah melakukan sedemikian”. (Riwayat Imam Muslim)

Jika kita mengerjakan solat berjamaah, bila masanya kita perlu bertakbir; selepas imam atau bersama-sama dengan imam?

Makmum hendaklah bertakbir selepas imamnya selesai bertakbir. Tidak harus ia bertakbir mendahului imamnya atau bertakbir serentak dengan imamnya. Ini kerana Rasulullah –sallallahu ‘alaihi wasallam- bersabda; “Sesungguhnya imam itu adalah untuk diikuti. Apabila ia bertakbir, barulah kamu turut bertakbir. Apabila ia sujud, barulah kamu turut sujud…”. (Riwayat Imam Muslim dari Anas bin Malik –radhiyallahu ‘anhu-)

Apa kelebihan Takbir Pertama (at-Takbiratul-Ula)? Apa maksudnya?

Kelebihan Takbir Pertama disebut oleh Rasulullah - sallallahu ‘alahi wasallam- dalam sabdanya; “Sesiapa menunaikan solat kerana Allah selama 40 hari berjamaah dengan memperolehi takbir pertama, akan ditulis untuknya dua pembebasan; pembebasan dari neraka dan pembebasan dari nifaq”. (Riwayat Imam at-Tirmizi dari Anas –radhiyallahu ‘anhu-)

Menurut Imam Nawawi; maksud takbir pertama ialah seseorang itu bertakbir sebaik sahaja imamnya selesai bertakbir, yakni ia mengikut imam bermula dari takbiratul-ihram lagi. Ada pandangan berkata; fadhilat takbir pertama itu diperolehi selagi seseorang itu sempat berdiri bersama imam (sebelum imam rukuk). Pandangan lain lagi menyebutkan; kelebihan takbir pertama itu masih dapat diperolehi oleh makmum jika ia mendapat awal ruku’ bersama imam (pada rakaat pertama).[3]

Di mana tangan hendak diletakkan selepas takbiratul-ihram? Bagaimana caranya?

Tangan hendaklah di letakkan di bahagian atas dari pusat iaitu di atas dada atau di bawah sedikit dari dada (menurut Imam Syafi’ie) dengan kedudukan tangan kanan di atas tangan kiri. Ini berdalilkan hadis dari Wail bin Hujrin –radhiyallahu ‘anhu- yang menceritakan; “Saya menunaikan solat bersama Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam- di mana baginda meletakkan tangan kanannya di atas tangan kirinya di atas dada”. (Riwayat Imam Ibnu Khuzaimah).

Jari-jari tangan kanan hendaklah memegang belakang tangan kiri. Ini berdasarkan dari Qubaishah bin Hulb dari bapanya –radhiyallahu ‘anhu- yang menceritakan; “Rasulullah –sallallahu ‘alaihi wasallam- telah mengimami kami di mana baginda memegang tangan kirinya dengan tangan kanannya”. (Riwayat Imam at-Tirmizi. Menurut Imam at-Tirmizi, hadis ini adalah hasan).

Ada juga ulamak yang berpandangan; tangan hendaklah diletakkan di bawah pusat. Antara mereka ialah Imam an-Nakha’ie, as-Sauri dan Imam Ahmad (mengikut satu riwayat darinya). Mereka berdalilkan hadis dari Saidina ‘Ali yang berkata; “Di antara sunnah di dalam solat ialah meletakkan tangan kanan di atas tangan kiri di bawah pusat”. (Riwayat Imam Ahmad dan Abu Daud). Namun menurut ulamak hadis; hadis ini adalah dhaif, tidak harus dijadikan hujjah.

Ke mana kita perlu letakkan pandangan mata kita ketika solat?

Mata hendaklah melihat ke tempat sujud.

[1] Al-Mughni, 1/333.
[2] Al-Mughni, 1/333.
[3] Mugni al-Muhtaj, jil. 1, hlm. 317-318.

SOLAT (NIAT)

Apakah hukum niat?

Niat adalah wajib. Tidak sah solat tanpa niat. Kewajipan niat adalah berdasarkan sabda Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam; “Sesungguhnya segala amalan bergantung kepada niat. Sesungguhnya bagi setiap diri apa yang diniatkannya”. (Riwayat Imam Muslim dari Saidina ‘Umar–radhiyallahu ‘anhu-)

Bagaimana cara berniat bagi solat fardhu?

Apabila kita hendak mengerjakan solat fardhu, hadirkan di dalam hati kita;
1. Kehendak untuk mengerjakan solat
2. Meniatkan bahawa solat yang hendak dikerjakan itu adalah solat fadhu
3. Menentukan mana solat satu fardhu yang hendak dilakukan; subuh atau zohor atau sebagainya.
4. Jika kita berjamaah, niatkan di dalam hati mengikuti orang lain.

Niat yang diwajibkan ialah di dalam hati. Adapun melafazkan dengan lidah, ia hanya sunat sahaja mengikut mazhab Syafi’ie. Ada ulamak berpandangan; bid’ah melafazkannya dengan lidah kerana tidak pernah dilakukan oleh Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam- atau para sahabat.

Bagaimana cara berniat bagi solat sunat?

Solat sunat ada dua jenis;
1. Solat sunat yang tidak berwaktu atau bersebab (iaitu solat sunat mutlak)
2. Solat sunat berwaktu dan bersebab; contohnya; solat sunat Dhuha, solat sunat Qabliyah atau Ba’diyah, solat sunat Kusuf (gerhanan), solat sunat hari raya dan sebagainya.

Bagi jenis pertama, memadai dengan kita berniat di dalam hati kehendak untuk mengerjakan solat.

Adapun bagi jenis kedua (yakni solat sunat berwaktu dan bersebab), niatnya hendaklah merangkumi;
1. Kehendak hati untuk mengerjakan solat
2. Meniatkan jenis solat solat yang hendak dikerjakan.

Contohnya; jika kita ingin mengerjakan solat Dhuha, maka niatkan di dalam hati keinginan kita untuk mengerjakan solat dan bahawa solat yang hendak dikerjakan itu ialah dhuha.

Bilakah masanya kita perlu menghadirkan niat?

Niat hendaklah dihadirkan semasa mengucapkan takbir. Tidak harus niat dihadirkan sebelum takbir atau selepas habis takbir. Ini adalah pandangan mazhab Syafi’ie. Ada di kalangan ulamak berpendapat; harus didahulukan niat dari takbir asalkan jarak masa antara niat dan takbir itu tidak lama, iaitu sebaik sahaja berniat, hendaklah terus melafazkan takbir tanpa menunggu lagi. Pandangan kedua ini merupakan mazhab Imam Ahmad dan juga Abu Hanifah. (Al-Mughni, 1/332).

CIRI-CIRI SOLAT SEMPURNA

Apa yang dimaksudkan dengan solat yang sempurna?

Iaitu solat yang dilakukan dengan memenuhi segala rukun-rukun dan sunat-sunatnya dalam keadaan tenang, khusyuk dan penuh penumpuan. ciri-ciri solat yang sempurna ialah;
1. Orang yang melakukannya meyakini bahawa solat yang dilakukannya adalah sebagaimana solat Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam-.
2. Setiap pergerakan di dalamnya dilakukan dengan toma’ninah (tenang, tertib, sopan dan tidak tergesa-gesa).
3. Lidah menyebut dengan elok dan fasih bacaan-bacaan di dalam solat terutamanya ayat-ayat al-Quran.
4. Bacaan-bacaan di dalam solat difahami maknanya sama ada bacaan itu berupa ayat-ayat al-Quran, zikir atau doa kerana memahami makna membawa kepada penghayatan terhadap apa yang dibaca itu.
5. Hati dalam keadaan khusyuk dan memberi penumpuan kepada solat iaitu tidak lalai atau alpa.

Apa hukum mengetahui kaifiyat solat Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam-? Bagaimana caranya?

Hukumnya adalah wajib kerana Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam- bersabda (dalam bentuk perintah); “Kerjakanlah solat sama sebagaimana kamu melihat aku mengerjakan solat”. (Riwayat Imam al-Bukhari dari Malik bin al-Huwairith –radhiyallahu ‘anhu-)

Untuk mengetahui kaifiyat solat Nabi, caranya ialah melalui riwayat-riwayat yang soheh dari para sahabat yang menceritakan bagaimana Nabi mengerjakan solat bermula dari niat dan takbiratul-ihram hinggalah kepada memberi salam.

Apa persediaan yang perlu dilakukan sebelum menunaikan solat?

1. Bersih dari hadas dan najis.
2. Memakai pakaian menutup aurat
3. Memastikan telah masuk waktu jika solat yang hendak dikerjakan itu solat fardhu atau solat sunat yang berwaktu seperti dhuha atau sebagainya.
4. Memastikan arah qiblat.
5. Persediaan batiniyah; iaitu melapangkan hati dan akal fikiran dari segala urusan dunia dan memberi tumpuan kepada solat sahaja.

Apa akibatnya jika solat tidak dilakukan dengan sempurna?

Menyebabkan solat tidak sah jika yang tidak disempurnakan itu adalah perkara rukun dan hilang pahala jika yang tidak disempurnakan itu perkara sunat. Di dalam sebuah hadis, Abu Hurairah –radhiyallahu ‘anhu- menceritakan; “Suatu hari Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam- berada di dalam masjid. Masuk seorang lelaki, lalu mengerjakan solat. Kemudian ia datang kepada baginda dan memberi salam. Setelah menjawab salamnya, baginda berkata kepadanya; ‘Ulangi semula solat kamu. Sesungguhnya kamu belum mengerjakan solat’…” (Riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim). Hadis ini menunjukkan kepada kita bahawa solat yang dilakukan tanpa memenuhi rukun-rukunnya sama seperti tidak melakukannya, kerana itu disuruh oleh Nabi supaya mengulanginya semula.

Saturday, June 14, 2008

PERAPIAN DIRI

Apa maksud perapian diri?

Iaitulah kekemasan diri yang menjadi sunnah Nabi s.a.w., antaranya yang disebut beliau dalam sabdanya; “Fitrah itu ada lima;
1. Berkhitan
2. Istihdad (mencukur bulu ari-ari)
3. Menggunting misai
4. Memotong kuku
5. Mencabut bulu ketika”.
(Riwayat Imam Muslim dari Abu Hurairah r.a.)

Maksud fitrah di dalam hadis di atas menurut Imam al-Khatthabi ialah as-Sunnah, yakni lima perkara yang tergolong dalam sunnah Nabi. Ada ulamak berkata; yang dimaksudkan ialah sunnah-sunnah para Nabi. Ada juga yang berpandangan; yang dimaksudkan ialah agama, yakni; lima perkara dari suruhan agama.[1]

Apa maksud berkhitan? Dan apa hukum berkhitan?

Bagi lelaki, berkhitan ialah dengan memotong keseluruhan kulit yang menselaputi hasyafahnya (yakni kepala zakarnya) sehingga terdedah ke semua sekali hasyafah itu. Bagi wanita pula, berkhitan ialah memotong sedikit kulit di bahagian paling atas farajnya (yakni yang berada di atas dari lubang masuk zakar) yang kelihatan seperti biji atau balung ayam.

Hukum berkhitan adalah wajib mengikut pandangan Imam Syafi’ie dan ramai ulamak yang lain. Majoriti ulamak (antaranya Imam Malik) berpandangan; ia sunat sahaja. Bagi Imam Syafi’ie; wajib berkhitan adalah atas kedua-dua golongan lelaki dan wanita.

Apa maksud Istihdad? Apa hukumnya?

Istihdad bermaksud mencukur bulu di kawasan ari-ari (العانة) iaitu kawasan di atas kemaluan dan di sekitarnya sama ada lelaki atau wanita. Hukumnya adalah sunat. Tujuannya ialah untuk membersihkan kawasan tersebut. Yang terbaik ialah dengan mencukur. Namun harus dengan menggunting atau mencabutnya. Menurut al-‘Abbas bin Suraij; termasuk dalam pengertian bulu ari-ari ialah bulu yang tumbuh di sekitar lubang dubur. Jadi dengan mengambil kira pandangan beliau, maka disunatkan kita mencukur keseluruhan bulu yang tumbuh di kemaluan depan dan dubur serta di kawasan sekitar keduanya.[2]

Apa hukum memotong kuku? Bagaimana cara yang disunatkan?

Memotong kuku hukumnya adalah sunat. Sunat memotong di tangan terlebih dahulu, berikutnya baru kaki. Sunat dimulai dengan tangan kanan iaitu bermula dari jari telunjuk, kemudian jari tengah, kemudian jari manis, kemudian jari kelingking dan seterusnya ibu jari. Setelah itu pergi pula ke tangan kiri dengan bermula dari jari kelingking, kemudian jari manis dan berikutnya hinggalah ke ibu jari. Berikutnya pergi pula ke jari-jari kaki dengan bermula dari jari kelingking kaki kanan dan tamat di jari kelingking kaki kiri.[3]

Apa hukum mencabut bulu ketiak? Haruskah mencukurnya?

Hukumnya sunat. Yang terbaik ialah dengan mencabut bagi sesiapa yang mampu. Jika tidak, memadai dengan mencukurnya. Sunat dimulai dengan ketiak kanan, kemudian baru ketiak kiri.[4]

Apa hukum menggunting misai? Adakah harus dilakukan oleh orang lain untuk kita?

Hukumnya adalah sunat. Sunat dimulai dengan misai sebelah kanan. Harus sama ada kita menggunting sendiri atau menyuruh orang lain melakukannya untuk kita. Adapun mencabut bulu ketiak dan mencukur bulu ari-ari tadi tidak harus dilakukan oleh orang lain kerana ia merosakkan maruah dan kehormatan.[5]

Pada had manakah misai perlu digunting? Adakah sunat mencukurnya?

Para ulamak berbeza pandangan;[6]

a) Pandangan pertama; menurut ulamak-ulamak mazhab Hanafi dan Hanbali; yang terbaik ialah mencukurnya (yakni membuang habis). Mereka berdalilkan beberapa sabda Nabi s.a.w. antaranya;

جُزُّوا الشَّوَارِبَ، وَأَرْخُوا اللِّحَى، خَالِفُوا الْمَجُوسَ
“Potonglah misai (hingga nampak kulit) dan biarkanlah janggut. Hendaklah kamu berbeza dengan orang Majusi”. (Riwayat Imam Muslim dari Abu Hurairah r.a.)

Menurut ulamak, perkataan al-jazz dalam hadis di atas memberi makna menggunting misai dan bulu hingga sampai ke kulit.

Di dalam hadis yang lain, Nabi s.a.w. bersabda;

خالفوا المشركين: وفروا اللحى، وأحفوا الشوارب
“Hendaklah kamu berbeza dengan orang-orang Musyrikin; kerana itu biarkanlah janggut dan buanglah misai”. (Riwayat Imam al-Bukhari)

Berkata Imam Ibnu Hajar; perkataan al-Jazz dan al-Ihfa’ menunjukkan kepada tuntutan agar bersungguh-sungguh dalam membuang misai. Al-Jazz bermaksud; menggunting hingga ke kulit. Al-Ihfa’ pula bermaksud; membuang habis. Kerana itu Imam Abu Hanifah dan Imam Ahmad mensunatkan dibuang habis misai dengan mencukurnya.[7]

b) Pandangan kedua; menurut ulamak-ulamak mazhab Syafi’ie dan Maliki; yang disunatkan hanyalah mengguntingnya sahaja sehingga kelihatan bibir mulut (yakni menggunting bahagian yang memanjang ke atas bibir mulut). Adapun mencukurnya adalah dilarang, di mana hukumnya adalah makruh.[8]

c) Pandangan ketiga; menurut Imam Ibnu Jarir at-Tabari; harus kedua-duanya, yakni kita boleh memilih sama ada hendak mengguntingnya sahaja atau mencukurnya kerana kedua-duanya sabit di dalam hadis Nabi s.a.w..[9]

Bilakah masanya kita dituntut untuk mencukur bulu ari-ari, memotong kuku dan sebagainya tadi?

Iaitu pada bila-bila masa mengikut keperluan dan apabila ia panjang asalkan jangan membiarkannya melebihi empat puluh hari. Ini berdasarkan cerita Anas bin Malik r.a.;

وُقِّتَ لَنَا فِي قَصِّ الشَّارِبِ وَتَقْلِيمِ الْأَظْفَارِ وَنَتْفِ الْإِبِطِ وَحَلْقِ الْعَانَةِ أَنْ لَا نَتْرُكَ أَكْثَرَ مِنْ أَرْبَعِينَ لَيْلَةً
“Telah ditetapkan tempoh untuk kami bagi menggunting misai, memotong kuku, mencabut bulu ketiak dan mencukur bulu ari-ari iaitu kami tidak membiarkannya melebihi 40 hari”. (Riwayat Imam Muslim)[10]

Nota Kaki

[1] Syarah Soheh Muslim, 3/151.
[2] Syarah Soheh Muslim, 3/153.
[3] Syarah Soheh Muslim, 3/152.
[4] Syarah Soheh Muslim, 3/152.
[5] Syarah Soheh Muslim, 1/152.
[6] Syarah Soheh Muslim, 1/152-155, Faidhul-Qadier, hadis no. 3586 dan Fiqh al-Albisah Wa az-Zinah (Abdul-Wahhab Abdus-Salam Tawilah, hlm. 276-280.
[7] Faidhul-Qadier, hadis no. 3586.
[8] Syarah Soheh Muslim, 3/152, Fiqh al-Albisah Wa az-Zinah (Abdul-Wahhab Abdus-Salam Tawilah, hlm. 278 dan 280.
[9] Fiqh al-Albisah Wa az-Zinah (Abdul-Wahhab Abdus-Salam Tawilah, hlm. 280, Syarah Soheh Muslim, 1/155.
[10] Syarah Soheh Muslim, 3/152.