السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

PESANAN NABI S.A.W.
"Sesiapa menempuh satu perjalanan untuk mencari suatu ilmu, Allah akan memudahkan untuknya jalan ke syurga" (Hadis riwayat Imam Muslim dari Abu Hurairah r.a.)

Saturday, August 30, 2008

ZAKAT FITRAH (9)

Penetapan waktu mengeluarkan zakat fitrah

Menurut pendapat jumhur ulama’ –termasuklah dari mazhab Syafi’ie-, masuknya waktu wajib mengeluarkan zakat fitrah ialah dengan terbenamnya matahari pada hari terakhir Ramadhan. Oleh demikian, orang yang menempuh waktu wajib ini, maka wajib zakat fitrah untuknya. Jika seorang meninggal sebelum masuknya waktu wajib ini, maka tidak wajib zakat fitrah untuknya kerana ia tidak sempat menemui waktu wajib. Begitu juga, jika berlaku kelahiran selepas waktu wajib itu, tidak wajib zakat fitrah baginya kerana kelahirannya itu berlaku selepas waktu wajib. Sama lah hukumnya bagi masalah perkahwinan, pembebasan hamba dan sebagainya.

Walaupun waktu waktu wajib ditetapkan di penghujung bulan Ramadhan (iaitu apabila terbenam matahari di hari terakhir Ramadhan), namun zakat fitrah harus dibayar lebih awal dari masa tersebut. Di kalangan Fuqaha’ terdapat perbezaan pandangan dalam masalah; bilakah mula harus membayar zakat fitrah? Menurut mazhab Malik; pembayaran sah dilakukan dalam tempoh dua atau tiga hari sebelum hari raya. Sebahagian ulama’ mazhab Ahmad berpandangan; harus pembayaran dibuat setengah bulan (15 hari) sebelum hari-raya. Dalam mazhab Syafiie; zakat fitrah boleh dibayar seawal bermula bulan Ramadhan lagi. Sementara dalam mazhab Hanafi; ia boleh dibayar mulai awal tahun berkenaan lagi. (Rujuk: Pengurusan Zakat, Mahmood Zuhdi, hlm. 401)

Waktu paling afdhal mengeluarkan zakat fitrah ialah pada pagi hari raya sebelum ditunaikan solat hari hara. Dalam sebuah hadis, Ibnu Umar r.a. menceritakan;

أَنَّ النَّبـِيَّ صلى الله عليه وسلم أَمَرَ بـِزَكَاةِ الْفِطْرِ، قَبْلَ خُرُوْجِ النَّاسِ إِلَى الصَّلاَةِ
“Rasulullah s.a.w. menyuruh supaya dikeluarkan zakat fitrah sebelum orang ramai keluar untuk menunaikan solat (hari raya)”. (Riwayat Imam Bukhari)

Melewatkan pembayaran zakat fitrah hingga selepas solat hari raya, hukumnya adalah makruh. Hukum ini berterusan hingga terbenamnya matahari. Jika dilewatkan lagi hingga selepas terbenam matahari, maka hukumnya adalah haram dan berdosa. Dalam satu hadis yang disampaikan oleh Ibnu ‘Abbas r.a. ada dinyatakan;

فَمَنْ أَدَّاها قبلَ الصَّلاة فهيَ زكاةٌ مَقْبُولةٌ، ومَنْ أَدَّاها بَعْد الصَّلاة فَهي صَدقةٌ مَن الصَّدقات
“…Maka sesiapa menunaikannya sebelum solat hari raya, ia adalah zakat yang diterima. Dan sesiapa yang menunaikannya selepas solat, ia adalah sedekah biasa”. (Riwayat Imam Ibnu Majah)

Penetapan waktu menurut mazhab Imam Syafi’ie

Oleh kerana pengamalan masyarakat Islam di Malaysia lebih merujuk kepada mazhab Syafi’ie, maka di bawah ini kita kemukakan secara teratur ketetapan hukum bagi waktu-waktu mengeluarkan zakat fitrah mengikut pandangan ulama’-ulama’ mazhab Syafi’ie;

1. Waktu wajib : iaitu dengan terbenamnya matahari pada hari terakhir Ramadhan.

2. Waktu harus : iaitu sebaik sahaja masuknya bulan Ramadhan dan berterusan hingga ke hari raya (sebelum terbenamnya matahari). Jadi, sepanjang bulan Ramadhan –menurut mazhab Syafi’ie- adalah waktu yang diharuskan untuk kita membayar zakat fitrah.

3. Waktu sunat ; iaitu pada pagi hari raya sesudah sembahyang subuh dan sebelum keluar untuk menunaikan solat hari raya atau sebelum solat hari raya didirikan.

4. Waktu makruh; iaitu mengeluarkan zakat fitrah sesudah solat aidil-fitri tetapi sebelum terbenam matahari pada hari raya.

5. Waktu haram; iaitu melambatkan pembayaran zakat fitrah hingga selepas terbenam matahari pada hari raya.

Melambat-lambatkan membayar zakat fitrah

Syara’ memberi keluasan untuk kaum muslimin mengeluarkan zakat fitrah bermula dari awal Ramadhan (*menurut pandangan mazhab Syafi’ie) hinggalah kepada hari raya sebelum matahari terbenam. Namun demikian, melewatkan pembayaran zakat fitrah sehingga sesudah solat hari raya (iaitu membayarnya setelah selesai solat hari raya) tidak digalakkan oleh Syara’ di mana hukumnya adalah makruh. Menurut Ibnu Hazm, ia adalah haram dan berdosa kerana menurut beliau had waktu terakhir untuk mengeluarkan zakat fitrah ialah sebelum ditunaikan solat hari raya.

Adapun melewatkan pembayaran zakat fitrah hingga habis hari raya iaitu mengeluarkannya selepas terbenam matahari pada hari raya, maka hukumnya adalah haram dengan sepakat para ulama’. Ini kerana zakat fitrah adalah zakat yang wajib, maka melewatkan pembayarannnya hingga melampaui waktu yang ditetapkan adalah berdosa sepertimana berdosanya melewatkan solat fardhu hingga terkeluar dari waktunya. Berkata Imam Ibnu Qudamah dalam kitabnya al-Mughni; ‘Orang yang melewatkan pembayaran zakat fitrah sehingga habis hari raya maka ia adalah berdosa dan wajib ke atasnya qadha’ (ganti)’.

Para ulama’ juga sepakat bahawa kewajipan mengeluarkan zakat fitrah tidak akan gugur dengan menta’khir atau melewatkannya setelah ia menjadi wajib ke atas seseorang, bahkan ia menjadi hutang yang berada di bawah tanggungannya hinggalah ia membayarnya walaupun di akhir umur. Jika ditakdirkan berlaku kematian ke atasnya sebelum ia sempat menunaikan zakat fitrah tersebut, hendaklah dikeluarkan dari harta peninggalannya, kerana zakat adalah kewajipan harta yang mesti ditunaikan ketika hidup, maka ia tidak akan gugur dengan sebab berlakunya kematian sama seperti hutang dengan manusia. (Rujuk; al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, jil. 2, hlm. 906)

No comments: